Kaedah Pengiraan Dan Pembahagian Faraid Menurut Al-Quran

Pembahagian harta pusaka menggunakan kaedah faraid, terdapat pengiraannya yang telah ditetapkan di dalam Al-Quran. Ianya bertujuan untuk membahagikan harta dalam sebuah keluarga dengan memberikan dalam kadar tertentu kepada waris yang berhak.

Dengan adanya kaedah pengiraan ini, tidak akan timbul salah faham di kalangan ahli keluarga.

Ayat 11 Surah an-Nisaa’:

Allah SWT telah berfirman dalam surah an-Nisaa’ seperti berikut.

Maksudnya:

“Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih daripada dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga daripada harta yang ditinggalkan oleh si mati.

Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak.

Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam.

(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya. lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu.

(Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Cara pembahagian Faraid berdasarkan Ayat 11 Surah An-Nisaa’

  1. Sekiranya seseorang meninggal dunia dan meninggalkan anak lelaki dan anak perempuan, maka bahagian anak lelaki adalah 2 kali bahagian anak perempuan.
  2. Sekiranya seseorang meninggal dunia dan meninggalkan dua atau lebih anak perempuan sahaja (tiada anak lelaki), maka bahagian mereka adalah dua pertiga (2/3) daripada nilai harta pusaka, dimana perlu dibahagikan sama rata kepada semua anak perempuan yang terlibat.
  3. Sekiranya seseorang meninggal dunia dan meninggalkan seorang anak perempuan sahaja (tiada anak lelaki), maka bahagiannya adalah satu perdua (1/2) atau separuh daripada hartanya.
  4. Sekiranya seseorang meninggal dunia dan meninggalkan ibubapa serta anak (tanpa mengira bilangan dan jantina anak mereka), bahagian yang ditetapkan untuk setiap seorang ibu dan bapa adalah satu perenam (1/6); untuk ibu 1/6 dan untuk bapa 1/6.
  5. Sekiranya seseorang meninggal dunia dan meninggalkan ibubapa sahaja (tidak mempunyai anak), bahagian ibu adalah satu pertiga (1/3), bapa pula mendapat bahagian dua pertiga (2/3).
  6. Sekiranya seseorang meninggal dunia dan meninggalkan ibubapa serta adik-beradik (tidak mempunyai anak), maka bahagian ibu adalah satu per enam (1/6) dan selebihnya adalah bahagian adik-beradik lelaki yang perlu dibahagikan.

Ayat 12 Surah an-Nisaa’

“Dan bagi kamu satu perdua daripada harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak. Tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu beroleh satu perempat daripada harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya.

Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula satu perempat daripada harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan daripada harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang kamu.

Dan jika si mati itu, lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau bapa, dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau saudara perempuan (seibu) maka bagi tiap-tiap seorang daripada keduanya adalah satu perenam. Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka berkongsi pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan), sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.

Wasiat-wasiat yang tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris). (Tiap-tiap satu hukum itu) ialah ketetapan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.”

Cara pembahagian Faraid berdasarkan Ayat 12 Surah An-Nisaa’ yang telah dihuraikan di dalam Al-Quran

