Kerajaan Tiada Cadangan Ganti Subsidi BUDI95 Dengan Rebat Tunai Untuk Galak Guna EV

Kuala Lumpur: Kerajaan tidak bercadang menggantikan subsidi bahan api di bawah skim BUDI95 dengan rebat tunai sebagai insentif untuk menggalakkan peralihan kepada kenderaan elektrik (EV) atau hibrid, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata langkah itu akan mengubah tujuan asal pelaksanaan BUDI95 dan berpotensi menjejaskan keberkesanan penyasaran subsidi kepada kumpulan yang masih bergantung kepada kenderaan enjin pembakaran dalaman.

“Objektif utama BUDI95 adalah beralih daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar dan memastikan bantuan bahan api terus disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan dan bergantung kepada petrol sebagai sumber pendapatan atau keperluan harian,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Dr Lingeshwaran R. Arunasalam yang ingin mengetahui sejauh mana keberkesanan kuota 600 liter dalam menggalakkan peralihan pemandu kepada kenderaan elektrik (EV) atau hibrid.

Sehubungan itu, katanya BUDI95 bukan bertujuan untuk menggalakkan peralihan pemandu kepada EV atau hibrid.

“Keberkesanan pelaksanaan BUDI95 dinilai berdasarkan keupayaannya mengurangkan ketirisan, melindungi kumpulan sasaran selain mengekalkan kestabilan pelaksanaan dari segi pengalaman pengguna memanfaatkan subsidi BUDI95,” katanya.

Amir Hamzah berkata dasar peralihan kepada EV dan hibrid ditangani melalui rangka kerja dan inisiatif berasingan termasuk pembangunan infrastruktur pengecasan dan pelaksanaan Dasar Automotif Nasional.

“Pendekatan ini bertujuan memastikan setiap dasar mencapai objektif masing-masing tanpa bercanggah antara satu sama lain,” katanya.

Sementara itu, katanya berdasarkan data Disember 2025, lebih 106,000 atau 65 peratus daripada kira-kira 164,000 pemandu perkhidmatan e-hailing yang berdaftar layak menikmati subsidi bahan api di bawah skim BUDI 95 pada kadar sekurang-kurangnya 600 liter hingga 800 liter.

Beliau berkata jarak perjalanan bulanan setiap pemandu e-hailing akan ditentukan berdasarkan penggabungan data perjalanan daripada semua pengendali e-hailing (EHO) dan pengesahan data dikendalikan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di Sabah dan Sarawak.

Katanya hanya pemandu warganegara Malaysia yang memiliki Lesen Memandu Perkhidmatan Awam (PSV) dan permit e-hailing yang sah akan dipertimbangkan bagi kelayakan subsidi di bawah skim itu.

Amir Hamzah berkata bagi mengelak ketirisan subsidi kepada pemandu yang tidak aktif atau tidak sah, semua EHO diwajibkan mengemukakan rekod perjalanan bulanan yang tepat, lengkap dan sahih kepada APAD dan LPKP pada awal setiap bulan.

“Pemandu yang tidak mencatatkan aktiviti perjalanan minimum berdasarkan jarak perjalanan yang ditetapkan pada bulan terdahulu tidak akan menerima kelayakan tambahan secara automatik,” katanya.

Beliau menegaskan tindakan penguatkuasaan boleh diambil terhadap pemandu atau EHO yang didapati mengemukakan maklumat palsu, meragukan atau bercanggah dengan rekod dalam sistem.

— Harian Metro

Previous ArticleNext Article

EPMB Bakal Keluarkan Kereta Elektrik Pintar XPENG Di Melaka

KUALA LUMPUR: EP Manufacturing Bhd (EPMB) dan XPENG menjalin kerjasama strategik bagi menubuhkan pengeluaran setempat kenderaan elektrik (EV) pintar di Melaka.

Melalui kerjasama ini, XPENG yang juga syarikat mobiliti dipacu kecerdasan buatan (AI) akan memanfaatkan kepakaran pembuatan tempatan EPMB yang meluas.

Selain itu, ia akan menyokong kapasiti pengeluaran yang terbukti serta pengetahuan pasaran yang mendalam untuk menghasilkan EV pintar canggih yang disesuaikan dengan keperluan pengguna di Malaysia dan ASEAN.

Pengeluaran setempat itu juga akan membolehkan XPENG memperkukuh integrasinya dalam pasaran serantau, meningkatkan keupayaan tindak balas serta mengukuhkan daya saingnya.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah, berkata kerjasama itu sejajar dengan visi kerajaan untuk membangunkan ekonomi hijau dan memperkukuh keupayaan pembuatan berteknologi tinggi.

Beliau berkata, ia dijangka menyumbang kepada peningkatan ekosistem industri kenderaan tenaga baharu (NEV) negara serta mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi di peringkat tempatan.

“Kami amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan XPENG, peneraju global dalam teknologi EV pintar. Pakatan strategik ini menggabungkan kecemerlangan EPMB dalam pembuatan automotif selama lebih empat dekad serta kefahaman tempatan kami dengan inovasi kecerdasan dan elektrifikasi termaju XPENG.

“Kedua-dua pihak komited untuk membekalkan EV pintar berkualiti tinggi kepada pengguna Malaysia serta menyokong aspirasi perindustrian mampan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Naib Presiden XPENG, James Wu, berkata penubuhan pengeluaran setempat di Malaysia merupakan pencapaian penting dalam strategi global XPENG.

Beliau berkata, ia turut mencerminkan komitmen jangka panjang kumpulan terhadap rantau ASEAN.

“Keupayaan terbukti EPMB serta perkongsian visi yang sama menjadikan mereka rakan strategik yang ideal. Inisiatif ini membolehkan kami lebih dekat dengan pelanggan, mempercepatkan keupayaan tindak balas pasaran serta memperkenalkan teknologi pintar secara sistematik, sekali gus memacu misi ‘Pendemokrasian Teknologi’ di peringkat global,” katanya.

XPENG kini giat memperluaskan kehadiran global apabila dari Januari hingga November 2025, penghantaran luar negara mencecah 39,773 unit, meningkat 95 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Rangkaian jualan dan perkhidmatannya kini merangkumi 52 negara dan wilayah di seluruh dunia dengan 321 cawangan luar negara.

Projek pengeluaran di Malaysia ini akan bersinergi dengan operasi sedia ada XPENG di Eropah dan pasaran Asia Pasifik lain, membentuk ekosistem bersepadu yang merangkumi pengeluaran setempat, jualan, perkhidmatan pengecasan serta operasi pengguna bagi mempercepatkan penembusan pasaran secara mendalam.

— Berita Harian