Proses Penamaan PRS Bagi Ahli Beragama Islam

Adalah suatu perkembangan yang menggalakkan apabila melihat kesedaran tentang perancangan kewangan untuk persaraan kini semakin meningkat. Malah makin ramai yang sudah mula menyimpan dalam skim simpanan dan pelaburan seperti Skim Persaraan Swasta (PRS) bagi memastikan kesejahteraan dan kelestarian ketika bersara nanti.

Walau bagaimanapun, anda juga perlu memberi perhatian terhadap aspek pembahagian dana simpanan ini sekiranya sesuatu terjadi kepada anda. Adalah sangat penting bagi anda memastikan dana yang ditinggalkan diurus dengan kadar segera bagi mengekalkan keharmonian dan kelangsungan taraf hidup buat mereka yang tersayang.

Private Pension Administrator Malaysia (PPA), selaku pentadbir pusat untuk industri PRS, sering menerima pertanyaan mengenai apa yang akan berlaku kepada simpanan dalam PRS sekiranya terjadi kematian pada pencarum terutamanya Ahli yang beragama Islam.

Dalam artikel ini PPA akan berkongsi bagaimanakah kemudahan proses penamaan PRS menjadi pemudahcara untuk proses pengurusan pembahagian harta. Terlebih dahulu ada baiknya kita fahami serba sedikit tentang apa itu PRS.

Mengenai PRS

PRS adalah skim simpanan dan pelaburan jangka panjang sukarela yang direka bagi membantu anda menyimpan lebih banyak untuk persaraan nanti. Di bawah kawalseliaan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), PRS berusaha untuk memberikan pilihan bagi semua rakyat Malaysia untuk menambah simpanan persaraan di bawah kerangka kerja kawal selia yang kukuh dan tersusun.

Kalau anda nak tahu, sesiapa sahaja boleh mencarum dengan PRS. Tak kisah lah anda kerja swasta ke atau kerja sendiri ke, malah kerja kerajaan pun boleh buka akaun PRS asalkan anda berumur 18 tahun ke atas. Dengan adanya PRS ni, dapatlah anda tambah duit persaraan tu banyak sikit selain daripada simpanan anda di skim persaraan mandatori.

Secara ringkasnya terdapat lapan Penyedia PRS di Malaysia yang menyediakan sebanyak 57 Dana PRS. Daripada jumlah ini, 26 daripadanya adalah Dana PRS Patuh Syariah. Kalau nak tahu lebih lanjut tentang skim ini seperti struktur PRS, senarai Penyedia dan Dana PRS serta pulangan Dana PRS, sila layari www.ppa.my.

Proses Penamaan PRS

“Sekarang saya dah faham tentang PRS. Tapi kalau saya meninggal dunia sebelum umur persaraan apa akan jadi dengan Dana PRS tu?”

Ok, bagi yang mempunyai simpanan di dalam PRS, PPA ada menyediakan kemudahan untuk Ahli membuat penamaan untuk akaun PRS. Ini bagi memudahkan orang yang anda sayangi menerima pemberian anda apabila anda meninggal dunia. Tanpa sebarang penamaan, mereka mungkin mengalami kesulitan untuk membuat pengeluaran baki PRS anda, dan mungkin juga mengambil proses yang panjang. Anda boleh menamakan sehingga 6 orang penama dan memperuntukkan peratusan baki PRS yang akan diberikan kepada setiap penama mengikut pilihan anda sendiri.

Kenapa Perlu Membuat Penamaan?

Ada tiga sebab utama mengapa anda perlu membuat penamaan PRS, iaitu:

  • Memudahkan dan mempercepatkan pengeluaran baki PRS sekiranya berlaku kematian;
  • Memberi jaminan bahawa baki PRS akan ditadbir oleh orang yang anda pilih sendiri; dan
  • Melicinkan pelaksanaan pembahagian harta pusaka bagi baki PRS tanpa perlu melalui prosedur perundangan seperti kebenaran pentadbir, pengesahan sijil Faraid dan lain-lain.

