4 Strategi Untuk Mengurus Komitmen Pinjaman Dan Kewangan

Dalam keadaan kita terus menghadapi dua krisis iaitu ekonomi dan kesihatan, rakyat Malaysia juga perlu mula mengatur semula keadaan kewangan dan memastikan yang mereka mampu memenuhi tanggungjawab kewangan masing-masing.

Walaubagaimanapun, dalam keadaan di mana masih ramai yang berada dalam situasi yang agak sempit akibat daripada pengurangan gaji dan pemberhentian kerja, menguruskan komitmen kewangan adalah agak mencabar.

Sekiranya anda berada dalam situasi sebegini, di bawah ini adalah beberapa strategi yang dapat membantu anda dalam menguruskan komitmen-komitmen  pinjaman/kewangan serta kad kredit anda.

Sebelum itu, dua perkara  yang perlu anda kira adalah:  pertama, jumlah komitmen bulanan anda – seperti kereta, rumah, ataupun apa-apa pinjaman peribadi yang anda mungkin ada. Jangan lupa, jika anda mempunyai apa-apa pelan ansuran melalui Pelan Pembayaran Mudah (EPP) kad kredit bagi pembelian berjumlah besar yang diambil baru-baru ini, anda haruslah memasukkan jumlah ini sekali  ke jumlah keseluruhan komitmen anda.

Kedua, anda juga perlu mengenal pasti berapa jumlah wang yang anda boleh gunakan untuk pembayaran setiap bulan pada tempoh ini (anggaplah ini sebagai bajet pembayaran balik pinjaman anda). Jika anda sudah tahu akan jumlah-jumlah ini, menentukan langkah seterusnya  akan menjadi lebih mudah untuk anda.

1. Cari Peluang Pendapatan Jangka Pendek

Dalam “norma baharu” kini, perkhidmatan “on demand”, seperti penghantaran makanan ataupun barangan dan “ride-hailing”, semakin mendapat permintaan yang tinggi. Banyak platform-platform sebegini sudah mula aktif mengambil pekerja-pekerja jangka pendek ataupun sambilan untuk memenuhi permintaan ini, secara tidak langsung ianya menjadikan ini satu peluang untuk menjana pendapatan  sementara bagi memenuhi komitmen-komitmen kewangan anda.

Terdapat juga pelbagai peluang pekerjaan secara bebas atau “freelancing” andai kata anda mempunyai kemahiran teknikal yang sesuai dengan kemahuan perkejaan tersebut. Daripada kemahiran kreatif seperti “copywriting” dan fotografi/videografi kepada yang lebih teknikal seperti pengurusan enjin carian (SEO dan pengekodan, pekerjaan-pekerjaan seperti ini biasanya disenaraikan di dalam talian. Kebanyakan tugas “freelance” juga boleh dilakukan di mana-mana sahaja. Ini bermaksud anda boleh berurusan dengan pelanggan yang berpusat di mana-mana sahaja di serata dunia!

Sama ada anda mengalami pengurangan pendapatan gaji ataupun masih mencari pekerjaan yang baru, duit sampingan seperti ini boleh menjadi salah satu cara yang baik untuk menambahkan bajet pembayaran balik pinjaman anda dan juga membantu anda memenuhi komitmen kewangan bulanan anda. Ingatlah bahawa pendapatan ini adalah untuk memenuhi kewajiban kewangan anda, jadi cubalah sedaya upaya agar tidak boros.

2. Tukarkan Kemudahan Pinjaman Berfaedah Tinggi Kepada Pinjaman Berjangka

Photo by Pixabay from Pexels

Jika bajet pembayaran anda kini kurang daripada jumlah komitmen bulanan anda, anda haruslah mencari jalan untuk menguruskan hutang-hutang anda dengan cepat – janganlah hanya membayar jumlah minima untuk kesemuanya dan harapkan yang terbaik!

Ini adalah kerana kemudahan kredit mempunyai terma-terma dan juga kadar faedah/keuntungan masing-masing yang berlainan.

Di dalam keadaan OPR (Overnight Policy Rate[1]) atau dikenali sebagai Kadar Dasar Semalaman yang rendah yang kita sedang lalui pada masa ini, pinjaman/pembiayaan rumah yang sedia ada sebenarnya boleh menjadi “lebih mampu” disebabkan oleh kadar faedah/keuntungan yang lebih rendah.

