Kisah Cuci Duit (Money Laundering) Di Malaysia

Salah satu perkara yang menjerat ekonomi dunia kita saban hari adalah adanya aktiviti money laundering atau lebih dikenali sebagai cuci duit.  Dalam bahasa baku, ia juga dikenali dengan istilah pengubahan wang haram.

PENGUBAHAN. Bukan penggubahan wang hantaran.

“Wang haram” dikaitkan dengan aktiviti haram di mana perniagaan atau aktiviti yang dilakukan adalah secara tidak sah dan salah di sisi undang-undang serta merupakan perkara yang tidak bermoral. Contoh aktiviti haram adalah aktiviti scam (Macau scam, Love scam), pelacuran, rasuah, jual beli dadah, pemerdagangan manusia, pembalakan haram dan lain-lain lagi.

Jadi, macam mana nak bawa duit tunai berjuta-juta tu?

Maka di sinilah bermulanya proses cuci duit atau money laundering. Analogi paling senang adalah kita masukkan duit yang ‘kotor’ ke dalam mesin basuh. Selepas dicuci, keluarlah duit yang ‘bersih’.

Definisi Cuci Duit

Secara umum, cuci duit bermaksud membersih atau menyembunyikan sumber wang sebenar yang tidak elok dengan cara memperlihatkan duit tersebut kelihatan seperti berasal dari sumber yang sah.

5 Ciri-Ciri Pengubahan Wang Atau Money Laundering:

  1. Transaksi melibatkan aktiviti haram atau tidak sah
  2. Hasil yang diterima adalah daripada aktiviti tidak sah
  3. Tidak mempunyai pendaftaran perniagaan dan syarikat tidak sah
  4. Terpaksa merahsiakan aktiviti atau dilakukan secara sembunyi-sembunyi
  5. Melibatkan penipuan data dan mengaburi mata orang ramai

Kenapa Wujudnya Cuci Duit?

Apabila seseorang menjana pendapatan daripada sumber yang tidak sah seperti aktiviti jenayah, penyeludupan senjata, dadah, pelacuran, perjudian haram, pemalsuan pasport serta penyeludupan manusia dan sebagainya; wang tersebut akan menimbulkan keraguan bagi pihak bank yang menguruskan transaksi kewangan.

Sebagai contoh, pendapatan menjual dadah dalam sebulan boleh mencecah sehingga RM150,000, tetapi mengikut rekod individu terbabit hanyalah bekerja makan gaji sebanyak RM1,500 sebulan. Pihak bank akan menyiasat dari manakah datangnya wang ratusan ribu yang masuk ke dalam akaun setiap bulan. 

Penjenayah tahu institusi kewangan seperti bank atau pengurup wang akan membuat laporan (Suspicious Transaction Report – STR) kepada Bank Negara Malaysia jika ada transaksi keluar masuk duit yang meragukan.

Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, di sinilah aktiviti cuci duit akan dibuat. 

Bagaimana Penjenayah Cuci Duit?

Duit haram tadi perlu dilaburkan dalam perniagaan sebenar. Kemudian diagihkan kembali kepada pemilik sebenar duit tersebut.

Mereka akan membuka perniagaan (atau suruh orang lain buat) yang sesuai dengan jumlah income yang mereka terima daripada aktiviti haram. Sebolehnya mereka juga tidak akan menggunakan transaksi perbankan dalam rutin harian mereka, semuanya akan menggunakan wang tunai. 

Sebagai contoh, kartel yang terlibat dalam aktiviti jualan dadah mengambil langkah untuk membuka syarikat pemaju hartanah sebagai inisiatif bagi menutup sumber wang haramnya itu (atau paling mudah beri saja modal dan acah-acah JV dengan syarikat pemaju yang lain).

Contoh buat projek perumahan modal RM10 juta, lepas dicuci dapatlah balik RM6 juta ikat tepi. Masih lagi banyak. Rumah tak terjual? No problem.

Contoh lain:

Kau ada RM15,000 sebulan hasil operasi judi online. Lepas tu kau nak cuci duit, kau buka satu kedai runcit dan masukkan RM15,000 tu sebagai jualan kedai. Padahal, realitinya jualan kedai runcit tu sebulan tak sampai pun RM1,000.

Tak perlu bisnes besar.
Cukup ada kedai, akaun bank dan rekod yang “nampak munasabah”.

Acah-Acah Buat Loan

Teringat seorang banker pernah buka cerita yang ada pelanggan mereka akan memohon pinjaman tetapi lepas sebulan akan bayar balik pinjaman itu secara full payment. Logiknya bila pihak berkuasa tanya dari mana sumber modal, bolehlah dengan yakinnya tunjuk dokumen dan cakap pinjam dari bank.

