Pembaharuan Kewangan Islam – Bukan Hanya Sekadar Pematuhan Syariah

Islamik banking vs konvensional


LONDON, 18 Sept  (Bernama) — Kewangan Islam era moden mula bertapak di Malaysia pada 1963 dengan penubuhan Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji (kini dikenali sebagai Lembaga Tabung Haji), yang merupakan pusat kepada transformasi sistem kewangan berasaskan Syariah di Malaysia.

Sejak itu, Malaysia telah melalui pelbagai fasa pembangunan dan pengembangan ekosistem kewangan Islam berikutan peningkatan kesedaran dalam kalangan umat Islam di Malaysia dan global pada era 1970-an untuk menyepadukan nilai dan tradisi Islam ke dalam kehidupan seharian mereka, termasuk aspek kewangan.

Dari awal 1980-an sehingga hari ini, Malaysia menyaksikan penubuhan bank Islam pertamanya, Bank Islam Malaysia Bhd (1983), pengendali takaful pertama, Syarikat Takaful Malaysia Bhd (1984), penerbitan sukuk pertama (sukuk Shell MDS pada 1990) serta penggubalan Akta Perbankan Islam 1983, Akta Pelaburan Kerajaan 1983 dan Akta Takaful 1984 untuk memudahkan operasi kewangan Islam.

 Usaha diteruskan dengan pengenalan Garis Panduan Rangka Kerja Tadbir Urus Syariah bagi Institusi Kewangan Islam oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Pelan Induk Sektor Kewangan 2001-2010, serta penubuhan Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) dan Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA) sepanjang era milenium.

Kewangan Islam diterima secara meluas

Walaupun kewangan Islam kini diterima secara meluas di Malaysia dan di negara lain, Pengerusi Majlis Kepimpinan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) Tan Sri Azman Mokhtar berkata banyak lagi yang perlu dilakukan selain daripada pematuhan syariah.

Bercakap kepada BERNAMA selepas Forum Perniagaan MIFC-United Kingdom (UK) di sini, minggu lepas, Azman berkata antara isu utama yang dihadapi masyarakat ialah akses kepada pembiayaan, ketidaksamaan ekonomi, pemerkasaan kewangan, kemampanan iaitu perubahan iklim, kemanusiaan, standard buruh, penghijrahan dan pelarian.

Beliau berkata kewangan Islam boleh menangani isu ini secara berkesan sekiranya dilakukan dengan betul. 

“Alhamdulillah, (penerimaan kewangan Islam dan penubuhan sistem pematuhan Syariah) telah membawa kita ke tahap ini tetapi masih belum mencukupi untuk membawa kita melangkaui daripadanya iaitu laluan masa depan bagi ekosistem kewangan Islam. Dunia sendiri sedang bergelut dan isu-isu ini bersifat universal; ia bukan hanya isu yang dikaitkan dengan orang Islam semata-mata.

“Apa yang kita lihat hari ini (di forum perniagaan minggu lepas), antara lain, ialah kerjasama antarabangsa. Islam sepatutnya untuk semua umat manusia. Walaupun UK, sebagai contoh, mempunyai banyak kekuatan, mereka juga mencari idea, dan sejujurnya, bentuk hala tuju etika dalam Islam mempunyai kelebihan besar,” katanya.

Menggunakan Keluk-S (S-Curve) sebagai rujukan, bekas ketua Khazanah itu berkata perubahan tidak mengikut garisan lurus dan dalam persekitaran yang dinamik, apabila Keluk-S mula mendaki, ia biasanya bermaksud permulaan kepada penurunan.

“Sebelum kita menurun, yang kita rasa akan berlaku sekarang, kita perlu melihat bahagian kedua Keluk-S, iaitu tentang masa depan. Jadi dalam bahasa laporan kami (Kertas Akademik), kami membicarakan tentang keperluan untuk Islah, iaitu pembaharuan dan pemulihan.

Bersiap sedia untuk masa depan

Merujuk kepada Keluk-S sebagai Keluk Islah, Azman berkata keluk seterusnya untuk kewangan Islam mesti berusaha untuk mewujudkan sistem yang lebih dipacu Syariah, keputusan dan impak berlandaskan Syariah yang lebih mengikut kepada prinsip Maqasid Al-Syariah dan konsep berkaitan, termasuk beralih daripada ekosistem halal kepada ekosistem halalan toyyiban.

