Gagal Urus Hartanah Sewaktu Hidup, Merana 7 Generasi

Sungguh mengejutkan laporan dari Harian Metro pada Mei 2020 yang lalu apabila kira-kira 1 juta pemilik geran tanah telah pun meninggal dunia dan pemilikan harta masih belum diselesaikan oleh waris.

Di Malaysia, kesedaran mengurus harta masih lagi peringkat yang rendah dan membimbangkan. Terlalu banyak harta yang tidak dihibahkan dan ini merupakan faktor utama berlakunya perpecahan di antara ahli keluarga khususnya waris.

Baca : 5 Sebab Kenapa Kita Perlu Ambil Hibah Takaful

Jumlah itu dilihat semakin meningkat setiap tahun sehingga mencecah lebih RM70 bilion yang jumlah berkenaan mampu membangunkan ekonomi umat Islam jika diuruskan dengan betul oleh waris.

“Lebih daripada RM70 bilion jumlah harta pusaka tergantung yang sepatutnya boleh digunakan waris untuk membangunkan ekonomi mereka.”

Kita semua sedar bahawa kematian merupakan satu perkara yang pasti dan menguruskan harta adalah sebahagian dari fardhu kifayah kerana termasuk dalam bab faraid.

Saban tahun, kita akan disajikan di dada akhbar, sosial media dan corong radio akan perebutan harta di antara ahli keluarga.

Kes-kes seperti ini tidak menampakkan sebarang petanda untuk surut selagi orang awam tidak celik akan kepentingan menghibahkan harta mereka sewaktu hidup.

“Tahukah anda, sekiranya rumah yang anda miliki hari ini tidak dirancang dengan baik boleh menyebabkan keluarga dan anak-anak anda hidup merempat.”

Hibah, wasiat dan faraid merupakan cara yang diamalkan dalam Islam dalam pembahagian harta pusaka untuk menggerakkan ekonomi, hak dan kebajikan ahli keluarga selepas ketua keluarga/ahli keluarga meninggal dunia kelak.

Gagal Urus Hartanah Sewaktu Hidup, Merana 7 Generasi

Dalam pembahagian harta pusaka mengikut faraid, hanya waris si mati sahaja yang berhak mendapat harta pusaka itu pun mengikut ketentuan dan ketetapan hukum syarak Islam.

Terdapat formula pengiraan yang kompleks dalam pembahagian harta pusaka dan melengah – lengahkan proses pembahagian harta pusaka mengikut faraid hanya memburukkan lagi keadaan.

Baca : Hibah Sebelum Hiba: Ketahui Perbezaan Di Antara Hibah, Wasiat dan Faraid

“Semakin lambat harta pusaka diurus, semakin terbuka peluang ahli keluarga memakan harta yang batil. Apa yang lebih membimbangkan adalah jika harta itu adalah harta anak yatim!”

Manakala hibah pula merupakan ‘hadiah’ yang diberikan pemilik harta pusaka kepada sesiapa sahaja samada atas faktor kekeluargaan, kasih sayang, perjanjian dan sebagainya dan tidak terbatas kepada waris.

Ini bermakna, anda masih boleh memberikan sebahagian daripada harta anda kepada sesiapa yang anda ingini kelak.

Penulis melihat hibah merupakan solusi terbaik untuk pengurusan harta pusaka berbanding faraid.

Hal ini kerana, seringkali berlaku pertelingkahan tentang bahagian harta pusaka mengikut ahli keluarga dan ini menyebabkan seluruh proses menjadi lambat.

Dengan hibah, waris boleh mengelakkan diri daripada pertikaian antara ahli keluarga, fitnah, memakan harta batil dan paling teruk memakan harta anak yatim.

Antara kelebihan lain hibah adalah:

  • Tiada had dalam harta yang dihibahkan
  • Sesiapa sahaja bebas memiliki harta yang dihibahkan
  •  Pembahagian harta mengikut kehendak pemberi hibah
  • Boleh menyamaratakan pembahagian kepada waris – waris
  • Harta dihibah bukan lagi harta pusaka yang boleh dipertikai

Berbeza dengan hibah, waris tidak berhak mempersoalkan pembahagian harta pusaka terbabit dan pemilik harta bebas memberikan harta tersebut hatta kepada orang bukan Islam sekalipun.

Akan tetapi, hibah boleh ditarik balik sekiranya tidak berlaku ijab dan kabul dalam penyerahan harta yang dihibahkan.

Baca : Hibah Takaful Bukan Untuk Bayar Hutang

Sebagai kesimpulan, penulis menyeru semua umat Islam yang sedang membaca bait – bait artikel ini untuk mula sedar akan kepentingan pengurusan harta kerana ianya merupakan sebahagian daripada fardhu kifayah.

Bayangkan, hak dan kebajikan masyarakat terpelihara dengan aman dan harmoni apabila seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam menjalankan tanggungjawab mereka dalam pengurusan harta.

Baca : Bagaimana Hibah Membantu Anda Mengurus Harta Dengan Cepat

Silap haribulan, bangsa Melayu boleh menjadi peneraju ekonomi di Malaysia kerana mempunyai aset yang banyak hasil hibah dari orang – orang terdahulu yang bijak menguruskan harta mereka.