  • Sekiranya isteri meninggal dunia dan meninggalkan suami sahaja (tidak mempunyai anak), maka bahagian suami adalah satu perdua (1/2). Tetapi, sekiranya isteri tersebut mempunyai anak, maka bahagian suami adalah satu perempat (1/4).
  • Sekiranya suami meninggal dunia dan meninggalkan isteri sahaja (tidak mempunyai anak), maka bahagian isteri adalah satu perenam (1/6) (dibahagikan sama rata daripada 1/6 tersebut jika isteri lebih daripada seorang). Tetapi, sekiranya suami tersebut mempunyai anak, maka bahagian isteri adalah satu perlapan (1/8) yang (dibahagikan sama rata daripada 1/8 tersebut jika isteri lebih daripada seorang).
  • Sekiranya meninggal dunia dan tidak mempunyai waris usul (ibu dan bapa, datuk dan nenek) dan waris furu’ (anak, isteri atau suami), tetapi mempunyai saudara lelaki seibu atau saudara perempuan seibu sahaja, maka bahagian mereka adalah satu perenam (1/6) manakala selebihnya diserahkan kepada baitulmal. Tetapi, sekiranya saudara lelaki seibu atau saudara perempuan seibu lebih daripada 2 orang, maka bahagian mereka adalah satu pertiga (1/3) yang perlu dikongsi sama rata antara mereka, manakala selebihnya dua pertiga (2/3) diserahkan kepada baitulmal.
  • Sekiranya meninggal dunia dan tidak mempunyai waris usul dan furu’, tetapi mempunyai saudara lelaki dan saudara perempuan seibu dan sebapa, maka bahagian mereka adalah seluruh harta yang ditinggalkan (lelaki 2 bahagian, perempuan 1 bahagian).

Faraid adalah mengikut pengiraan dan pembahagian Al-Quran, bukanlah mengikut hukum manusia semata-mata. Jangan bimbang, faraid tidak akan membebankan kita, ianya adil kepada semua orang bagi mereka yang faham. 

Namun, kita juga boleh menggunakan konsep hibah (hadiah), tiada masalah.

Sumber Rujukan: Jom Urus Duit

Baca juga:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Hibah Amanah: Instrumen Pengurusan Pusaka

RM90 bilion. Angka yang cukup besar untuk membuatkan kita termenung sejenak.

Itulah jumlah harta pusaka yang masih terbeku dan tidak dituntut oleh waris yang sah menurut data daripada Amanah Raya Berhad. Bayangkan berapa ramai keluarga yang terkesan, berapa lama mereka terpaksa menunggu, dan berapa banyak peluang yang hilang disebabkan harta-harta ini terkunci dalam proses pentadbiran pusaka yang berlarutan.

Mengapa Perkara Ini Masih Berlaku Di Malaysia?

Punca Masalah: Kesedaran Yang Tertangguh

Selepas berada dalam industri perancangan kewangan selama lebih 10 tahun, bertemu dengan pelbagai klien dan berbincang dengan rakan seprofesion, satu pola yang sama terus berulang: ramai yang tahu kepentingan perancangan pusaka, tetapi ramai juga yang memilih untuk menangguhkannya.

“Nanti lah.”

“Masih muda lagi.”

“Belum ada masa.”

“Tak nak fikir pasal mati.”

Alasan-alasan ini kedengaran familiar? Malangnya, ajal tidak menunggu kita bersedia.

Instrumen Pengurusan Pusaka

Dalam industri perancangan pusaka, terdapat beberapa instrumen yang boleh digunakan:

  1. Wasiat – Arahan pembahagian harta selepas kematian
  2. Hibah – Pemberian harta semasa hidup
  3. Amanah (Trust) – Pengawalseliaan dan pengurusan harta
  4. Kombinasi instrumen – Menggabungkan kelebihan setiap instrumen

Masing-masing mempunyai kelebihan dan kesesuaian tersendiri bergantung kepada situasi individu.

Hibah: Solusi Segera Yang Kurang Difahami

Antara instrumen yang paling berkesan tetapi kurang dimanfaatkan ialah Hibah.

Hibah adalah pemberian harta secara sukarela daripada seseorang kepada orang lain semasa pemberi masih hidup. Ia berkuat kuasa serta-merta sebaik sahaja Ijab (tawaran) dan Qabul (penerimaan) selesai, dengan syarat-syarat rukun hibah dipenuhi.

Hibah Amanah: Gabungan Terbaik Dua Konsep

Namun, ramai yang tertanya-tanya: “Kalau saya hibahkan harta sekarang, adakah saya kehilangan kawalan ke atas harta saya sendiri?”

Di sinilah kelebihan Hibah Amanah  atau Trust Hibah.

