Ketahui 6 Jenis REIT Dalam Hartanah Ini Dan Mula Melabur

Buat anda yang baru pertama kali mendengar akan istilah REIT ini, REIT adalah singkatan untuk Real Estate Investment Trust yang juga bermaksud Amanah Pelaburan Hartanah.

Bukan seperti pelaburan hartanah konvensional yang memerlukan anda untuk menyewakan hartanah atau pun melakukan renovasi untuk sublet, konsep REIT adalah lebih dengan saham amanah (unit trust).

Baca : Apa Itu Real Estate Investment Trust (REIT)?

Apa yang membezakan REIT dan unit trust adalah modal pelabur akan dilaburkan ke dalam pasaran hartanah berbanding unit trust yang dilaburkan dalam pasaran saham dan bon semasa.

Di dalam artikel ini, kami akan kupas 6 jenis REIT dalam pelaburan hartanah yang anda boleh laburkan dalam pelaburan hartanah.

Seperti pelaburan – pelaburan yang lain, REIT juga mempunyai risikonya profilnya yang tersendiri bergantung kepada sifat pelaburan itu sendiri.

Jom kita tengok 6 jenis REIT yang terdapat dalam industri hartanah.

1. REIT Runcit

Merupakan REIT yang mengurus, memiliki dan mengendalikan pasaraya, pusat membeli belah, kedai dan premis.

Dalam erti kata lain, REIT Runcit mendapat pulangannya melalui sewaan seperti McDonalds yang menyewa unit di dalam pusat membeli belah IOI Mall Putrajaya dan juga gedung NIKE yang menyewa unit di KLCC.

Akan tetapi, kelebihan melabur dalam REIT Runcit hanya wujud apabila premis tersebut berada di kawasan strategik dengan:-

  1. Kadar perolehan penyewa yang rendah.
  2. Keupayaan meningkatkan harga sewa.
  3. Aliran pendapatan yang positif.

Pertumbuhan pendapatan dalam pasaran REIT Runcit sangat bergantung kepada keadaan ekonomi semasa di mana banyak unit di dalam premis tidak mampu disewakan apabila kuasa beli rakyat berkurang dan kurangnya permintaan terhadap sewaan.

2. REIT Pejabat

REIT jenis ini pada dasarnya memiliki dan mengendalikan bangunan pejabat dan sebahagian besar penyewa REIT Pejabat adalah daripada sektor kewangan seperti bank dan syarikat antarabangsa yang beroperasi di Malaysia.

REIT Pejabat mempunyai bangunan pejabat di kawasan utama di Lembah Klang seperti Shah Alam, Subang Jaya dan Bangsar dan mampu menikmati kadar sewa yang lebih tinggi di masa hadapan.

Akan tetapi, penawaran ruang pejabat yang terlalu banyak di Lembah Klang menjadikan penyewa mempunyai pilihan untuk mendapatkan ruang pejabat yang lebih murah kerana wujudnya perang harga di antara pemilik-pemilik ruang pejabat di Lembah Klang.

Baca : Saham dan Hartanah. Mana Lebih Baik?

3. REIT Hospitaliti

REIT Hospitaliti bukanlah instrumen yang memiliki dan mengendalikan hospital. Sebaliknya, REIT Hospitaliti adalah instrumen yang menguruskan hotel dan bangunan kediaman.

Contoh terdekat adalah YTL REIT yang memiliki dan menguruskan hotel JW Marriott atau pun SUNWAY REIT yang memiliki dan menguruskan hotel Sunway.

REIT Hospitaliti secara tidak langsung membantu meningkatkan sektor pelancongan di negara ini. Kejatuhan mata wang turut membantu merancakkan lagi kedatangan pelanong luar negara ke negara kita.

Sungguhpun begitu, REIT Hospitaliti ini sangat mudah terjejas dengan perubahan ekonomi global dan keadaan politik semasa. Kelembapan pertumbuhan ekonomi turut menjejaskan sektor pelancongan sekaligus mengurangkan pendapatan dalam industri perhotelan.

Baca : 8 Saham Pelaburan Di Malaysia

4. REIT Industri

Contoh terbesar adalah AXIS REIT yang memiliki dan mengendalikan premis hartanah seperti gudang dan ruang kilang. Aliran tunai diperolehi daripada sewaan gudang dan ruang kilang.

Apa yang menarik tentang REIT Industri adalah ianya tidak memerlukan perbelanjaan selenggara yang tinggi dan reka bentuknya juga adalah tidak mewah berbanding REIT lain dan ini mengurangkan kos REIT Industri.