Sumber Rujukan :

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Dapat Hadiah Rumah RM400,000 Sebagai Komisen – Kena Lapor LHDN Ke?

“Kami hadiahkan sebuah banglo bernilai RM400,000 kepada ejen.”

Ayat macam ini memang kedengaran macam hadiah.

Tapi cuba kita ubah sedikit situasinya.

Sebuah syarikat emas menjalankan program insentif. Ejen yang berjaya mencapai sasaran jualan tertentu akan diberikan sebuah banglo bernilai RM400,000.

Contohnya ejen emas, ejen MLM, ejen jualan kereta yang berjaya mencapai sasaran tertentu dan diberikan sebuah banglo sebagai ganjaran.

Persoalannya:

Adakah ini benar-benar hadiah atau sebenarnya komisen/insentif kepada ejen?

Ini penting kerana dari sudut cukai, kita bukan hanya melihat apa nama yang diberikan kepada sesuatu bayaran.

Kalau banglo itu diberikan kerana ejen berjaya menghasilkan jualan, sifat bayaran tersebut perlu dilihat sebagai insentif yang diterima hasil daripada aktiviti ejen.

Dan yang menariknya, CP58 sendiri mengiktiraf bayaran insentif bukan dalam bentuk wang tunai, termasuk rumah.

Komisen tak semestinya dalam bentuk duit

Ramai orang apabila dengar perkataan “komisen”, mereka bayangkan:

Jual RM1 juta → dapat komisen RM50,000.

Tetapi insentif kepada ejen tidak semestinya dibayar dalam bentuk tunai.

Ia boleh diberikan dalam bentuk manfaat atau aset tertentu.

Contohnya:

  • kereta
  • rumah
  • pakej pelancongan
  • perabot
  • komputer
  • atau bentuk insentif bukan tunai yang lain.

Dalam dokumen CP58, HASiL memang menyediakan ruangan khusus untuk “Nilai insentif berbentuk bukan wang tunai”, termasuk kategori “Rumah”.

Jadi, kalau sebuah syarikat memberikan rumah kepada ejen sebagai ganjaran kerana pencapaian jualan, kita tidak boleh sekadar berkata:

“Ini hadiah, bukan pendapatan.”

Kita perlu lihat sebab rumah itu diberikan.

Katakan

Syarikat emas: ABC Gold Sdn Bhd

Ejen: Ali

Syarat program:

“Ejen yang mencapai jualan RM5 juta dalam tempoh tertentu akan menerima sebuah banglo bernilai RM400,000.”

Ali berjaya mencapai sasaran tersebut.

Syarikat kemudiannya memberikan sebuah banglo bernilai RM400,000 kepada Ali.

Pada zahirnya, syarikat mungkin menggunakan perkataan:

“Hadiah banglo.”

Tetapi dari perspektif cukai, soalan yang lebih penting ialah:

Mengapa Ali mendapat banglo tersebut?

Kalau jawapannya:

“Sebab Ali berjaya mencapai sasaran jualan yang ditetapkan.”

Maka kita sudah nampak ciri sales incentive yang jauh lebih jelas.

Jadi, bila ejen kena lapor?

Ini juga perkara yang selalu mengelirukan.

Bukan bermaksud ejen hanya perlu fikir tentang cukai apabila dia menjual banglo tersebut.

Persoalan yang perlu dilihat ialah bila ejen memperoleh hak atau manfaat daripada insentif tersebut, berdasarkan terma program dan fakta transaksi.

Contohnya, jika semua syarat telah dipenuhi dan ejen sudah mempunyai hak terhadap banglo tersebut, itulah titik yang perlu dianalisis dari sudut pengiktirafan pendapatan.

Bukan semata-mata tunggu banglo itu dijual.

Dan tarikh S&P, pindah milik atau penyerahan juga perlu dilihat bersama dokumen dan terma sebenar transaksi.

Sebab itu kita tidak boleh menetapkan secara automatik:

“Tarikh S&P = tarikh cukai.”

atau

“Tarikh geran keluar = tarikh cukai.”

Bagaimana pula dengan syarikat?

Kalau syarikat membayar insentif kepada ejen, pengedar atau pengagih, terdapat tanggungjawab di bawah Seksyen 83A ACP 1967 untuk menyediakan penyata bayaran insentif melalui Borang CP58.

HASiL menyatakan bahawa CP58 merangkumi bayaran insentif berbentuk wang tunai dan bukan wang tunai kepada ejen, pengedar atau pengagih. Salinan CP58 perlu diberikan kepada penerima sebelum atau pada 31 Mac tahun berikutnya.

Dan tengok apa yang terdapat dalam CP58.

Di bahagian insentif bukan tunai, terdapat:

(a) Kenderaan
(b) Rumah
(c) Pakej pelancongan/perjalanan
(d) Lain-lain

Maksudnya, kalau kita bercakap tentang banglo yang diberikan kepada ejen sebagai insentif, memang terdapat ruang dalam CP58 untuk melaporkan rumah sebagai insentif bukan tunai.