“Justeru, kami (MLC) menekankan tujuh prinsip perubahan dalam Kertas Akademik itu dan kami mengambil pendekatan pragmatik dan bukannya pendekatan keras. Kita semua tahu riba adalah haram tetapi apa yang akan kita lakukan mengenainya? Walaupun penting untuk bersikap pragmatik, kita juga tahu hujah teknikal darurah (darurat) dan maslahah (kepentingan awam),” katanya.

Di bawah tujuh prinsip itu, kertas tersebut menggariskan 10 tema dan anjakan yang diperlukan bagi memberi gambaran mengenai keluk Islah itu dari segi menjalankan amalan yang berbeza berbanding ketika ini.

“Ia termasuk meningkatkan pembentukan modal risiko ekuiti, meluaskan dan mendalami modal dermawan, rangkuman dan akses kewangan lebih banyak, pemerkasaan individu dan masyarakat melalui instrumen kewangan Islam, memanfaatkan teknologi dan inovasi lebih baik dalam kewangan Islam dan menambah baik penciptaan bakat serta dalam pembangunan institusi dan kapasiti.

“Sudah tiba masanya untuk kita menyampaikan dengan lebih tepat mengenai apa yang perlu dilakukan dari struktur (sudut pandangan). Satu-satunya perkara yang masih boleh menjadi penghalang ialah perbezaan antara kewangan Islam dan konvensional…ramai orang telah tidak dapat membezakannya.

Risiko dan ganjaran

Menurut Azman, perbezaan utama dalam isu ekonomi dan pelaburan dalam kewangan Islam adalah risiko dan ganjaran malahan sebenarnya tidak ada perkara seperti pelaburan tanpa risiko kerana pulangan tanpa risiko secara teknikal adalah riba yang juga dikatakannya sebagai satu bentuk penindasan.

Keduanya, beliau berkata ciri-ciri kewangan Islam adalah lebih kepada menyokong dan bukannya menghukum dan tidak semua institusi kewangan mematuhi perkara ini, sambil memberi contoh, HSBC Amanah mula beroperasi di Malaysia pada Ogos 2008.

“Mereka (bank itu) mengatakan ramai pelanggan HSBC Amanah adalah orang bukan Islam. Anda tahu kenapa? Mereka mendapati ia kelihatan sama (antara kewangan konvensional dan Islam) tetapi apabila berlaku masalah, ia adalah berbeza.

“Ini kerana kewangan Islam bukan untuk menghukum, kami menyokong. Contohnya kami tidak mengenakan faedah penalti. Atau, jika ada caj pentadbiran, ada hadnya. Ini perbezaannya. Sudah tentu, jika semuanya lancar, anda tidak nampak perbezaannya,” jelasnya.

Perbezaan ketiga ialah sumber dan penggunaan dana perlu halal, mendapat keizinan atau lebih daripadanya.

Keempat ialah pengertian rahmah iaitu mengenai belas ehsan dan kebajikan.

“Kewangan Islam secara amnya adalah satu cara untuk membantu menyokong ekonomi sebenar. Aktiviti ekonomi sebenar perlu produktif, ia tidak boleh mendatangkan mudarat, sebab itu ada halal dan haram,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

7 Strategi Realistik Capai Kesenangan Hidup Masa Hadapan

Kesenangan hidup sering disalah tafsir sebagai kemewahan atau kemapanan kewangan yang luar biasa. Namun, kesenangan yang sebenar ialah kebebasan untuk membuat pilihan hidup yang sejajar dengan nilai diri sendiri, tanpa tekanan luar, dan dengan ketenangan yang stabil.

Berikut adalah tujuh strategi yang bukan sekadar teori klise, tetapi langkah praktikal dan berimpak tinggi untuk anda yang serius mahu membina masa depan yang lebih tenang dan tersusun.

1. Pilih Gaya Hidup Berdasarkan Nilai, Bukan Trend

Ramai orang hidup mengejar status sosial atau pengiktirafan masyarakat, tanpa sedar mereka sedang menggadai ketenangan sebenar. Contohnya, membeli rumah besar semata-mata kerana orang lain melakukannya, atau melancong untuk dipaparkan di media sosial, bukan kerana ia memenuhi keperluan jiwa sendiri.

Kesenangan bermula apabila kita hidup berdasarkan prinsip dan keutamaan peribadi, bukan tekanan sosial.

Tindakan penting:

Tanya diri sendiri, “Apakah erti hidup senang bagi saya secara peribadi?”

Gunakan jawapan itu sebagai asas untuk membuat keputusan kewangan dan gaya hidup.