Oleh itu, pihak berkuasa akan juga melihat bahawa segala keuntungan dan wang keluar masuk ke akaun bank syarikat tersebut datangnya dari perniagaan hartanah, sedangkan sumbernya adalah wang haram dari aktiviti jenayah tadi.

Begitulah konsep mudahnya.

Mengapa duit tu boleh jadi suci pula? Sebab, transaksi perniagaan itu dibuat melalui cara yang sah.

Logiknya kalau semak akaun syarikat mesti akan lapor rugi. Yelah, buat apa nak lapor untung dan bayar pula cukai dekat LHDN?

Tiba-tiba teringat dekat hotel-hotel 3 bintang yang bersepah di ibu kota yang nampak sendu tetapi masih bertahan sampai sekarang.

Terdapat banyak lagi cara cuci duit. Ada juga convert ‘duit haram’ dengan bawa lari ke negara luar. Tak perlu bawa duit kepuk-kepuk dalam beg, guna sahaja khidmat money changer / remittance (biasanya yang tak berlesen).

Cuci Duit Dengan ‘Berjudi’ Di Kasino

Teknik cuci wang di kasino ini dengarnya popular juga. Salah satu kasino terbesar di Asia Tenggara amat terkenal dengan aktiviti money laundering. Cuci duit berlaku di kasino dengan cara manipulasi cip.

Wang haram akan ditukar dengan cip secara rahsia (beli dari penjudi-penjudi lain) dan menukarkan semula cip tadi kepada bentuk cek di kaunter.

Cek tersebut pula digunakan untuk ditunjukkan kepada pihak berkuasa atas alasan menang judi, sedangkan dia tak berjudi pun! Paling mudah untuk cuci wang di kasino kerana ia akan berjalan lancar jika melibatkan ramai pemain.

Kaedah manipulasi lain juga pernah didedahkan sebelum ini di akhbar mainstream:

TheStar – Casinos used by organised crime groups for money-laundering, says investigator
FMT News – Marina Bay Sands probed by US over money laundering controls

Trend Tersembunyi Cuci Duit

Cuci duit dengan berjudi ini kerap kali berlaku di Malaysia dan luar negara. Selain menukarkan wang kepada cip dan berjudi, individu yang tidak bertanggungjawab juga mungkin akan menggunakan akaun bank orang lain untuk pecahkan wang yang banyak tadi menjadi kecil supaya tidak dapat dikesan.

Sebagai contoh, mereka menggunakan akaun bank isteri, anak-anak, adik-beradik dan pihak yang terdekat (proksi). Ada juga yang membeli rumah atau hartanah sebagai aset malah ada yang beli rumah atas nama orang lain.

Fikirlah banyak kali sebelum dengan mudah nak beri kebenaran kepada orang lain atau syarikat di luar sana untuk menggunakan nama kita dalam sebarang transaksi kewangan / urusan pembelian.

Kepada peminjam-peminjam Ah Long, fikirlah juga banyak kali sebelum nak beri kad ATM beserta nombor pin kita kepada mereka.

Kesan Kepada Masyarakat

Peningkatan aktiviti pengubahan wang haram secara langsung akan meningkatkan jenayah seperti pengedaran dadah, pelacuran, pembalakan haram dan sebagainya.

Keadaan politik di negara ini juga boleh menjadi tidak stabil kerana duit yang berkoyan-koyan tadi boleh digunakan untuk ‘membeli’ ahli politik.

Realitinya, aktiviti cuci duit yang berkait rapat dengan pengubahan wang haram ini masih berleluasa. 

AMLATFA / AMLATFPUAA

Anti-Money Laundering, Anti-Terrorism Financing and Proceeds of Unlawful Activities Act 2001 of Malaysia (“AMLATFA”) membolehkan mana mana agensi penguatkuasa Malaysia untuk mengarahkan institusi kewangan untuk membekukan atau merampas mana-mana akaun yang disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram selama 90 hari tanpa perlu mendapatkan perintah mahkamah.

Aktiviti pembenterasan ini diketuai oleh pihak Bank Negara Malaysia (BNM) dan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Agensi Penguatkuasaan Labuan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Boleh baca lebih lanjut dalam Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (Akta 613)

Berita berkaitan:

Syabas kepada pihak berkuasa tempatan yang komited memerangi sindiket cuci duit ini.

