Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) Dikekalkan Lagi Pada 3.00%

Hari ini (11 Julai 2024) Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengumumkan bahawa kadar OPR kekal pada paras 3.00%. Ini kali ketujuh OPR dikekalkan sejak 6 Julai 2023.

Ada yang baru pertama kali dengar OPR ke? Kalau nak tahu lebih lanjut, jemput baca Apa Itu Kadar Dasar Semalaman Atau Overnight Policy Rate (OPR) Dan 3 Kesan Penurunannya.

Pernyataan Dasar Monetari

Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC) Bank Negara Malaysia membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) pada 3.00 peratus.

Ekonomi global terus berkembang berikutan keadaan pasaran pekerja yang berdaya tahan dan pemulihan perdagangan global yang berterusan. Pada masa hadapan, pertumbuhan global dijangka berkekalan kerana rintangan daripada dasar monetari yang ketat dan sokongan fiskal yang berkurang akan dibendung oleh keadaan pasaran pekerja yang positif serta inflasi yang terus menurun. Perdagangan global terus kukuh berikutan momentum peningkatan kitaran teknologi global yang berterusan. Inflasi keseluruhan dan inflasi teras global terus menurun pada bulan-bulan kebelakangan ini, dengan beberapa bank pusat mula melonggarkan dasar monetari mereka. Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan, disebabkan terutamanya oleh ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan dan volatiliti dalam pasaran kewangan global.   

Bagi ekonomi Malaysia, penunjuk terkini mencatatkan kegiatan ekonomi yang terus kukuh pada suku kedua tahun 2024. Hal ini didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dan prestasi eksport yang lebih baik. Pada masa hadapan, eksport dijangka disokong selanjutnya oleh peningkatan kitaran teknologi global berikutan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor serta eksport barangan bukan elektrik dan elektronik yang terus kukuh. Ketibaan dan perbelanjaan pelancong juga dijangka terus meningkat. Pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan berserta langkah-langkah dasar akan terus menyokong perbelanjaan isi rumah. Aktiviti pelaburan akan disokong oleh projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam yang sedang dijalankan, pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional serta lebih banyak pelaburan yang diluluskan kini direalisasikan. Prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran yang lebih lemah daripada jangkaan serta penurunan pengeluaran komoditi yang lebih besar. Sementara itu, pertumbuhan menjadi lebih tinggi berpunca terutamanya daripada limpahan peningkatan kitaran teknologi yang lebih besar, aktiviti pelancongan yang lebih giat serta pelaksanaan yang lebih pantas bagi projek sedia ada dan projek baharu.

Inflasi keseluruhan dan inflasi teras berpurata pada 1.8% pada lima bulan pertama tahun 2024. Seperti yang dijangka, inflasi akan lebih tinggi pada separuh kedua tahun 2024 berikutan rasionalisasi subsidi diesel baru-baru ini. Walau bagaimanapun, kenaikan inflasi masih terkawal berikutan langkah-langkah pengurangan yang dilaksanakan bagi meminimumkan kesan kos terhadap perniagaan. Pada masa hadapan, risiko inflasi yang lebih tinggi akan bergantung pada sejauh mana kesan limpahan dasar dalam negeri selanjutnya berhubung dengan subsidi dan kawalan harga kepada trend harga yang lebih luas serta perkembangan harga komoditi dan pasaran kewangan global. Bagi seluruh tahun 2024, inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka berpurata dalam julat yang diunjurkan sebelum ini iaitu masing-masing antara 2.0% hingga 3.5% dan 2.0% hingga 3.0%.

Nilai ringgit terus didorong terutamanya oleh faktor luaran iaitu jangkaan hala tuju dasar monetari ekonomi-ekonomi utama dan ketegangan geopolitik yang berterusan. Kesan positif daripada inisiatif terselaras oleh Kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (Government-Linked Companies, GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (Government-Linked Investment Companies, GLIC) serta libat urus syarikat korporat terus membendung tekanan terhadap ringgit. BNM akan terus menguruskan risiko yang berpunca daripada volatiliti pasaran kewangan yang ketara. Pada tempoh jangka sederhana, pembaharuan struktur dalam negeri akan memberikan sokongan yang lebih berpanjangan kepada ringgit.

Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan adalah konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan. MPC tetap berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian trajektori inflasi dan trajektori pertumbuhan dalam negeri. MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil.

