Perodua Lancar Axia 2023, Sasar Jual 5,700 Unit Sebulan

PUTRAJAYA, 14 Feb (Bernama) — Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) melancarkan secara rasmi Perodua Axia 2023 serba baharu hari ini dengan sasaran jualan sebanyak 5,700 unit setiap bulan.

Model yang dikuasakan oleh enjin tiga silinder 1.0 liter dengan padanan dwi-mod transmisi boleh laras berterusan (D-CVT), turut ditawarkan dalam empat varian iaitu G, X, SE dan AV.

Kesemua varian tersebut didatangkan dengan kawalan kestabilan kenderaan (VSC) dan kawalan cengkaman, sistem brek anti-kunci (ABS) dengan ciri keselamatan agihan brek elektronik (EBD) serta bantuan mula mendaki.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata fokus Perodua bagi model baharu itu adalah memaksimumkan penghantaran kepada pelanggannya dan menukar tempahan Axia generasi terdahulu kepada Axia serba baharu.

Dalam kenyataan selepas majlis pelancaran rasmi itu, beliau berkata daripada 44,000 tempahan sedia ada, Perodua dapat meyakinkan seramai 13,600 pelanggan untuk beralih kepada model terbaharu selain menerima lebih 6,500 tempahan sejak 31 Januari lepas.

“Ciri-ciri tambahan (berbanding dengan varian model Axia sebelum ini) adalah jauh berbeza. Varian baharu ini memperkemas semua aspek keselesaan, ruang, keselamatan dan estetik,” katanya sambil menambah seramai 2,900 pelanggan bakal menerima Axia berkenaan tidak lama lagi.

Bagi varian SE dan AV, Axia 2023 didatangkan dengan ciri seperti mod kuasa, lampu siang LED sepanjang hari, solar dan filem keselamatan serta kerusi jenis ‘semi bucket’ dengan sandaran kepala boleh ditanggalkan.

Varian AV pula menawarkan ciri eksklusif seperti paparan pelbagai maklumat TFT, paparan audio sembilan inci, tempat duduk separa kulit dan enam beg udara.

Pada sidang previu media bagi kereta yang diberi kod nama D74A di Sepang minggu lepas, Zainal Abidin berkata model terkini itu merupakan evolusi lengkap daripada sebelumnya dari segi kecekapan bahan api dan boleh bergerak sehingga 27.4 kilometer seliter berdasarkan mod kitaran pemanduan baharu.

Julat harga bagi model tersebut di Semenanjung Malaysia tanpa insurans adalah antara RM38,600 hingga RM49,500 seunit.

Bagi 2023, Perodua menyasarkan untuk mencatat jualan 314,000 unit kenderaan dan mengeluarkan sebanyak 330,000 unit.

Pengeluar kereta itu turut menetapkan sasaran meraih 45 peratus bahagian pasaran bagi tahun ini.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/perodua-lancar-axia-2023-sasar-jual-5700-unit-sebulan/

Previous ArticleNext Article

TP-Link Dan UiTM Bekerjasama Tangani Jurang Bakat Rangkaian Enterprise

SHAH ALAM – TP-Link Distribution Malaysia Sdn. Bhd. (“TP-Link Malaysia”) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bagi melengkapkan pelajar dengan kemahiran rangkaian yang relevan dengan industri, pengalaman praktikal enterprise serta pensijilan bertaraf global.

Kerjasama selama tiga tahun ini direka untuk merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dan keperluan sebenar industri, membolehkan pelajar UiTM menamatkan pengajian dengan keupayaan praktikal yang selari dengan keperluan semasa enterprise, sekali gus mengukuhkan kolaborasi antara industri dan institusi pendidikan.

Di teras kerjasama ini ialah pelaksanaan penyelesaian rangkaian enterprise Omada oleh TP-Link di makmal UiTM, yang memberikan pendedahan langsung kepada pelajar terhadap infrastruktur yang sama digunakan dalam persekitaran perniagaan. Inisiatif ini turut disokong dengan program latihan berstruktur, bengkel teknikal serta akses kepada laluan pensijilan Omada Certified Network Administrator (OCNA).

Pelajar juga akan mendapat manfaat daripada peluang latihan industri dan praktikal bersama TP-Link, sekali gus membuka laluan yang lebih jelas daripada universiti ke alam pekerjaan dalam ekonomi digital Malaysia yang semakin berkembang.

Inisiatif ini membina kerjasama terdahulu TP-Link Malaysia dengan Universiti Malaya, di mana lebih 500 pelajar telah menyertai program pensijilan pada tahun 2025, menunjukkan permintaan tinggi terhadap kemahiran rangkaian dan pensijilan yang selari dengan kehendak industri.

Hugo Cai, Pengarah Serantau TP-Link Distribution Malaysia Sdn. Bhd. berkata, “Dalam pelbagai industri, organisasi sedang memperluaskan infrastruktur digital mereka, namun ketersediaan profesional dengan kepakaran rangkaian enterprise tidak berkembang seiring. Kerjasama ini bertujuan merapatkan jurang tersebut dengan melengkapkan pelajar dengan kemahiran praktikal yang disokong pensijilan dan relevan dengan keperluan industri sejak hari pertama.”

“Memastikan graduan kami dilengkapi dengan pengetahuan akademik serta kemahiran praktikal yang relevan dengan industri adalah sangat penting dalam landskap digital yang berkembang pesat hari ini. Kerjasama seperti ini membolehkan kami menyelaraskan program dengan lebih dekat kepada kemajuan teknologi dan jangkaan industri,” tambah Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA.

Selain pembangunan bakat, kedua-dua organisasi juga akan meneroka inisiatif bersama dalam penyelidikan, perundingan dan perkongsian ilmu, sekali gus mengukuhkan kerjasama antara jurutera TP-Link dan tenaga pengajar UiTM.

Seiring Malaysia terus memperkukuh aspirasi ekonomi digital, inisiatif yang menghubungkan pendidikan dengan keperluan industri secara langsung akan memainkan peranan penting dalam memastikan negara kekal kompetitif dalam membangunkan serta mengekalkan infrastruktur digital moden.

Untuk maklumat lanjut mengenai penyelesaian rangkaian enterprise Omada oleh TP-Link, sila layari:
https://www.omadanetworks.com/us/business-networking/consult/