Peningkatan dalam aktiviti pengubahan wang haram secara langsung akan meningkatkan jenayah seperti pengedaran dadah, pelacuran, skim cepat kaya dan sebagainya. Kita sebagai rakyat yang bertanggungjawab wajib mengelakkan diri dari terjebak dan segera laporkan kepada pihak berkuasa jika ada maklumat.

Jadi jangan percaya sangat kalau tengok orang baru berniaga tiba-tiba boleh ada berpuluh-puluh cawangan kedai, sembang sales sebulan berjuta.

Kita semua mampu mengubahnya demi generasi yang akan datang.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Akhirnya Ada Parti Politik Berani Tunjuk Ke Mana Duit Kempen Mereka Pergi

Parti BERSAMA sedang mendahului parti-parti lain dalam satu perkara yang jarang berlaku dalam politik Malaysia dengan mengemukakan data perbelanjaan pilihan raya kepada umum. Sumber: Malaysiakini – Bersama dedah belanja hampir RM800,000 kempen PRN Johor

Bagi sesetengah orang, mungkin ini sekadar laporan perbelanjaan kempen.

Tetapi kalau kita lihat dari sudut pelaburan dan kewangan, sebenarnya ada satu prinsip yang sangat mudah:

Kalau kita mahu orang percaya dan memberikan duit kepada kita, kita perlu bersedia untuk menunjukkan bagaimana duit itu diuruskan.

Bayangkan kita mahu melabur RM100,000 dalam sebuah syarikat.

Kita tentu mahu tahu berapa hasil syarikat, berapa kos operasi, berapa hutang, berapa keuntungan dan bagaimana pengurusan menggunakan wang syarikat.

Kalau pengurusan syarikat berkata,

“Percayalah. Kami akan urus duit dengan baik.”

Tetapi apabila kita minta penyata kewangan, mereka enggan tunjukkan, kita sendiri mungkin akan fikir dua tiga kali sebelum melabur.

Dalam pelaburan, ketelusan adalah sebahagian daripada kepercayaan.

Begitu juga dengan politik.

Dan di sinilah pendedahan BERSAMA menjadi menarik untuk diperhatikan.

Daripada jumlah perbelanjaan kepada sumber dana, rakyat diberikan peluang untuk melihat sendiri bagaimana wang kempen dikumpulkan dan dibelanjakan. Dalam penyata yang dilaporkan Malaysiakini, antara sumber dana ialah kutipan yuran keahlian, majlis makan malam pengumpulan dana dan sumbangan peribadi, manakala perbelanjaan termasuk deposit SPR, bahan kempen dan kerja pembersihan selepas kempen.

Patutkah ketelusan kewangan seperti ini menjadi satu standard baharu dalam politik Malaysia?

Menariknya, idea ketelusan kewangan politik ini bukanlah sesuatu yang baru. Pada 2012, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak sendiri pernah mencadangkan supaya semua sumbangan kepada parti politik dimasukkan ke dalam akaun rasmi parti, disertakan resit dan akaun tersebut diaudit setiap tahun.

Lebih sedekad kemudian, isu yang sama masih relevan. Bezanya, kali ini kita mula melihat parti politik mengambil langkah untuk mendedahkan sendiri data perbelanjaan pilihan raya kepada umum.

1. Rakyat adalah penyumbang kepada sistem politik

Parti politik mungkin menerima sumbangan daripada individu atau organisasi, tetapi dalam konteks yang lebih luas, aktiviti politik akhirnya berkait dengan wang dan sumber awam.

Sebab itu rakyat mempunyai kepentingan untuk tahu bagaimana sesebuah parti menguruskan kewangan kempen mereka.

Kalau kita boleh meminta syarikat yang kita labur supaya telus, tidak salah untuk kita mengharapkan tahap ketelusan yang lebih tinggi daripada organisasi politik.

2. Duit yang masuk dan duit yang keluar perlu boleh dikesan

Dalam dunia kewangan, kita bukan hanya tengok jumlah duit.

Kita mahu tahu cash flow.

Berapa duit masuk?

Dari mana?

Berapa duit keluar?

Dibelanjakan untuk apa?

Siapa penerimanya?

Perkara yang sama boleh diaplikasikan kepada kewangan politik.

Apabila data perbelanjaan pilihan raya didedahkan, rakyat boleh mula melihat aliran wang tersebut, bukannya hanya mendengar dakwaan bahawa semuanya diuruskan dengan baik.

3. Ketelusan mengurangkan information asymmetry

Dalam pelaburan, ada masalah yang dipanggil information asymmetry.