Keputusan dasar OPR dari awal 2023 sehingga Julai 2024.

Paras OPR Tertinggi Ialah 3.50% Pada Bulan April 2006

Pada masa itu, ekonomi sedang berkembang dengan stabil, inflasi IHP adalah pada 4.6% dan OPR yang lebih tinggi diperlukan bagi menguruskan risiko harga yang lebih tinggi.

Paras OPR Terendah Ialah 1.75% (Julai 2020 – Mei 2022)

Paras OPR terendah ialah 1.75% pada bulan Julai 2020 hingga Mei 2022 bagi menyokong ekonomi semasa pandemik COVID-19. Pada tempoh sukar, kadar faedah yang rendah menyebabkan kos pinjaman lebih rendah dan mengurangkan pulangan atas simpanan. Hal ini akan merangsang perbelanjaan, meningkatkan pelaburan serta melindungi pekerjaan dan pendapatan semasa krisis.

Paras OPR Julai Tahun Lepas (2023) Ialah 3.00%

Setahun yang lalu, paras OPR buat pertama kali kekal kepada 3.00% setelah naik 0.25% pada bulan Mei 2023. Pada masa itu, pertumbuhan global terus terjejas disebabkan oleh inflasi teras yang berlarutan dan kadar faedah yang lebih tinggi. Inflasi keseluruhan terus menurun berikutan faktor kos yang lebih rendah. Meskipun inflasi teras juga menjadi sederhana, inflasi tersebut kekal tinggi berbanding dengan purata jangka panjang berikutan faktor permintaan dan kos yang berlarutan. Ketika itu, pendirian dasar monetari kekal agak akomodatif dan terus menyokong pertumbuhan ekonomi.

Mengapakah harga masih tinggi meskipun inflasi telah berkurang?

  • Harga lebih tinggi yang berlaku sekarang merupakan isu global. Meskipun inflasi telah berkurang, hal ini tidak bermaksud harga akan menjadi lebih rendah. Sebaliknya, harga meningkat pada kadar yang lebih perlahan.
    • Inflasi yang rendah penting untuk mewujudkan persekitaran makro ekonomi yang kukuh dan kondusif.
  • Tambahan lagi, Kerajaan telah mencadangkan pembaharuan struktur bagi menggalakkan upah yang seterusnya akan mengukuhkan kuasa beli pengguna bagi menghadapi peningkatan kos sara hidup.
  • Berbanding dengan negara lain, kenaikan harga tidak begitu melampau di Malaysia. Negara kita mempunyai dasar subsidi bahan api bersasar dan kawalan harga yang menyebabkan inflasi masih rendah. Walau bagaimanapun, langkah-langkah seperti ini boleh menyebabkan negara menanggung kos yang besar. Hal ini kerana Kerajaan perlu terus menanggung jumlah yang banyak untuk memastikan harga terus rendah.
  • Tindakan ini mengurangkan jumlah yang boleh diperuntukkan oleh Kerajaan untuk perbelanjaan yang lebih produktif atau memberikan bantuan dalam bentuk lain, terutamanya kepada golongan yang paling memerlukan.

Bagaimanakah kenaikan kadar faedah boleh memberikan kesan kepada saya?

Kadar faedah yang lebih tinggi bertujuan untuk menggalakkan orang ramai kurang meminjam dan lebih banyak menyimpan.

Jika anda mempunyai pinjaman, kesannya bergantung pada jenis pinjaman yang diambil.

Pinjaman berkadar tetap tidak akan terjejas.
Jumlah yang anda bayar balik kepada bank akan kekal sama. Lazimnya, kadar ini digunakan untuk pinjaman kereta.

Jika anda mempunyai pinjaman berkadar terapung, kos peminjaman akan meningkat.
Hal ini bermakna bayaran ansuran bulanan anda akan menjadi lebih tinggi. Lazimnya, kenaikan kadar ini akan memberikan kesan pada pinjaman perumahan dan sesetengah pinjaman peribadi. Bagi peminjam individu, kadar faedah pinjaman anda akan meningkat pada jumlah yang sama seperti kenaikan OPR.

Contohnya, jika OPR dinaikkan sebanyak 25 mata asas, kadar faedah bagi pinjaman perumahan anda juga akan meningkat kepada 3.75% sekiranya kadar sebelum ini ialah 3.50%. Ansuran pinjaman anda akan meningkat seiring dengan kadar faedah yang lebih tinggi.

