Nilai Aset Kerajaan Persekutuan Melebihi RM1 Trilion Setakat Ini – Ahmad

JOHOR BAHRU, 2 Julai (Bernama) — Nilai aset kerajaan Persekutuan setakat ini adalah melebihi RM1 trilion, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata angka itu adalah berdasarkan penilaian melibatkan aset tanah dan bangunan kerajaan yang dibuat Jabatan Akauntan Negara dan juga Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) bagi tempoh 10 tahun sejak 2013.

Ahmad berkata nilai aset kerajaan Persekutuan dijangka terus meningkat berikutan ia masih dalam proses pengiraan kerana aset-aset lain termasuk di luar negara belum dinilai. 

“Pengiraan nilai aset tersebut melibatkan aset tanah dan bangunan kerajaan, ia tidak  termasuk aset lain seperti loji dan jentera.

“Begitu juga aset luar negara yang masih belum dinilai. Kita menjangkakan ia akan terus meningkat dengan pertambahan RM30 bilion tahun ini,” katanya pada sidang media selepas melawat pejabat JPPH Johor, di sini, hari ini.

Menurutnya, proses penilaian sentiasa berjalan bagi mengenal pasti jumlah keseluruhan nilai aset kerajaan Persekutuan yang diharapkan akan melebihi hutang negara yang mencecah RM1.5 trilion.

“Saya harap nilai aset kita lebih banyak daripada nilai hutang kita termasuk liabiliti yang mencecah RM1.5 trilion.

“Bagaimanapun, kita tidak dapat menjangkakan bila proses penilaian ini akan berakhir kerana ia masih disemak. Jadi penilaian harta setakat ini kita hanya boleh buat anggaran,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilapor sebagai berkata hutang negara termasuk liabiliti telah mencecah sebanyak RM1.5 trilion dan perlu ditangani dengan segera. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tarif 10 Peratus AS Terhadap Malaysia Berkuat Kuasa

Malaysia dikenakan tarif 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah siasatan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa, berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam waktu AS, Jumaat, 24 Julai 2026.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Malaysia adalah antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10 peratus, manakala ekonomi lain dikenakan tarif 12.5 peratus.

Katanya, kadar lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengimportan barangan dihasilkan menggunakan buruh paksa.

“Tarif berkenaan mula berkuat kuasa sejurus tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 AS,” katanya.

Sementara itu, MITI berkata, siasatan Seksyen 301 berkaitan isu kapasiti berlebihan yang membabitkan 16 ekonomi termasuk Malaysia masih diteruskan.

Katanya, kadar tarif bagi siasatan itu hanya akan diumumkan selepas Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) membuat keputusan mengenainya.

“MITI akan memaklumkan semua pihak berkepentingan mengenai sebarang perkembangan berkaitan dan akan terus mengadakan libat urus dengan Amerika Syarikat,” katanya.

— Berita Harian