Kenali Bapa Perbankan Islam Malaysia

Sungguh besar sumbangan yang diberikan oleh Datuk Dr. Abdul Halim Ismail terhadap industri perbankan Islam di Malaysia. Sehubungan dengan itu jugalah, beliau dikenali sebagai Bapa Perbankan Islam. Jom kita berkenalan dengan tokoh ini dengan lebih mendalam.

Anak Melayu Pertama Graduate Di Oxford

Selain daripada seorang menteri kabinet kita yang terkenal dengan menjadi seorang graduan Oxford, Datuk Dr. Abdul Halim Ismail pula merupakan anak melayu pertama yang menjadi graduan di Universiti Oxford, United Kingdom (UK) pada peringkat ijazah doktor falsafah (PHD) dalam bidang ekonomi pada tahun 1969.

Beliau pernah berkhidmat sebagai dekan fakulti ekonomi dan pengurusan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1975.  Beliu juga pernah dilantik sebagai ketua unit perancangan bagi Perunding Bersatu Bhd sebelum beliau berkhidmat di Bank Bumiputera Malaysia dengan memegang jawatan sebagi ketua ahli ekonomi dan ketua jabatan perancangan dan pembangunan.

Bangunkan Bank Islam Pertama Di Malaysia

Sumber: World Islamic Economic Forum

Sumbangan beliau dalam bidang kewangan Islam yang paling hebat adalah dengan memainkan peranan penting dalam merangka penubuhan Bank Islam Pertama di Malaysia pada tahun 1983. Ini telah melayakkan beliau digelar sebagai Bapa Perbankan Islam.

Bank Islam Malaysia telah membangun dengan pesat dan unggul di peringkat antarabangsa ketika di bawah kepimpinanya sebagai pengarah urusan pertama Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam).

Orang Pertama Terima Anugerah Diraja Kewangan Islam

Datuk Dr. Abdul Halim Ismail merupakan orang pertama daripada Malaysia yang telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Diraja Kewangan Islam bersempena Forum Kewangan Islam Antarabangsa (GIFF) pada tahun 2014.

Berdasarkan pencapaian dan juga jasa yang telah disumbangkan oleh beliau terhadap kemajuan industri dan kewangan Islam negara dan antarabangsa, menjadikan beliau terpilih untuk menerima anugerah berprestij ini.

Selain daripada itu, beliau turut menjadi penerima anugerah tokoh kewangan islam oleh Persatuan Bank-Bank Islam Malaysia (AIBIM) pada tahun 2001 di atas pencapaian beliau dalam bidang kewangan islam. Pada tahun 2004 pula, beliau telah menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat kebangsaan.

Pengerusi Panel Penasihat Syariah PNB

Sumber: Amanah Saham Nasional Berhad

Sekarang ini beliau adalah pengerusi panel penasihat syariah PNB, tetapi banyak juga jawatan utama yang pernah disandang beliau.

Di antaranya, beliau pernah dilantik sebagai penasihat syariah bagi Bank Negara Malaysia dan juga Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Ini adalah disebabkan oleh ilmu beliau yang luas dalam bidang pengurusan ekonomi.

Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Lembaga Syarikat Takaful Malaysia Bhd yang merupakan syarikat takaful pertama di Malaysia. Beliau turut membantu menubuhkan BIMB Securities Bhd, yang merupakan syarikat broker saham Islam pertama di Malaysia.

Industri takaful dan institusi kewangan Islam di Malaysia berkembang pesat hasil daripada perjuangan tanpa henti beliau untuk membangunkan industri ini.

Nak tahu siapa lagi tokoh kewangan Islam di Malaysia? Jom tengok Senarai Tokoh dan Pakar Kewangan Islam di Malaysia.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.