Penamaan PRS Untuk Ahli Beragama Islam

Bagi Ahli yang beragama Islam, penamaan PRS ni merupakan proses untuk menamakan mana-mana individu yang akan bertindak selaku pentadbir atau ‘Wasi’ bagi mengeluarkan dan menguruskan baki dalam akaun PRS Ahli sekiranya terjadi kematian.

Setelah Ahli melengkapkan proses penamaan, maka penama akan menerima baki pegangan dalam PRS ini dan bertanggungjawab untuk mengagihkan jumlah tersebut mengikut undang-undang Syariah sekiranya terjadi kematian Ahli.

Perlu diingat, penama hanya pemegang amanah sahaja dan bukan pemilik. Duit tu nanti masih kena bahagikan ikut Faraid tau!

Andaikata Ahli memilih untuk tidak membuat sebarang penamaan, maka baki akaun PRS akan dibayar kepada pentadbir harta pusaka Ahli yang sah, yang dilantik oleh waris setelah Ahli meninggal dunia. Kebiasaannya proses ini akan melalui proses mahkamah dan mengambil masa yang panjang.

Empat Langkah Membuat Penamaan PRS

Setelah anda tahu tentang penamaan PRS dan kenapa perlunya penamaan ini, sekarang jom tengok apakah empat langkah yang perlu diambil:

Borang Penamaan PPA ini hanya perlu diisi sekali sahaja dan akan diguna pakai untuk semua akaun PRS. Ini bermakna anda tidak perlu mengisi borang penamaan yang berlainan berulang kali dengan Penyedia PRS anda yang lain. Inilah antara peranan PPA dalam memudahkan urusan pentadbiran akaun PRS anda.

Senang kan? Bagi yang sudah mempunyai akaun PRS, mungkin inilah masa terbaik untuk anda membuat penamaan untuk simpanan anda. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang proses penamaan PRS ini, anda boleh layari www.ppa.my/ms/make-your-nomination.

Mulakan Simpanan Anda Dengan PRS Online

Namun sekiranya anda belum memulakan simpanan tambahan untuk bersara, apa kata anda bertindak sekarang dengan menambah simpanan dengan PRS. Untuk mula menyimpan, anda boleh membuka akaun PRS melalui perkhidmatan PRS Online.

PRS Online merupakan perkhidmatan atas talian yang dibangunkan oleh PPA untuk anda memulakan dan menambah simpanan persaraan di PRS dengan mudah, selesa dan selamat.

Dengan modal serendah RM100 saja, anda sudah boleh memulakan simpanan persaraan hari ini juga.

Untuk menggalakkan anda menyimpan untuk persaraan seawal mungkin, sebarang caj jualan tidak akan dikenakan bagi pencarum baru yang berumur 30 tahun dan ke bawah.

Seterusnya, anda boleh menambah nilai caruman anda melalui perkhidmatan PRS Online Top Up yang disediakan di dalam Portal Ahli PRS. Semuanya di hujung jari sahaja kan.

Nak tahu lebih lanjut mengenai perkhidmatan PRS Online ini, klik di sini.

“Simpanan masa depan anda, kini lebih mudah dengan PRS Online.”

Artikel ini dibawakan kepada anda oleh Private Pension Administrator Malaysia (PPA).

Previous ArticleNext Article

KWSP Suami Meninggal: Boleh Isteri Tuntut Sebagai Harta Sepencarian?

Selama ini, apabila seorang suami meninggal dunia, ramai mungkin menganggap wang KWSP yang ditinggalkan akan terus menjadi harta pusaka dan dibahagikan kepada waris mengikut faraid.

Namun, perkembangan hukum dan keputusan Mahkamah Syariah menunjukkan perkara ini sebenarnya lebih kompleks.

Pada September 2025, Muzakarah Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-128 memutuskan bahawa tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP oleh ahli beragama Islam adalah diharuskan, tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan Mahkamah Syariah.

Keputusan ini membawa satu implikasi penting kepada pasangan yang berkahwin.

Wang KWSP tidak semestinya keseluruhannya menjadi harta pusaka untuk difaraidkan.

Sekiranya Mahkamah Syariah memutuskan sebahagian wang tersebut merupakan hak harta sepencarian pasangan, bahagian itu akan diberikan kepada pasangan terlebih dahulu. Bahagian yang diperintahkan sebagai harta sepencarian tersebut pula tidak dikira sebagai harta pusaka pencarum dan tidak tertakluk kepada pembahagian faraid.

