OPR : Langkah Taktikal BNM Untuk Menyokong Momentum Ekonomi, Kata Penganalisis

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) — Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75 peratus dilihat sebagai langkah taktikal ketika ekonomi terus berada dalam kedudukan yang kukuh, kata seorang penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI Shan Saeed berkata bank pusat tersebut juga telah memainkan peranannya secara strategik bagi tempoh 2019 hingga 2022 serta terbukti dapat menangani cabaran tekanan harga.

“Kestabilan dasar monetari itu sememangnya menjadi keutamaan BNM dalam memenuhi mandat unjurannya ketika semua bank-bank global bertindak menaikkan kadar faedah masing-masing bagi membendung lonjakan harga dalam ekonomi global,” katanya kepada Bernama.

Shan juga menyifatkan keadaan inflasi semakin memuncak di rantau Asean dan akan hanya susut dalam suku ketiga 2023 manakala tuas dasar monetari itu pula memerlukan tempoh selama 12-15 bulan untuk memberi kesan di peringkat makro bagi menurunkan harga komoditi-komoditi utama.

“Bagi saya, sebahagian besar bank pusat global ini akan bertindak mengurangkan kadar itu selepas suku ketiga dan keempat tahun ini bagi menyokong trajektori pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK).

“BNM akan terus menyokong ekonomi di peringkat makro lagi,” katanya.

Selain itu, katanya, ringgit juga telah terbukti memaparkan kestabilannya dari segi struktur dan meningkat sebanyak 10.64 peratus sejak Oktober 2022.

Malah, ringgit dijangka meneruskan aliran kenaikannya pada 2023 dan mencecah sekitar paras 4.10 hingga 4.37 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dengan prospek kestabilannya terus ketara.

“Peningkatan ringgit juga adalah antara cara untuk meredakan tekanan inflasi dalam ekonomi dan kami (Juwai IQ) kekal yakin dengan (prospek) ekonomi Malaysia, termasuk KDNK dalam lingkungan 4.5-5.5 peratus dalam tahun fiskal semasa,” katanya.

Bank pusat itu telah bertindak mengekalkan kadar OPR pada  2.75 peratus dalam mesyuarat hari ini bagi membolehkannya menilai kesan pelarasan OPR sebelum ini secara kumulatif berikutan kesan dasar monetari berkenaan terhadap ekonomi.

Menurutnys, selepas mencatat prestasi kukuh pada 2022, pertumbuhan bagi tahun ini dijangka lebih menyederhana di tengah-tengah ekonomi global yang perlahan dan perbelanjaan isi rumah pula akan berteraskan peningkatan pekerjaan serta prospek pendapatan yang mampan.

Sementara itu, Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata keputusan yang dibuat BNM itu adalah mengejutkan memandangkan konsensus menjangkakan satu kenaikan.

“Saya menyifatkannya sebagai satu kejutan yang menyenangkan kerana bank pusat sedang mendorong pendirian propertumbuhan kerajaan.

“Berita baiknya adalah inflasi global kini sedang mengalami penyusutan memandangkan rantaian bekalan global dibuka, dan ini diharapkan boleh ditunjukkan menerusi penurunan harga penghantaran, yang akan memberi manfaat kepada pengeksport Asean,” katanya.

Beliau juga yakin BNM memperoleh lebih banyak ruang gerak dasar selepas Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) memperlahankan kenaikan kadar kepada yang lebih rendah manakala ringgit yang lebih kukuh juga meredakan kebimbangan mengenai inflasi yang diimport.

“Pasaran dan ahli politik sama-sama seharusnya gembira dengan keputusan yang menyokong kadar faedah rendah ini,” katanya.

Begitu juga, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Firdaos Rosli berkata walaupun pendirian BNM itu mengejutkan, namun bank pusat juga mungkin mahu memastikan dasar monetari terus kekal akomodatif sekurang-kurangnya sehingga suku pertama atau mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari seterusnya pada Mac.

