4 Sebab Mengapa Anak Muda Perlu Ambil Risiko Kewangan

“Eh tak beranilah aku..”

Kebanyakan orang akan menjauhkan diri apabila dengar benda yang dinamakan “risiko”. Apa benda sebenarnya risiko ni?

Kalau kita buat carian perkataan risk di enjin carian seperti Google, rata-rata hasil carian memberi maksud “kebarangkalian atau potensi untuk berlakunya sesuatu yang buruk”. Bunyi macam tak bagus kan?

Dalam dunia kewangan, risiko terhasil apabila kita terdedah dengan kebarangkalian untuk rugi. Apabila kita ada duit, kita akan sentiasa terdedah kepada risiko kerugian.

Tahukah anda bahawa menyimpan duit di bank pun bukanlah 100% selamat? Mujurlah simpanan rakyat Malaysia dijamin oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) secara automatik.

Jika sekecil-kecil simpanan di bank pun terdedah dengan risiko, apatah lagi jika melabur dalam instrumen berisiko tinggi seperti minyak mentah dan mata wang kripto! Bak kata orang, high risk, high return!

Namun, apa yang kita tidak sedari ialah, risiko boleh menjadi kawan baik kita sekiranya diuruskan dengan cermat. Malah, ia boleh membawa manfaat yang besar sekiranya kita bermula daripada usia yang muda.

Nak tahu kenapa? Teruskan membaca!

1. Dapat Nikmat Konsep Faedah Berganda (Compound Interest) Secara Lebih Efektif

Albert Einstein dilaporkan pernah berkata:
“Compound interest is the eighth wonder of the world. He who understands it, earns it. He who doesn’t, pays it.”

Tak hairanlah kalau Einstein benar-benar berkata sedemikian, kerana inilah konsep yang paling berkuasa dalam pelaburan! Kalau nak tahu, perbezaan di antara menyimpan dan melabur amatlah besar disebabkan oleh konsep “compounding” ini.

Nak lebih mudah faham, boleh rujuk graf di bawah. Kita boleh lihat perbezaan yang ketara antara melabur dan menyimpan.

Sekiranya kita konsisten melaburkan wang simpanan sebanyak RM300 setiap bulan selama 30 tahun pada kadar keuntungan 5% setahun, kita akan dapati pelaburan kita telah berkembang menjadi RM240,000.

Bayangkan kalau kita tak ambil risiko dan hanya menyimpan wang setiap bulan, kita hanya akan dapat RM108,000. Banyak beza tu!

Malah, kuasa membeli kita akan berkurangan kerana kesan inflasi yang menyebabkan kadar kenaikan harga barang lebih tinggi daripada kadar pulangan simpanan.

Dan kalau kita perasan, jurang perbezaan di antara menyimpan dan melabur itu semakin besar setiap tahun. Maksudnya, lagi muda kita mula melabur, lagi besar nilai aset kita ketika bersara nanti.

Kalau nak tahu, bukan pelaburan konvensional sahaja yang boleh gunakan konsep faedah berganda. Pelaburan patuh syariah juga boleh praktikkan konsep ini. Yang penting, kita ada tiga ramuan utama, iaitu:

  • Pelaburan yang konsisten setiap bulan
  • Tempoh masa yang panjang
  • Pulangan yang baik setiap tahun

2. Aset Yang Lebih Berisiko Akan Berkembang Lebih Pesat

Kebiasaannya, pakar-pakar pengurusan kewangan akan mengesyorkan rangka kerja alokasi aset (asset allocation framework) yang memberi penekanan yang lebih besar kepada aset yang berkembang lebih pesat (growth asset) kepada orang muda. Sebagai panduan kasar, seseorang harus melaburkan wang dalam aset pendapatan tetap sejajar dengan umurnya.

Contohnya, sekiranya Abu berumur 25 tahun, maka 25% daripada wang Abu patut dilaburkan ke dalam dana pendapatan tetap, dan selebihnya iaitu 75% dilaburkan ke dalam dana ekuiti.