Sungguhpun begitu, REIT Industri adalah REIT yang paling mudah terjejas dengan kemelesetan ekonomi kerana kos operasi kilang dan storan inventori akan dipotong.

Selain daripada itu, potensi untuk menaikkan kadar sewaaan juga adalah rendah.

5. REIT Kesihatan

Contoh REIT Kesihatan adalah Al-Aqar REIT yang memiliki dan mengendalikan hospital dan harta khidmat penjagaan kesihatan semasa.

Sungguhpun keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan dan lembap, REIT Kesihatan tetap menjadi satu keperluan masyarakat dan tetap stabil.

Namun begitu, peluang untuk REIT Kesihatan berkembang adalah sangat terbatas kerana wujudnya pajakan jangka panjang yang mengurangkan potensi untuk meningkatkan kadar hasil sewaan.

Akan tetapi, potensi untuk mengembangkan REIT Kesihatan mampu dilakukan hanya dengan mengambil alih hartanah baru penjagaan kesihatan sedia ada.

Baca : Kenali Kaunter REIT Patuh Syariah di Bursa Malaysia

6. REIT Bercampur

Pada asasnya, REIT Bercampur bermaksud REIT yang memiliki dan mengendalikan pelbagai jenis hartanah dalam satu masa.

Contohnya adalah Sunway REIT ataupun dikenali sebagai Sun REIT di KLCI yang memiliki pelbagai portfolio hartanah di Malaysia seperti pusat membeli belah, pejabat, gudang, hotel dan juga bangunan integrasi 3 -1 iaitu Sunway Putra.

Antara kelebihan REIT Bercampur adalah kepelbagaian jenis hartanah dan lebih berdaya tahan kepada turun naik pasaran dan keadaan ekonomi semasa.

Akan tetapi, REIT Bercampur sebenarnya terdedah kepada semua jenis risiko yang dimiliki REIT-REIT lain di pasaran.

Ditulis oleh Mehmed Aezhad, beliau merupakan seorang Digital Marketing Specialist yang berpengalaman luas dalam bidang pemasaran digital hartanah.

Terakhir sekali, jemput baca Dividen Real Estate Investment Trust (REIT) Ni Tinggi Ke? Semoga ia dapat membantu dan mempersiapkan kita sebelum melangkah ke dunia pelaburan REIT ini.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

OIB Lancar Gardens Idaman, Memperkukuh Portfolio Perumahan Mampu Milik Mampan Di Selangor

Rawang, 17 Ogos 2026: Oriental Interest Berhad (OIB) hari ini mengumumkan pelancaran rasmi Myra Idaman, sebuah pembangunan perumahan mampu milik terbaharunya di bawah program Rumah Idaman, yang dipasarkan dengan nama Gardens Idaman. Pelancaran ini memperluas lagi portfolio perumahan mampu milik OIB di Selangor, dengan Gardens Idaman menjadi pembangunan terbaharu Kumpulan di bawah program Rumah Idaman.

Meliputi kawasan seluas 11.226 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM163.8 juta,
Gardens Idaman akan menawarkan 616 unit pangsapuri separa berperabot dengan harga bermula daripada RM250,000 hingga RM270,000. Setiap unit turut dilengkapi dengan dua ruang letak kereta.

Pembangunan berstatus pajakan ini dijangka siap pada tahun 2030 dan direka sebagai komuniti berpagar dan berpengawal untuk pembeli rumah pertama serta keluarga yang mencari kediaman yang lebih luas dan selesa.

Setiap unit berkeluasan 1,002 kaki persegi mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua ruang letak kereta, serta dilengkapi secara separa berperabot dengan almari pakaian, penghawa dingin, pemanas air, kabinet dapur, peti sejuk, televisyen dan kabinet TV.

Para penghuni juga akan menikmati Central Park yang menampilkan trek joging, gimnasium luar, taman permainan kanak-kanak, gelanggang futsal dan pickleball, selain kemudahan lain seperti dewan serbaguna, tadika serta surau.

William Lew, Pengurus Besar Unit Perniagaan Essential Myra, bahagian hartanah kediaman OIB, berkata program Rumah Idaman Selangor memainkan peranan penting dalam memperluaskan akses kepada perumahan mampu milik berkualiti di seluruh negeri.

