3 Perkara Yang Perlu Kita Buat Dan Tinggalkan Pada Tahun 2024

Eh…sedar tak sedar tinggal beberapa hari saja lagi untuk kita melangkah ke tahun 2024. Mesti semua dah siap sedia dengan resolusi tahun 2024. Macam mana dengan resolusi tahun 2023, tercapai ke tak?

Apa kata tahun 2024 ini, salah satu resolusi kita adalah untuk menyemak semula pengurusan kewangan kita dan membuat perubahan yang diperlukan supaya menjadi lebih baik. 

Pengurusan kewangan yang baik adalah kebolehan untuk mengawal dan merancang perbelanjaan untuk memenuhi matlamat hidup. Jika kita gagal untuk menguruskan kewangan kita dengan baik, mungkin kita akan berhadapan dengan masalah perbelanjaan melebihi pendapatan. Masalah-masalah ini semua akan menyebabkan kita tertekan dan mungkin akan mempengaruhi kehidupan seharian kita.

Di sini kami senaraikan tiga tips ringkas yang mungkin boleh anda ikuti dan tinggalkan sebagai permulaan untuk pengurusan kewangan yang baik.

  1. Membuat Perancangan Perbelanjaan

Langkah pertama yang paling penting dalam pengurusan kewangan peribadi yang baik adalah membuat perancangan perbelanjaan. Mulakan dengan menyenaraikan pendapatan bulanan dan semua perbelanjaan tetap anda seperti sewa, utiliti, pelan takaful dan lain-lain lagi. Kemudian, senaraikan juga anggaran perbelanjaan berubah-ubah anda, seperti makanan, hiburan, pengangkutan dan lain-lain perbelanjaan.

Akhir sekali, bandingkan pendapatan dan semua perbelanjaan anda untuk menentukan sama ada anda mempunyai lebihan atau tiada lebihan pendapatan. Ini akan memberikan anda gambaran sama ada perbelanjaan anda di dalam lingkungan atau di luar kemampuan anda. 

  1. Mencarum Dalam Pelan Takaful Perlindungan Kesihatan Untuk Diri Dan Keluarga

Langit tidak selalunya cerah, kadang-kadang perkara tidak diduga akan terjadi dalam hidup kita seperti kemalangan, sakit dan lain-lain. Pada masa inilah sumbangan atau caruman kepada pelan takaful amat membantu.

Contohnya jika anda mencarum dalam pelan takaful kesihatan, jika anda sakit dan dimasukan ke hospital, perbelanjaan perubatan anda akan dilindungi oleh pelan takaful kesihatan tersebut.

Terdapat pelbagai jenis pelan takaful yang ada di pasaran seperti Takaful Kesihatan Diri dan Keluarga, Kemalangan Peribadi dan lain-lain lagi. Jika anda tidak pasti jenis pelan takaful yang bersesuaian, pililah mengikut keperluan dan bajet anda. Tetapi kebanyakan orang akan mencarum kepada pelan Takaful Kesihatan dan Kemalangan Diri.

  1. Buat Simpanan Kecemasan

Anda pernah tak dengar tentang simpanan kecemasan? Simpanan kecemasan ialah simpanan yang khusus untuk perbelanjaan yang tidak dirancang. Ianya bukanlah perbelanjaan tetap atau rutin bulanan anda. Antara beberapa contoh perbelanjaan tidak dirancang adalah seperti paip rumah pecah, kereta rosak dan lain-lain lagi.

Jika anda belum mempunyai simpanan kecemasan, mesti anda tertanya-tanya berapa banyak yang perlu kita simpan untuk dijadikan simpanan kecemasan. Kebanyakan pakar kewangan menyarankan agar kita mempunyai simpanan kecemasan sekurang-kurangnya tiga ke enam bulan jumlah pendapatan kita. Tetapi, jika kita tidak mempunyai pendapatan tetap, kita mesti mempunyai simpanan kecemasan lebih dari enam bulan pendapatan.

Mungkin agak merunsingkan kepala, macam mana kita nak mulakan simpanan kecemasan tiga hingga enam bulan jumlah pendapatan. Jangan risau, kita boleh mula menyimpan dengan nilai yang kecil seperti RM50 sebulan. Kalau kita tekal menyimpan, setahun dah dapat RM600. Dari masa ke semasa jika kita mempunyai lebihan pendapatan, kita boleh naikan jumlah simpanan. Bak kata pepatah sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

  1. Mula Tambah Pendapatan Sampingan

Jika tahun ini kita tak dapat simpan duit sebab duit yang ada memang cukup-cukup atau sering terpaksa meminjam dari kawan atau ahli keluarga, kita mungkin boleh cuba untuk tambah lagi sumber pendapatan. Jangan bergantung kepada satu sumber pendapatan sahaja.

Jika tidak mampu kurangkan perbelanjaan bulanan, apa kata kita cuba tambah pendapatan sampingan. Kini ada macam-macam cara untuk tambah pendapatan, cuma pastikan yang sah dan patuh syariah. Ingat pendapatan yang halal dan berkat itu penting. Hasilnya untuk kegunaan keluarga kita juga bukan? Jadi jagalah sumber pendapatan kita.

Buang Tiga Tabiat Buruk Ini

Berikut adalah tiga perkara yang anda harus cuba elakkan daripada melakukanya pada tahun depan.

  1. Membuat Pembelian Yang Tidak Dirancang (Impulsive)

Pembelian impulsif ialah membeli produk atau perkhidmatan yang bukan keperluan kerana faktor tertentu. Dorongan ini selalunya berlaku disebabkan oleh adanya tawaran dan diskaun khas, yang menarik perhatian pembeli untuk membelinya secara tidak langsung. 

Contohnya sedang kita leka melayari TikTok tiba-tiba keluar iklan jual tudung, mungkin kita tidak merancang untuk membelinya tetapi apabila tawarannya menarik perhatian seperti beli satu percuma dua membuat kita tertarik untuk membelinya.

  1. Menggunakan Kad Kredit Sebagai Tambahan Pendapatan

Ini adalah contoh tidak bijak ketika menggunakan kad kredit. Kebanyakan kad kredit membolehkan anda untuk meminjam wang dengan segera. Atas sebab itu, jangan mudah untuk menggunakan kad kredit bagi menampung perbelanjaan yang tidak mencukupi. Gunakan kemudahan kad kredit dengan bijak dan manfaatkan kelebihannya. Jangan sampai terbeban dengan hutang kad kredit dan caj bank pada kemudian hari.

  1. Lewat Bayar Hutang Bank

Jika anda mempunyai hutang dengan bank atau mana-mana syarikat kewangan, seperti hutang kad kredit, pinjaman kereta atau lain-lain, mereka biasanya akan mula mengenakan faedah apabila anda terlepas untuk membuat pembayaran pada masanya atau gagal membayar dengan cukup untuk menampung baki anda. Tanpa kita sedar, faedah pembayaran lewat yang dianggap sebagai caj yang kecil akan tiba-tiba menjadi jumlah yang sangat besar. Apabila anda mengambil remeh perkara ini, ia akan merugikan anda dalam jangka masa panjang. 

Harus diingatkan, pengurusan kewangan peribadi yang baik bukanlah tentang jumlah duit yang anda hasilkan tetapi adalah tentang cara anda mengurus dan merancang kewangan anda. 

Rujukan

  1. www.prubsn.com.my/ms/takaful-articles/financial-planning-helping-you-face-economic-uncertainties/
  1. www.investopedia.com/articles/personal-finance/100516/setting-financial-goals/

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!

Previous ArticleNext Article

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.