Nak lebih mudah faham, sila rujuk carta pai di bawah.

Panduan ini masuk akal kerana orang muda sepatutnya mengambil risiko yang lebih besar, kerana mempunyai banyak masa sebelum nak bersara dan masih berupaya untuk bekerja mencari wang simpanan sekiranya mengalami kerugian.

Selain daripada itu, sekiranya kita mengambil risiko yang lebih besar, secara semulajadinya aset kita akan lebih cepat berkembang kerana aset yang berisiko tinggi juga selalunya berpotensi memberikan pulangan yang lebih besar.

Apabila sudah lanjut usia, pelaburan seharusnya menjurus ke arah aset yang lebih selamat seperti bon atau deposit tetap; kerana aset sudah cukup besar dan tidak memerlukan perkembangan yang pesat.

3. Inilah Umur Yang Sesuai Untuk Mula Melabur

Orang muda yang berumur dalam lingkungan 20-25 tahun kebanyakannya baru sahaja mula bekerja dan tak kurang juga yang masih belum berkahwin atau baru sahaja membina keluarga.

Inilah masa yang sesuai untuk berjinak-jinak dalam bidang pengurusan kewangan, kerana:

  • Masih sihat, bertenaga dan bersemangat untuk belajar
  • Banyak masa untuk belajar dan mencari jenis pelaburan yang sesuai dengan citarasa sendiri
  • Baru mula bekerja dan belum disibukkan dengan jawatan lebih penting di pejabat
  • Belum mempunyai anak / belum ramai anak untuk diuruskan
  • Umur yang paling sesuai untuk mula merancang kewangan untuk jangkamasa panjang

4. Belum Banyak Komitmen, Lebih Banyak Simpanan

Orang muda juga kebanyakannya tidak dibebani dengan komitmen kewangan yang begitu berat kerana belum memiliki banyak pinjaman dan tidak banyak tanggungan di bawah jagaannya.

Apabila usia kita semakin meningkat, kebiasaannya komitmen kewangan juga akan bertambah, contohnya:

⦁ Pinjaman kereta
⦁ Pinjaman rumah
⦁ Pinjaman peribadi
⦁ Duit minyak dan penyelenggaraan kereta
⦁ Bayaran bulanan bil utiliti (elektrik, air, telefon)
⦁ Bayaran bulanan insurans hayat dan perubatan
⦁ Wang perbelanjaan rumah seperti membeli barang basah
⦁ Wang bulanan untuk ibu bapa yang sudah bersara
⦁ Yuran pengajian anak-anak
⦁ Perbelanjaan sekolah anak-anak

Banyak betul komitmen kan? Sekiranya kita tidak menyedari betapa pentingnya pengurusan kewangan daripada usia muda, kelak kita akan berdepan masalah apabila komitmen mula muncul satu demi satu. Malah, keruntuhan institusi rumahtangga kerapkali berlaku disebabkan oleh masalah kewangan yang melanda.

Wang mungkin tidak menjamin kebahagiaan rumahtangga anda, tetapi jangan biarkan ia menjadi punca pergolakan. Rancanglah daripada sekarang!

Akhir Kata

Pengurusan risiko yang baik akan melindungi kita dari masalah kewangan, dan pada masa yang sama membantu kita mempersiapkan diri untuk persaraan. Sudah tentu apabila usia telah lanjut, kita hendak berehat dan meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.

Jangan disebabkan oleh kecuaian kita untuk menguruskan kewangan kita, akhirnya apabila sudah tua nanti pun kita terpaksa bekerja keras dan ini akan membawa kepada pelbagai masalah lain seperti masalah kesihatan dan rumahtangga.

Sebab itulah orang muda patut ambil langkah proaktif dan mula merancang dari sekarang.

