Lattice Semiconductor Perluas Operasi Di Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 13 Dis (Bernama) — Lattice Semiconductor Corporation yang berpangkalan di Amerika Syarikat mahu memperluas kedudukannya di Pulau Pinang untuk memanfaatkan ekosistem semikonduktor negeri itu.

Naib Presiden Kanan Jualan Seluruh Dunianya, Mark Nelson berkata Pulau Pinang akan menjadi nadi dan pusat operasi global Lattice Semiconductor berikutan ia mempunyai pelbagai fungsi, termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta fungsi kejuruteraan aplikasi dan operasi.

“Kami suka berada di sini disebabkan kumpulan teknikal yang besar untuk jurutera berpengalaman, ekosistem rakan kongsi yang kami boleh jalin kerjasama di sini dan struktur universiti yang kukuh untuk mengekalkan barisan bakat masa depan.

“Operasi kami di Pulau Pinang penting kepada seluruh kumpulan berikutan produk yang dibangunkan oleh pasukan di sini turut disasarkan untuk pasaran global,” katanya kepada pemberita selepas pembukaan rasmi pejabat baharu Lattice Semiconductor di sini hari ini.

Nelson berkata pejabat baharu itu, dengan pejabat dan ruang makmal seluas 23,300 kaki persegi, dinaik taraf daripada pejabat pertamanya yang dibuka di Pulau Pinang pada 2021.

Beliau berkata pasukan kini mempunyai lebih 130 pekerja tempatan dan pejabat baharu itu mempunyai kapasiti sehingga 200 pekerja.

“Bagaimanapun, kami telah memikirkan untuk berkembang lebih jauh dan kami berharap untuk meneruskan pengembangan kami di sini,” katanya.

Timbalan Ketua Menteri II Jagdeep Singh Deo, yang turut hadir pada majlis tersebut berkata Lattice Semiconductor cemerlang dalam pembuatan penyelesaian program berkuasa rendah dalam pelbagai sektor dan disenaraikan sebagai pembekal bertaraf dunia untuk Field Programmable Gate Arrays (FPGA).

“Saya turut dimaklumkan bahawa Lattice Semiconductor merancang untuk membangunkan dan melaksanakan program universiti yang merangkumi bengkel teknikal, panel penasihat, latihan amali, ceramah kerjaya dan penajaan.

“Kerjasama strategik ini menunjukkan kuasa transformatif perkongsian awam-swasta yang bermakna, akhirnya diterjemahkan kepada kemajuan komuniti dan negara kita,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tarif 10 Peratus AS Terhadap Malaysia Berkuat Kuasa

Malaysia dikenakan tarif 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah siasatan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa, berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam waktu AS, Jumaat, 24 Julai 2026.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Malaysia adalah antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10 peratus, manakala ekonomi lain dikenakan tarif 12.5 peratus.

Katanya, kadar lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengimportan barangan dihasilkan menggunakan buruh paksa.

“Tarif berkenaan mula berkuat kuasa sejurus tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 AS,” katanya.

Sementara itu, MITI berkata, siasatan Seksyen 301 berkaitan isu kapasiti berlebihan yang membabitkan 16 ekonomi termasuk Malaysia masih diteruskan.

Katanya, kadar tarif bagi siasatan itu hanya akan diumumkan selepas Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) membuat keputusan mengenainya.

“MITI akan memaklumkan semua pihak berkepentingan mengenai sebarang perkembangan berkaitan dan akan terus mengadakan libat urus dengan Amerika Syarikat,” katanya.

— Berita Harian