Pernah Tidur Dalam Kereta, Kini Usahawan Berjaya

Pernah dengar jenama Abang Strawberry? Produk ini viral kerana tampil unik dimakan bersama Nasi Lemak di 200 Seeds Cafe di Cameron Highlands.

Lain daripada yang lain, ia mungkin produk pertama yang menggunakan strawberi sebagai bahan untuk dimasak dalam sambal.

Bukan nak cerita tentang produk Abang Strawberry tapi jom baca tentang siapa ‘Abang’ di sebalik sambal strawberi ini.

Baru sahaja berusia 25 tahun, Muhammad Solehuddin Shamsuddin atau lebih glamor dengan panggilan YB Soleh ini merupakan pemilik kepada jenama Abang Strawberry di bawah syarikatnya, YBS Holding.

Bukan sahaja Abang Strawberry dan 200 Seeds Cafe, anak muda ini juga merupakan pemilik kepada Gull Jewellery dan Babra.

Berikut kami sertakan beberapa trivia menarik mengenai YB Soleh yang boleh dijadikan iktibar dan perangsang untuk anda juga menjadi seseorang seperti beliau.

Berniaga Seawal Sekolah Rendah

Beliau mula berniaga seawal usia 8 tahun apabila dibekalkan produk oleh arwah bapanya dan abang sulungnya. Ketika itu, produk seperti gula-gula dan penanda buku dijual kepada rakan-rakan di sekolah. Ternyata, walaupun tanpa modal, kemahiran berniaga sudah diterapkan dalam dirinya oleh arwah bapa dan abangnya tanpa disedari.

Tidak Mempunyai Ijazah, Tidak Tamatkan Pengajian

Selepas tamat tingkatan 5, YB Soleh menyambung pengajian peringkat Diploma di sebuah universiti awam. Ketika itu, dia turut aktif menjalankan bisnes MLM. Difahamkan, dia memperoleh mencecah RM7,000 sebulan ketika itu. Dikaburi duit ketika itu, dia berhenti belajar dan meneruskan bisnes.

Pernah menyambung pengajian di Politeknik selama dua minggu sebelum berhenti dan pernah menerima tawaran sebuah universiti untuk menyambung pengajian. Dia tahu, impiannya hanya untuk menjadi seorang usahawan. Tapi untuk berjaya, tidak cukup sekadar berimpian.

8 Bulan Tidur Dalam Kereta Viva

YB Soleh menjadikan kereta Vivanya sebagai rumah selama 8 bulan sekitar tahun 2012. Ketika itu, hari esok merupakan perkara yang paling ditakuti. Setiap malam dia tidak tidur lena sebab perlu berfikir apa yang nak dimakan, apa nak buat, nak duduk mana, nak bercakap dengan siapa pada hari esok.

Berbekalkan hidangan nasi lemak dan air RM2.50, beliau hanya makan sekali sehari. Menurutnya, dia pernah hanya mempunyai RM20 sahaja di dalam poketnya. Tahun itu menjadi tahun paling memeritkan buatnya.

Pernah Terfikir Nak Bunuh Diri

Dalam tempoh 8 bulan bergelandangan dalam kereta, beliau pernah terfikir mahu membunuh diri. Tapi, memikirkan ketakutan untuk terjun bangunan atau mengelar pergelangan tangan, YB Soleh masih bernafas dan berjaya menjadi seseorang hari ini. Katanya, dari situ, beliau faham mengapa seseorang boleh tertekan dan terfikir untuk membunuh diri.

Begitupun, beliau sentiasa mencari jalan untuk mencari pendapatan dan mencapai impiannya menjadi usahawan sehingga berjaya menubuhkan YBS Holding.

Benarlah, setiap kesusahan menjanjikan kesenangan jika kita sentiasa tabah dengan ujian yang mendatang. Setiap halangan mesti ditangani dengan usaha, bukannya putus asa.

Kini, anak muda ini masih mahu mengejar impian yang belum dilangsaikan. Katanya, dalam tempoh lima tahun lagi, beliau mahu menjadi seorang ikon dalam keusahawanan dan mahu menubuhkan ‘society’ yang terdiri daripada golongan muda untuk belajar dan menjalankan perniagaan.

Tidak Percaya Kepada Kuasa Viral Dan Fake Testimony

Padanya, testimoni palsu memberi harapan palsu kepada masyarakat malah mempunyai unsur penipuan atau tidak jujur dalam bisnes. Unsur viral pula baginya boleh menyebabkan lahirnya masyarakat yang tidak berpijak pada bumi yang nyata dan kurang berdaya saing. Dia bimbang jika ada golongan muda yang berharap untuk dikenali dan berjaya melalui unsur viral.

