Kenapa Emas Bertukar Warna Dan Apa Perlu Buat?

Emas sememangnya digilai oleh ramai orang untuk memilikinya, namun tahukah anda, warna emas boleh berubah?

Warna emas akan berubah sekiranya terdedah kepada persekitaran yang sentiasa berubah dan hanya emas tulen 99.9 sahaja yang tidak akan berubah warnanya.

Di Malaysia, iklim yang tidak menentu akan membuatkan emas tersebut bertukar warna. Selain itu, terdapat banyak lagi punca warnanya bertukar. Dalam entri ini, kami akan kongsikan berkaitan dengan punca atau sebab emas bertukar warna dan apa perlu kita buat sekiranya emas bertukar warna.

Kenapa Emas Bertukar Warna?

Emas jenis perhiasan biasanya akan berubah warna dari masa ke semasa kerana ia bukannya emas tulen sepenuhnya. Warna pada emas biasanya tidak berubah, tetapi warna komponen lain yang dicampur pada emas tersebut telah rosak yang membuatkan emas tersebut kelihatan berubah warna. 

Selain itu, perubahan warna emas juga mungkin berlaku disebabkan oleh teknik penyaduran emas yang lemah di mana lapisan emas terlalu nipis dan membuatkan warnanya berubah.

Benarkah Emas Boleh Berubah Warna?

Emas adalah logam yang tahan luntur, jadi ia tidak akan berubah warna.  Hal ini kerana emas mempunyai tahap kereaktifan yang rendah. Sebagai contoh, apabila unsur yang mempunyai kereaktifan tinggi bertindak balas dengan air atau asid, warnanya akan berubah. Jadi, warna emas perhiasan itu berubah disebabkan oleh campuran komponen seperti besi logam, aloi, aluminium dan sebagainya.

Walaupun sifat kimia emas tidak akan merubah warnanya, campuran bahan aloi pada emas akan berubah warna pada kadar tahap yang berbeza bergantung kepada jumlah campuran bahan tersebut. 

Sebagai contoh, bahan logam seperti perak, kuprum, besi, zink dan aluminium biasanya akan dicampurkan pada emas dalam peratusan yang berbeza-beza untuk menciptakan pelbagai jenis aloi emas yang berbeza-beza. Logam ini mempunyai tahap kereaktifan yang lebih tinggi daripada emas yang menyebabkan ianya lebih cepat berubah warna.

Pengoksidaan adalah satu lagi tindak balas kimia yang boleh menyebabkan perubahan warna dalam aloi emas. Apabila logam teroksida, ia akan kehilangan elektron kerana terdedah kepada oksigen. Jadi itulah sebab utama kenapa emas jenis perhiasan akan cepat berubah warna.

Mengapa Emas Dicampurkan Dengan Komponen Logam?

Emas adalah logam yang sangat lembut yang menjadikannya sukar untuk digunakan dalam pelbagai jenis perhiasan. Sebab itulah ia dicampur dengan komponen logam. Walaupun warnanya akan berubah dari masa ke semasa, aloi emas dapat menciptakan pelbagai variasi pada warna dan nilai emas tersebut. 

Semakin rendah campuran bahan logam ke dalam emas tersebut, semakin lama masa yang diperlukan oleh emas tersebut untuk bertukar warna. 

Walaupun kebanyakan aloi emas akan rosak dari masa ke semasa, penjagaan dan proses pengkilapan yang betul pada emas tersebut boleh mengembalikan kilauan asalnya.

Apa Perlu Buat Sekiranya Emas Bertukar Warna?

Apabila emas anda sudah bertukar warna, anda boleh membaiki sendiri emas tersebut untuk mengembalikan kilauannya. Apa yang anda perlu lakukan adalah cara membersihkannya dengan berhati-hati agar warna dan kilauan asalnya tidak rosak. 

Pertama sekali, tuangkan tiga atau empat titis sabun pencuci pinggan cecair lembut ke dalam mangkuk berisi air suam.

Kemudian, letakkan emas tersebut ke dalam mangkuk untuk direndam selama lima minit. Selepas itu, gosok perlahan-lahan emas tersebut dengan jari atau ‘cotton bud’ untuk membersihkannya. Apabila emas tersebut dibersihkan, bilas sabun yang tersisa menggunakan air suam.

Bagi mengeringkan emas yang dicuci tadi, anda perlu menggunakan tuala jenis kapas yang bersih dan elakkan menggunakan tisu atau tuala yang berfabrik lain kerana dikhuatiri mencalarkan emas tersebut. 