Akan tetapi, kad kredit adalah langsung tidak terjejas oleh OPR dan mula mengenakan faedah/keuntungan sekiranya anda tidak membayar keseluruhan baki tunggakan pada tarikh yang ditetapkan – setakat ini, kad kredit merupakan kemudahan kredit yang paling mahal untuk dimiliki sekiranya anda tidak dapat membayar balik secara penuh.

Anda haruslah mengambil langkah-langkah yang sepatutnya bagi memastikan anda tidak mengabaikan kewajiban ke atas pinjaman-pinjaman anda dan jika anda tidak mampu untuk melakukannya, anda haruslah meminta pertolongan dan bertanya akan pilihan-pilihan yang ada untuk anda dari pihak bank.

Matlamatnya adalah untuk menguruskan situasi kewangan anda dengan betul agar anda dapat menjelaskan hutang dengan lebih cepat mengikut kemampuan masing-masing.

Kad kredit adalah satu instrumen pembayaran yang berguna dan dengan adanya instrumen ini, ianya adalah amat bermanfaat, terutama di kala urusniaga “tanpa sentuhan” adalah pilihan ramai akibat daripada wabak pandemik yang sedang berlaku kini.

Walaubagaimanapun, berbelanja secara bijak adalah amat penting supaya anda tidak menambahkan lagi hutang dan juga hilang jejak akan perbelanjaan yang anda sendiri mungkin tidak mampu bayar. Sekiranya anda berada di dalam situasi tersebut, sila ambil maklum bahawa terdapat pilihan untuk mengubahnya menjadi pinjaman berjangka dengan kadar faedah yang lebih rendah.

Oleh itu, ianya adalah amat penting untuk menyelesaikan perkara ini dengan pihak bank anda dan juga menguruskan hutang kad kredit anda secepat mungkin. Masalah dengan kad kredit tidak akan hilang begitu sahaja walaupun anda mengabaikannya. Ianya mungkin boleh mempengaruhi rekod CCRIS (Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat) anda dan juga kelayakan kredit anda.

Pembiayaan rumah, pinjaman peribadi dan pinjaman sewa beli biasanya akan dibayar berdasarkan jadual pembayaran balik bulanan. Namun begitu, disebabkan oleh situasi pandemik ketika ini, adalah wajar untuk anda mencari pilihan-pilihan alternatif pembayaran balik pinjaman sekiranya anda tidak dapat menyambung komitmen pembayaran balik pinjaman yang diperolehi sebelum pandemik ini berlaku.

Sekali lagi, adalah  penting bagi anda untuk menilai situasi kewangan anda agar anda dapat menguruskannya dengan sebaik mungkin.

Sebarang kemungkiran dalam pembayaran balik pinjaman boleh mempengaruhi kelayakan kredit anda dan juga boleh menghalang anda untuk mendapatkan pinjaman daripada pihak bank pada masa akan datang. Jangan ambil mudah akan perkara ini  kerana ianya boleh menjejaskan keupayaan anda untuk mendapatkan pembiayaan yang diperlukan pada masa depan kelak.

3. Terlalu Rumit? Bincang Dengan Pihak Bank Anda

Image by Bryan Santos from Pixabay

Mendapatkan pertolongan yang betul dari pihak bank adalah tidak merumitkan langsung. Tetapi, anda masih perlu berbincang dengan pihak bank agar anda boleh membuat pilihan yang paling sesuai berdasarkan situasi keadaan anda pada masa ini.

Ini merupakan waktu-waktu yang amat mencabar, namun begitu, industri bank sedia membantu sekiranya anda mengalami kesukaran membuat pembayaran balik pinjaman.

Bantuan pembayaran balik bersasar kini ada disediakan untuk rakyat Malaysia yang layak dan  terkesan dengan pandemik Covid-19. Prosesnya adalah mudah. Setakat ini, 98% daripada kesemua permohonan bantuan pembayaran balik pinjaman bersasar sudah diluluskan – bukti komitmen industri perbankan dalam membantu golongan yang terjejas akibat pandemik.

Bank-bank akan menyediakan kepada pelanggan-pelanggan mereka, pilihan-pilihan dari segi bantuan pembayaran balik pinjaman, seperti pengurangan ansuran bulanan yang merangkumi jangka masa yang lebih lama, ataupun lanjutan moratorium pinjaman selama 3 bulan untuk pelanggan yang kehilangan pekerjaan pada tahun 2020 disebabkan oleh pandemik.

