Jenis Kereta Yang Dipakai 10 Bilionaire Terkenal Dunia

Kereta merupakan lambang kekayaan bagi sesetengah masyarakat walaupun pemiliknya terpaksa berhutang dengan pihak bank untuk tempoh yang lama. Semakin mahal kereta yang dinaiki, semakin tinggi status dan kejayaan seseorang itu.

Kereta yang berasal dari Jerman merupakan pilihan bagi rakyat kita kerana negara tersebut menghasilkan kereta mewah dan simbol kekayaan serta kejayaan. Kereta dari Jepun pula lebih padu daripada kereta buatan Malaysia daripada segi ranking.

Tahukah anda tidak semua orang yang yang berduit memandang kereta itu sebagai simbol kekayaan? Bagi mereka yang bergelar bilionaire, kereta hanyalah alat untuk mereka bergerak dan tidak lebih daripada itu.

Mari kita lihat bilionaire terkenal dunia ini dan jenis kenderaan yang mereka pandu setiap hari untuk ke tempat kerja.

1. Jeff Bezos

Merupakan lelaki terkaya di dunia buat masa sekarang. Beliau memiliki hampir 12% saham Amazon yang membuat dirinya bernilai sebanyak $110 bilion (ketika artikel ini ditulis).

Kalau nak tahu, Jeff Bezos masih lagi memandu kereta buatan Honda selepas 2 tahun syarikat Amazon diapungkan di pasaran saham Amerika Syarikat.

Di dalam rancangan 60 minutes ketika dirakamkan pada tahun 1999, Jeff Bezos ditanya kenapa beliau masih memilih kereta itu sedangkan mampu untuk membeli kereta yang lebih baik dengan kedudukan kewangannya pada waktu tersebut.

Beliau menjawab kereta yang dipakainya itu masih lagi dalam keadaan yang elok.

Sentap juga jawapan beliau, maklumlah kalau kita baru dapat bonus atau menerima kenaikan gaji; benda pertama yang kita nak upgrade adalah kereta.

2. Dustin Moskovitz

Merupakan pengasas bersama Facebook bersama dengan Mark Zuckerberg. Beliau merupakan seorang bilionaire dengan kekayaan sebanyak $13.4 bilion hasil daripada 3% pegangan saham Facebook yang dimiliki beliau.

Percaya atau tidak, beliau memandu kereta keluaran syarikat terbesar di Jerman iaitu Volkswagen R32 yang berharga $32,000.

3. Jack Ma

Merupakan lelaki terkaya di China buat masa ini. Beliau merupakan pengerusi syarikat e-comerce terbesar di Asia iaitu Alibaba.

Beliau dilihat hanya memandu kereta buatan China iaitu Roewe RX5 SUV, sedangkan nilai kekayaan yang dimiliki olehnya adalah sebanyak $37.3 bilion.

4. Larry Page

Merupakan pengasas bersama Syarikat Google. Beliau hanya mendapat gaji sebanyak $1 setahun di syarikat tersebut, namun memiliki kekayaan sebanyak $58.9 bilion dollar dengan memiliki saham Google yang kini dikenali sebagai Alphabet.

Larry dipercayai hanya memandu kenderaan keluaran Toyota yang popular di Amerika Syarikat iaitu Prius, sebuah kereta hibrid yang hanya bernilai $23,770.

5. Warren Buffett

Beliau merupakan pelabur lagenda yang kaya dan mahsyur di dunia dan sangat berjaya. Warren Buffett memang terkenal dengan gaya yang sederhana walaupun dirinya merupakan di antara 10 lelaki terkaya dunia.

Rumah yang didudukinya juga masih rumah yang sama, yang dibelinya pada tahun 1957 yang berharga $31,000. Beliau hanya memandu kenderaan Cadillac XTS yang berharga $23,500 sedangkan kekayaan yang dimiliki olehnya adalah sebanyak $84.2 bilion.

6. Elon Musk

Pengasas bersama Syarikat Paypal dan Space X. Elon Musk yang merupakan CEO syarikat Tesla yang menerajui pembuatan kenderaan elektrik di dunia.

Kenderaan yang dipandu oleh beliau semestinya kenderaan yang dibangunkan syarikat beliau sendiri iaitu Tesla.

7. Steve Ballmer

Merupakan bekas CEO Microsoft dan merupakan di antara pemegang saham terbesar di Microsoft dengan nilai kekayaan sebanyak $50.9 bilion.

Steve Ballmer memandu kenderaan Ford Fusion Hybrid yang bernilai  $19,500. Beliau dikatakan penggemar Ford kerana bapanya merupakan salah seorang pekerja di syarikat tersebut.

8. Alice Walton

Alice Walton mrupakan salah seorang pewaris syarikat gergasi peruncitan di Amerika Syarikat iaitu Walmart. Beliau mempunyai kekayaan bernilai $53 bilion hasil dari pewarisan harta milik keluarganya dan merupakan wanita kedua terkaya di dunia.

Dengan kekayaan sebanyak itu, Alice dipercayai memiliki trak pikap keluaran Ford yang berharga $40,930.

9. Bill Gates

Merupakan pengasas bersama Syarikat Microsoft. Beliau memiliki kekayaan sebanyak $103.8 bllion dan mempunyai pelbagai koleksi kenderaan mewah.

Di antara kenderaan kegemarannya adalah dari syarikat Jerman iaitu Porsche, dan beliau memiliki beberapa koleksi kenderaan keluaran syarikat tersebut. Antaranya adalah Porsche 959 yang dikeluarkan pada tahun 1988 yang berharga sekitar $300,000.

10. Mark Zuckerberg

Mark Zuckerberg yang merupakan pengasas bersama syarikat media sosial terkenal iaitu Facebook. Beliau telah memiliki kekayaan sebanyak $74 bilion pada usia 35 tahun.

Mark juga mempunyai beberapa jenis kenderaan daripada kenderaan biasa ke kenderaan super sport. Kenderaan yang biasa dimiliki oleh beliau adalah keluaran Honda dan Volkswagen. Kenderaan supercar yang dimiliki oleh Mark adalah keluaran Pagani Zonda yang berharga $1.4 juta.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.