Sektor Aeroangkasa Peroleh Kontrak Pembuatan Bernilai RM5.7 Bilion Dalam Masa Kurang 2 Tahun — Tengku Zafrul

LANGKAWI, 24 Mei (Bernama) — Sektor aeroangkasa Malaysia memperoleh kontrak pembuatan bernilai RM5.7 bilion untuk mengeluarkan bahagian-bahagian dan komponen pesawat bagi pelbagai pelanggan global sejak ekonomi dibuka semula secara berperingkat pada lewat 2021.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kementeriannya menjangkakan projek ini akan menyediakan lebih banyak peluang penyetempatan dan rantaian bekalan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan potensi nilai subkontrak sebanyak RM1 bilion. 

“Selain itu, lebih 500 pekerjaan berkemahiran tinggi baharu akan diperlukan untuk menyokong projek ini bagi tempoh dua tahun akan datang,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Tengku Zafrul berkata subsektor penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) telah menerima minat tinggi daripada pemain tempatan dan asing untuk mengembangkan perniagaan mereka di negara ini, atau menggunakan Malaysia sebagai hab pengembangan mereka di Asia Tenggara.

“Beberapa projek MRO yang melibatkan MRO berat dan komponen bernilai RM600 juta sedang dilaksanakan ketika ini dan apabila siap kelak, Malaysia akan dapat menawarkan lebih banyak perkhidmatan penyenggaraan asas yang mana komponen pesawat tertentu boleh dibaiki di dalam negara pada kadar yang lebih kompetitif dan masa pemulihan yang lebih cepat,” katanya.

Beliau berkata semua pencapaian itu dijangka menyumbang kira-kira 25 hingga 30 peratus peningkatan kepada RM15.3 bilion hasil industri yang diraih pada 2022.

“Kontrak pembuatan aeroangkasa juga akan menjana tambahan 15 hingga 20 peratus eksport bahagian-bahagian dan komponen aeroangkasa, yang berjumlah RM6.3 bilion pada 2022,” katanya.

Tengku Zafrul berkata kementeriannya sedang membuat perancangan jangka panjang dan meletakkan pemboleh yang sesuai di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu untuk turut memastikan sasaran Malaysia menjana pendapatan RM55.2 bilion dan 32,000 pekerjaan berkemahiran tinggi berkualiti tinggi dapat dicapai.

Kementerian itu juga telah meluluskan dua projek aeroangkasa bernilai RM146.75 juta melibatkan pembuatan aeroangkasa dan subsektor MRO pada 2022.

Pada masa hadapan, agensi di bawah MITI – Perbadanan Industri Aeroangkasa Kebangsaan Malaysia (NAICO) – akan membangunkan kerjasama strategik dengan pengeluar peralatan asli untuk meningkatkan rantaian bekalan aeroangkasa Malaysia dan memanfaatkan trend untuk membuat penyumberan luar kontrak aeroangkasa ke rantau Asia Tenggara.

“NAICO, melalui Pusat Kecemerlangan Aeroangkasa Malaysia, akan mengenal pasti dan memupuk PKS tempatan yang berpotensi untuk menjadi juara global, sambil turut membantu mengukuhkan kedudukan negara dalam rantaian bekalan aeroangkasa di seluruh dunia,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Setia Awan Jalin Kerjasama Strategik Bersama Jenama Runcit serta Makanan & Minuman Terkemuka Sempena Pelancaran Pusat Membeli-Belah Komuniti Pertama Di Bukit Ampang Permai

KUALA LUMPUR – Pemaju hartanah terkemuka, Setia Awan, hari ini secara rasmi telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) penting bersama sekumpulan rakan kongsi runcit dan gaya hidup. Majlis menandatangani perjanjian yang diadakan di Galeri Jualan Fona Vista itu melakar detik penting dalam pembangunan keseluruhan komuniti Bukit Ampang Permai, sekali gus memastikan bakal penduduk Fona Vista mendapat akses kepada kemudahan serta perkhidmatan premium di ambang pintu mereka.

Kolaborasi strategik ini menghimpunkan tujuh jenama terkemuka yang merangkumi sektor barangan runcit, penjagaan kesihatan, dan kuliner. Rakan-rakan kongsi ini termasuk B Grocer, Haji Basheer, CU Malaysia, Little Salty Café, Malaysia Chicken Rice (MCR), danAlpro Pharmacy. Pemilihan rakan kongsi yang dikuras dengan teliti ini mencerminkan komitmen Setia Awan dalam membina komuniti holistik yang mengutamakan keselesaan, kesihatan, dan kualiti hidup.

MoU ini menandakan hasrat bersama untuk menyepadukan jenama-jenama berkenaan ke dalam komponen komersial Avenue F yang bakal menyusul, iaitu pusat membeli-belah komuniti yang pertama di Bukit Ampang Permai. Pembangunan yang disasarkan siap menjelang Suku Ketiga (Q3) 2027 ini akan mewujudkan sebuah hab sosial yang rancak bagi komuniti Bukit Ampang Permai.

Melangkah ke hadapan, Setia Awan menyasarkan untuk membawa masuk gabungan pelbagai penyewa tambahan yang menarik bagi meningkatkan lagi kerancakan pusat membeli-belah tersebut serta memenuhi keperluan komuniti yang sentiasa berkembang.

“Majlis menandatangani perjanjian hari ini adalah lebih daripada sekadar pengaturan perniagaan; ia adalah satu langkah penting dalam menunaikan janji kami untuk mencipta nilai jangka masa panjang buat pemilik rumah kami,” kata Eric Chew, Ketua Pegawai Operasi – Projek, Setia Awan. “Melalui perkongsian dengan nama-nama terkemuka dan dipercayai seperti rakan kongsi kami hari ini kami memastikan gaya hidup di Bukit Ampang Permai adalah lancar dan sofistikated. Sambil itu kami terus mengalu-alukan lebih banyak jenama untuk menyertai kami, Avenue F benar-benar akan mentakrifkan semula keselesaan pinggir bandar dan kehidupan komuniti.”

Fona Vista merupakan projek kondominium lereng bukit bergaya pusat peranginan berkepadatan rendah yang terletak 145 meter di atas paras laut. Bersebelahan dengan Hutan Simpan Hulu Langat, ia menawarkan pemandangan hutan yang panoramik serta udara segar yang lebih nyaman, namun tetap berdekatan dengan Pusat Bandaraya Kuala Lumpur.

Selaras dengan strategi pertumbuhan agresif ini, Setia Awan juga baru-baru ini telah menandatangani perjanjian dengan Kumpulan Billion untuk dua projeknya di Melaka, sekali gus menawarkan kemudahan pilihan barangan runcit yang berkualiti kepada bakal penduduk. Momentum kolaborasi ini dijangka akan diperluaskan ke beberapa pembangunan akan datang di seluruh Lembah Klang, termasuk projek di Selayang dan Shah Alam, serta Tanjung Malim.

Untuk maklumat lanjut tentang Fona Vista, sila layari: fonavista.com.my. Untuk maklumat lanjut tentang Setia Awan, sila layari: setiaawan.com.