Kisah Lee Thiam Wah, Pengasas 99 Speedmart

Siapa yang tak pernah ke pasaraya 99 Speedmart? Pasar mini ini boleh dikatakan ada di mana-mana dan harganya pun boleh tahan murah. Jom kita berkenalan dengan pengasas 99 Speedmart yang juga dikenali sebagai Raja Pasar Mini.

Lee Thiam Wah merupakan seorang insan istimewa yang disanjungi ramai. Memang jarang dapat kita dengar seorang insan OKU juga mampu memiliki pasaraya sendiri.

Latar Belakang Lee Thiam Wah

Lee Thiam Wah dilahirkan dan dibesarkan di dalam keluarga yang miskin. Ayahnya merupakan pekerja binaan manakala ibunya adalah peniaga jalanan. Berasal dari keluarga yang dengan 11 orang adik-beradik, beliau terpaksa dijaga oleh neneknya akibat penyakit yang dihadapinya. Beliau kemudiannya terpaksa menamatkan sekolah rendah akibat kekurangannya itu.

Walau bagaimanapun, Lee Thiam Wah tetap berusaha untuk memperbaiki dirinya dan terus belajar dengan inisiatifnya sendiri. Beliau meminjam buku dari jirannya untuk mengisi segala masa yang ada supaya ilmunya bertambah.

Akibat kesukaran hidupnya dalam mencari pekerjaan, beliau menjual makanan ringan di kaki lima untuk mencari sumber pendapatan.

Bermula Dari Kedai Runcit Nenek

Image by ElasticComputeFarm from Pixabay

Memiliki sikap tidak pernah mengalah, telah mendorongnya untuk terus memperbaiki keadaan hidupnya. Beliau bekerja tanpa penat untuk memulakan perniagaan kedai runcit. Neneknya merupakan pendorong beliau untuk lebih bersemangat dalam perniagaannya.

Usahanya dalam menjual pelbagai jenis barangan runcit mendapat sambutan positif daripada masyarakat umum. Beliau juga telah banyak belajar melalui perniagaannya. Dari sini, beliau telah mengambil maklum balas pelanggan dan juga mengenali pesaing bagi memajukan perniagaannya.

Perniagaan Lee Thiam Wah semakin berkembang dari semasa ke semasa. Beliau kemudian menjual perniagaan kedai runcitnya dan memulakan perniagaan pasar mini pertamanya dalam mencabar dirinya sendiri.

Dari Kedai Runcit Ke 99 Speedmart

Kredit Gambar: 99 Speedmart

Tidak lama setelah menukar nama pasar mininya kepada 99 Speedmart pada tahun 1999, beliau meluaskan empayarnya dengan membuka beberapa cawangan di Klang.

Lee Thiam Wah kemudiannya melebarkan sayap perniagaannya ke seluruh negara. Pada bulan Jun 2016, 99 Speedmart telah melancarkan gerai ke 800 mereka di Taman Pahlawan, Melaka.

Semasa wawancara bersama-sama dengan pihak Forbes pada tahun 2010, Lee Thiam Wah mempunyai pendapatan sebanyak RM150 juta setiap tahun dengan kira-kira 2,000 orang pekerja.

Kesimpulannya, rahsia Lee Thiam Wah yang menakjubkan terletak pada semangatnya yang tinggi dan kegigihannya. Kisahnya yang mengagumkan juga membuktikan kepada semua pihak bahawa kekurangan fizikal bukanlah penghalang untuk seseorang itu berjaya dalam bidang yang diceburi.

Jika beliau boleh buat, dah tentu kita juga boleh.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.