Hukum Lari Daripada Membayar Cukai

Soalan:

Apakah hukumnya lari daripada membayar cukai? Contohnya dengan menyembunyikan jumlah sebenar pendapatan yang diterima dalam borang cukai pendapatan. Jazakallahu khair.

Berdasarkan kepada AL-KAFI #1860: HUKUM LARI DARIPADA MEMBAYAR CUKAI yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Ringkasan Jawapan

Perbuatan lari daripada membayar cukai melalui pelbagai bentuk helah dan penipuan adalah dilarang kerana perbuatan menipu itu sendiri jelas satu bentuk dosa yang ditegah oleh agama. Selain daripada itu perbuatan tersebut boleh membawa kepada berkurangnya hasil dana negara, seterusnya menyukarkan kerajaan menyusun atur polisi ekonomi, merancang program-program pembangunan serta menghulurkan bantuan untuk kemaslahatan rakyat.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan Sekalian Alam. Selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, keluarga Baginda, para sahabat, tabi’in, tabi’ tabi’in dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga ke hari pembalasan.

Cukai dalam Islam

Perbahasan berkenaan cukai menurut sudut pandang Islam merupakan satu perdebatan panjang yang menjadi khilaf ulama sejak zaman berzaman. Namun secara ringkasnya, setelah meneliti hujah dan pandangan para ulama, di samping melihat kepada realiti semasa, kerajaan harus untuk mengenakan cukai terhadap rakyat yang diletakkan dalam satu sistem yang teratur, dengan syarat-syarat yang ditetapkan. Suasana ekonomi sesebuah negara perlu diambil kira termasuk di Malaysia di mana keadaan ekonomi masih lagi tidak mencukupi untuk hanya bergantung kepada beberapa sumber dan hasil mahsul, justeru keperluan mengenakan cukai adalah bersifat mendesak.

Perbuatan lari daripada membayar cukai (tax evasion) merupakan satu gejala kronik yang menimpa banyak negara, termasuklah Malaysia yang telah mengakibatkan kerugian yang besar. Pada tahun 2016, laporan The Malaysian Reserve mendedahkan, kira-kira RM1 bilion cukai tidak diisytiharkan oleh golongan profesional di negara ini.[1] Pada 2019 pula, Jabatan Kastam Diraja Malaysia mendedahkan bahawa Kerajaan kerugian kira-kira RM90 juta pada tahun tersebut berikutan 1,800 kenderaan import yang dibawa masuk ke negara ini ‘lari’ daripada membayar cukai.[2]

Berikut kami senaraikan ringkasan beberapa fatwa yang dikeluarkan oleh badan-badan fatwa sedunia berkenaan isu ini:

1. Dar al-Ifta’ al-Misriyyah[3]

Perbuatan menipu dan memberikan maklumat palsu berkenaan pendapatan yang diterima untuk mengelak daripada cukai adalah diharamkan, bahkan ia merupakan salah satu dosa besar disisi syarak. Hal ini kerana perbuatan tersebut merupakan satu bentuk penipuan yang jelas dilarang oleh syarak, serta ia akan menyebabkan negara tidak dapat menjalankan fungsinya dengan baik kerana cukai merupakan antara sumber pendapatan penting sesebuah negara dalam menguruskan urusan rakyatnya.

2. Majlis al-Ifta’ wa al-Buhuth wa al-Dirasat al-Islamiyyah (Jordan)[4]

Kestabilan ekonomi negara dan memelihara harta awam merupakan Maqasid Syariah yang dituntut dan tugas merealisasikannya ialah tanggungjawab kolektif yang perlu dipikul oleh setiap rakyat. Perbuatan lari daripada membayar cukai merupakan satu ancaman terhadap objektif ini. Justeru, setiap Muslim mestilah tetap melaksanakan tanggungjawab membayar cukai dan patuh terhadap undang-undang negara, serta tidak terpengaruh dengan sikap mereka yang sengaja melanggar aturan percukaian yang telah ditetapkan.

Kesimpulannya, membayar cukai yang ditetapkan oleh kerajaan merupakan satu kewajipan selaras dengan kaedah agama yang menyeru mentaati arahan pemerintah pada perkara yang ada maslahat padanya.

Perbuatan lari daripada membayar cukai melalui pelbagai bentuk helah dan penipuan adalah dilarang kerana perbuatan menipu itu sendiri jelas satu bentuk dosa yang ditegah oleh agama, selain daripada akibat daripada perbuatan tersebut yang boleh membawa kepada berkurangnya hasil dana negara, seterusnya menyukarkan kerajaan menyusun atur polisi ekonomi dan merancang program-program pembangunan serta bantuan untuk rakyat yang memerlukan.

