Macam Mana Nak Elak Rugi Dalam Pelaburan Emas?

Emas sering dianggap sebagai aset paling selamat. Hakikatnya, ramai tetap rugi dalam emas bukan sebab emas itu bermasalah, tetapi sebab cara orang melabur emas yang salah.

Dari sudut fakta sejarah, harga emas tidak sentiasa berada dalam trend menaik. Sebagai contoh, selepas memuncak sekitar tahun 1980, harga emas dunia memasuki fasa mendatar (sideways) yang panjang hampir dua dekad, sebelum kembali menunjukkan kenaikan ketara pada awal tahun 2000-an. Begitu juga dalam tempoh 2011 hingga sekitar 2018, harga emas bergerak dalam julat yang agak terhad, tanpa kenaikan signifikan walaupun berdepan pelbagai isu ekonomi global. Fakta ini membuktikan bahawa emas boleh melalui tempoh di mana pulangannya sangat terhad dan pelabur yang masuk tanpa perspektif jangka panjang mudah rasa tertekan serta terlepas peluang lain.

Hakikatnya, harga emas bergerak ikut permintaan. Bila ramai orang beli, harga naik. Bila minat berkurang, harga boleh jadi perlahan atau sideway. Baca lagi Siapa Sebenarnya ‘Dalang’ Yang Tentukan Harga Emas Dunia?

Di bawah ini ialah perkara asas yang wajib difahami kalau tak nak menyesal di kemudian hari.

1. Faham Fungsi Sebenar Emas

Emas bukan aset untuk menjana pendapatan. Ia tidak beri dividen, tidak hasilkan cashflow dan tidak berkembang sendiri.

Peranan utama emas:

  • Lindung nilai kekayaan (wealth protection)
  • Pelindung inflasi
  • Simpan nilai jangka panjang

Kalau masuk emas dengan niat nak cepat kaya, risiko utnuk kecewa adalah sangat tinggi.

2. Jangan Beli Emas Ikut Emosi Pasaran

Harga emas lazimnya akan meningkat apabila keadaan ekonomi global berada dalam fasa tidak menentu, kadar inflasi semakin tinggi, nilai mata wang mula melemah dan pelabur berada dalam keadaan panik atau takut kehilangan nilai kekayaan mereka. Dalam situasi begini, emas sering dilihat sebagai “tempat berlindung”, menyebabkan permintaan meningkat secara mendadak dan harga melonjak dalam tempoh singkat.

Kesilapan yang kerap berlaku ialah pelabur membeli emas ketika harga sudah berada pada paras tinggi, semata-mata kerana terpengaruh dengan sentimen pasaran atau janji ejen bahawa harga akan terus naik. Ada juga yang bertindak ‘all-in’, menggunakan sebahagian besar simpanan hanya kerana takut ketinggalan peluang, sedangkan mereka tidak bersedia menghadapi kemungkinan harga mendatar atau menurun dalam tempoh tertentu.

Pendekatan yang lebih selamat ialah membeli emas secara berperingkat dan berdisiplin, tanpa bergantung kepada emosi atau khabar angin pasaran. Fokus sebenar pelaburan emas sepatutnya bersifat jangka panjang, sebagai pelindung nilai kekayaan, bukannya alat spekulasi jangka pendek. Dengan mengelakkan sikap mengejar hype dan membuat keputusan secara rasional, risiko membeli emas pada harga yang tidak munasabah dapat dikurangkan dengan ketara.

3. Jangan Jadikan Barang Kemas Sebagai Fokus

Barang kemas secara umumnya bukan pilihan yang sesuai untuk tujuan pelaburan, walaupun ia diperbuat daripada emas. Ini kerana harga barang kemas bukan hanya bergantung kepada nilai emas semasa, tetapi turut merangkumi kos upah pembuatan, reka bentuk dan jenama, yang tidak akan diambil kira sepenuhnya apabila barang tersebut dijual semula.

Antara kelemahan utama barang kemas ialah upah yang tinggi, di samping jurang harga beli dan jual (spread) yang besar. Apabila dijual semula, kebanyakan pembeli emas hanya menilai kandungan emas tulen berdasarkan berat dan ketulenan, menyebabkan nilai barang kemas tersebut menyusut dengan ketara, walaupun harga emas dunia tidak banyak berubah.