2. Bina Pendapatan Yang Tidak Bergantung Pada Masa dan Tenaga Diri

Masa depan yang tenang bermula apabila duit bekerja untuk kita, bukan hanya kita yang bekerja untuk duit. Ini bukan bermakna berhenti kerja, tetapi mula membina sekurang-kurangnya satu sumber pendapatan yang boleh menjana hasil tanpa perlu kehadiran fizikal kita setiap masa.

Antara contoh:

– Pelaburan hartanah yang memberi hasil sewaan

– Produk digital seperti eBook, kursus atau template

– Saham patuh syariah yang konsisten beri dividen

Matlamat utama: Kurangkan kebergantungan sepenuhnya pada gaji tetap.

3. Bina Sistem Hidup Yang Terurus dan Automatik

Kesenangan tidak semestinya datang daripada lebih banyak usaha, tetapi daripada sistem yang membantu kita mengurus hidup dengan lebih baik.

Contohnya:

– Bahagikan gaji secara automatik ke lima akaun berasingan: keperluan, simpanan, pelaburan, sumbangan, dan hiburan

– Guna aplikasi untuk memantau bajet, tabiat, atau penggunaan masa

– Jadualkan hari rehat dan refleksi kehidupan setiap tiga bulan

Hidup yang tersusun menjadikan minda lebih lapang dan tekanan lebih terkawal.

4. Gunakan Kaedah Perspektif 10-10-10 Untuk Buat Keputusan Besar

Setiap keputusan besar dalam hidup wajar dinilai dengan perspektif jangka panjang. Tanya soalan ini sebelum buat keputusan besar:

“Apa kesan keputusan ini dalam 10 hari, 10 bulan, dan 10 tahun akan datang?”

Contoh aplikasi:

– Pilih kerjaya berdasarkan potensi jangka panjang, bukan hanya gaji semasa

– Nilai kesan berpindah tempat tinggal terhadap keluarga dan kesihatan

– Tentukan bila masa sesuai untuk membeli rumah atau terus menyewa

Perspektif yang jauh mengurangkan risiko penyesalan besar dalam hidup.

5. Asah Satu Kemahiran Unik Yang Relevan Sepanjang Hayat

Tidak semua kemahiran dicipta sama. Pilih satu kemahiran yang:

– Jarang dimiliki ramai

– Tinggi nilai di pasaran

– Anda minat dan sanggup asah dalam jangka masa panjang

Contohnya: penulisan strategik, pengaturcaraan (coding), komunikasi pitching, analisis kewangan, atau jualan produk bernilai tinggi.

Kemahiran yang tepat boleh membuka pintu kepada lebih banyak peluang dan menjadikan anda lebih bebas untuk memilih projek, bukan terikat pada kerja semata-mata.

6. Latih Diri Untuk Tahan Ketidakselesaan Sementara

Kebebasan masa hadapan memerlukan disiplin untuk menanggung ketidakselesaan sekarang. Ini termasuk:

– Belajar tentang pelaburan walaupun terasa mencabar

– Menolak tawaran kerja dengan gaji tinggi jika tidak selari dengan nilai hidup

– Menangguhkan pembelian besar demi simpanan atau pelaburan

Sikap ini membina ketahanan kewangan dan emosi, asas penting untuk kestabilan jangka panjang.

7. Sediakan Pelan Hidup Untuk Situasi Luar Jangka

Dalam dunia yang tidak menentu, kita perlu bersedia untuk menghadapi situasi yang tidak dirancang. Bina pelan fleksibel jika:

– Anda kehilangan kerja secara tiba-tiba

– Ibu bapa jatuh sakit dan memerlukan penjagaan

– Kesihatan anda menghalang kemampuan untuk bekerja

Rancang dana kecemasan, pelan insurans, dan struktur sokongan awal. Ini bukan semata-mata soal kewangan, tetapi membina ketenangan bila menghadapi ujian.

Jadi, kesenangan hidup sebenar bukan terletak pada jumlah harta atau kemewahan yang dipamerkan. Ia terletak pada sejauh mana kita bebas membuat pilihan hidup yang sejajar dengan nilai dan keutamaan diri sendiri, walaupun dunia berubah. Ia tentang rasa cukup, bukan semata-mata memiliki banyak.

Dengan strategi yang betul, konsisten dalam tindakan dan pemikiran yang jelas, kesenangan masa hadapan bukan mustahil ia hanya menunggu untuk dibina, satu hari demi satu hari.