Sejarah Penubuhan Dr. Martens Sehingga Menjadi Terkenal Di Seluruh Dunia

Industri fesyen merupakan industri yang sangat menguntungkan kepada para pemain yang menceburi dalam bidang tersebut. Pada tahun lepas sahaja, jualan online yang melibatkan fesyen berjumlah USD90 bilion di Amerika Syarikat walaupun kita berdepan dengan pandemik Covid-19.

Industri kasut juga turut sama terkena tempias di mana permintaan semakin meningkat walaupun Perintah Kawalan Pergerakan berlaku di seluruh dunia.

Sebelum ini kita telah melihat bagaimana kasut Timberland menjadi terkenal di kalangan masyarakat Hip Hop di Amerika Syarikat, kali ini kita akan melihat bagaimana kasut Dr. Martens yang sinonim dengan masyarakat England dalam dunia fesyen dan muzik.

Baca: Bagaimana Muzik Hip Hop Menjadikan Jenama Timberland Popular Di Seluruh Dunia

Sejarah Awal Kasut Dr. Martens

Kredit Gambar: Grailed

Jenama ini diasaskan oleh Dr. Klaus Maertens yang merupakan seorang askar Jerman yang terlibat dalam Perang Dunia Kedua. Beliau merupakan seorang doktor tentera dan terlibat secara langsung dalam peperangan tersebut.

Kasut jenama Dr. Martens ini bermula apabila Dr. Klaus Maertens mengalami kecederaan di kaki akibat daripada permainan ski yang disertainya. Akibatnya, kakinya telah patah dan beliau perlu berehat dalam tempoh yang agak lama bagi memulihkannya.

Ketika itu, beliau mendapat idea untuk menghasilkan kasut untuk dirinya sendiri. Idea tersebut muncul apabila pada era tersebut, kebanyakan tapak kasut sebelah dalam adalah terlalu keras. Disebabkan kecederaan yang dialaminya itu, beliau tidak dapat memakai kasut yang mempunyai tapak dalam yang keras.

Dr. Klaus Maertens berjaya mencipta kasut buatan sendiri dengan tapak dalam untuk tumit yang lembut bagi keselesaan kepada kakinya yang tercedera.

Kemuan beliau pergi berjumpa dengan sahabat lamanya iaitu Dr. Herbert Funk yang merupakan seorang jurutera. Beliau telah menunjukkan kasut buatanya kepada Dr. Herbert Funk dan yakin bahawa kasut tersebut dapat dikomersialkan untuk pasaran setempat.

Dr. Herbert Funk kemudian bekerjasama dengan Dr. Klaus Maertens untuk mengkomersilkan kasut yang dihasilkan mereka.

Pada pertengahan tahun 1950-an, sambutan terhadap kasut buatan Dr. Martens ini sungguh luar biasa kerana ianya sangat unik pada era tersebut. Disebabkan ini, mereka berdua telah sepakat untuk mengkomersialkan kasut mereka dengan menghasilkannya secara besar-besaran.

Keunikan kasut yang dibawa oleh Dr. Martens ini jelas kelihatan kerana mengangkat fesyen moden pada ketika itu. Beliau menghasilkan kasut seperti kasut askar tetapi mengikut citarasa fesyen semasa. Sambutan yang diterima oleh kasut Dr. Martens ini tidak bertahan lama disebabkan pemasaran yang kurang berkesan.

Akhirnya syarikat dari England iaitu R. Griggs Group, telah membeli hak cipta jenama kasut ini dan mereka membawanya ke England.

Zaman Kegemilangan Kasut Dr. Martens

Sebaik saja tiba di England, penduduk di sana terutamanya di bahaigian utara sangat menggemari kasut Dr. Martens dan telah menjadi sebahagian daripada fesyen mereka. Ianya menjadi semakin terkenal apabila kumpulan muzik yang terkenal pada era tersebut iaitu The Who, telah memakai kasut Dr. Martens ketika membuat persembahan konsert.

Selain daripada The Who, banyak lagi artis terkenal di England yang mula menggunakan kasut Dr. Martens seperti Elton John, Eddie Vedder, Morrissey, Rancid dan Rihanna.

Kredit Gambar: Grailed

Apa yang menarik mengenai kasut Dr. Martens ini, kasut ini bukan sahaja menjadi kegilaan pengikut kumpulan punk rock, malah kumpulan skinhead juga menjadikan kasut ini sebagai kasut rasmi mereka. Disebabkan perkara tersebut, kasut ini mempunyai pengaruh yang tersendiri di dalam dunia fesyen.

Berubah Mengikut Peredaran Zaman

Kredit Gambar: Maker

Setelah berusia lebih daripada 70 tahun, kini Dr. Martens mempunyai imej baru. Kalau sebelum ini ianya lebih kepada golongan yang suka memberontak, hari ini wanita pun kelihatan elegan memakainya.

Ternyata mereka pandai menyesuaikan kasut dengan peredaran zaman bagi membolehkan lebih ramai lagi orang memakai kasut Dr. Martens ini. Bila semakin ramai orang membelinya, maka semakin untunglah syarikat. Bijak kan?

Sumber Rujukan: Fortune

Previous ArticleNext Article

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.