United Kingdom Kini Sah Sertai CPTPP, Jadi FTA Pertama Dengan Malaysia

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) — United Kingdom (UK) hari ini secara rasmi menyertai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang turut dianggotai oleh Malaysia serta 11 negara pengasas lain, sekali gus menjadi perjanjian perdagangan bebas (FTA) pertama UK-Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz telah mewakili Malaysia pada majlis pemeteraian Protokol Penyertaan yang berlangsung di Auckland, New Zealand sempena Mesyuarat Suruhanjaya Menteri-Menteri CPTPP Ke-7.

Mengulas perkara itu, Tengku Zafrul berkongsi harapan Malaysia untuk melihat impak manfaat bagi kalangan pengeksport dan perniagaan berikutan sejurus pelaksanaannya, eksport Malaysia akan terus menikmati aspek layanan istimewa bebas cukai membabitkan 94 peratus daripada garis tarif.

Ini termasuk eksport dengan kepentingan tertentu khususnya minyak sawit, koko, getah, elektrik dan elektronik serta bahan kimia, katanya dalam satu kenyataan.

“Langkah UK memeterai Protokol Penyertaan itu adalah tepat pada masanya kerana memberi petunjuk jelas kepada dunia mengenai manfaat menjadi anggota CPTPP termasuk dari segi komitmen pihak terbabit ke arah sistem dagangan pelbagai hala yang terbuka, berasaskan peraturan serta liberal.

“Malah, penyertaan UK itu juga membuktikan wujudnya permintaan serta nilai sebenar bagi perjanjian dengan standard tinggi ini,” katanya.

Selain detik bermakna itu, Malaysia turut menyertai negara anggota CPTPP lain dalam meraikan penguatkuasaan perjanjian itu bagi Chile pada 21 Feb, 2023 dan Brunei Darussalam pada 12 Julai, 2023.

Pada mesyuarat itu juga, Tengku Zafrul berkata beliau telah menegaskan pengesahan berterusan Malaysia terhadap standard CPTPP yang tinggi serta penekanan kepentingan berkaitan semakan semula dalam menyokong usaha memanfaatkan perjanjian itu secara maksimum, terutama oleh perniagaan serta rakyat Malaysia.

Jelas beliau, ini termasuk menggalakkan usaha penyepaduan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) secara kukuh ke dalam rantaian bekalan global.

Beliau berkata, kalangan menteri terbabit turut membincangkan peluang yang boleh ditinjau serta pengukuhan perjanjian tersebut dalam bidang seperti ekonomi digital dan hijau, dengan mengambil kira perkembangan aspek itu di peringkat global.

“Barisan menteri-menteri itu juga menyatakan sokongan terhadap usaha memperluas CPTPP kepada ekonomi yang komited terhadap objektif perjanjian serta pematuhan penuh peraturan standard tinggi dan komitmen bagi akses pasaran yang komprehensif.

“Turut dibincangkan adalah kemajuan pelaksanaan dan kerjasama pihak terbabit di bawah CPTPP serta aspek hala tuju dari segi proses penyertaan ekonomi yang berminat,” katanya.

Malaysia telah bertindak memuktamadkan perjanjian CPTPP pada September 2022 dan menjadi anggota kesembilan daripada 11 negara yang meratifikasi perjanjian berkenaan.

Dokumen yang sebelum ini dikenali sebagai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik, telah ditandatangani pada 2018 oleh negara-negara termasuk Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Jenama Continental: General Tire Secara Rasminya Dilancarkan di Malaysia

Kuala Lumpur, 1 Oktober 2025 – Continental Tyre Malaysia dengan bangganya mengumumkan pelancaran rasmi jenama General Tire di pasaran Malaysia. Dikenali dengan ketahanan dan prestasi yang boleh dipercayai, General Tire direka untuk memenuhi keperluan pemandu Asia merentasi kereta penumpang, SUV, MPV dan 4×4 pickups.

General Tire mempunyai warisan lebih 100 tahun dan menjadi sebahagian daripada Continental sejak tahun 1987 sebagai sub-jenama. General Tire menggabungkan legasi ketahanan serta kebolehpercayaan dengan teknologi Jerman terkini daripada Continental untuk menghasilkan tayar yang direka untuk prestasi tahan lama.

Fasa pertama rangkaian produk General Tire, khusus untuk pemandu Malaysia termasuklah:

Rangkaian ProdukCiri-ciriSaiz Tire
Altimax GC5Bunyi rendah, pemanduan selesa, dan penggunaan bahan api yang efisien14” –  15”
Altimax GS6Pemanduan senyap, cengkaman kukuh, jarak brek lebih pendek, dan jangka hayat tayar lebih lama15” – 19”
Grabber AT6Pemanduan di luar jalan raya yang mantap, dan bunyi rendah16” – 18”
Grabber HT6Keteguhan cengkaman brek di jalan basah, selesa, dan jangka hayat lebih lama 16” – 20”

Kesemua model ini merangkumi saiz tayar dari 14” hingga 20”, memenuhi keperluan pelbagai jenis kenderaan, daripada kereta penumpang sehinggalah SUV dan 4×4 pickups. General Tire mensasar untuk menghasilkan tayar yang boleh dipercayai oleh para pemandu, dengan prestasi yang cemerlang dan tahan lasak, sambil memastikan nilai yang berbaloi untuk pelanggan.

“Pelancaran General Tire di Malaysia menandakan langkah penting dalam menawarkan gabungan ketahanan, prestasi dan gaya dengan nilai harian yang tepat kepada pelanggan. Kami amat teruja untuk mengetengahkan jenama ini, yang disokong oleh kepakaran Jerman daripada Continental, kepada para pemandu yang mengutamakan prestasi dan keselamatan dalam setiap perjalanan,” kata Andrea Somorova, Pengarah Urusan Continental Tyre Malaysia.

General Tire bukan sekadar tayar. Ia mengubah setiap pemanduan menjadi satu pengalaman baharu. Jenama ini menyasarkan pemandu yang menikmati kebebasan untuk meneroka, mencari pengembaraan tanpa batasan, dan bergantung kepada tayar yang boleh dipercayai.

Dengan rangkaian produk yang luas kini tersedia di Malaysia, General Tire berazam untuk mengembangkan kehadirannya ke seluruh negara, disokong oleh pemasaran yang menyeluruh dan bersepadu melalui platform digital serta rangkaian pengedar Continental.

Tayar-tayar ini boleh didapati melalui pengedar sah Continental di seluruh negara, serta melalui Kedai Rasmi Continental di Shopee, TNG eWallet, dan Lazada. Untuk maklumat lanjut mengenai General Tire dan ketersediaan produk, layari laman web kami https://www.generaltire-tyres.com/my/en/, dan ikuti kami di Facebook.