Petua Untuk Dapat Bayaran Balik Cukai (Refund) Lebih Cepat

“Dah declare income dekat MyTax. Sekarang tunggu refund. Dah dua minggu lebih tak ada apa-apa lagi. Potong PCB lajuuuu. Bab refund jenuh tunggu.”

Bab duit ni jangan buat main. Lebih-lebih lagi zaman susah ni. Sekarang dah masuk musim bulan cukai, maka duit refund cukai pun mestilah nak dapat cepat juga.

Biasa yang terlibat adalah individu yang makan gaji dan setiap bulan membayar Potongan Cukai Berjadual (PCB).

Baca lagi Kerja Makan Gaji Perlu Tahu Potongan Cukai Berjadual (PCB) dan Apa Jadi Kalau Ada PCB Tapi Tak Hantar Borang Cukai Pendapatan?

Menurut laman web LHDNM,

Keadaan Wujud Bayaran Balik
Bayaran balik cukai wujud apabila:

  1. Pembayar cukai telah membuat bayaran lebih daripada cukai yang sepatutnya,
  2. Pembayar cukai mempunyai lebihan cukai akibat taksiran cukai yang telah dikurangkan, atau
  3. Cukai yang dipotong daripada dividen melebihi tanggungan cukai pendapatannya dalam tahun berkenaan.

Bayaran balik lebihan kredit akan dibuat secara automatik kepada pembayar cukai dalam tempoh 30 hari bekerja dari tarikh Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) dihantar.

Ada juga yang bertanya, macam mana nak claim daripada pembayaran zakat?

Katakanlah anda dikenakan cukai pendapatan sebanyak RM1,000 dan telah membuat pembayaran zakat sebanyak RM1,000 juga. Tetapi dalam masa yang sama, majikan anda ada membuat PCB dan jumlahnya adalah sebanyak RM500. Jadi, selepas anda mengisi borang cukai, pihak LHDN akan kreditkan atau refund RM500 tersebut ke dalam akaun bank. Jadi sebenarnya refund adalah atas PCB yang kita dah bayar sebelum ini.

Dalam piagam pelanggan LHDN juga ada menjelaskan bahawa LHDN akan membuat pembayaran balik cukai pendapatan bagi Borang Nyata Cukai Pendapatan yang lengkap dan betul dari tarikh penerimaan borang secara e-filing – 30 hari bekerja dari tarikh penerimaan borang.

Maknanya itu paling lambat.

Biasanya jika tiada masalah, memang akan dapat lebih cepat. Mungkin suatu hari nanti bila sistem LHDN semakin mantap, boleh dapat refund on the spot.

Contoh lebihan bayaran cukai tahun taksiran 2020

Semasa isi e-filing, kita akan terus dapat tahu berapa jumlah lebihan cukai (refund) yang bakal diterima.

Untuk elakkan dapat duit refund ini lambat, pastikan ikut 3 petua ini:

  1. Semasa isi e-filing, pastikan semua maklumat dikemaskini. Antara maklumat penting yang diperlukan untuk mempercepatkan proses bayaran balik cukai terlebih bayar ialah nombor akaun bank, alamat surat-menyurat, nombor telefon, alamat e-mel dan nombor pendaftaran syarikat (bagi pembayar cukai kategori syarikat).
  2. Jangan tipu atau silap masuk amaun dekat bahagian pelepasan cukai, nanti LHDN hantar surat audit. Contohnya pelepasan SSPN claim amaun bersih sahaja, bukan berapa banyak duit dimasukkan dalam akaun SSPN anak kita. (Jumlah simpanan dalam tahun 2020 tolak jumlah pengeluaran dalam tahun 2020).
  3. Laporkan semua jenis pendapatan yang kita terima. Contohnya jika ada terima pendapatan sewa atau komisen MLM jangan pura-pura tak isi semasa hantar e-filing. Biasanya LHDN ada maklumat ini, dan silap haribulan tak dapat refund tetapi dapat surat audit dan kena bayar penalti.

Ingat, musim bulan cukai ini juga scammer berleluasa. Sekiranya ada menerima sebarang panggilan telefon, SMS, e-mel atau surat yang kata mereka dari LHDN dan meminta nombor akaun bank jangan dilayan.

Walau bagaimanapun jika selepas 30 hari bekerja anda tidak menerima bayaran balik, boleh isikan Borang Maklum Balas Pelanggan http://maklumbalas.hasil.gov.my/ atau melalui panggilan telefon ke Hasil Care Line melalui talian 03-89111000.

Sekejap, dah hantar belum e-filing?

Terkini, pihak LHDN baru melancarkan aplikasi MyTax dengan pelbagai ciri-ciri menarik bagi memudahkan orang ramai untuk membuat e-filing.

Boleh layari https://mytax.hasil.gov.my/

Baca juga artikel-artikel lain berkaitan cukai:

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!

Previous ArticleNext Article

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.