Bursa Malaysia Lancar Program Transformasi PLC

Bursa Malaysia Berhad (“Bursa Malaysia”) hari ini melancarkan Program Transformasi Syarikat Awam Tersenarai (“PLC”) yang telah dirasmikan oleh Menteri Kewangan, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz. Objektif Program Transformasi PLC ini adalah untuk membantu menaikkan pencapaian Korporat Malaysia dan meningkatkan daya tarikan PLC di Malaysia.

Program yang akan berlangsung sehingga 2025 ini bertujuan untuk memacu PLC ke arah strategi pertumbuhan dan meningkatkan prestasi syarikat. Selain meningkatkan kedudukan dan daya tarikan PLC, program ini juga akan menjadi pemangkin dalam meningkatkan daya saing pasaran berbanding bursa lain di rantau ini. Pada dasarnya, program ini akan membantu PLC mencapai tahap prestasi yang lebih tinggi menerusi perkongsian amalan-amalan baik, libat urus yang dipertingkatkan serta amalan ketelusan yang lebih tinggi.

Program Transformasi PLC adalah berteraskan lima buku panduan digital, berdasarkan prinsip utama untuk memupuk PLC yang:

• Berpaksikan Tujuan dan Prestasi;
• Berkembang sebagai Organisasi yang Mampan, Bertanggungjawab Secara Sosial dan Beretika;
• Menambahbaik Pengurusan Pihak Berkepentingan dan Hubungan Pelabur;
• Menggalakkan Penggunaan Digital; dan
• Menyumbang ke arah Pembinaan Negara secara keseluruhan.

Kesemua buku panduan digital ini akan dikeluarkan secara berperingkat, pada tahun 2022.

“Memandangkan PLC merupakan antara pemacu utama dalam membina ekonomi Malaysia yang berdaya tahan, pemerkasaan PLC amat penting bagi meningkatkan daya saing mereka, dan bagi menarik minat pelabur dalam pasaran modal kita,” kata YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz. “Melalui buku-buku panduan Bursa Malaysia dan inisiatif lain yang akan dilaksanakan, Program Transformasi PLC bertujuan membantu PLC dalam mengenal pasti bidang pembangunan yang sejajar dengan aliran global utama dan jangkaan pelbagai pihak berkepentingan. Usaha ini pastinya akan meningkatkan kebolehlaburan PLC, khususnya apabila tema seperti Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus semakin menjadi tumpuan dalam kalangan pelabur global.”

“Penurunan keuntungan PLC beberapa tahun kebelakangan ini mengetengahkan keperluan yang jelas bagi PLC untuk menjalani transformasi yang bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan prestasi mereka, tetapi juga untuk memastikan masa depan mereka cerah memandangkan persaingan global semakin sengit,” kata Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar. “Kami yakin bahawa program ini akan memberi manfaat bukan sahaja kepada Korporat Malaysia, tetapi ia juga akan mengeluarkan beberapa hasil positif yang antara lain akan meningkatkan keyakinan terhadap pasaran serta membantu memulihkan ekonomi Malaysia secara keseluruhan.”

“PLC mesti tangkas bertindak dalam landskap ekonomi yang sangat mencabar, sambil mengekalkan fokus pada hasil yang mampan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift. “Jika PLC yang mengambil bahagian komited dalam mempraktikkan amalan terbaik serta memberi tumpuan kepada pertumbuhan, kami percaya bahawa Program Transformasi PLC akan membantu meningkatkan kedudukan PLC kami.”

Sepanjang program ini, webinar dan libat urus juga akan dilaksanakan oleh Peneraju Program, untuk menggalakkan dan membantu PLC ke arah prestasi kewangan yang mampan dan teguh. Walaupun Program Transformasi PLC tidak bersifat preskriptif, usaha dan kemajuan PLC akan dipantau melalui papan pemuka digital bagi menggalakkan ketelusan dan pencapaian.

“Sokongan daripada peneraju industri dan pemimpin korporat adalah penting sepanjang Program Transformasi PLC ini. Kejayaan program ini bergantung kepada pendekatan holistik industri, di mana pihak berkepentingan industri utama secara kolektif dan berterusan perlu menggalakkan dan membimbing PLC dalam perjalanan pertumbuhan mereka. Saya menggalakkan PLC untuk berfikiran positif dan memanfaatkan peluang ini selain menyahut cabaran untuk terus komited memberikan pencapaian tinggi,” kata Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Perasmian Program Transformasi PLC hari ini juga menyaksikan pelancaran buku panduan digital pertama yang bertajuk “Creating Purpose & Performance Driven Public Listed Companies (PLCs)”, yang kini boleh dimuat turun di laman web Bursa Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai Program PLCT, sila layari www.bursamalaysia.com/reference/public_listed_companies_transformation atau e-mel [email protected].

