Tabung Haji: Wadiah Yad Dhamanah Vs Wakalah?

Baru-baru ini, pihak Tabung Haji (TH) telah membuat satu pengumuman besar iaitu penukaran kontrak (Aqad) deposit TH daripada Wadiah Yad Dhamanah kepada Wakalah. Boleh baca lanjut mengenainya di Akaun Wakalah TH Memberi Lebih Nilai Tambah Dan Manfaat Kepada Pendeposit.

Ramai ke yang konfius dengan terma-terma Islamik yang digunapakai? Jom kita sama-sama fahamkan dan ketahui perbezaan di antara kedua-duanya.

Wadiah Yad Dhamanah Adalah Simpanan Dengan Jaminan

Wadiah Yad Dhamanah bermakna simpanan dengan jaminan. Ia adalah kontrak yang telah lama digunapakai oleh TH.

Kontrak ini menjanjikan kepada pendeposit yang mana walaupun simpanan mereka digunakan oleh TH untuk aktiviti pelaburan, kerugian tidak akan ditanggung oleh pendeposit kerana ia dijamin.

Jaminan menurut Akta TH 1995 adalah daripada pihak kerajaan.

Wakalah Pula Kita Mewakilkan

Kontrak Wakalah pula bermakna kontrak Wakil. Dalam pengumuman semalam, pendeposit selepas ini akan melantik TH sebagai wakil atau nama panjangnya Wakalah bil Istismar iaitu Wakil untuk Pelaburan di mana TH akan melaburkan deposit mereka dan untung dibahagikan.

Kerugian pula sama, dijamin oleh kerajaan seperti dalam Akta TH 1995.

Kenapa Kontrak Perlu Ditukar?

Kontrak Wadiah Yad Dhamanah merupakan satu kontrak yang mempunyai ciri-ciri pinjaman atau Qard kerana walaupun ia simpanan, TH menggunakan atau ‘meminjam’ duit pendeposit untuk membuat pelaburan.

Dalam kaedah Fiqh segala yang mendatangkan manfaat ke atas pinjaman adalah Riba maka dari segi kontrak, pendeposit tidak boleh dijanjikan sebarang untung walaupun TH membuat keuntungan yang tinggi.

Kerana itu, Hibah atau maknanya Hadiah diberikan. Hibah diberikan dengan syarat ia adalah hak mutlak TH untuk memberi dan pendeposit tiada hak menuntut.

Kontrak baru ini pula memberi kebenaran dari sudut Shariah untuk TH meletakkan kadar peratus atau nisbah perkongsian keuntungan dan kali ini disebabkan pendeposit telah melantik TH sebagai wakil, pendeposit mempunyai kuasa menuntut keuntungan hasil pelaburan TH.

Kerugian pula akan ditanggung oleh kerajaan dan deposit pendeposit terjamin.

Akhir sekali, harus diingatkan agar deposit di TH hanya diletakkan bagi tujuan pelaburan untuk menunaikan Haji. Objektif pelaburan lain eloklah kita melabur di instrumen pelaburan lain seperti saham, unit amanah, hartanah dan sebagainya.

Ditulis oleh Arham Merican, pegawai Shariah di salah sebuah bank Islam antarabangsa dan sedang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Pengajian Pembangunan. Meminati bidang ekonomi dan Shariah dengan fokus pada pemberdayaan modal insan.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kaya Di Mata : Realiti Kewangan Malaysia Yang Jarang Didedahkan

Dalam dunia yang gemar menilai kekayaan melalui apa yang nampak secara fizikal seperti kereta mewah, rumah besar, pakaian berjenama, ramai terperangkap dalam “kaya tipu-tipu”: mewah di luar, rapuh di dalam.

Artikel ini menyelami perbezaan asas antara “kaya tipu-tipu” dan “kaya sebenar”, disokong dengan data pencapaian kewangan isi rumah Malaysia, untuk memberikan gambaran yang lebih bernas dan tidak klise.

1. Kaya Tipu-Tipu: Ilusi Kekayaan yang Rapuh

Golongan ini menumpukan kepada persepsi, mereka lebih mementingkan imej daripada asas kewangan yang sihat.

