Inflasi Keseluruhan Malaysia Dijangka Pada 2.5 Peratus Tahun Ini – Bank Dunia

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) — Inflasi keseluruhan Malaysia dijangka menyederhana kepada sekitar 2.5 peratus pada 2024, mencerminkan keadaan kos dan permintaan yang stabil, kata Bank Dunia,

Bagaimanapun, ia tertakluk kepada perubahan dalam subsidi kerajaan dan langkah kawalan harga yang berpotensi akan berlaku, katanya dalam Kemas Kini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik April 2024.

“Inflasi teras juga mungkin akan menurun pada 2024 dan kemiskinan dijangka terus berkurangan,” katanya.

Bank Dunia menekankan bahawa pada Januari 2024, inflasi Malaysia berada pada 1.5 peratus manakala inflasi teras juga menyederhana kepada 1.8 peratus.

“Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus pada Mac dan dasar monetari dianggap menyokong ekonomi.

“Bank pusat juga menjangkakan inflasi kekal sederhana apabila keadaan kos dan permintaan stabil. Bagaimanapun, walaupun inflasi yang sederhana, isi rumah berpendapatan rendah telah mengalami inflasi yang lebih tinggi,” katanya.

Pada Disember 2023, inflasi bagi isi rumah berpendapatan bawah RM3,000 sebulan adalah 1.7 peratus, lebih tinggi daripada inflasi keseluruhan sebanyak 1.5 peratus.

Ia menjejaskan kumpulan pendapatan berkenaan secara tidak seimbang kerana perbelanjaan mereka lebih tinggi untuk keperluan.

Pada masa yang sama, Bank Dunia menyatakan bahawa sasaran sifar kemiskinan tegar kerajaan telah dicapai di beberapa negeri.

Namun begitu, ia menekankan bahawa pandangan lebih luas dan sasaran pembasmian kemiskinan yang lebih bercita-cita tinggi melebihi 0.2 peratus kemiskinan tegar negara semasa turut diperlukan.

Anggaran rasmi terkini menunjukkan bahawa kemiskinan mutlak pada 2022 kekal lebih tinggi daripada tahap prapandemik.

Bank Dunia berkata ketidaksamaan pendapatan seperti yang diukur oleh indeks Gini berdasarkan pendapatan bersih per kapita isi rumah berada pada 40.7 pada tahun 2021 dengan aliran berbeza diperhatikan di seluruh negeri kerana beberapa melihat jurang pendapatan yang semakin melebar.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Jamin Biodiesel B20 Selamat Digunakan

PELABUHAN KLANG: Kerajaan memberi jaminan bahawa tiada isu berkaitan kesesuaian penggunaan biodiesel, khususnya B20, berikutan spesifikasi enjin kenderaan di negara ini telah menyokong bahan api tersebut sejak 2020.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata dengan piawaian yang ditetapkan, penggunaan biodiesel tidak sepatutnya menyebabkan kerosakan kepada kenderaan.

“Sebenarnya ada beberapa kawasan dalam negara telah menggunakan B20 iaitu sebagai contoh di Pulau Langkawi, Kedah; Labuan dan Sarawak kecuali di kawasan Bintulu. Ini bermaksud dalam tempoh yang sedang berlaku ini aduan ataupun kebimbangan itu sebenarnya belum sampai ke tahap ada kes yang kita boleh jadikan satu rujukan.

“Kerajaan telah mandatkan pada 2020 mengenai penggunaan enjin atau kenderaan pada tahap B20 bermaksud tempoh itu telah diberikan secukupnya kepada pihak industri termasuk kenderaan untuk membuat persiapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat kilang oleokimia KL-Kepong Oleomas Sdn Bhd bersama Menteri Perladangan dan Komoditi, Noraini Ahmad, di sini hari ini.

Sebelum ini, Akmal Nasrullah mengumumkan kerajaan bersetuju meningkatkan kadar adunan biodiesel daripada B10 kepada B15 bermula dengan B12 tanpa melibatkan sebarang kos tambahan susulan krisis di Asia Barat.

Beliau berkata langkah itu bertujuan memastikan ketersediaan bekalan diesel negara bagi tempoh lebih panjang, selain mengurangkan kebergantungan terhadap import bahan api fosil dan pasaran luar.

Pada masa sama, beliau menegaskan penstrukturan semula ekonomi melalui peralihan kepada tenaga boleh baharu perlu dipercepatkan.

Sementara itu, Noraini berkata menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), sebanyak RM42 juta diperuntukkan bagi menaik taraf empat depoh pengadunan minyak sawit.

Langkah itu, katanya, akan memperkukuh usaha kerajaan dalam memastikan kemampanan sumber tenaga negara.

— Berita Harian