Sekiranya tujuan utama adalah untuk menyimpan nilai kekayaan, pilihan yang lebih praktikal ialah emas pelaburan seperti jongkong atau wafer emas. Dalam pelaburan emas, fokus seharusnya diberikan kepada berat dan ketulenan, bukannya reka bentuk atau estetika. Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan kos tersembunyi, malah memudahkan proses jual beli semula pada masa hadapan.

4. Jangan Letak Semua Simpanan Dalam Emas

Emas merupakan aset defensif yang berfungsi melindungi nilai kekayaan, terutamanya ketika inflasi atau ketidaktentuan ekonomi. Namun begitu, emas bukan satu-satunya aset yang mampu membina kekayaan dalam jangka panjang. Meletakkan semua simpanan dalam emas akan menghadkan potensi pertumbuhan kerana emas tidak menghasilkan pendapatan atau pulangan berkala.

Portfolio kewangan yang lebih sihat biasanya terdiri daripada gabungan beberapa jenis aset. Emas berperanan sebagai pelindung nilai, manakala aset produktif seperti saham, perniagaan dan hartanah berfungsi untuk menjana pertumbuhan dan aliran pendapatan. Pada masa yang sama, pegangan tunai juga penting bagi memastikan kecairan mencukupi untuk keperluan kecemasan atau peluang pelaburan yang tidak dijangka.

Pendekatan kepelbagaian ini membantu mengurangkan kebergantungan kepada satu aset sahaja dan membolehkan risiko diagihkan dengan lebih seimbang. Dalam dunia pelaburan, kepelbagaian bukan sekadar pilihan, tetapi satu bentuk pengurusan risiko yang berdisiplin.

Akhirnya, emas sepatutnya menjadi penyimpan nilai yang tenang, bukan sumber tekanan atau penyesalan. Bila diletakkan pada tempat yang betul, emas tidak menjadikan seseorang kaya dengan pantas tetapi membantu memastikan kekayaan yang telah dibina tidak mudah terhakis.

Kalau nak panduan lengkap tentang pilihan platform pelaburan emas di Malaysia termasuk yang boleh mula dengan modal kecil, pilihan digital, serta ciri-ciri penting yang patut dibandingkan, cuba baca artikel seterusnya: 7 Platform Yang Ada Untuk Kita Melabur Emas

Previous ArticleNext Article

5 Faktor Harga Emas Boleh Terus Jatuh

Ramai orang melihat emas sebagai aset yang sentiasa selamat dan nilainya hanya akan meningkat dari masa ke masa. Persepsi ini menyebabkan ramai menganggap emas sebagai “simpanan kebal” yang tidak terkesan dengan keadaan ekonomi.

Namun hakikatnya, harga emas tetap bergerak mengikut kitaran pasaran dan boleh jatuh untuk tempoh yang panjang jika faktor-faktor tertentu berlaku serentak.

USD Menguat Akan Tekan Harga Emas

Harga emas mempunyai ‘hubungan songsang’ dengan kekuatan dolar Amerika Syarikat. Apabila USD mengukuh, emas menjadi lebih mahal kepada pelabur di luar Amerika, sekali gus mengurangkan permintaan global. Dalam keadaan ini, tekanan jualan akan meningkat dan harga emas boleh menurun.

Sebagai contoh, apabila nilai USD meningkat dengan ketara berbanding ringgit Malaysia, pelabur tempatan mungkin melihat harga emas dalam USD tidak banyak berubah, tetapi dari sudut global, permintaan semakin lemah. Situasi ini pernah berlaku apabila USD berada dalam fasa pengukuhan agresif, menyebabkan harga emas global bergerak mendatar atau menurun walaupun sentimen terhadap emas masih positif.

Kadar Faedah Tinggi Kurangkan Tarikan Emas

Emas tidak memberikan sebarang pulangan berkala seperti dividen atau faedah. Oleh itu, apabila kadar faedah meningkat, pelabur akan mula beralih kepada instrumen yang menawarkan pulangan tetap dan lebih stabil. Ini menjadikan emas kurang menarik dalam persekitaran kadar faedah tinggi.

Sebagai contoh, ketika kadar faedah meningkat dan bank menawarkan pulangan simpanan tetap sekitar 4 hingga 5 peratus setahun, pelabur konservatif mungkin memilih untuk mengunci pulangan tersebut berbanding memegang emas yang tidak memberikan sebarang aliran tunai. Peralihan ini secara berperingkat akan mengurangkan permintaan terhadap emas dan memberi tekanan kepada harganya.