Ditulis oleh Mohd Zulazam. Beliau merupakan seorang pengurus dana saham antarabangsa di sebuah institusi kewangan di Malaysia.

Penafian: Artikel ini merupakan pendapat dan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan rasmi mana-mana organisasi.

Dapatkan Khidmat Nasihat Berkaitan Kewangan Daripada Perancang Kewangan Yang Berlesen

Anda sedang berdepan dengan masalah kewangan dan tak tahu nak tanya siapa? Ada masalah nak menyimpan dan tak tahu nak melabur kat mana?

Zaman sekarang ni, ramai yang claim mereka pakar, tapi berapa ramai yang merupakan Perancang Kewangan atau Financial Planner yang berlesen? Kalau nak tahu di Malaysia, bilangan mereka ini tak sampai pun seribu orang, memang rare sangat.

Memperkenalkan My Personal Finances (MyPF Premier)

Kini anda selangkah saja lagi untuk mendapatkan manfaat bagi mengembangkan kewangan peribadi bagi menuju kebebasan kewangan yang dicari-cari.

Mereka menghubungkan anda kepada Perancang Kewangan yang berdaftar dan boleh membantu daripada segi:

  • Penasihat yang membimbing dalam menetapkan sasaran kewangan, mengulas dan berkongsi ilmu
  • Khidmat nasihat yang kerap dengan berkongsi pengalaman, kepakaran, dan menjawab segala kemusykilan berkaitan kewangan
  • Pembelajaran secara hands-on dalam pelaburan, termasuklah saham, hartanah dan lain-lain

Bila dah kenalpasti masalah yang dihadapi, punca masalah tersebut dan cadangan daripada mereka yang pakar untuk mengatasinya; barulah rasa lega sikit kan? Seolah-olah dah nampak cahaya di hujung terowong.

Jom kita jadi ahli MyPF Premier hari ini juga.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

10 Produk Makanan Masa Depan: Kesan Daripada Pengecualian Cukai Baharu

Kerajaan mencadangkan pengecualian cukai pendapatan 100% ke atas pendapatan berkanun selama 10 tahun bagi syarikat yang melaksanakan projek baharu pengeluaran bahan makanan, dengan tempoh permohonan dilanjutkan hingga 31 Disember 2030. Bagi syarikat sedia ada yang membuat projek pembesaran, pengecualian 100% selama 5 tahun turut ditawarkan. Pengumuman ini dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) di bawah Tekad 5: Memperkukuh Ketahanan Negara di Dewan Rakyat.

Langkah ini dilihat bukan sekadar insentif kewangan tetapi berpotensi mencetuskan gelombang inovasi dan teknologi dalam sektor pertanian negara.

Berikut adalah 10 contoh produk dan inovasi menarik yang kami jangka akan lahir hasil daripada dasar ini:

1. Ladang Tertutup Pintar (Smart Closed Farm)

Kandang atau reban yang dikawal sepenuhnya oleh sensor dan sistem automatik.

Contoh: Syarikat ternak ayam buat reban tertutup automatik — suhu, cahaya & kipas dikawal oleh sensor. Kalau panas, kipas hidup sendiri.

Kesan: Ayam cepat membesar, kurang mati, kurang bau dan data boleh dipantau dari telefon.

Bagaimana pelepasan cukai membantu?

  • Penternak boleh gunakan galakan cukai projek baharu ini untuk melabur dalam projek automasi (sensor, kipas dan controller reban, auto-feeder, pembersih lantai).

Kesan kepada pengguna:

  • Bila kadar kematian rendah, kos pengeluaran per kg menurun maka potensi harga ayam runcit menjadi lebih murah dalam jangka sederhana (masih bergantung kepada kos logistik dan dasar harga siling).

2. Vertical Farm / Greenhouse Bandar

Tanam sayur secara bertingkat dalam bangunan tertutup (guna LED & baja cecair).

