8 Tips Untuk Sentiasa Bermotivasi

Motivasi adalah apa yang membuat kita terus berusaha apabila segala-galanya kelihatan rumit. Ia adalah dorongan yang membawa kita ke hadapan untuk mencapai matlamat kita. Motivasi adalah penting kerana ia membolehkan kita menangani halangan dan ujian. Apabila kita bermotivasi, kita lebih cenderung mempunyai etika kerja yang positif, menjadi produktif, dan mempunyai sikap positif yang membawa kepada kejayaan.

Untuk kekal bermotivasi sepanjang masa adalah sedikit sukar. Kita tidak dapat mengawal mood atau perasaan kita dan kadang-kadang ia berubah dengan cepat tanpa disedari. Artikel ini akan membimbing anda melalui 8 tindakan yang akan membantu anda kekal bermotivasi sepanjang masa.

1. Tetapkan Sasaran

Apabila anda menetapkan sasaran, anda memutuskan untuk bertindak melakukan perkara-perkara yang akan membantu anda mencapai hasil yang anda inginkan. Sasaran membimbing perhatian anda ke arah tertentu yang boleh diukur dan mempunyai matlamat akhir. Ini akan membantu anda kekal bermotivasi. Kajian telah menunjukkan bahawa apabila jurujual menetapkan sasaran, mereka mampu membuat lebih banyak jualan dan apabila seseorang membuat komitmen untuk kuruskan badan (sebanyak 30 kilogram sebagai contoh), mereka akan lebih cenderung untuk meningkatkan tahap kecergasan mereka setiap hari.

2. Pilih Sasaran/Matlamat Yang Menarik Minat Anda

Anda lebih cenderung untuk kekal bermotivasi jika anda melakukan sesuatu yang anda minat daripada melakukan sesuatu yang orang lain inginkan untuk anda. Orang lain boleh memberikan kita matlamat atau objektif yang kita dapati tidak menarik untuk dilaksanakan. Oleh itu, dalam mencapai matlamat, cuba cari sesuatu yang menarik minat anda untuk capai.

3. Jadikan Matlamat Anda Diketahui Umum

Anda harus nyatakn matlamat anda secara terbuka. Jika anda memberitahu semua orang tentang matlamat dan sasaran anda, mereka akan terus mengingatkan anda tentang matlamat anda. Anda akan berasa malu jika anda tidak mencapai matlamat tersebut dan ini akan meningkatkan motivasi anda untuk bekerja keras ke arah mencapai matlamat tersebut. Kebanyakan orang disekeliling anda mempunytai sikap ingin membantu orang lain. Apabila anda nyatakan matlamat anda, mereka akan membantu anda apabila anda menghadapi kesukaran.

4. Merangka Strategi Untuk Mencapai Matlamat Anda

Merangka strategi adalah langkah seterusnya ke arah mencapai matlamat anda. Anda perlu menetapkan visi dan misi yang jelas tentang apa yang anda mahukan dan memikirkan bagaimana ia akan dilaksanakan. Pecahkan matlamat anda kepada aktiviti-aktiviti kecil yang boleh diurus dan tetapkan tempoh masa yang sesuai untuk setiap aktiviti tersebut. Gariskan pelan tindakan terperinci  untuk mencapai objektif anda.

5. Semak Matlamat Dan Kemajuan Anda Secara Berkala

Memantau kemajuan sendiri adalah penting untuk mencapai matlamat. Kita harus bertanya kepada diri sendiri sama ada kita berada di landasan yang betul atau tidak. Sekiranya tidak, bagaimana kita boleh memperbaiki keadaan? Kita perlu sedar apa yang sedang berlaku terhadap rancangan kita, apa yang salah, di mana kita terpesong dan bagaimana kita boleh membetulkannya. Jadikan amalan menyemak pencapaian matlamat kita sebagai sebahagian daripada rutin harian dengan menyimpan jurnal atau menggunakan aplikasi dalam telefon pintar.

6. Mengekalkan Momentum

Mulakan pelaksanaan matlamat anda dengan langkah-langkah mudah dan kecil. Anda mesti sentiasa bermula dengan langkah-langkah kecil dan mudah supaya anda senang mendapatkan momentum. Raikan diri sendiri atas pencapaian anda. Senaraikan perkara-perkara yang “telah siap”. Ini akan mendorong anda untuk bekerja lebih kuat dan bersungguh-sungguh.

7. Dapatkan Mentor

Perbincangan dengan mentor boleh membantu anda mengenal pasti peluang baru, membuka minda anda kepada idea-idea baru, menasihati anda tentang cara menavigasi objektif, dan menjadi komponen penting dalam proses mencapai matlamat anda. Seorang mentor boleh membantu anda memahami apa yang diperlukan berdasarkan kedudukan dan persekitaran anda, mengenal pasti kemahiran yang anda perlukan dan menetapkan objektif bersama-sama. Apabila anda mempunyai visi yang jelas tentang ke mana anda mahu pergi, anda akan lebih didorong untuk mencapai objektif tersebut.

8. Kelilingi Diri Anda dengan Individu Positif

Mengekalkan fokus pada matlamat akhir anda adalah lebih mudah apabila anda mengelilingi diri anda dengan pengaruh yang baik. Anda akan berasa lebih yakin dengan diri sendir apabila dikelilingi individu-individu yang positif. Apabila anda menghabiskan masa dengan individu yang positif, anda akan berasa bertenaga dan bersemangat. Orang yang gembira, sihat, dan optimis dalam pandangan mereka terhadap kehidupan adalah seorang yang berjaya.

Artikel ini ditulis oleh Dr. Ahmad Monir bin Abdullah. Beliau kini bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Keutuhan Tadbir Urus & Akauntabiliti (Grace). Beliau mempunyai pengalaman luas sebagai ahli akademik dan juga pengamal perakaunan dalam industri. Penulis boleh dihubungi di [email protected]

Baca juga:

Ramai sangat give up dalam saham. Kawan-kawan kami pun ramai dah give up.

Tapi kenapa give up?

Sebab kita sibuk mencari rahsia, teknik, indikator dan terlalu cepat nak kaya.

Bila dah rugi, mulalah salahkan cikgu, mentor, sifu yang ajar kita.

Hidup ni tak perlu complicated sangat.

Dan tak perlu pun tengok saham ni setiap masa. Yang penting kita tahu caranya dan aplikasikan dengan betul.

Kami suka kongsikan kaedah Swing ini sebab:

  • Kita tak perlu melekat di screen
  • Kita boleh bekerja seperti biasa
  • Kurang risiko untuk rugi
  • Set siap-siap bila nak jual saham tu
  • Kurang stress

Insya-Allah berbaloi……
Sesi baharu BAKAL dibuka!! Pra-daftar dahulu untuk dapat diskaun Early-Bird dan jadi terawal yang dapat info.

Previous ArticleNext Article

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.