10 Projek Perumahan SPNB Idaman Menawarkan Rumah Harga Bawah RM250,000

Gambar ihsan Sinar Harian

Banyak sebenarnya projek perumahan mampu milik yang tersedia untuk rakyat Malaysia, malah rumah yang ditawarkan SPNB Idaman kebanyakannya adalah merupakan rumah landed yang diimpikan ramai.

Jom pakat tengok beramai-ramai, mana tahu ada rezeki.

Siapa SPNB Idaman?

Merujuk kepada laman web SPNB Idaman, SPNB Idaman Sdn. Bhd. telah ditubuhkan untuk melaksana pembangunan Rumah Idaman Rakyat (RIR) secara konsep bercampur dengan harga jualan rumah 60% tidak melebihi RM250,000, 40% tidak melebihi RM350,000 seunit dan harga jualan kedai tidak melebihi RM1,000,000 seunit di atas tanah yang dikurniakan oleh kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan atau agensi – agensi kerajaan yang berkaitan.

Apa Itu Rumah Idaman Rakyat (RIR)?

Program RIR adalah inisiatif kerajaan bagi menyediakan kediaman mampu milik yang berkualiti dan ianya merupakan salah satu daripada usaha perlaksanaan kerajaan bagi mencapai sasaran satu juta unit rumah mampu milik di negara ini.

Keutamaan adalah kepada pembeli rumah pertama dan sasaran adalah golongan rakyat yang berpendapatan sederhana yang terperangkap di dalam “dilema golongan pertengahan” kerana tidak layak untuk memliki rumah kos rendah dan pada masa yang sama tidak mampu memilik kediaman mewah khususnya di kawasan bandar.

‘’Program Rumah Idaman Rakyat (RIR) adalah terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang berumur 21 tahun keatas yang terdiri daripada golongan yang berpendapatan individu dari RM7,500 ke bawah atau pendapatan seisi rumah (suami/isteri) yang tidak melebihi RM10,000. Keutamaan diberikan kepada golongan orang kurang upaya serta ibu tunggal yang berpendapatan,’’katanya.

Apa Syarat Kelayakan Nak Beli Rumah SPNB Idaman?

‘’Program Rumah Idaman Rakyat (RIR) adalah terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas yang terdiri daripada golongan yang berpendapatan individu dari RM7,500 ke bawah atau pendapatan seisi rumah (suami/isteri) yang tidak melebihi RM10,000. Keutamaan bagi projek ini adalah untuk pembeli rumah pertama, penjawat awam, OKU dan ibu tunggal.

Di Mana Projek Perumahan SPNB Idaman?

Buat masa ini, mereka lebih menumpukan pembangunan di Kedah, Perak bagi wilayah Utara, Melaka dan Johor bagi wilayah Selatan dan Pahang dan Terengganu bagi wilayah Timur.

Katanya, mereka juga bakal membangunkan rumah di Sabah dan Sarawak juga tak lama lagi.

Siapa Patut Beli Rumah SPNB Idaman?

Golongan yang berpendepatan rendah dan sederhana, pasangan yang baru berkahwin nak beli rumah pertama mereka, golongan orang kurang upaya, ibu tunggal dan mereka yang ingin bersara tak lama lagi.

Ini kerana harga rumah yang berpatutan, keutamaan yang diberikan kepada golongan-golongan di atas serta kawasan kejiranan yang kondusif untuk mereka yang berkeluarga.

1 Projek Dah Siap Di Sungai Petani, Kedah

Rumah teres 1 tingkat Taman Universiti Jaya Fasa 2A yang terletak berhampiran dengan Universiti AIMST Bedong, telah pun siap sepenuhnya.

Ianya mempunyai 104 unit dengan dengan mempunyai keluasan tanah seluas 1,300 kaki persegi bersamaan 20kaki*65kaki, ianya mempunyai keluasan binaan 1,160 kaki persegi atau bersamaan 20kaki*45kaki. Harganya pula boleh tahan, iaitu daripada RM183,000 sahaja. Tapi ambil perhatian bahawa ianya adalah leasehold selama 99 tahun ya.

Berapa Gaji Nak Beli Rumah RM250,000?

Dengan 60% daripada rumah yang bakal dibangunkan SPNB Idaman berharga bawah RM250,000, tahu ke nak kira berapa gaji layak beli rumah tersebut mahu pun instalment bulanan yang diperlukan?

Untuk itu, kami ada kongsikan artikel Bertajuk Ramai Kata Tak Mampu Beli Rumah. Bukan Tak Mampu Tapi “Tak Tahu” dan Nak Beli Rumah? Rileks Bro, Fahamkan “Formula 200” Baru Mula Survey Rumah.

Cepat daftar sekarang di laman web SPNB Idaman sebelum rumah-rumah mereka habis dijual. Boleh juga tengok-tengok projek lain yang ditawarkan mereka.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Aktiviti Jual Beli Hartanah Berkurangan Pada Awal Tahun, Harga Rumah Stabil

Pasaran hartanah Malaysia memulakan tahun 2026 dengan momentum yang lebih sederhana apabila aktiviti transaksi menyusut susulan persekitaran ekonomi global yang lebih perlahan dan sentimen pasaran yang lebih berhati-hati.

Namun begitu, sektor kediaman terus menunjukkan daya tahan disokong oleh pertumbuhan harga rumah yang stabil, permintaan pemilik kediaman yang berterusan serta pelbagai insentif perumahan kerajaan.