Tambahan lagi, sebarang bantuan pembayaran balik pinjaman bersasar yang diambil dalam tempoh ini  tidak akan menjejaskan kesihatan kredit anda, kerana ianya tidak akan direkodkan dalam CCRIS.

Sehingga 19 Oktober 2020, sebanyak 640,000 permohonan untuk bantuan pembayaran balik pinjaman telah diterima oleh industri perbankan. 40% daripada jumlah ini terdiri daripada golongan yang memerlukan bantuan lanjutan moratorium disebabkan kehilangan pekerjaan pada tahun 2020 dan perniagaan daripada sektor yang terjejas akibat pandemik, manakala 60% yang lain telah menerima kelulusan bagi pengurangan ansuran pembayaran balik pinjaman.

Setelah anda selesai menguruskan pelan pembayaran balik pinjaman dengan pihak bank anda, pastikan anda membuat pembayaran mengikut jadual pembayaran baru bagi mengekalkan kelayakan kredit anda dan juga terus berusaha untuk mengurangkan hutang-hutang anda.

4. Kekal Positif Dan Bertanggungjawab

Mudah bagi kita untuk mengalami tekanan dan juga berputus asa pada waktu-waktu sebegini – tiada sesiapa pun dapat meramalkan keadaan ekonomi akan terjejas sebegitu besar. Namun ianya adalah amat penting bagi kita untuk ingat bahawa kita tidak keseorangan dalam keadaan ini, dan adalah penting bagi kita untuk membuat tindakan yang tegas l bagi mengawal situasi kewangan kita.

Pastinya, tidak semua orang akan selesa untuk mencuba strategi-strategi yang dikongsi di atas. Ianya nampak menakutkan, dan  kita mungkin juga akan membuat kesilapan. Sekiranya anda merasa seperti ini, anda haruslah menghubungi bank anda secepat mungkin.

Mengenai Mohd Kauthar Rozmal

This image has an empty alt attribute; its file name is Mohd-Kauthar-700x698.jpg

Mohd Kauthar Rozmal adalah Editor-In-Chief di The Outlook Asia, sebuah portal digital yang memaparkan berita kewangan, pandangan, dan analisis yang berkaitan dengan masyarakat Melayu. Beliau pakar dalam topik-topik yang melibatkan kewangan dan pelaburan.

[1] OPR merupakan kadar faedah di mana sebuah bank memberi pinjaman kepada bank yang lain, yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia. OPR yang lebih rendah bermakna kadar faedah yang lebih rendah dah juga pulangan yang lebih rendah untuk akaun simpanan dan deposit -deposit tetap. Pengurangan dalam OPR memberikan rangsangan tambahan bagi mempercepatkan langkah pemulihan ekonomi.

Anda Nak Beli Rumah, Tapi Adakah Anda Tahu Tahap Kewangan Anda?

Takut-takut ianya kurang memuaskan, nanti nak apply pinjaman tak lepas pula.

  • Bagaimana pula dengan hutang kad kredit, bayar tepat pada masanya atau tidak?
  • Pernahkah anda terlibat dengan sebarang masalah undang-undang atau muflis?
  • Berapa pula Debt to service ratio (DSR) anda?

Dengan TechRevo, kini anda boleh dapatkan laporan kewangan dengan cepat dan mudah.

Bukan itu sahaja, semua pengiraan berkenaan dengan permohonan pinjaman akan dilakukan berdasarkan apa yang bank mahu.

Yang lagi bestnya, di penghujung laporan nanti ada pilihan bank dengan tawaran terbaik khusus untuk anda.

Dengan harga promosi RM14.90, anda akan dapat:

✅ Ketepatan 99% pengiraan DSR + kelayakan pinjaman perumahan
✅ Laporan CCRIS untuk 12 bulan
✅ Kes undang-undang, muflis

Dapatkan laporan TechRevo hari ini juga -> https://tinyurl.com/techrevo

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Banyak Keistimewaan Jadi Miskin di Malaysia?

Jangan salah faham. Menjadi miskin bukanlah satu keistimewaan. Tetapi di Malaysia, golongan berpendapatan rendah dan keluarga yang benar-benar memerlukan memang mempunyai akses kepada pelbagai bentuk bantuan kerajaan.