“Saya berpandangan penekanan BNM adalah lebih kepada pertumbuhan domestik berbanding dengan pertumbuhan luaran. OPR telah berada paras terendah sepanjang sejarah Malaysia, yang terbukti terutamanya semasa krisis seperti Krisis Kewangan Asia, Krisis Kewangan Global dan Krisis COVID-19. Kadar itu adalah akomodatif pada masa ini dan kemungkinan sukar untuk menormalkannya kepada kadar sebelum pandemik,” katanya.

Sementara itu, penyelidikan oleh MIDF menjelaskan BNM mengambil pendekatan tunggu dan lihat untuk menilai prestasi pasaran selepas peningkatan lebih 100 mata asas (bps) yang diputuskan pada tahun lepas.

“Bagaimanapun, kami yakin kemungkinan untuk menormalkan lagi dasar monetari itu masih kekal memandangkan data ekonomi domestik masih menunjukkan momentum yang memberangsangkan,” jelasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Cabang penyelidikan MIDF itu turut mengunjurkan kenaikan kadar sebanyak 25 bps kepada 3.00 peratus pada Mac 2023 dan untuk menormalkan Keperluan Rizab Berkanun BNM daripada 2.00 peratus kepada 3.00 peratus tahun ini.

“Dari perspektif jangka masa sederhana, normalisasi kadar dasar diperlukan untuk mengelakkan risiko yang boleh menjejaskan kestabilan prospek ekonomi masa depan seperti inflasi tinggi yang berterusan serta peningkatan keberhutangan isi rumah,” menurutnya.

Penyelidikan oleh OCBC Treasury pula mengulas bahawa keputusan bank pusat untuk menghentikan sementara kenaikan kdar faedah sebagai menarik kerana walaupun BNM telah menekankan pertumbuhan sebelum ini, ia turut mengambil berat mengenai risiko inflasi.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Ekonomi Digital Malaysia Cecah RM196 Bilion, Antara Paling Pantas Berkembang di Asia Tenggara

E-dagang berkembang 22%, penggunaan AI semakin meluas dan ekonomi digital Malaysia dijangka terus berkembang pada 2026.

Ekonomi digital Malaysia semakin berkembang pesat. Menurut laporan e-Conomy SEA 2026 yang diterbitkan oleh Google, Temasek dan Bain & Company pada 28 Oktober 2026, nilai ekonomi digital negara dijangka mencecah AS$48 bilion atau kira-kira RM196 bilion pada 2026.

Lebih menarik, pertumbuhan ini mencapai 20% berbanding tahun sebelumnya, sekali gus meletakkan Malaysia bersama Vietnam sebagai ekonomi digital yang berkembang paling pantas di Asia Tenggara.

Pertumbuhan ini bukan datang daripada satu sektor sahaja. E-dagang, pelancongan dalam talian, perkhidmatan kewangan digital, media dalam talian serta perkhidmatan penghantaran makanan dan pengangkutan semuanya menunjukkan perkembangan positif.

1. E-dagang Jadi Pemacu Utama Ekonomi Digital

Sektor e-dagang kekal sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi digital Malaysia.

Pada 2026, nilai transaksi barangan dan perkhidmatan yang dijual melalui platform digital dalam sektor ini dijangka mencecah AS$25 bilion atau sekitar RM102 bilion, meningkat 22% berbanding tahun sebelumnya.

Antara faktor yang mendorong pertumbuhan ini ialah penggunaan AI untuk membantu pengguna mencari produk, penjualan melalui video serta penggunaan sistem automatik yang memudahkan peniaga mengurus perniagaan.

Mudah kata, membeli-belah dalam talian bukan lagi sekadar membeli barang di platform e-dagang. Cara peniaga memasarkan produk dan cara pengguna membuat keputusan pembelian juga semakin berubah.

2. Pelancongan Dalam Talian Terus Berkembang

Sektor pelancongan dalam talian turut menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan pertumbuhan 15% kepada AS$12 bilion, bersamaan kira-kira RM49 bilion.