Menurut Laporan Pasaran Harta Suku Tahun Pertama 2026 yang dikeluarkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), jumlah transaksi hartanah keseluruhan menurun 8.0 peratus tahun ke tahun kepada 89,966 transaksi pada suku pertama 2026.

Nilai transaksi turut mencatat penyusutan marginal sebanyak 0.6 peratus kepada RM51.09 bilion. Walaupun prestasi ini lebih perlahan berbanding tempoh sama tahun lalu, aktiviti pasaran masih dilihat stabil dan trend yang dilihat sekarang merupakan suatu yang selaras dengan jangkaan dalam suasana ekonomi yang lebih mencabar.

Segmen kediaman kekal menjadi tunjang utama pasaran, dengan harga rumah terus meningkat meskipun momentum transaksi lebih perlahan.

Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) meningkat 1.7 peratus tahun ke tahun kepada 235.2 mata, menjadikan harga purata rumah di Malaysia sekitar RM507,533 seunit.

Pertumbuhan ini mencerminkan permintaan asas terhadap perumahan yang masih kukuh, khususnya di pusat bandar utama dan kawasan pinggir bandar yang berkembang pesat.

Kebanyakan negeri mencatat pertumbuhan harga rumah positif antara 0.3 peratus hingga 7.2 peratus, menandakan keyakinan pasaran yang masih baik walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi.

Dari segi jumlah transaksi kediaman, Malaysia merekodkan penurunan sebanyak 10.7 peratus dengan 52,936 transaksi bernilai RM22.60 bilion.

Walaupun kebanyakan negeri mencatat penyusutan aktiviti transaksi, empat negeri masih merekodkan pertumbuhan positif iaitu Kuala Lumpur sebanyak 0.2 peratus, Pahang (4.3 peratus), Terengganu (3.1 peratus) dan Sabah (2.4 peratus).

Mengikut jenis kediaman, rumah bertanah terus menjadi pilihan utama pembeli. Rumah teres dan rumah berkembar mendahului pertumbuhan harga dengan peningkatan masing-masing sebanyak 2.2 peratus, mencerminkan permintaan yang berterusan terhadap produk kediaman bertanah.

Unit kediaman bertingkat tinggi turut mencatat pertumbuhan sederhana sebanyak 1.3 peratus, didorong oleh permintaan di lokasi bandar dan pembangunan berorientasikan transit (TOD).

Namun begitu, segmen pembangunan kediaman mula menunjukkan tanda-tanda penyederhanaan dari segi bekalan. Pelancaran baharu kediaman menurun kepada 9,112 unit berbanding 12,498 unit pada tempoh sama tahun lalu, iaitu penyusutan sebanyak 27.1 peratus.

Pemaju dilihat lebih berhati-hati dalam memperkenalkan bekalan baharu susulan kos pembinaan yang meningkat dan pembeli yang semakin selektif.

Pada masa sama, isu lambakan unit siap dibina tidak terjual terus menjadi cabaran utama pasaran. Jumlah kediaman siap dibina tidak terjual mencecah 32,801 unit dengan nilai RM16.37 bilion.

Apabila mengambil kira hartanah kediaman berstatus komersil seperti pangsapuri perkhidmatan dan SOHO, jumlah tersebut meningkat kepada 54,795 unit bernilai RM32.12 bilion pada suku pertama 2026.

Secara tahunan, jumlah lambakan meningkat 25.9 peratus dari segi bilangan dan 11.1 peratus dari segi nilai berbanding 43,510 unit bernilai RM30.71 bilion pada suku pertama 2025.

Mengikut julat harga, sebanyak 38.6 peratus unit tidak terjual terdiri daripada kediaman berharga antara RM200,001 hingga RM500,000 yang lazimnya dianggap dalam kategori mampu milik.

Sebanyak 23.4 peratus pula berada dalam julat RM500,001 hingga RM800,000, manakala hanya 13.2 peratus unit tidak terjual berharga melebihi RM1 juta.

Ini menunjukkan isu lambakan bukan semata-mata disebabkan faktor harga, tetapi turut dipengaruhi faktor lokasi, jenis produk dan padanan permintaan pasaran.

Subsektor pangsapuri perkhidmatan terus berdepan tekanan bekalan apabila unit siap dibina tidak terjual meningkat kepada 19,263 unit bernilai RM16.52 bilion berbanding 18,246 unit bernilai RM14.61 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Lambakan pangsapuri perkhidmatan meningkat 5.6 peratus, mencerminkan cabaran berterusan dalam menyerap pembangunan bercampur dan berorientasikan pelaburan, khususnya di kawasan dengan bekalan yang tinggi seperti Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.

Melihat ke hadapan, prospek pasaran hartanah Malaysia dijangka kekal berhati-hati tetapi stabil. Walaupun ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global boleh mempengaruhi sentimen pelabur, pelbagai inisiatif kerajaan dijangka terus menyokong sektor perumahan.

Antaranya termasuk lanjutan pengecualian penuh duti setem bagi pembeli rumah pertama untuk rumah berharga sehingga RM500,000 sehingga akhir 2027.

Disokong oleh pembangunan infrastruktur dan inisiatif pembangunan berorientasikan transit di bawah kerangka Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), pasaran kediaman negara dijangka terus berdaya tahan meskipun pertumbuhannya semakin sederhana dan akan bergerak seiring dengan paras kemampumilikan pembeli.

Penulis ialah Pengarah Penyelidikan Hartanah Rahim & Co Chestertons

— Berita Harian