[1] Rujuk pautan: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/08/15/kerajaan-rugi-rm1-bilion-kerana-doktor-elak-cukai/

[2] Rujuk pautan: https://www.sinarharian.com.my/article/59015/BERITA/Nasional/Kerajaan-rugi-RM90-juta-kenderaan-import-lari-cukai

[3] Rujuk pautan: www.dar-alifta.org/Home/ViewFatwa?ID=12092&title=الكذب%20للتهرب%20من%20الضرائب%20-%20فضيلة%20الدكتور%20نصر%20فريد%20واصل atau http://www.fatawa.com/view/13844/?search=&frompage=list

[4] Rujuk pautan: http://www.fatawa.com/view/1266/?search=&frompage=list

Baca juga artikel menarik ini:

Previous ArticleNext Article

Kantoi Beli Kereta dan Aset Tetapi Tidak Lapor Pendapatan Yang Betul

Merujuk kepada kenyataan media rasmi yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) bertarikh 20 Jun 2026, agensi tersebut mendedahkan bahawa seramai 52,540 pembayar cukai telah tampil mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi tahun-tahun taksiran ke belakang.

Melalui pelaporan semula ini, jumlah keseluruhan pendapatan yang diisytiharkan adalah sebanyak RM4.07 bilion, dengan jumlah cukai kena dibayar mencecah RM1.009 bilion.

Persoalannya: Bagaimana LHDN boleh “hidu” golongan yang culas ni? Dah tak boleh lari ke sekarang?

Jawapannya ada pada e-Invois dan model analitik data milik HASiL.

3 “Lubang” Yang Berjaya Dikesan Sistem Baharu LHDN

Berdasarkan kenyataan media rasmi HASiL, mereka kini menggunakan analisis data e-invois. Hasilnya, mereka berjaya mengesan tiga corak utama “anomali” atau transaksi mencurigakan pembayar cukai:

  • 1. Transaksi Aktif Tapi Rekod Cukai Kosong: Sistem mengesan individu yang transaksi kewangannya sangat aktif, tetapi apabila disemak dengan profil cukai sedia ada, datanya langsung tidak sepadan.
  • 2. Beli Aset Mewah Melebihi RM100,000: Sesiapa yang membuat pembelian bernilai tinggi seperti kenderaan dan aset melebihi RM100k, automatik “lampu merah” akan menyala di sistem HASiL jika pelaporan pendapatan mereka sebelum ini mencurigakan.
  • 3. Buat Duit Melalui Ekonomi Digital: Aktiviti transaksi dalam talian (online) yang rancak tanpa pengisytiharan cukai yang sewajarnya juga kini berada dalam radar pemantauan rapat.

Kuasa Pendekatan “Nudging” (Cuitan Mesra)

Menariknya, 52,540 pembayar cukai ini bukanlah diseret terus ke mahkamah. HASiL menggunakan pendekatan “nudging” iaitu memberi teguran berasaskan bukti data, memberikan mereka peluang terakhir untuk tampil menyerah diri dan membetulkan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi tahun sebelum ini secara sukarela sebelum tindakan tegas diambil.

Perkembangan Terkini e-Invois di Malaysia

Sejak pelaksanaan e-Invois bermula pada 1 Ogos 2024, sistem percukian negara telah mengalami anjakan digital yang sangat besar:

Statistik Utama Pelaksanaan e-InvoisAngka
Jumlah Pembayar Cukai Mengemukakan e-InvoisLebih 230,000 pembayar cukai
Jumlah Pengeluaran e-Invois Secara Keseluruhan1.505 bilion e-Invois

Malah bermula 1 Januari 2026, ketelusan sistem diperketatkan lagi di mana semua pembayar cukai wajib mengeluarkan e-Invois bagi setiap transaksi jualan barang atau perkhidmatan yang melebihi RM10,000. Pembeli pula perlu memberikan Nombor Pengenalan Cukai (TIN) atau nombor kad pengenalan (IC) kepada penjual untuk pengesahan tepat.

Nota Penting: Walaupun sistem semakin ketat, HASiL mendedahkan masih ada segelintir pembayar cukai yang gagal mematuhi keperluan pelaksanaan e-Invois dan pemantauan berterusan sedang giat dijalankan.

Kesimpulan

Zaman untuk “sorok” pendapatan atau buat-buat lupa bayar cukai nampaknya sudah semakin berakhir. Pengajaran daripada angka RM4.07 bilion ini mudah: Sistem cukai Malaysia kini semakin pintar. Sebelum “dicuit” mesra oleh LHDN, ada baiknya kita semak semula pelaporan cukai masing-masing.