Basikal Buluh Buatan Sarawak Akan Masuk Pasaran China Tahun Ini

KOTA SAMARAHAN, 20 Mac (Bernama) — Basikal buluh buatan Sarawak dijangka mula memasuki pasaran China tahun ini, kata Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka), Datuk Hashim Bojet.

Beliau berkata Pusaka akan membuat Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MOA ) dengan syarikat China, Brook & Breeze manakala anak syarikat Pusaka akan diberi tanggungjawab mengeluarkan basikal buluh secara komersial bagi pasaran eksport ke Shanghai, China.

“Pada masa ini syarikat Brook & Breeze sudah mengeluarkan basikal buluh di pasaran China sejak 10 tahun lepas namun mereka tidak cukup tangan untuk memenuhi permintaan,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian selepas majlis penutupan dan penyampaian sijil Kursus Intensif Basikal Buluh di Kompleks Industri Perabot Pusaka.

Basikal buluh akan dibuat menggunakan buluh tempatan dikenali sebagai ‘Bambusa Nana’ yang kukuh dan buluh yang ditanam secara ladang di Sarawak, katanya.

Hashim berkata Brook & Breeze akan menentukan bilangan basikal buluh yang perlu dihasilkan untuk dieksport ke sana dengan harga dianggarkan US$3,000 seunit berbanding US$4,000 seunit yang dipasarkan syarikat itu pada masa ini.

Beliau berkata buat masa ini kompleks itu menjadi premis untuk pembuatan basikal berkenaan dan mampu mengeluarkan 50 unit sebulan.

Susulan perancangan untuk mengeksport ke negara tembok besar itu, kapasiti pengeluaran basikal buluh akan dipertingkatkan lagi, katanya.

“Ini (pencapaian mengeluarkan basikal buluh untuk eksport) juga seiring dengan sambutan 50 tahun Pusaka (tahun ini),” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Hyundai Motor Malaysia Pratonton ‘Wehicle’ Keluarga Baharu Hyundai STARGAZER di KLIMS 2026, Kini Dibuka Untuk Tempahan

KUALA LUMPUR, 15 Jun 2026 – Hyundai Motor Malaysia (HMY) menyuntik keterujaan baharu ke dalam Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2026 yang sedang berlangsung menerusi pratonton eksklusif pertengahan acara bagi Hyundai STARGAZER yang dinanti-nantikan. Sebagai pratonton awam untuk tempoh terhad, pameran khas ini memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat sendiri perkembangan rangkaian mobiliti Hyundai serta hala tuju produk masa depan yang progresif untuk pasaran Malaysia.

Sebagai sebahagian daripada naratif pertumbuhan HMY selepas penubuhannya sebagai subsidiari langsung, pengenalan Hyundai STARGAZER baharu mengukuhkan komitmen jenama tersebut dalam menawarkan kenderaan yang versatil, inovatif dan berorientasikan gaya hidup yang memenuhi keperluan pengguna tempatan.

Pratonton di KLIMS 2026 ini menyerlahkan keupayaan Hyundai untuk mempelbagaikan portfolio tempatan dengan pantas, daripada kenderaan elektrik berprestasi tinggi kepada kenderaan keluarga serba guna, sekali gus memastikan terdapat sebuah kenderaan Hyundai premium dan inovatif yang sesuai untuk setiap fasa kehidupan rakyat Malaysia.

“Hyundai STARGAZER baharu ialah apa yang kami panggil sebagai sebuah ‘Wehicle’,” kata Puan Jahabarnisa Haja Mohideen, Pengarah Urusan Hyundai Motor Malaysia. “Ia bukan sekadar sebuah kereta, tetapi tentang orang yang berada di dalam dan di sekelilingnya. Kami percaya bahawa ‘WE’ dalam ‘WEhicle’ adalah bahagian yang paling penting. Oleh sebab ‘WE’ itu penting, Hyundai mereka bentuk kenderaan ini sebagai teman perjalanan yang pintar dan melindungi keluarga moden di Malaysia. Hyundai STARGAZER baharu menawarkan kelebihan dari segi keselamatan, teknologi dan kemudahan untuk setiap ahli keluarga.”

Rangkaian Produk Yang Semakin Berkembang

STARGAZER baharu yang bakal dilancarkan dijangka memperkukuh lagi landskap mobiliti keluarga di Malaysia. Direka dengan penekanan terhadap penggunaan ruang yang selesa, reka bentuk futuristik, kepraktisan harian dan teknologi pintar, ia dibangunkan sebagai teman gaya hidup ideal untuk perjalanan jauh, perjalanan harian dan aktiviti keluarga.

Dibina Untuk Keluarga Malaysia

Hyundai STARGAZER baharu tampil berbeza daripada reka bentuk konvensional dengan siluet aerodinamik yang moden serta lampu LED penuh berbentuk “H” di bahagian belakang yang menjadi identiti Hyundai.

Bagi memenuhi citarasa keluarga muda yang mahukan penampilan lebih berani, HMY turut memperkenalkan varian STARGAZER X di KLIMS. Varian berinspirasikan SUV ini dilengkapi bampar sporty, spoiler belakang sporty, overfender dan elemen penjenamaan berwarna hitam.

Di bahagian dalaman, kabin tiga baris tempat duduk direka sebagai ruang yang luas dan selesa untuk kehidupan keluarga moden, bukan sekadar kenderaan penumpang biasa. Ia menawarkan kemudahan premium menerusi teknologi yang mudah diakses dan mesra gaya hidup, termasuk paparan digital sehingga 10.25 inci, pengecas peranti tanpa wayar serta meja lipat terbina pada belakang tempat duduk untuk keselesaan penumpang.

Dikuasakan oleh enjin Smartstream 1.5 liter bersama transmisi Intelligent Variable Transmission (IVT) yang lancar, kenderaan ini mengutamakan keselamatan keluarga melalui pakej bantuan pemanduan Hyundai SmartSense ADAS, yang menawarkan ciri-ciri seperti Smart Cruise Control dengan fungsi Stop & Go.

Hyundai STARGAZER baharu juga akan hadir dengan jaminan yang mengubah landskap segmennya iaitu jaminan 8 tahun atau 160,000 kilometer.

Pratonton Eksklusif di MITEC

Pratonton Hyundai STARGAZER baharu merupakan antara tarikan utama KLIMS 2026 yang berlangsung dari 11 hingga 21 Jun 2026 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC).

Hyundai STARGAZER baharu kini dibuka untuk tempahan dengan tiga pilihan varian dan anggaran harga seperti berikut:

  • Style 7 tempat duduk: RM99,XXX
  • Prime 7 tempat duduk: RM109,XXX
  • X 6 tempat duduk: RM121,XXX

Pengunjung juga boleh memandu uji “WEhicle” terbaharu Hyundai ini bermula 16 Jun 2026 serta membuat tempahan terus di acara tersebut.

Pameran khas ini memberikan satu lagi sebab menarik untuk pembeli kereta dan keluarga mengunjungi pameran tersebut serta melihat sendiri Hyundai STARGAZER baharu dari dekat sebelum ia membuat kemunculan rasmi di bilik pameran dalam masa terdekat.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.hyundai.com/my/en