Maksud mudahnya, pihak pengurusan mungkin mempunyai lebih banyak maklumat berbanding pelabur.

Sebab itu syarikat perlu menyediakan laporan kewangan supaya pelabur tidak membuat keputusan dalam keadaan terlalu banyak maklumat yang disembunyikan.

Politik pun sama.

Parti tahu berapa banyak duit yang mereka terima dan bagaimana ia dibelanjakan.

Rakyat pula hanya nampak kempen di luar.

Jadi apabila data kewangan dibuka, jurang maklumat antara parti dan rakyat dapat dikurangkan.

4. Rakyat boleh menilai kecekapan penggunaan wang

Dalam pelaburan, kita bukan sekadar bertanya:

“Berapa banyak duit syarikat belanjakan?”

Kita juga akan bertanya:

“Apa yang kita dapat daripada duit tersebut?”

RM1 juta dibelanjakan untuk pemasaran tetapi jualan tidak meningkat, kita akan mula persoalkan keberkesanannya.

Begitu juga perbelanjaan pilihan raya.

Apabila data tersedia, kita boleh mula bertanya:

Berapa kos kempen setiap kawasan? Berapa banyak dibelanjakan untuk media sosial? Berapa untuk logistik? Berapa untuk bahan kempen?

Ini membuka ruang untuk menilai kecekapan, bukan sekadar jumlah perbelanjaan.

5. Kita sebenarnya bukan pelik kalau melihat amalan ini di negara lain

Pendedahan kewangan politik bukan sesuatu yang asing di peringkat antarabangsa.

Di United Kingdom, Electoral Commission menerbitkan maklumat berkaitan sumbangan, pinjaman dan perbelanjaan parti politik serta calon kepada umum.

Di Amerika Syarikat, Federal Election Commission (FEC) pula menyediakan pangkalan data awam yang membolehkan orang ramai melihat maklumat kewangan kempen, termasuk sumbangan dan perbelanjaan calon serta jawatankuasa politik.

Di Australia, Australian Electoral Commission (AEC) juga mempunyai sistem funding and disclosure untuk meningkatkan ketelusan kewangan parti politik, calon dan pihak yang terlibat dalam pilihan raya.

Maknanya, idea untuk rakyat melihat money in dan money out dalam politik sebenarnya bukan sesuatu yang pelik.

Bezanya, di sesetengah negara ia merupakan sebahagian daripada sistem pendedahan yang diwajibkan dan diselia oleh badan pilihan raya.

Jadi kalau parti politik Malaysia mula mengambil inisiatif untuk membuka data kewangan mereka kepada umum, ia boleh dilihat sebagai satu langkah ke arah budaya politik yang lebih telus.

6. Boleh membina rekod kewangan yang boleh dibandingkan

Pelabur tidak menilai syarikat berdasarkan satu laporan sahaja.

Mereka melihat prestasi dari tahun ke tahun.

Begitu juga dengan parti politik.

Kalau setiap pilihan raya mereka mendedahkan data kewangan, lama-kelamaan akan wujud satu rekod yang boleh dibandingkan.

Berapa banyak dana diterima?

Berapa banyak yang dibelanjakan?

Adakah perbelanjaan semakin cekap?

Adakah kos kempen meningkat?

Adakah sumber pembiayaan berubah?

Ini menjadikan rakyat bukan sekadar pengundi, tetapi pihak yang boleh membuat penilaian berdasarkan data.


Sebab itu kami melihat pendedahan perbelanjaan pilihan raya sebagai satu langkah yang positif.

Bukan kerana mendedahkan data automatik bermaksud sesebuah parti itu lebih baik daripada parti lain.

Tetapi kerana ketelusan memberikan kita maklumat untuk membuat penilaian sendiri.

Dalam pelaburan, kita selalu diajar:

Jangan melabur hanya kerana percaya. Tengok laporan kewangan.

(Walaupun… tengok laporan kewangan pun belum tentu tak kena scam!)

Dalam politik pun mungkin prinsip yang sama patut digunakan:

Jangan hanya dengar janji. Tengok juga bagaimana wang diuruskan.

Kalau lebih banyak parti mula melakukan perkara yang sama, kita mungkin dapat membina satu budaya politik yang lebih matang di mana data kewangan menjadi sebahagian daripada akauntabiliti politik, bukan sesuatu yang perlu disembunyikan.

Kerana akhirnya, sama ada kita bercakap tentang melabur dalam sebuah syarikat atau memilih sebuah parti politik, prinsipnya hampir sama:

Beri kita data. Kemudian biar rakyat membuat penilaian.