Agrobank Tawar Moratorium Pada Pelanggan Terjejas Banjir

KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) — Agrobank hari ini manawarkan moratorium sehingga enam bulan dan penjadualan serta penstrukturan semula pembiayaan kepada pelanggannya yang terkesan dengan bencana banjir.

Kedua-dua inisiatif tersebut terkandung dalam Pelan Bantuan Banjir yang diumumkan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

Beliau berkata sebagai institusi kewangan pembangunan (IKP) yang prihatin, pihaknya bertanggungjawab untuk memastikan pelanggannya dilindungi dan dibantu dengan sewajarnya. 

“Pelanggan kami adalah keluarga kami dan seluruh kakitangan Agrobank amat bersimpati dengan nasib yang menimpa mereka kerana terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran akibat bencana banjir yang melanda kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata Pelan Bantuan Banjir telah dirangka khas untuk membantu pelanggannya membangunkan semula perniagaan sekali gus memberi ruang mengatur semula rancangan perniagaan masing-masing.

“Selain daripada dua tawaran yang dinyatakan, Agrobank turut memberikan pengecualian caj bagi penggantian kad ATM dan buku simpanan yang telah musnah disebabkan banjir. 

“Bagi pelanggan yang layak, mereka boleh memohon untuk mendapatkan kemudahan yang ditawarkan ini menerusi borang yang disediakan di laman sesawang Agrobank,” katanya menerusi satu kenyataan sempena lawatan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu ke Ibu Pejabat Agrobank, hari ini.

Sementara itu, Mohamad Sabu berkata pelan yang dirangka oleh Agrobank diharap dapat meringankan beban yang dihadapi oleh mangsa banjir serta memastikan nasib komuniti agropreneur terbela. 

“Ini bagi membolehkan pembangunan perniagaan pertanian mereka terjamin sekali gus meningkatkan kemampanan sosioekonomi komuniti pertanian serta membangunkan kestabilan sekuriti makanan negara,” katanya. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.