Ninja Van Malaysia Memperkukuh Automasi Hab Sempena Ulang Tahun Ke-8

Inovasi terbaru ini disasarkan untuk memproses sehingga 650,000 bungkusan sehari 

KUALA LUMPUR, MALAYSIA, 22 FEBRUARI 2023  Ninja Van Malaysia, sebuah syarikat logistik berdaya teknologi, sedang mempercepatkan automasi dan menaiktaraf beberapa operasi lain sempena kempen ulang tahunnya yang ke-8, Ninja Van Malaysia Turns 8: Celebr8ing Innov8ion, selaras dengan komitmennya untuk menyediakan proses penghantaran barangan yang serba mudah untuk para pengirim dan pembeli di Malaysia.

Sejak tahun 2015, Ninja Van Malaysia merupakan salah satu pembekal logistik yang paling dipercayai di Malaysia, merekodkan perkhidmatan penghantaran barangan kepada lebih 15 juta penerima bungkusan dalam tempoh 12 bulan yang lalu. Syarikat tersebut juga menyediakan liputan 100% di seluruh negara dan hampir 5,700 lokasi Pick Up & Drop Off (PUDO) untuk menjamin pengalaman penghantaran yang lebih cepat dan lancar kepada pengirim dan pembeli. Pada Januari 2022, Ninja Van Malaysia juga mengumumkan pelancaran habnya seluas 260,000 kaki persegi di Shah Alam – hab terbesar mereka setakat ini.

Dengan sistem automasi bersepadu yang terbaru, proses penyusunan bungkusan kini ditambahbaik dengan fungsi penimbang berat, pengesan saiz dan ianya disasarkan mampu mengimbas sehingga 30,000 bungkusan sejam. Sistem ini juga menyediakan data bungkusan masa nyata yang tepat, meningkatkan kecekapan penyusunan dan penjejakan bungkusan. Hasilnya, keupayaan pemprosesan bungkusan harian dijangka akan meningkat hampir 35%.

“Sejak beberapa tahun yang lepas, kami melihat bahawa e-dagang merupakan trend makro yang akan kekal. Oleh itu, kami akan terus memberi tumpuan ke arah memacu kecekapan operasi yang lebih besar dan membina infrastruktur untuk menyediakan perkhidmatan terbaik dalam sektor logistik buat pelanggan kami. Dengan mengautomasikan cara bungkusan-bungkusan diproses, kami dapat menyediakan perkhidmatan yang lebih pantas dan selamat untuk para pengirim dan pembeli yang maju bersama kami sejak lapan tahun lalu. Kami percaya bahawa penambahbaikan ini juga selari dengan dedikasi negara dalam mengklasifikasikan logistik sebagai industri yang signifikan,” kata Adzim Halim, Ketua Pegawai Eksekutif di Ninja Van Malaysia.

Beliau menambah, “Inovasi berpacukan teknologi seperti automasi adalah penting untuk kemajuan industri logistik tempatan serta keseluruhan ekonomi digital, yang telah dikenal pasti sebagai salah satu tonggak ekonomi utama Malaysia. Sejak awal 2014, kami telah merentasi evolusi e-dagang di Asia Tenggara dan pengalaman ini  membolehkan kami memainkan peranan penting dalam memartabatkan industri logistik. Kami komited untuk membentuk ekosistem yang menyediakan perkhidmatan dan servis yang berkualiti untuk memenuhi keperluan semua pengguna kami.”

Saban tahun, Ninja Van Malaysia telah memperkenalkan pelbagai produk dan perkhidmatan untuk membantu pengguna memperkembangkan perniagaan mereka. Salah satu produk terbaru adalah Ninja Biz, aplikasi yang direka khusus untuk membolehkan pengirim mengakses akaun dan penghantaran mereka pada bila-bila masa. Menjelang ulang tahunnya yang ke-8, Ninja Van Malaysia juga telah mengeluarkan kajian kertas putih pertamanya mengenai Jualan Penstriman Langsung di Asia Tenggara. Kertas putih itu memperkenalkan Jualan Penstriman Langsung sebagai salah satu trend e-dagang di Asia Tenggara yang akan datang, dan ianya turut memperincikan pandangan tentang Jualan Penstriman Langsung yang dikumpul daripada lebih 1,000 penjual e-dagang Ninja Van di seluruh Malaysia, Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam.

Selain itu, Ninja Van Malaysia turut memperkenalkan Logistics+, satu rangkaian penyelesaian pengurusan rantaian bekalan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Asia Tenggara. Ia membantu PKS menavigasi rangkaian pembekal perkhidmatan dan penyedia perkhidmatan kewangan yang kompleks dan sentiasa berubah. Kira-kira 30,000 PKS di Asia Tenggara kini mendapat manfaat daripada Logistics+

Previous ArticleNext Article

Organisasi Malaysia Terlepas Pandang Risiko AI Demi Mengejar Permintaan

KUALA LUMPUR, 23 April 2026 – Peneraju global keselamatan AI, TrendAI telah menerbitkan kajian baharu yang mendedahkan bahawa organisasi di seluruh dunia terus mempercepatkan pelaksanaan AI walaupun menyedari risiko keselamatan dan pematuhan yang terlibat.

Di Malaysia, kajian mendapati 75% pembuat keputusan IT dan 70% pemimpin perniagaan berasa tertekan untuk meluluskan penggunaan AI walaupun terdapat kebimbangan keselamatan, dengan satu daripada tujuh responden menyifatkan kebimbangan tersebut sebagai “sangat serius” tetapi tetap diketepikan demi mengejar pesaing dan memenuhi permintaan dalaman.