3 Kunci Kejayaan

Baginya, titik perubahan dalam hidupnya ketara apabila dia mengamalkan tiga perkara iaitu:

i. Memuliakan dan sentiasa menggembirakan ibunya terutamanya meluangkan masa dengan insan tersebut.

ii. Sentiasa memastikan dalam poketnya ada wang kertas RM1 untuk disedekahkan. Beliau bersedekah tanpa mengira siapa penerimanya. Jika ada yang menipu sekalipun, katanya itu urusan dia dan Allah.

iii. Betulkan doa dan sentiasa mengamalkan doa dalam sujud terakhir.

11 Tips Untuk Anak Muda

a. Hidup ini menuntut kepada keseimbangan alam bukan semata-mata kerja atau duit. Ada 8 aspek kehidupan yang perlu kita seimbangkan fizikal, spritual, kewangan, keluarga, perhubungan, gaya hidup, bisnes dan kerjaya. Letakkan 3 matlamat utama pada setiap aspek yang mahu dicapai pada tahun ini.

b. Jangan berkira untuk bekerja dan jangan berkira dengan gaji. Masa muda masa untuk bina sebanyak mungkin pengalaman dan buat sebanyak mungkin salah dan belajar daripadanya. Betul tak?

c. Sentiasa bijak mencari peluang di sekeliling. Jika bekerja dengan orang yang berniaga, cuba timba pengalaman dan gali ilmu sebanyak yang mungkin.

d. Jika mahu mencapai impian, anda memerlukan keberanian. Berani ke kita nak hadap risiko buat bisnes ni? Berani ke kita nak mula dengan gaji kecil duduk dalam dunia bisnes? Berani ke kita lawan arus kebanyakan manusia? Berani ke nak ikat perut demi nak besarkan bisnes?

e. Ada duit bukan jaminan atau punca utama untuk jalankan bisnes. Paling penting diri sendiri kenal dengan bisnes dan kena juga ada pengalaman untuk mengawal segala kemungkinan yang mendatang.

f. Berhenti bandingkan diri sendiri dengan orang lain. Jalan hidup kita tak pernah sama.

g. Tulis semua belanja dan kawal. Letakkan minima belanja seharian. Pastikan dah selit sedekah dalam tu. Baru hidup anda seimbang.
h. Buat bisnes bukan untuk sehari punya bisnes. Jadi kena sedar dan jangka yang akan ada hari-hari suram. Mungkin ini masa untuk anda balik pada Allah dan muhasabah diri. Banyakkan masa dengan ibu bapa dan keluarga. Luangkan masa bersama mereka dan betulkan balik mana yang tak betul.
i. Perjuangan harus di teruskan. Tak semua orang nampak apa yang kita nampak. Kalau gagal 7 kali, kita bangkit 8 kali.
j. Jangan buat benda jahat
k. Jaga ibu bapa dan keluarga
 
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

7 Strategi Realistik Capai Kesenangan Hidup Masa Hadapan

Kesenangan hidup sering disalah tafsir sebagai kemewahan atau kemapanan kewangan yang luar biasa. Namun, kesenangan yang sebenar ialah kebebasan untuk membuat pilihan hidup yang sejajar dengan nilai diri sendiri, tanpa tekanan luar, dan dengan ketenangan yang stabil.

Berikut adalah tujuh strategi yang bukan sekadar teori klise, tetapi langkah praktikal dan berimpak tinggi untuk anda yang serius mahu membina masa depan yang lebih tenang dan tersusun.

1. Pilih Gaya Hidup Berdasarkan Nilai, Bukan Trend

Ramai orang hidup mengejar status sosial atau pengiktirafan masyarakat, tanpa sedar mereka sedang menggadai ketenangan sebenar. Contohnya, membeli rumah besar semata-mata kerana orang lain melakukannya, atau melancong untuk dipaparkan di media sosial, bukan kerana ia memenuhi keperluan jiwa sendiri.

Kesenangan bermula apabila kita hidup berdasarkan prinsip dan keutamaan peribadi, bukan tekanan sosial.

Tindakan penting:

Tanya diri sendiri, “Apakah erti hidup senang bagi saya secara peribadi?”

Gunakan jawapan itu sebagai asas untuk membuat keputusan kewangan dan gaya hidup.