Antaranya:

1. STR – Sumbangan Tunai Rahmah
Bantuan tunai kepada golongan yang memenuhi syarat pendapatan dan kategori ditetapkan.

2. SARA – Sumbangan Asas Rahmah
Bantuan untuk membeli barangan keperluan asas menggunakan MyKad.

Penerima STR 2026 yang telah disahkan daripada data Miskin Tegar dan Miskin eKasih layak SARA 2026 berjumlah RM200 / RM150 / RM100 setiap bulan bagi tempoh 12 bulan (Januari 2026 – Disember 2026).

3. Bantuan perumahan
Ada skim seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR), selain skim sewaan atau subsidi tertentu untuk keluarga berpendapatan rendah.

Keluarga berpendapatan kasar isi rumah sehingga RM3,000, belum memiliki rumah dan memenuhi syarat boleh memohon PPR.

4. Rumah Mesra Rakyat (RMR)

Ini berbeza dengan PPR.

Contoh:
Keluarga berpendapatan rendah mempunyai tanah sendiri tetapi belum mempunyai rumah yang sesuai boleh melihat kelayakan RMR.

Antara syarat yang dinyatakan SPNB ialah pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 dan pemohon/pasangan tidak mempunyai rumah sendiri atau mempunyai rumah yang usang/tidak sempurna. Tanah yang sesuai juga diperlukan.

Cara mohon:
Permohonan dibuat melalui SPNB dan dokumen berkaitan tanah, pendapatan serta maklumat keluarga perlu disediakan.

5. Bantuan JKM
Ini antara yang ramai tak tahu sebab bantuan JKM bukan satu jenis sahaja.

Contohnya terdapat bantuan berkaitan kanak-kanak, warga emas, OKU, penjagaan dan keadaan keluarga tertentu.

Cara mohon:
Permohonan boleh dibuat melalui sistem eBantuan JKM bagi negeri yang menyokong permohonan dalam talian, kemudian pemohon perlu hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah bersama dokumen sokongan.

Terdapat pelbagai skim mengikut keadaan penerima, termasuk bantuan kanak-kanak, warga emas dan bantuan am.

6. Bantuan Kesihatan – mySalam

Skim Perlindungan B40 merupakan Skim Perlindungan Takaful PERCUMA yang disediakan oleh kerajaan kepada komuniti B40 di Malaysia. Skim ini bernaung di bawah kelolaan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) melalui Tabung Amanah mySalam dan diuruskan sepenuhnya oleh Syarikat Great Eastern Takaful Berhad.

Bagi penerima yang layak pada 2026, mySalam menyediakan manfaat seperti hospitalisasi sehingga RM700 setahun dan RM8,000 untuk penyakit kritikal yang dilindungi, tertakluk kepada syarat skim.

Cara mohon:
Semak kelayakan di Portal mySalam. Jika layak dan berlaku kejadian yang dilindungi, tuntutan dibuat secara dalam talian dengan memuat naik dokumen seperti nota discaj atau borang doktor.

7. Bantuan pendidikan
Bantuan yuran, tuisyen, biasiswa dan pelbagai bentuk sokongan pendidikan disediakan secara bersasar untuk keluarga yang memerlukan.

  • BAP (Bantuan Awal Persekolahan) → bantuan tunai RM150 seorang murid untuk murid yang layak.
  • RMT (Rancangan Makanan Tambahan) → murid yang layak mendapat makanan pada setiap hari persekolahan; KPM menetapkan sehingga 190 hari setahun.
  • KWAPM (Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin) → bantuan khusus untuk membantu murid miskin supaya tidak tercicir daripada persekolahan.
  • BKP (Biasiswa Kecil Persekutuan) → antara bantuan kewangan pendidikan yang disenaraikan KPM untuk murid yang memenuhi syarat.
  • Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (EMBPK) → bantuan khusus untuk murid yang memenuhi syarat berkaitan pendidikan khas.

8. Bantuan zakat
Bagi orang Islam yang layak, boleh memohon bantuan daripada institusi zakat negeri masing-masing.

Contohnya bantuan boleh melibatkan:

  • sara hidup
  • pendidikan
  • perubatan
  • sewa/rumah
  • bantuan kecemasan
  • modal perniagaan

Cara mohon:
Bergantung kepada negeri. Contohnya di Selangor, permohonan dibuat melalui saluran rasmi institusi zakat negeri dan biasanya memerlukan dokumen pendapatan, tanggungan, tempat tinggal dan dokumen sokongan berkaitan.