Ciri-ciri utama:

  • Aliran tunai rapuh dan aliran keluar lebih besar
  • Pendapatan besar habis dibelanjakan untuk pembayaran ansuran kereta, kad kredit dan gaya hidup. Walaupun gaji tinggi, kos perbelanjaan lebih menguasai.
  • Nilai bersih (net worth) negatif
  • Tiada simpanan atau nilai bersih positif. Aset yang dimiliki adalah atas nama pinjaman. Jika aset dijual sekalipun, hasilnya tidak cukup untuk membayar hutang.
  • Hutang tinggi dan “good debt” tiada
  • Gaya hidup dibiayai oleh hutang (BNPL), bukan pelaburan atau aset produktif.
  • Motivasi status, bukan kestabilan
  • Pembelian didorong oleh keinginan untuk menunjukkan kekayaan, bukan atas dasar keperluan

2. Kaya Sebenar: Kekayaan yang Kukuh, Terlihat Biasa

Golongan ini mungkin tidak menarik perhatian, tetapi struktur kewangan mereka teguh dan bebas dari tekanan luar.

Ciri-ciri utama:

  • Nilai bersih positif
  • Pendapatan pasif dari sewaan, pelaburan dan saham. Aset melebihi liabiliti.
  • Pendapatan pelbagai aliran
  • Gaji, sewaan hartanah, dividen saham, perniagaan, pengagihan risiko dan kestabilan jangka panjang.
  • Kecairan tunai mencukupi
  • Simpanan kecemasan yang mencukupi membolehkan ketenangan apabila berdepan krisis.
  • Hidup di bawah kemampuan

Walaupun berkemampuan, mereka memilih kesederhanaan kewangan demi ketenangan jangka panjang.

3. Statistik Malaysia: Menyokong Fenomena Kekayaan Tipu-Tipu vs Sebenar

i) Hutang Isi Rumah Tinggi

Sehingga hujung 2021, nisbah hutang isi rumah kepada KDNK Malaysia mencecah 89 peratus, antara yang tertinggi di Asia Tenggara. Ia merangkumi RM1.4 trilion hutang, 58 % bagi pinjaman perumahan, 13 % pinjaman kenderaan, 14 % pinjaman peribadi, dan 3 % kad kredit.

ii) Tabung Kecemasan Rendah

Hanya 40 peratus isi rumah menyangka mereka boleh bergantung pada simpanan sendiri atau keluarga jika menghadapi kecemasan.

Sebanyak 55 peratus responden melaporkan mereka mempunyai kurang daripada RM10,000 simpanan yang boleh diakses segera.

iii) Kadar Simpanan Rendah

Tahun 2022 mencatat kadar simpanan isi rumah (household savings rate) hanya sekitar 3 peratus daripada pendapatan boleh guna (disposable income).

Purata sebelum ini (2006–2013) lebih rendah, sekitar 1.4 hingga 1.6 peratus.

iv) Ketahanan Terhadap Kejutan Kewangan Lemah

Kajian mendapati hanya 10 peratus isi rumah bandar Malaysia benar-benar tahan terhadap kejutan kewangan seperti kehilangan pendapatan, kecacatan, atau kematian. Lebih daripada 20 peratus tidak mampu bertahan sekurang-kurangnya tiga bulan jika pendapatan terputus.

4. Implikasi dan Kesedaran Kewangan

Data menunjukkan ramai rakyat Malaysia berada dalam situasi “kaya tipu-tipu”: hidup mewah tetapi asas kewangan rapuh. Gagal memiliki simpanan kecemasan dan nisbah hutang tinggi mengancam daya tahan ekonomi isi rumah.

Langkah yang disarankan:

1. Meningkatkan literasi kewangan agar rakyat lebih faham risiko hutang dan pentingnya simpanan.

2. Mempromosikan pengurusan kewangan yang rasional seperti membina simpanan, elak gaya hidup melebihi kemampuan.

3. Sokongan dasar untuk menyediakan insentif tabungan (contoh: subsidi simpanan, pendidikan kewangan).

Tidak semua yang kelihatan hebat benar-benar kukuh. “Kaya tipu-tipu” adalah rentap jangka pendek yang menjerat manakal “kaya sebenar” adalah kestabilan yang dilandasi disiplin kewangan dan perancangan masa depan.

Data Malaysia menggambarkan bahawa masih ramai yang terjebak dalam ilusi, bukan realiti dan artikel ini diharap membuka mata kepada perlunya kebijaksanaan dalam membina kekayaan sejati bukan sekadar apa yang nampak, tetapi apa yang kekal dan tahan dalam ujian masa.