Kesan peningkatan OPR.

Bila semakan OPR seterusnya?

Mesyuarat Seterusnya Jawatankuasa Dasar Monetari ialah pada  4 & 5 September 2024.

Ramai sangat give up dalam saham. Kawan-kawan kami pun ramai dah give up.

Tapi kenapa give up?

Sebab kita sibuk mencari rahsia, teknik, indikator dan terlalu cepat nak kaya.

Bila dah rugi, mulalah salahkan cikgu, mentor, sifu yang ajar kita.

Hidup ni tak perlu complicated sangat.

Dan tak perlu pun tengok saham ni setiap masa. Yang penting kita tahu caranya dan aplikasikan dengan betul.

Kami suka kongsikan kaedah Swing ini sebab:

  • Kita tak perlu melekat di screen
  • Kita boleh bekerja seperti biasa
  • Kurang risiko untuk rugi
  • Set siap-siap bila nak jual saham tu
  • Kurang stress

Insya-Allah berbaloi……
Sesi baharu BAKAL dibuka!! Pra-daftar dahulu untuk dapat diskaun Early-Bird dan jadi terawal yang dapat info.

Previous ArticleNext Article

SME Corp. Malaysia Dan SMEDA, Pakistan Jalin Kerjasama Lonjak Pertumbuhan Signifikan PKS

KUALA LUMPUR, 8 Oktober 2025 – YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia dan TYT Muhammad Shehbaz Sharif, Perdana Menteri Pakistan telah menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara SME Corp. Malaysia dan Small and Medium Enterprise Development Authority (SMEDA), Pakistan pada 6 Oktober 2025 di Putrajaya. Pertukaran MoU di antara YBrs. Encik Rizal bin Dato’ Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia dan TYT Syed Tariq Fatemi, Special Assistant to the Prime Minister of Pakistan on Foreign Affairs ini adalah bersempena Lawatan Rasmi Perdana Menteri Pakistan ke Malaysia dari 5 hingga 7 Oktober 2025.

1 MoU ini mewujudkan rangka kerja asas untuk mengukuhkan hubungan dua hala dan mempercepat pembangunan PKS di kedua-dua negara. Kerjasama ini menumpukan kepada perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik terutamanya dalam pendigitalan, kelestarian dan akses pasaran. Matlamat kedua-dua organisasi adalah untuk mewujudkan persekitaran lebih kondusif yang membolehkan PKS di kedua-dua negara dipertingkat untuk menjadi lebih berdaya saing dan menyumbang dengan signifikan kepada pembangunan ekonomi.

Pemeteraian MoU antara Malaysia dan Pakistan ini membuka potensi pertumbuhan yang kukuh untuk PKS kedua-dua negara. Dengan populasi penduduk Pakistan yang besar dan muda, kemajuan urbanisasi serta pembangunan infrastruktur yang berterusan, ianya menyumbang kepada perkembangan permintaan pasaran seperti makanan dan minuman halal, produk pengguna, pemprosesan tani, pakaian sopan (modest wear) dan teknologi bersih (clean technology). Kekuatan Malaysia dalam pensijilan halal dan inovasi digital juga memberikan kelebihan daya saing kepada PKS untuk menawarkan produk dan perkhidmatan premium.

“Kami melihat potensi besar untuk PKS Malaysia ke pasaran Pakistan. Ini termasuk dalam bidang yang mempunyai kelebihan daya saing berikutan peningkatan permintaan di Pakistan seperti pakaian sopan (modest wear) berjenama, perkhidmatan platform (platform services), pendidikan kanak-kanak, pertanian lestari dan penyelesaian penjagaan kesihatan yang diterajui PKS”, menurut YBrs. Encik Rizal.

MoU ini menandakan komitmen padu kedua-dua negara dalam mengukuhkan hubungan ekonomi dan menyediakan sokongan untuk pertumbuhan dan kemakmuran PKS. SME Corp. Malaysia kekal komited menggalakkan pembangunan PKS yang berdaya saing, inovatif dan berdaya tahan melalui penyelarasan yang berkesan dan penyediaan sokongan perniagaan, yang kini bakal dipertingkat melalui kerjasama antarabangsa strategik dengan SMEDA, Pakistan.