Contoh: Startup dekat Shah Alam buat farm dalam kontena, tanam salad dan herba premium untuk hotel.

Kesan: Tanam sepanjang tahun tanpa gangguan cuaca; hasil lebih konsisten & mesra bandar.

3. Protein Alternatif & Makanan Ternakan daripada Serangga

Guna larva lalat BSF (black soldier fly) sebagai makanan ayam/ikan menjadi sumber protein yang murah dan mampan.

Contoh: Kilang kecil proses sisa makanan jadi makanan larva BSF, kemudian jual semula larva kering ke ladang ayam.

Kesan: Kurangkan kebergantungan kepada dedak import.

Laporan Bernama (25 Jul 2022) & Astro Awani (26 Jul 2022) pernah menyebut tentang kerjasama penyelidik Universiti Malaya × Ain Aquaculture di Kampung Gajah, Pengkalan Chepa (Kelantan); projek penternakan BSF yang bermula tahun 2020 dengan kos awal sekitar RM10,000 sebagai usaha mengurangkan kebergantungan pada sumber import seperti jagung bijian dan soya.

4. Rantaian Sejuk (Cold Chain) Pintar

Sistem simpanan dan penghantaran bahan makanan dengan kawalan suhu automatik.

Contoh: Lori ikan laut dalam dipasang sensor suhu & GPS. Kalau suhu naik, HQ terus dapat amaran.

Kesan: Kurang pembaziran makanan, kualiti kekal segar dari laut ke kedai.

5. Biofertilizer & Biopestisid Tempatan

Baja dan racun organik yang dibuat daripada mikrob atau bahan semula jadi.

Contoh: Syarikat guna sisa kelapa sawit untuk hasilkan baja mikrob aktif untuk sayur-sayuran organik.

Kesan: Kurangkan penggunaan bahan kimia import dan lebih mesra alam.

6. Jejak Halal & Kebolehkesanan (Traceability)

Sistem QR code pada produk untuk sahkan asal-usul bahan makanan.

Contoh: Beli ikan beku, scan QR → keluar info ‘diternak di Johor, dituai 5 Oktober 2025, disimpan pada -18°C’.

Kesan: Tingkatkan keyakinan pengguna dan potensi eksport halal.

7. Agri-Automation-as-a-Service (Sewa Teknologi Pertanian)

Ladang kecil boleh sewa atau langgan servis automasi tanpa perlu beli mesin mahal.

Contoh: Syarikat drone datang sembur baja dan racun secara automatik, ladang cuma bayar ‘per ekar’.

Kesan: Teknologi sampai ke petani kecil tanpa modal besar.

8. Produk Makanan Sedia Makan (Ready-to-Eat) Tempatan

Produk siap masak tapi dibuat daripada bahan mentah tempatan sendiri.

Contoh: Ladang ayam keluarkan nasi lemak ayam kampung sejuk beku – semua bahan dari ladang sendiri.

Kesan: Rantaian nilai lebih panjang, keuntungan lebih tinggi.

9. Benih & Varieti Premium Tempatan

Benih tempatan yang tahan penyakit dan sesuai dengan iklim Malaysia.

Contoh: Usahawan R&D hasilkan benih cili ‘Kampung King’ – tahan panas & cepat berbuah.

Kesan: Petani tak perlu bergantung kepada benih import.

10. Pusat Latihan & Data Agronomi

Tempat petani belajar guna teknologi & kongsi data hasil tanaman.

Contoh: ‘Agri Tech Lab’ ajar guna sensor tanah dan tunjuk data hasil purata untuk banding prestasi ladang.

Kesan: Produktiviti meningkat sebab petani belajar dari data sebenar.

Dasar pengecualian cukai ini membuka ruang untuk transformasi menyeluruh dalam ekosistem makanan negara. Jika digerakkan dengan betul, Malaysia boleh jadi peneraju dalam inovasi agro-teknologi Asia Tenggara.

Baca juga :