Saidatina Siti Khadijah Binti Khuwailid R.A, Seorang Usahawan Yang Dermawan

Apabila kita mendengar sejarah hidup junjungan kita Nabi Muhammad SAW, sudah pasti nama seorang wanita penghuni syurga ini turut menjadi sebutan, iaitu Saidatina Siti Khadijah binti Khuwailid, Ummul Mukminin yang menjadi isteri kesayangan Nabi.

Beliau merupakan antara wanita pertama yang beriman kepada ALLAH dan Rasul-Nya dengan memeluk agama Islam setelah kerasulan Nabi Muhammad SAW. Umum juga mengetahui, bahawa sebelum beliau berkahwin dengan Rasulullah, Siti Khadijah merupakan seorang ahli perniagaan yang sangat disegani di kalangan masyarakat Arab. Ketokohan beliau dalam bidang perniagaan menjadikan beliau seorang yang sentiasa dipandang tinggi dan dikagumi ramai.

Wanita mulia ini merupakan anak kepada pasangan Khuwailid bin Asad dan Fatimah binti Zai’dah dari suku Bani Hashim. Sebelum menjadi isteri Rasulullah Sallallahu ‘Ailaihi Wasallam, beliau pernah berkahwin sebanyak dua kali.

Di usia 40 tahun, beliau bertemu jodoh dengan Rasulullah yang ketika itu berumur 25 tahun. Kejujuran dan sifat mulia yang ada pada Rasulullah telah menambat hati Khadijah untuk dijadikan suami walaupun Rasulullah tidak berharta.

Selain terkenal dengan kecantikannya, Saidatina Siti Khadijah juga sangat dikenali dengan sifatnya yang dermawan. Walaupun memiliki perniagaan yang besar dan harta yang banyak, namun beliau tidak pernah bongkak, malahan sentiasa membantu golongan fakir dan miskin.

Beliau juga banyak membuka peluang pekerjaan kepada penduduk di sekitar Mekah. Selain itu, beliau merupakan antara penyumbang utama kepada perkembangan dan penyebaran Islam pada zaman Rasulullah.

Beliau sanggup menginfakkan segala harta dan kekayaan beliau untuk membantu dalam penyebaran agama Islam sehinggakan kesemua hartanya habis digunakan.

Saidatina Siti Khadijah merupakan seorang ahli perniagaan yang sangat disegani pada zamannya. Antara ciri-ciri yang ada pada beliau adalah:

1. Berani Mengambil Risiko

Walaupun tidak mengenali Nabi Muhammad secara dekat, namun Saidatina Siti Khadijah tetap menaruh sepenuh kepercayaan terhadap cara Rasulullah berurus niaga.

2. Bijak Mengambil Peluang Dan Peka Akan Keperluan Pelanggan

Saidatina Siti Khadijah sangat sangat bijak mencari peluang untuk memasarkan barang niaganya. Ketika Rasulullah menjadi pembantunya, Saidatina Siti Khadijah meminta Rasulullah untuk membeli barangan bermutu tinggi yang pasti menjadi kesukaan golongan kaya di Mekah.

3. Rajin Berusaha, Kuat Semangat Dan Cekap Dalam Pengurusan

Saidatina Siti Khadijah merupakan seorang yang teliti dan sangat tekun dalam menguruskan perniagaannya. Beliau sendiri turun padang untuk memantau para pekerjanya menjalankan kerja masing-masing.

Sikap-sikap terpuji yang ada pada diri Saidatina Siti Khadijah ini membuatkan ramai wanita berusaha untuk menjadi seperti beliau. Semoga para wanita di luar sana mencontohi peribadi wanita hebat penghuni syurga ini.

Sumber Rujukan: (PDF) ResearchGate.net

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.