Ekonomi Stabil Kurangkan Keperluan “Safe Haven”

Emas biasanya mendapat permintaan tinggi ketika berlaku ketidaktentuan ekonomi atau krisis geopolitik. Namun apabila keadaan kembali stabil, pelabur cenderung untuk mengambil risiko dan beralih kepada aset yang menawarkan pulangan lebih tinggi seperti saham.

Sebagai contoh, dalam tempoh pasaran saham global sedang berkembang pesat, ramai pelabur akan mengalihkan dana daripada emas ke pasaran ekuiti untuk mengejar keuntungan yang lebih besar. Pergerakan dana ini menyebabkan permintaan terhadap emas menurun, sekaligus menekan harga walaupun tiada perubahan besar dalam penawaran fizikal.

Jualan Oleh Bank Pusat Tingkatkan Penawaran

Bank pusat merupakan antara pemegang emas terbesar di dunia. Sebarang perubahan dalam polisi pegangan emas oleh institusi ini boleh memberi kesan besar kepada pasaran. Jika bank pusat menjual sebahagian daripada rizab emas mereka, penawaran dalam pasaran akan meningkat dengan ketara.

Sebagai contoh, sekiranya sebuah negara besar membuat keputusan untuk mengurangkan pegangan emas dan menjual sebahagian rizabnya, lambakan emas dalam pasaran boleh berlaku dalam masa yang singkat. Jika permintaan tidak meningkat pada kadar yang sama, harga emas akan mengalami tekanan menurun.

Terkini, laporan Bloomberg menyatakan bank pusat Turki telah menjual dan menukar 60 tan emas bernilai lebih USD8 bilion sebagai sebahagian daripada usaha mempertahankan mata wang mereka. Menariknya, sebahagian daripada emas tersebut bukan sahaja dijual secara langsung, tetapi juga digunakan dalam bentuk “swap” untuk mendapatkan kecairan dalam mata wang asing.

Kes ini jelas menunjukkan bahawa emas bukan sekadar aset “disimpan”, tetapi boleh menjadi alat kecemasan yang digunakan oleh negara apabila berdepan tekanan ekonomi. Namun pada masa yang sama, apabila emas dilepaskan ke pasaran dalam jumlah besar, ia berpotensi menambah penawaran dan memberi tekanan kepada harga emas global.

Sentimen Pasaran dan Tindakan Pelabur Besar

Pergerakan harga emas dalam jangka pendek juga sangat dipengaruhi oleh sentimen pasaran dan tindakan pelabur institusi. Kadangkala, perubahan harga berlaku bukan kerana faktor ekonomi yang jelas, tetapi disebabkan oleh aliran keluar masuk dana dalam skala besar.

Sebagai contoh, apabila dana besar atau ETF emas mengalami pengeluaran dana secara mendadak, ia boleh mencetuskan gelombang jualan dalam pasaran. Pelabur lain yang melihat pergerakan ini mungkin turut mengambil tindakan sama, menyebabkan harga jatuh dengan lebih cepat walaupun asas ekonomi tidak berubah secara signifikan.

Kesimpulan

Emas bukanlah aset yang sentiasa meningkat nilainya tanpa risiko. Ia berfungsi dengan baik sebagai alat perlindungan nilai dalam jangka panjang, tetapi tetap terdedah kepada turun naik harga dalam jangka pendek. Memahami faktor-faktor ini penting supaya pelabur tidak meletakkan jangkaan yang tidak realistik terhadap emas.

Namun begitu, terdapat juga naratif yang sering dimainkan dalam kalangan ejen emas iaitu “jangan fokus kepada harga, tetapi fokus kepada jumlah gram yang dimiliki”. Walaupun pendekatan ini kelihatan menenangkan dan sesuai untuk membina disiplin simpanan, ia boleh menjadi mengelirukan jika difahami secara literal. Hakikatnya, setiap pembelian emas tetap melibatkan penggunaan wang dan harga memainkan peranan penting dalam menentukan nilai yang diperoleh pada sesuatu masa. Mengabaikan harga seolah-olah menafikan konsep asas dalam pelaburan, iaitu hubungan antara kos dan nilai.

Dalam dunia kewangan, tiada aset yang bergerak sehala sepanjang masa. Yang lebih penting adalah memahami peranan setiap aset dan bagaimana ia boleh digunakan secara strategik dalam membina portfolio yang seimbang.

Baca juga 7 Platform Yang Ada Untuk Kita Melabur Emas