“Program Rumah Idaman telah menjadi penanda aras penting dalam menjadikan pemilikan rumah berkualiti lebih mudah dicapai oleh pembeli rumah pertama.

“Sebagai salah satu pemaju yang menyertai program ini, peranan kami bukan sekadar membangunkan kediaman yang memenuhi keperluan program, tetapi juga sentiasa mencari peluang untuk mewujudkan nilai tambah kepada pemilik rumah serta komuniti yang bakal didiami mereka,” katanya

Pelancaran ini turut memperluas portfolio perumahan mampu milik OIB, dengan Gardens Idaman dan pembangunan akan datang, Saujana Idaman di Dengkil, masing-masing menerima pensijilan Provisional GreenRE Bronze, mengiktiraf komitmen projek-projek tersebut terhadap amalan pembangunan yang mampan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

GreenRE merupakan skim pensijilan bangunan hijau Malaysia yang ditubuhkan oleh
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), bagi mengiktiraf pembangunan yang
memenuhi penanda aras kelestarian merangkumi aspek seperti kecekapan tenaga, kecekapan air, perlindungan alam sekitar serta kualiti persekitaran dalaman.

Walaupun aspek kelestarian semakin diberi perhatian dalam sektor hartanah Malaysia, penerapan piawaian GreenRE dalam pembangunan perumahan mampu milik masih belum meluas.

Ini menunjukkan masih terdapat ruang untuk memperluaskan penerapan reka bentuk mampan dalam pembangunan perumahan mampu milik, agar manfaat kelestarian dapat dinikmati oleh lebih ramai pemilik rumah.

Lew menambah bahawa walaupun pensijilan GreenRE bukan merupakan keperluan di bawah program Rumah Idaman, OIB percaya aspek kelestarian wajar diterapkan dalam pembangunan perumahan mampu milik dan tidak seharusnya terhad kepada pembangunan bertaraf premium.

“Sering kali wujud persepsi bahawa kelestarian hanya sesuai untuk pembangunan berharga tinggi. Namun, kami percaya perumahan mampu milik juga boleh menerapkan elemen kelestarian tanpa menjejaskan kemampuan milik, terutamanya apabila aspek ini dipertimbangkan sejak peringkat awal reka bentuk.

“Pensijilan Provisional GreenRE Bronze yang diterima oleh Gardens Idaman dan Saujana Idaman menunjukkan bahawa kelestarian dan kemampuan milik boleh bergerak seiring. Pencapaian ini turut mencerminkan usaha kami untuk menerapkan pendekatan pembangunan yang lebih mampan dalam projek perumahan mampu milik,” jelasnya.

Gardens Idaman menggabungkan pelbagai ciri reka bentuk mampan termasuk reka bentuk luaran bangunan bagi mengurangkan penyerapan haba, kelengkapan kecekapan air 100%, penggunaan bahan binaan rendah karbon, sistem acuan aluminium boleh guna semula, sistem lif cekap tenaga, cat rendah penyerapan sebatian organik (VOC) serta pengoptimuman pencahayaan semula jadi.

Secara keseluruhannya, langkah-langkah ini dijangka meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dan air, memperbaiki kualiti persekitaran dalaman serta mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih selesa untuk para penghuni.

Berdasarkan penilaian GreenRE, Gardens Idaman dijangka mencapai penjimatan tenaga kira-kira 30.61% berbanding dengan garis dasar GreenRE, serta mengurangkan pelepasan karbon operasi yang dianggarkan sebanyak 337 tan karbon dioksida setara (CO₂e) setiap tahun.

Terletak di salah satu koridor pertumbuhan utama Selangor, Gardens Idaman menawarkan hubungan strategik ke Rawang, Sungai Buloh, Kwasa Damansara, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Koridor Guthrie serta Lebuhraya Utara-Selatan (NSE).

Pembangunan ini turut menawarkan akses mudah ke sekolah, kemudahan penjagaan kesihatan dan rekreasi serta pusat komersial berhampiran.

Gardens Idaman merupakan projek terbaharu dalam portfolio Rumah Idaman OIB, selepas kejayaan pelancaran Putra Idaman di Desa Pinggiran Putra pada tahun 2024.

Dengan Saujana Idaman dijadualkan untuk dilancarkan pada suku ketiga 2026, OIB akan terus mengembangkan portfolio perumahan mampu miliknya di Selangor, selaras dengan aspirasi perumahan negeri. Untuk maklumat lanjut mengenai Gardens Idaman, layari https://www.myra.com.my/myra-homes/gardensidaman