2. Bina Pendapatan Yang Tidak Bergantung Pada Masa dan Tenaga Diri

Masa depan yang tenang bermula apabila duit bekerja untuk kita, bukan hanya kita yang bekerja untuk duit. Ini bukan bermakna berhenti kerja, tetapi mula membina sekurang-kurangnya satu sumber pendapatan yang boleh menjana hasil tanpa perlu kehadiran fizikal kita setiap masa.

Antara contoh:

– Pelaburan hartanah yang memberi hasil sewaan

– Produk digital seperti eBook, kursus atau template

– Saham patuh syariah yang konsisten beri dividen

Matlamat utama: Kurangkan kebergantungan sepenuhnya pada gaji tetap.

3. Bina Sistem Hidup Yang Terurus dan Automatik

Kesenangan tidak semestinya datang daripada lebih banyak usaha, tetapi daripada sistem yang membantu kita mengurus hidup dengan lebih baik.

Contohnya:

– Bahagikan gaji secara automatik ke lima akaun berasingan: keperluan, simpanan, pelaburan, sumbangan, dan hiburan

– Guna aplikasi untuk memantau bajet, tabiat, atau penggunaan masa

– Jadualkan hari rehat dan refleksi kehidupan setiap tiga bulan

Hidup yang tersusun menjadikan minda lebih lapang dan tekanan lebih terkawal.

4. Gunakan Kaedah Perspektif 10-10-10 Untuk Buat Keputusan Besar

Setiap keputusan besar dalam hidup wajar dinilai dengan perspektif jangka panjang. Tanya soalan ini sebelum buat keputusan besar:

“Apa kesan keputusan ini dalam 10 hari, 10 bulan, dan 10 tahun akan datang?”

Contoh aplikasi:

– Pilih kerjaya berdasarkan potensi jangka panjang, bukan hanya gaji semasa

– Nilai kesan berpindah tempat tinggal terhadap keluarga dan kesihatan

– Tentukan bila masa sesuai untuk membeli rumah atau terus menyewa

Perspektif yang jauh mengurangkan risiko penyesalan besar dalam hidup.

5. Asah Satu Kemahiran Unik Yang Relevan Sepanjang Hayat

Tidak semua kemahiran dicipta sama. Pilih satu kemahiran yang:

– Jarang dimiliki ramai

– Tinggi nilai di pasaran

– Anda minat dan sanggup asah dalam jangka masa panjang

Contohnya: penulisan strategik, pengaturcaraan (coding), komunikasi pitching, analisis kewangan, atau jualan produk bernilai tinggi.

Kemahiran yang tepat boleh membuka pintu kepada lebih banyak peluang dan menjadikan anda lebih bebas untuk memilih projek, bukan terikat pada kerja semata-mata.

6. Latih Diri Untuk Tahan Ketidakselesaan Sementara

Kebebasan masa hadapan memerlukan disiplin untuk menanggung ketidakselesaan sekarang. Ini termasuk:

– Belajar tentang pelaburan walaupun terasa mencabar

– Menolak tawaran kerja dengan gaji tinggi jika tidak selari dengan nilai hidup

– Menangguhkan pembelian besar demi simpanan atau pelaburan

Sikap ini membina ketahanan kewangan dan emosi, asas penting untuk kestabilan jangka panjang.

7. Sediakan Pelan Hidup Untuk Situasi Luar Jangka

Dalam dunia yang tidak menentu, kita perlu bersedia untuk menghadapi situasi yang tidak dirancang. Bina pelan fleksibel jika:

– Anda kehilangan kerja secara tiba-tiba

– Ibu bapa jatuh sakit dan memerlukan penjagaan

– Kesihatan anda menghalang kemampuan untuk bekerja

Rancang dana kecemasan, pelan insurans, dan struktur sokongan awal. Ini bukan semata-mata soal kewangan, tetapi membina ketenangan bila menghadapi ujian.

Jadi, kesenangan hidup sebenar bukan terletak pada jumlah harta atau kemewahan yang dipamerkan. Ia terletak pada sejauh mana kita bebas membuat pilihan hidup yang sejajar dengan nilai dan keutamaan diri sendiri, walaupun dunia berubah. Ia tentang rasa cukup, bukan semata-mata memiliki banyak.

Dengan strategi yang betul, konsisten dalam tindakan dan pemikiran yang jelas, kesenangan masa hadapan bukan mustahil ia hanya menunggu untuk dibina, satu hari demi satu hari.