9. Bantuan pekerjaan & latihan
Kerajaan juga menyediakan program pekerjaan dan latihan kemahiran untuk membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan.

MYFutureJobs
Portal pekerjaan nasional yang dikendalikan PERKESO. Boleh cari kekosongan kerja, daftar sebagai pencari kerja dan dapatkan khidmat padanan pekerjaan.

TVET
Kalau nak belajar kemahiran seperti automotif, elektrik, kimpalan, penyelenggaraan, teknologi dan sebagainya, boleh semak institusi TVET kerajaan dan permohonan melalui UP_TVET.

HRD Corp
Terdapat pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan pekerjaan, bergantung kepada program serta kelayakan peserta.

Program penempatan pekerjaan PERKESO
PERKESO juga menjalankan program padanan pekerjaan, karnival kerjaya dan penempatan pencari kerja dengan majikan.

10. Bantuan membaiki atau membina rumah
Program bantuan perumahan turut merangkumi pembinaan baharu dan baik pulih rumah, khususnya bagi isi rumah miskin tegar.

Contoh 1 : Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar

KPKT ada Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar untuk isi rumah yang memenuhi syarat kemiskinan, termasuk yang disahkan dalam eKasih.

Contohnya rumah mengalami:

  • bumbung rosak
  • kerosakan akibat banjir/ribut/kebakaran
  • kerosakan kecil kerana faktor usia
  • keadaan rumah yang tidak lagi selesa tetapi masih ekonomik untuk dibaiki

Kadar bantuan maksimum yang dinyatakan KPKT ialah RM13,000 di Semenanjung dan RM15,000 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

11. Bantuan / inisiatif sewa rumah mengikut negeri

  • Selangor → Skim Smart Sewa – sewa pada kadar berpatutan + 30% bayaran sewa boleh dikumpulkan untuk membantu pemilikan rumah.
  • Johor → Bantuan Sewa Rumah Perumahan Kasih Johor – bantuan RM2,500 kepada penerima yang layak. Antara penambahbaikan yang diperluaskan bagi Bantuan Sewa Rumah ialah syarat kelayakan dengan membuka peluang kepada pelajar IPTA/IPTS di Negeri Johor untuk memohon.
  • Sarawak → Skim Bantuan Sewa Rumah (SRAS) – bantuan sewa untuk isi rumah yang memenuhi syarat.
  • Perak → Skim Bantuan Sewa Rumah MAIPk – bantuan sewa sehingga RM500 sebulan untuk asnaf yang layak.

12. Nak berniaga tetapi perlukan bantuan

Contohnya di Selangor:

  • Dana Usahawan Madani Selangor menyediakan bantuan dalam bentuk mesin dan peralatan perniagaan sehingga RM30,000, tertakluk kepada syarat kelayakan. Ini geran bukan pinjaman. Tetapi setiap program ada syarat, kategori penerima dan tempoh permohonan tersendiri.
  • Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor menyediakan bantuan berbentuk mesin dan peralatan kepada usahawan kecil bernilai sehingga RM10,000. Program ini merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk meningkatkan taraf ekonomi peniaga kecil melalui pemberian bantuan peralatan atau mesin berdasarkan perniagaan yang sedang dijalankan.

Jadi, betul ke “banyak keistimewaan jadi miskin”?

Banyak bantuan disediakan untuk mereka yang berada dalam keadaan miskin atau berpendapatan rendah. Dan bantuan ini bukan bermaksud hidup mereka lebih mudah.

Sebab di sebalik setiap bantuan itu ada satu perkara yang kita selalu terlupa:

Miskin tetap bermaksud mempunyai sumber kewangan yang terhad.

Bantuan kerajaan mungkin meringankan beban, tetapi tidak semestinya mengubah kehidupan seseorang menjadi senang.

Bantuan ialah jaring keselamatan. Bukan tiket untuk hidup mewah.

Bantuan ini diwujudkan untuk membantu mereka yang layak. Gunakan bantuan sebagai ruang untuk meringankan beban, bukan untuk mengambil kesempatan.

Dan jangan lupa, Islam juga mengajar kita untuk berusaha mencari rezeki.

Rasulullah SAW bersabda:

“Tidaklah seseorang makan makanan yang lebih baik daripada hasil kerja tangannya sendiri.”
— Riwayat al-Bukhari