Tetapi sebenarnya, isu ini bukan bermula pada 2025

Menariknya, beberapa negeri sudah mempunyai perkembangan berkaitan isu ini sebelum keputusan Muzakarah Kebangsaan tersebut.

Kelantan: kes KWSP sebagai harta sepencarian sejak 2000-an

Antara kes yang sering dirujuk ialah Norhayati binti Yusoff lwn Ahmad Shah bin Ahmad Tabrani, yang diputuskan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kes tersebut, wang KWSP suami menjadi antara aset yang dituntut sebagai harta sepencarian.

Mahkamah mengiktiraf konsep sumbangan tidak langsung isteri. Walaupun isteri mungkin tidak membuat caruman KWSP secara langsung, sumbangan kepada rumah tangga boleh menjadi faktor dalam menentukan hak harta sepencarian.

Ini penting kerana ia menunjukkan bahawa persoalan harta sepencarian bukan semata-mata tentang siapa yang memasukkan duit ke dalam akaun.

Sumbangan pasangan kepada rumah tangga juga boleh mempunyai nilai dari sudut undang-undang Syariah.

Selangor pula mempunyai pendirian yang jelas

Dalam panduan Jabatan Mufti Selangor pada 2020 berkaitan wang KWSP selepas kematian suami, dinyatakan bahawa isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian sepanjang tempoh perkahwinan dengan arwah suami sebelum lebihan harta tersebut dibahagikan mengikut faraid.

Kemudian pada 2023, Selangor mempunyai fatwa khusus berkaitan harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan. Rujuk Fatwa Tentang Harta Sepencarian Selepas Kematian Salah Satu Pihak Dalam Perkahwinan Di Negeri Selangor.

Ini menunjukkan konsep tuntutan harta sepencarian selepas kematian bukan sesuatu yang hanya muncul selepas keputusan MKI pada 2025.

Johor: daripada pendirian lama kepada pendekatan baharu

Pendirian terdahulu di Johor menyatakan wang KWSP pencarum yang meninggal dunia merupakan harta pusaka dan tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian. Fatwa Johor yang lebih lama, dikeluarkan pada 2013, menyatakan:

“Apabila pencarum KWSP meninggal, wang KWSP ialah harta pusaka dan perlu difaraidkan; ia tidak boleh dijadikan harta sepencarian.

Namun, selepas keputusan MKI 2025, Johor mengambil pendekatan baharu yang membenarkan tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP bagi ahli beragama Islam yang layak, tertakluk kepada keputusan Mahkamah Syariah. Rujuk Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor.

Perubahan ini menunjukkan bagaimana pendirian berkaitan KWSP dan harta sepencarian boleh berkembang mengikut keputusan hukum dan kerangka undang-undang semasa.

NegeriKedudukan yang ditemuiTahun / status
KelantanAda kes Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan tuntutan terhadap KWSP sebagai harta sepencarian; turut ada fatwa berkaitan tuntutan harta sepencarian selepas kematianKes 2006; Fatwa Negeri 2002
SelangorSecara rasmi mengiktiraf bahawa selepas kematian salah satu pihak, pasangan boleh menuntut harta sepencarian. Soal jawab Mufti Selangor juga secara jelas menyebut isteri boleh menuntut harta sepencarian terhadap KWSP arwah sebelum baki difaraidkanFatwa 2023; panduan 2020
JohorDahulu berpendirian sebaliknya: KWSP ialah harta pusaka dan tidak boleh dijadikan harta sepencarian. Tetapi pada 2026, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengeluarkan keputusan baharu yang membenarkan tuntutan KWSP sebagai harta sepencarian, selaras dengan MKI 20252013 → berubah 2026
SarawakPernah memutuskan wang caruman KWSP tidak boleh dianggap harta sepencarian, sebaliknya harta pusaka yang difaraidkanKeputusan terdahulu

Jadi, apa maksudnya kepada pasangan?

Kita ambil contoh mudah.

Katakan seorang suami meninggal dunia dan meninggalkan RM500,000 dalam KWSP.