Penggunaan AI Mengatasi Kawalan

Dari segi kematangan tadbir urus, hanya 29% pembuat keputusan perniagaan di Malaysia berasa sangat atau amat yakin dalam memahami rangka kerja undang-undang berkaitan AI, berbanding 63% dalam kalangan pembuat keputusan IT.

Kira-kira separuh (52%) pembuat keputusan IT telah mempunyai dasar AI yang komprehensif, manakala 39% masih dalam proses merangka. Hampir separuh (51%) pemimpin IT menyatakan kekurangan kepakaran keselamatan atau data sebagai halangan utama kepada penggunaan AI yang selamat, diikuti kekurangan peraturan dan piawaian pematuhan (49%).

Pengarah Urusan Malaysia, TrendAI, Goh Chee Hoh berkata, “Organisasi di Malaysia melaksanakan AI lebih pantas daripada keupayaan mereka mengurus risiko berkaitan, sekali gus mewujudkan jurang yang semakin melebar antara aspirasi dan pengawasan. Jurang ini turut dipengaruhi oleh perbezaan tahap kematangan tadbir urus dalam kalangan pemimpin perniagaan. Untuk merapatkan jurang ini, kepimpinan perlu bergerak melangkaui pendekatan keselamatan reaktif. Ia bermula dengan keterlihatan menyeluruh mengetahui dengan tepat bagaimana AI berinteraksi dengan data serta mewujudkan kerangka berpusat yang menggabungkan akauntabiliti dan pengawasan risiko dalam seni bina sistem.”

Beliau turut menyatakan bahawa piawaian MY-AI adalah langkah positif dalam menangani risiko seperti deepfake dan bias algoritma. Namun, ketika Malaysia mempercepatkan usaha menjadi negara AI menjelang 2030, organisasi perlu memberi tumpuan kepada tadbir urus yang kukuh dan daya tahan defensif bagi memastikan penggunaan AI yang pesat dapat diterjemahkan kepada masa depan digital yang mampan.

Ketua Platform & Perniagaan TrendAI, Rachel Jin berkata, “Organisasi bukan tidak sedar akan risiko, tetapi kekurangan keupayaan untuk menguruskannya. Apabila pelaksanaan didorong tekanan persaingan dan bukannya kematangan tadbir urus, AI akan dimasukkan ke dalam sistem kritikal tanpa kawalan yang mencukupi. Kajian ini mengukuhkan fokus kami untuk membantu organisasi mencapai hasil perniagaan kukuh dengan AI sambil mengurus risiko dengan baik.”

Risiko Pelaksanaan AI Dipacu Tekanan Semakin Meningkat

Risiko ini diperburuk oleh ketidakkonsistenan tadbir urus dan ketidakjelasan tanggungjawab terhadap risiko AI, yang kini semakin meluas. Dalam banyak kes, pasukan keselamatan terpaksa bertindak secara reaktif terhadap keputusan pelaksanaan AI dari pihak atasan, yang sering membawa kepada penggunaan alat AI tidak rasmi atau “shadow AI”.

Kajian ancaman terkini TrendAI menunjukkan penjenayah siber sudah mula menggunakan AI untuk mengautomasikan proses pengintipan, mempercepat kempen phishing dan menurunkan halangan kemasukan kepada jenayah siber, sekali gus meningkatkan kelajuan dan skala serangan.

Keyakinan terhadap AI Autonomi Masih Rendah

Keyakinan terhadap sistem AI yang lebih maju dan autonomi masih berada pada tahap perkembangan. Kurang daripada separuh (44%) pembuat keputusan perniagaan di Malaysia percaya AI berasaskan agen (agentic AI) mampu meningkatkan pertahanan siber secara signifikan dalam jangka masa terdekat, dengan kebimbangan berterusan terhadap akses data, penyalahgunaan dan kekurangan pengawasan.

Data menunjukkan kebimbangan utama organisasi adalah:

  • 57% melihat akses AI kepada data sensitif sebagai risiko terbesar
  • 45% bimbang arahan berniat jahat boleh menjejaskan keselamatan
  • 37% risau penyalahgunaan status AI yang dipercayai dan risiko pelaksanaan kod autonomi

Selain itu, 36% mengakui mereka kekurangan keupayaan pemantauan dan audit terhadap sistem ini, menimbulkan persoalan serius tentang kawalan selepas AI digunakan.

Hampir separuh (48%) organisasi menyokong mekanisme “kill switch” AI untuk menutup sistem sekiranya berlaku kegagalan atau penyalahgunaan, manakala lebih separuh masih belum pasti. Ini menunjukkan organisasi sedang bergerak ke arah AI autonomi tanpa kesepakatan jelas tentang cara mengekalkan kawalan apabila diperlukan.

Rachel Jin menambah, “AI berasaskan agen membawa organisasi ke dalam kategori risiko baharu. Kajian kami menunjukkan kebimbangan sudah jelas daripada pendedahan data sensitif hingga kehilangan pengawasan. Tanpa keterlihatan dan kawalan, organisasi sebenarnya melaksanakan sistem yang mereka sendiri belum faham sepenuhnya dan risiko ini hanya akan meningkat jika tiada tindakan diambil.”

Untuk laporan global penuh: Securing the AI-Powered Enterprise – Governance Gaps, Visibility Challenges and Rising Risk

*TrendAI melantik SAPIO Research untuk meninjau 3,700 pembuat keputusan IT dan perniagaan di 23 negara seluruh dunia.