Hibah Amanah menggabungkan konsep hibah dengan struktur amanah, membolehkan pemberi hibah untuk:

  • Kekalkan kawalan ke atas pengurusan harta sepanjang hayat
  • Nikmati manfaat daripada harta tersebut seperti pendapatan atau dividen
  • Tetapkan syarat penggunaan harta untuk benefisiari
  • Pastikan pemindahan segera kepada waris selepas kematian tanpa proses mahkamah

Konsep ini sangat sesuai untuk mereka yang mahukan ketenangan fikiran sambil terus menikmati harta mereka.

Contoh Produk Hibah Amanah di Malaysia

Beberapa institusi di Malaysia menawarkan kemudahan hibah amanah yang mudah dan praktikal:

1. Hibah Amanah ASB (Amanah Saham Bumiputera)

Pelaburan ASB boleh dihibahkan melalui mekanisme hibah yang disediakan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). Pemegang unit boleh:

  • Menghibahkan sebahagian atau keseluruhan unit ASB kepada waris atau benefisiari
  • Kekalkan hak untuk menerima dividen sepanjang hayat
  • Pemindahan unit berlaku secara automatik selepas kematian tanpa perlu melalui proses pentadbiran pusaka
  • Proses yang mudah dengan mengisi borang hibah di kaunter ASNB

Ini bermakna pelaburan ASB anda tidak akan terbeku dan waris boleh terus menerima manfaat tanpa kelewatan.

2. Hibah Tabung Haji

Lembaga Tabung Haji turut menyediakan kemudahan hibah untuk simpanan para pendeposit:

  • Pendeposit boleh menghibahkan simpanan Tabung Haji kepada benefisiari yang dipilih
  • Hibah boleh dibuat secara mutlak atau bersyarat
  • Proses mudah melalui Sistem Hibah TH yang boleh dilakukan di kaunter atau secara online
  • Hibah berkuat kuasa serta-merta selepas penyerahan borang dan penerimaan benefisiari
  • Selepas kematian pendeposit, simpanan yang dihibahkan dapat dituntut dengan segera oleh benefisiari

Kedua-dua produk ini menawarkan cara yang mudah dan patuh Syariah untuk memastikan simpanan dan pelaburan anda tidak terbeku dan dapat memberi manfaat segera kepada orang tersayang.

Apa Yang Boleh Anda Lakukan Sekarang

  1. Buat senarai harta – Aset, simpanan, pelaburan, takaful, hutang
  2. Kenal pasti benefisiari – Siapa yang anda mahu lindungi dan jaga
  3. Dapatkan nasihat profesional – Perunding perancangan pusaka, peguam syarie, atau perancang kewangan berlesen
  4. Pilih instrumen yang sesuai – Wasiat, hibah, amanah, atau kombinasi
  5. Ambil tindakan – Jangan tangguh lagi

Warisan Terbaik Adalah Perancangan

Warisan terbaik yang boleh kita tinggalkan bukan hanya harta, tetapi ketenangan dan perlindungan untuk keluarga yang kita sayangi.

Jangan biarkan RM90 bilion itu bertambah. Jangan biarkan keluarga anda menjadi antara ribuan yang terpaksa menunggu bertahun-tahun, menanggung kos beribu-ribu ringgit, dan mengalami tekanan emosi hanya untuk mendapatkan hak mereka.

Mulakan perancangan pusaka anda hari ini. Kerana esok mungkin sudah terlambat.


Penafian: Artikel ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran umum dan tidak sepatutnya dianggap sebagai nasihat undang-undang atau kewangan. Pembaca digalakkan untuk mendapatkan nasihat profesional yang sesuai dengan situasi peribadi mereka.


Artikel ini dibawa kepada anda oleh Sampul Sdn Bhd. Artikel ini diterbitkan bersama MajalahLabur untuk membantu jenama bercerita melalui kandungan berkualiti.