Isteri membuat tuntutan harta sepencarian.

Jika Mahkamah Syariah selepas mempertimbangkan tuntutan tersebut memutuskan bahawa RM150,000 adalah hak harta sepencarian isteri, maka RM150,000 itu bukan lagi sebahagian daripada harta pusaka suami untuk difaraidkan.

Baki RM350,000 pula barulah menjadi sebahagian daripada harta pusaka, tertakluk kepada proses pengurusan pusaka dan pembahagian mengikut faraid.

Jadi bukan bermaksud:

“Isteri automatik dapat separuh KWSP.”

Tidak.

Yang betul ialah:

“Isteri yang layak boleh membuat tuntutan, dan jumlah yang menjadi harta sepencarian bergantung kepada keputusan Mahkamah Syariah.”

Kenapa perkara ini penting untuk perancangan pusaka?

Sebab ramai orang melihat KWSP hanya daripada sudut simpanan persaraan.

Tetapi apabila berlaku kematian, ia menjadi sebahagian daripada proses pengurusan harta si mati.

Dalam konteks pasangan Islam, terdapat beberapa perkara yang perlu dibezakan:

Pertama, harta sepencarian.

Ini ialah tuntutan pasangan terhadap harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan, tertakluk kepada undang-undang dan keputusan Mahkamah Syariah.

Kedua, harta pusaka.

Selepas hak-hak yang berkaitan seperti harta sepencarian ditentukan, baki harta si mati boleh menjadi harta pusaka.

Ketiga, faraid.

Baki harta pusaka kemudiannya dibahagikan kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid.

Sebab itu seseorang tidak boleh terus melihat angka KWSP dan berkata:

“Ini semua akan difaraidkan.”

Ia bergantung kepada keadaan dan, bagi tuntutan harta sepencarian, keputusan Mahkamah Syariah.

Namun, jangan salah faham

Keputusan MKI 2025 bukan bermaksud setiap isteri automatik mendapat sebahagian daripada KWSP suami.

Ia hanya membuka ruang bahawa tuntutan tersebut diharuskan.

Tuntutan masih perlu dibuat dan dipertimbangkan oleh Mahkamah Syariah.

Jumlahnya juga tidak semestinya 50:50.

Mahkamah boleh melihat kepada pelbagai faktor dan bukti berkaitan sumbangan pasangan serta keadaan harta yang dituntut.

Satu lagi perkara penting ialah status keputusan hukum tersebut di setiap negeri. Keputusan Muzakarah MKI perlu dilihat bersama peruntukan dan proses undang-undang Syariah negeri masing-masing.

Daripada “siapa dapat KWSP?” kepada “apa hak setiap pihak?”

Ini sebenarnya perubahan cara kita melihat perancangan pusaka.

Bila seorang suami meninggal dunia, persoalannya bukan semata-mata:

“Berapa banyak isteri dapat?”

Tetapi:

“Apakah hak isteri sebagai pasangan? Apakah yang menjadi harta sepencarian? Apakah yang benar-benar menjadi harta pusaka? Dan siapa yang berhak menerima baki tersebut melalui faraid?”

Perbezaan ini nampak kecil, tetapi dari sudut nilai harta, ia boleh menjadi sangat besar.

Lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai simpanan KWSP jutaan ringgit.

Maka, bagi pasangan yang beragama Islam, memahami kedudukan harta sepencarian dan faraid semasa masih hidup jauh lebih baik daripada cuba memahami semuanya selepas berlaku kematian.

KWSP bukan sekadar soal berapa banyak kita berjaya kumpul. Kita juga perlu tahu bagaimana wang itu akan diurus apabila kita sudah tiada.

Penafian: Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan nasihat undang-undang, fatwa atau nasihat kewangan. Kedudukan harta sepencarian, tuntutan wang KWSP dan proses pembahagian harta pusaka boleh berbeza mengikut negeri, fakta kes dan keputusan Mahkamah Syariah. Pembaca disarankan mendapatkan nasihat daripada peguam syarie, pihak berkuasa agama negeri atau pihak yang berkelayakan sebelum membuat sebarang tuntutan atau keputusan berkaitan harta pusaka.