Bagaimana pula dengan Withholding Tax 2%?

Ini satu lagi perkara yang perlu dibezakan.

Di bawah Seksyen 107D, terdapat potongan cukai 2% bagi bayaran tertentu kepada ejen, pengedar atau pengagih.

Tapi untuk banglo RM400,000 yang diberikan sebagai insentif bukan tunai, 2% tidak dikenakan atas nilai banglo tersebut.

Ejen pula kena buat apa?

Ejen jangan anggap “Syarikat dah bagi CP58, jadi selesai.”

Tidak.

CP58 ialah penyata yang membantu menunjukkan berapa banyak insentif yang telah diterima.

Ejen, pengedar atau pengagih perlu melaporkan bayaran insentif yang diterima dalam e-filing masing-masing.

Untuk banglo, bila ejen sudah memperoleh hak ke atas rumah tersebut, contohnya selepas S&P ditandatangani dan hak menerima banglo itu sudah tidak lagi bersyarat maka nilai insentif tersebut perlu diambil kira dalam tahun taksiran yang berkaitan.

Bagaimana kalau syarikat panggil ia “hadiah”?

Ini bahagian yang paling menarik.

Dalam percukaian, nama yang diberikan kepada transaksi tidak semestinya menentukan sifat sebenar transaksi.

Kalau syarikat kata:

“Kami hadiahkan banglo kepada ejen.”

tetapi dokumen program menyatakan:

“Ejen yang mencapai jualan RM5 juta akan mendapat sebuah banglo bernilai RM400,000.”

maka terdapat hubungan yang jelas antara:

prestasi jualan → kelayakan → insentif → banglo.

Ini jauh berbeza daripada seseorang yang membeli emas seperti biasa, menyertai cabutan bertuah dan kebetulan memenangi sebuah banglo.

Dalam kes kedua, kita tidak boleh terus melabelkan banglo tersebut sebagai komisen.

Sifat transaksi bergantung kepada fakta.

Jadi, jangan tengok “hadiah” sahaja

Bayangkan dua situasi.

Situasi 1 – Ejen capai target

“Jualan RM5 juta → dapat banglo RM400,000.”

Ini mempunyai ciri sales incentive/commission.

Situasi 2 – Menang peraduan

“Beli produk, masuk peraduan → terpilih sebagai pemenang → dapat banglo RM400,000.”

Ini adalah situasi yang berbeza dan perlu dianalisis berdasarkan struktur peraduan dan sifat bayaran tersebut.

Bagaimana pula kalau ejen tidak menjual banglo itu?

Tidak penting sama ada ejen:

  • duduk dalam banglo itu,
  • sewakan banglo itu,
  • simpan banglo itu,
  • atau jual banglo itu kemudian.

Isu awalnya ialah apa yang ejen terima sebagai balasan kepada aktiviti yang menghasilkan pendapatan.

Kalau banglo tersebut merupakan incentive kerana prestasi jualan, hakikat bahawa ia berbentuk rumah tidak semestinya mengubah sifat asas bayaran tersebut.

RM400,000 bukan angka kecil

Sebab itu kes seperti ini menarik dari sudut pematuhan.

Katakan syarikat memberikan:

1 banglo = RM400,000

Kalau ia merupakan insentif kepada ejen, kita bukan lagi bercakap tentang:

“Dapat hadiah kecil.”

Kita bercakap tentang manfaat bernilai RM400,000.

Dan nilai tersebut perlu dilihat dalam pengiraan cukai penerima berdasarkan fakta sebenar.

Jangan terus ambil RM400,000 dan darab satu kadar cukai untuk menentukan cukai sebenar, kerana cukai individu bergantung kepada keseluruhan pendapatan, status pemastautin, perbelanjaan/potongan yang dibenarkan dan keadaan pembayar cukai.

Kesimpulannya

Kalau syarikat emas berkata:

“Kami hadiahkan sebuah banglo RM400,000 kepada ejen.”

Jangan berhenti pada perkataan “hadiah”.

Tanya:

Kenapa ejen dapat banglo itu?

Kalau jawapannya:

“Sebab dia berjaya mencapai sasaran jualan.”

maka kita perlu melihatnya sebagai insentif/komisen bukan tunai, bukan semata-mata hadiah biasa.

Dan yang lebih menarik:

CP58 sendiri mempunyai ruangan khusus untuk melaporkan insentif bukan tunai dalam bentuk “Rumah”.

Syarikat perlu menyediakan CP58 kepada ejen mengikut tempoh yang ditetapkan, manakala ejen pula perlu mengambil kira bayaran insentif tersebut dalam e-filingnya.

Penafian: Artikel ini adalah untuk tujuan perkongsian informasi dan pendidikan sahaja, bukan nasihat cukai atau nasihat profesional. Layanan cukai sebenar bergantung kepada fakta, struktur transaksi dan keadaan setiap pembayar cukai. Sila rujuk LHDN atau penasihat cukai berlesen untuk mendapatkan nasihat berkaitan kes khusus.