Letakkan emas tersebut pada tuala jenis kapas selama semalaman untuk proses pengeringan dan mengelakkan terdapat lembapan yang mampu merosakkan kilauan emas tersebut. 

Bagi menghasilkan kilauan yang cantik, gilap emas menggunakan kain penggilap barang kemas. Biasanya kain ini dijual di kedai perhiasan emas.  Perlu juga dititik beratkan semasa menggilap emas adalah dengan menggosoknya dalam garis yang lurus bagi memastikan tiada corak yang muncul pada permukaan emas tersebut.

Akhir kata, sekiranya emas anda bertukar warna, pastikan anda jangan panik dan bawa bertenang. Sila cuci emas tersebut mengikut cara di atas atau membawanya ke kedai emas untuk dicuci oleh mereka yang lebih profesional. 

Semoga dengan perkongsian ini, ia dapat memberi manfaat kepada anda mengenai apa yang perlu buat sekiranya emas bertukar warna.

Baca juga:

Previous ArticleNext Article

Harga Emas Tinggi Jejas Permintaan Terhadap Barang Kemas – Tomei

KUALA LUMPUR: Harga emas mencapai kemuncak awal tahun ini sebelum pembetulan dan kini dijangka kekal dalam lingkungan harga yang sama sehingga terdapat kepastian dalam pasaran.

Pengarah Urusan Tomei Consolidated Bhd, Datuk Ng Yih Pyng, berkata walaupun Tomei kekal positif terhadap emas dalam jangka masa panjang, harga yang tinggi menjejaskan permintaan barang kemas kerana pengguna menjadi lebih sensitif terhadap harga, manakala permintaan untuk produk pelaburan emas seperti wafer, syiling dan bar kilo telah meningkat.

“Dari segi margin, Tomei membuat jualan berasaskan nilai pasaran semasa dan tidak mengamalkan lindung nilai untuk inventorinya, selain syarikat membeli semula kuantiti emas yang setara setiap hari selepas jualan dibuat,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan ke-21 syarikat itu

Sementara itu, beliau berkata platform emas digital Tomei, GoldNow yang dilancarkan secara tidak rasmi sebelum Tahun Baru Cina telah mencatatkan pengambilan yang menggalakkan walaupun sumbangannya kekal kecil iaitu kurang daripada satu peratus daripada jumlah perolehan kumpulan.

Dalam perkembangan lain, Tomei menjangkakan bakal mencatatkan peningkatan bersih daripada satu cawangan kepada dua cawangan menjelang akhir tahun ini, memandangkan peruncit barangan kemas itu mengambil strategi perluasan yang berwaspada namun selektif di tengah-tengah persekitaran pasaran yang tidak menentu.

Yih Pyng berkata, syarikat itu kini mengendalikan 63 cawangan dan sedang berbincang dengan beberapa pusat beli-belah untuk potensi pengembangan.

Bagaimanapun, beliau berkata Tomei mungkin menangguhkan beberapa pembukaan yang dirancang dan turut mengkaji semula prestasi cawangan sedia ada.

“Kami sedang berbincang dengan beberapa pusat beli-belah mengenai pengembangan tetapi mungkin perlu menangguhkan sebahagian daripada pengembangan berikutan situasi semasa di Asia Barat.

“Kami mungkin membuka beberapa outlet dan menutup beberapa cawangan yang tidak berprestasi, namun peningkatan bersih tidak akan lebih daripada satu atau dua,” katanya.

Beliau berkata, Tomei kekal berhati-hati mengenai prospek jangka pendek, memandangkan suku kedua dan ketiga dijangka lebih perlahan susulan musim perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya telah berakhir.

Menurutnya, sentimen pasaran juga telah menjadi lebih perlahan, tetapi syarikat akan terus memantau keadaan dengan teliti dan memperkenalkan rangkaian produk baharu untuk menyokong permintaan.

Sementara itu, Pengerusi Tomei, Raja Tan Sri Aman Raja Ahmad, berkata kumpulan itu kekal fokus untuk mengekalkan nisbah hutang yang sihat dan aliran tunai kukuh dan menilai peluang perniagaan baharu dengan lebih teliti.

“Menggunakan analogi bola sepak, ini adalah fasa bertahan bukannya fasa menyerang untuk menjaringkan gol. Kami perlu memastikan nisbah hutang berada dalam keadaan baik dan aliran tunai kekal kukuh,” katanya.

-BERNAMA