Kenaikan harga tiket penerbangan menjadi antara faktor yang meningkatkan nilai transaksi. Pada masa sama, permintaan terhadap pelancongan domestik dan antarabangsa serta penginapan premium turut menyokong pertumbuhan sektor ini.

Menariknya, AI kini semakin memainkan peranan dalam perancangan perjalanan. Pengguna bukan sahaja menggunakan media sosial untuk mencari destinasi percutian, malah mula bergantung pada platform AI untuk mendapatkan cadangan lokasi, menyusun jadual perjalanan dan merancang percutian.

3. Pembayaran Digital dan Pinjaman Dalam Talian Semakin Popular

Penggunaan perkhidmatan kewangan digital juga terus meningkat.

Nilai transaksi pembayaran digital di Malaysia berkembang 17% kepada AS$261 bilion. Ini menjadikan Malaysia pasaran pembayaran digital kedua terbesar di Asia Tenggara selepas Indonesia.

Sementara itu, baki pinjaman digital meningkat 22% kepada AS$18 bilion.

Pertumbuhan ini menunjukkan semakin ramai pengguna dan perniagaan menggunakan saluran digital untuk membuat pembayaran serta mendapatkan pembiayaan.

Bagi pengguna, urusan kewangan menjadi lebih mudah. Bagi perniagaan pula, perkhidmatan digital membuka peluang untuk mendapatkan pelanggan dan mengembangkan operasi dengan lebih meluas.

4. AI Bukan Lagi Sekadar Trend

Satu lagi dapatan menarik dalam laporan ini ialah penggunaan kecerdasan buatan atau AI dalam kalangan rakyat Malaysia.

Dianggarkan 17 juta rakyat Malaysia menggunakan AI generatif, bersamaan 68% daripada populasi bekerja. Angka ini meletakkan Malaysia di tempat kedua di Asia Tenggara dari segi penggunaan AI.

Pengguna di Malaysia juga aktif menggunakan AI untuk menghasilkan imej. Menurut laporan tersebut, satu daripada lima pengguna Gemini meminta platform itu menjana imej.

Namun, perkara yang lebih penting bukan sekadar berapa ramai yang menggunakan AI, tetapi sejauh mana teknologi ini digunakan dalam kehidupan dan pekerjaan seharian.

Secara purata, pengguna Malaysia melakukan sekitar 1.8 sesi AI seminggu. Dalam setiap sesi, mereka mencatatkan purata 13.9 pertukaran mesej atau arahan dengan AI, kedua tertinggi di rantau ini selepas Singapura.

Penggunaan AI dalam sektor korporat juga semakin matang. Laporan itu menganggarkan penggunaan AI oleh organisasi menyumbang sekitar 45% hingga 50% daripada keseluruhan penggunaan token AI di Malaysia.

Ini menunjukkan AI semakin digunakan untuk membantu menyelesaikan tugasan sebenar, bukan sekadar mencuba teknologi baharu.

5. Pelaburan AI dan Pusat Data Bakal Membuka Peluang Baharu

Perkembangan AI memerlukan infrastruktur yang kukuh, termasuk pusat data, pengkomputeran berprestasi tinggi dan perkhidmatan awan.

Malaysia sedang membangunkan ekosistem pusat data untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan AI dan pengkomputeran awan.

Di peringkat Asia Tenggara pula, pelaburan swasta dalam pengkomputeran dan infrastruktur AI mencecah AS$20 bilion atau kira-kira RM82 bilion dalam tempoh 12 bulan yang dilaporkan.

Lebih menarik, syarikat digital yang menjadikan AI sebagai teras produk mereka menerima sekitar 80% daripada jumlah pembiayaan swasta kepada syarikat digital dalam tempoh enam bulan terkini yang dikaji. Angka ini meningkat daripada kira-kira 30% pada separuh kedua 2024.

