![](https://www.majalahlabur.com/wp-content/uploads/2019/05/60761769_6151488506680_9006884429343227904_n-700x465.jpg)
Sub Topik
Ibu merupakan individu yang sangat penting dalam kehidupan anak-anak. Mereka merupakan seorang idola, pemberi semangat serta orang yang bertanggungjawab dalam membentuk sahsiah dan peribadi anak-anak mereka. Kadang-kadang nasihat atau teguran yang dianggap kecil itulah yang membuatkan seseorang itu berjaya menjadi orang yang hebat.
Berikut merupakan 5 nasihat daripada seorang ibu yang dipegang sehingga lahirnya bilionaire terkemuka dunia.
1. Bekerja Keras
Bagi CEO Tesla Elon Musk, sejak dari kecil lagi beliau telah dididik oleh ibunya supaya sentiasa bekerja keras untuk mendapatkan apa yang diingini. Ibunya tidak pernah memberikan duit elaun untuk Elon Musk serta adik-beradiknya yang lain.
Jadi mereka terpaksa belajar untuk bekerja sendiri bagi mendapatkan duit poket untuk membeli barangan yang mereka impikan. Dari sinilah beliau dan adik-beradik yang lain belajar erti susah dan penat lelah mencari duit serta tahu menghargai apa yang mereka ada.
2. Berfikir Sendiri
Ibu kepada pengasas Virgin Group pula mengajar Sir Richard Branson supaya berfikir sendiri dan berfikir dengan pantas. Sejak dari usia 4 tahun, ibunya akan meninggalkan Branson di tepi jalan sebagai hukuman sekiranya beliau melakukan kesalahan seperti tidak mendengar kata atau berkelakuan nakal.
Dan setiap kali itulah Branson terpaksa mencari sendiri jalan pulang. Ini merupakan cara ibunya mengajarnya supaya tahu berdikari serta tidak bergantung pada orang lain.
3. Pengurusan Masa
Ramai d kalangan kita yang mempunyai masalah untuk menguruskan masa dengan betul dan efektif bukan? Inilah yang cuba diajarkan oleh ibu Angela Ahrendts, Timbalan Presiden Apple.
Ibu Angela menunjukkan sendiri kepadanya berapa banyak perkara yang mampu beliau lakukan dalam sehari sekiranya beliau menguruskan masa dengan betul.
4. Lakukan Berdasarkan Minat
Untuk berjaya dalam apa jua bidang sekali pun, kita perlulah berusaha keras disertakan dengan minat yang tinggi. Itulah yang sering ditekankan oleh ibu bapa Mark Zuckerberg.
Disebabkan Mark amat meminati nombor, bapanya telah mengajarnya ‘coding’ sejak dari usia 10 tahun dengan menggunakan perisian Atari BASIC Programming disamping mengupah seorang tutor bagi mengajar tentang cara membangunkan software.
5. Memberi Semula Kepada Masyarakat
Siapa pun kita serta walau setinggi mana pun pencapaian yang kita miliki, jangan pernah lupa pada orang lain. Itulah yang cuba diajar oleh ibu Sheryl Sandberg.
Ibunya mendidiknya supaya sentiasa menyumbang kembali kepada komuniti dan juga masyarakat. Itulah kejayaan yang sebenar.
Kesimpulannya, walau siapa pun kita, ibu bapa merupakan insan terpenting yang membentuk kita untuk menjadi insan yang hebat. Walaupun ada dikalangan ibubapa yang tak dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik atas faktor-faktor tentu, tetapi itu bukan alasan untuk kita menafikan peranan mereka dalam membentuk jati diri kita.
Sumber Rujukan: http://www.majalahniaga.com/5-pesanan-hidup-oleh-ibu-kepada-tokoh-tokoh-bisnes-yang-berjaya-di-dunia.html