Mengenai Bursa Malaysia

Bursa Malaysia adalah sebuah syarikat pengendali bursa yang diperbadankan pada tahun 1976 dan disenaraikan pada tahun 2005, dan telah berkembang sebagai salah satu bursa terbesar di ASEAN hari ini. Bursa Malaysia beroperasi dan mengawal selia pertukaran bersepadu sepenuhnya yang menawarkan rangkaian komprehensif berkaitan pertukaran kemudahan, dan komited untuk Mewujudkan Peluang, Meningkatkan Nilai Pelaburan. Ketahui lebih lanjut di www.bursamalaysia.com.

Previous ArticleNext Article

PropertyGuru Melancarkan Kempen Penghujung Tahun Untuk Membantu Rakyat Malaysia Memiliki Rumah Mampu Milik, Fokus Pada Hartanah Di Bawah RM500,000

Kuala Lumpur, 11 November 2025 – Ketika isu kemampuan memiliki rumah terus mempengaruhi keputusan pembelian rakyat Malaysia, PropertyGuru Group, syarikat teknologi hartanah terkemuka di Malaysia dan pengendali platform PropertyGuru serta iProperty, telah melancarkan kempen penghujung tahun untuk menampilkan rumah berharga RM500,000 dan ke bawah.

Inisiatif ini bertujuan untuk merapatkan jurang antara pemaju yang menawarkan perumahan mampu milik dengan rakyat Malaysia yang mencari rumah berkualiti dan mudah diakses, selaras dengan usaha nasional untuk mempertingkatkan kadar pemilikan rumah dalam kalangan rakyat.

Melalui kempen ini, pemaju yang mengambil bahagian dengan projek berharga di bawah RM500,000 akan dipaparkan di platform PropertyGuru dan iProperty. Setiap paparan akan mengarahkan pengguna ke halaman carian khusus yang menampilkan senarai hartanah layak, membolehkan pencari rumah meneroka dan membandingkan pilihan mengikut bajet mereka dengan lebih mudah.

Menurut Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), harga purata rumah di Malaysia bagi separuh pertama tahun 2025 ialah RM490,376, melebihi paras kemampuan bagi banyak isi rumah dalam kumpulan B40 dan M40 rendah. Namun, pasaran secara keseluruhan menunjukkan  pemulihan kukuh, disokong oleh dasar kerajaan yang proaktif, penurunan kadar dasar semalaman (OPR), serta peningkatan keyakinan pembeli.

Dr Lee Nai Jia, Ketua Perisikan Harta Tanah, PropertyGuru Group, menegaskan semasa Sidang Kemuncak PropertyGuru & iProperty FutureBuilt 2025 bahawa sektor hartanah kediaman menunjukkan pemulihan kukuh dengan pemaju melaporkan kadar pengambilan yang lebih tinggi untuk pelancaran baharu di kawasan pertumbuhan utama seperti Lembah Klang, Johor, dan Pulau Pinang. Sentimen pasaran turut disokong oleh pengurangan kumulatif OPR sebanyak 75 mata asas serta insentif kerajaan menerusi Belanjawan 2025, termasuk pengecualian duti setem dan insentif pinjaman untuk pembeli rumah pertama.

Kar Wai Low, Pengarah Pemasaran Negara, PropertyGuru & iProperty Malaysia, berkata, “Kemampuan memiliki rumah kekal sebagai antara kebimbangan utama rakyat Malaysia hari ini. Kempen penghujung tahun ini memberi tumpuan kepada keterlihatan dan impak – bukan sahaja untuk pemaju, tetapi juga untuk pembeli. Kami mahu membantu pencari rumah di Malaysia mencari kediaman berkualiti dalam jangkauan mereka, sambil memudahkan pemaju berhubung dengan pembeli sedia ada dalam segmen harga penting ini. Dengan menggabungkan kekuatan PropertyGuru dan iProperty, kami memanfaatkan capaian dan data platform kami bagi memudahkan pencarian, perbandingan dan tindakan terhadap pilihan rumah mampu milik.”

Kempen ini memperkukuh komitmen berterusan PropertyGuru Group untuk memperkasakan rakyat Malaysia membuat keputusan hartanah dengan yakin, sambil menyokong usaha kerajaan meningkatkan kemampuan memiliki rumah dan mobiliti sosial. Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ini, sila layari PropertyGuru dan iProperty Malaysia.​