Laporan itu turut menjangkakan penggunaan AI di Asia Tenggara boleh meningkat sehingga 60 kali ganda menjelang 2030, berdasarkan jumlah token yang digunakan.

Bagi Malaysia, perkembangan ini membuka peluang kepada syarikat teknologi, penyedia pusat data dan perniagaan yang mampu menggunakan AI untuk meningkatkan produktiviti.

6. Sektor Digital Lain Turut Menunjukkan Pertumbuhan

Pertumbuhan ekonomi digital Malaysia bukan terhad kepada e-dagang dan AI sahaja.

Sektor media dalam talian berkembang 20% kepada AS$5 bilion, manakala sektor pengangkutan dan makanan meningkat 18% kepada AS$5 bilion.

Peningkatan ini menunjukkan aktiviti digital semakin meluas dalam pelbagai aspek kehidupan, daripada menonton kandungan dalam talian hinggalah menempah pengangkutan dan makanan.

Bagi perniagaan, perubahan ini membuka ruang untuk mencari pelanggan baharu, menawarkan perkhidmatan secara digital dan menggunakan data bagi memahami corak perbelanjaan pengguna.

7. Malaysia Perkenalkan Perlindungan Undang-undang untuk Pekerja Gig

Selain teknologi dan perniagaan, laporan ini turut menyorot perkembangan dalam sektor pekerjaan gig.

Malaysia menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang meletakkan ekonomi gig di bawah kerangka perundangan khusus menerusi Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872), yang mula berkuat kuasa pada 31 Mac 2026.

Akta ini meluaskan perlindungan undang-undang kepada lebih 1.6 juta pekerja gig, termasuk penghantar makanan, pemandu platform dan pekerja bebas digital.

Antara perlindungan yang dinyatakan dalam laporan ialah keperluan perjanjian perkhidmatan bertulis yang telus, caruman keselamatan sosial melalui PERKESO, larangan potongan bayaran yang tidak adil serta penubuhan Tribunal Pekerja Gig untuk menyelesaikan pertikaian.

Langkah ini penting kerana pertumbuhan ekonomi digital turut mengubah cara rakyat bekerja dan memperoleh pendapatan.

Kesimpulan: Peluang Besar untuk Perniagaan dan Pelabur

Secara keseluruhan, ekonomi digital Malaysia dijangka terus berkembang, disokong oleh e-dagang, pelancongan, pembayaran digital dan penggunaan AI.

Pada peringkat serantau, ekonomi digital Asia Tenggara diunjurkan mencapai AS$368 bilion atau kira-kira RM1.5 trilion pada 2026, dengan potensi mencecah AS$1 trilion menjelang 2035.

Bagi pelabur, perkembangan ini boleh membuka peluang dalam sektor seperti teknologi, pusat data, perkhidmatan awan dan pembayaran digital. Namun, pertumbuhan sesuatu sektor tidak semestinya menjamin keuntungan setiap syarikat. Penilaian saham, prestasi kewangan dan harga yang dibayar masih perlu dipertimbangkan.

Bagi usahawan pula, mesejnya jelas: perniagaan yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan digital dan memanfaatkan AI berpotensi memperoleh kelebihan daya saing.

Persoalannya sekarang bukan lagi sama ada ekonomi digital akan berkembang, tetapi siapa yang paling bersedia untuk mengambil peluang daripada pertumbuhan ini?

Sumber: Laporan e-Conomy SEA 2026 oleh Google, Temasek dan Bain & Company, diterbitkan pada 28 Oktober 2026.

Nota: Nilai dalam ringgit berdasarkan kadar pertukaran AS$1 = RM4.08 seperti yang dinyatakan dalam laporan. GMV merujuk kepada nilai kasar barangan dan perkhidmatan yang diniagakan melalui platform digital, manakala GTV merujuk kepada jumlah nilai transaksi. Kedua-duanya bukan ukuran hasil atau keuntungan syarikat.