7 Tips Berkesan Nak Jimat Belanja Kahwin

Masuk musim cuti sekolah dan menjelang bulan November serta Disember setiap tahun, mesti banyak undangan walimah yang kita terima kan? Sebelum nak bercerita bab kahwin ini, kita ambil tahu serba sedikit mengenai usia dan faktor rakyat Malaysia berkahwin.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, purata wanita di Malaysia berkahwin ketika berumur 26 tahun manakala lelaki adalah 28 tahun.

Malangnya, menurut statistik tersebut juga kita dapat lihat bahawa perceraian berlaku di antara purata umur lelaki ketika 37 tahun dan wanita 34 tahun. Mengapa ini boleh terjadi?

Pelbagai faktor yang disebut, di antaranya ketidaksefahaman, bebanan hutang dan hal keluarga.

Keratan akhbar mengenai tanggung hutang selepas kahwin-Berita Harian

Mengikut pengalaman penulis sendiri, waktu mengumpul wang untuk majlis adalah sesuatu yang mencabar dan memerlukan tahap disiplin yang tinggi.

Alhamdulillah, berjaya melangsungkan majlis tanpa hutang dengan bank mahupun menggunakan kad kredit. Semua perbelanjaan menggunakan wang tunai dan dipersetujui kedua-dua belah pihak.

Bagaimana kami lakukannya dalam masa 6 bulan?

Sempat juga kami bertunang pada bulan 3 ,majlis kahwin pula di bulan 6.

Jika sudah ada tarikh yang ditetapkan, cepat-cepat book di pameran pengantin supaya dapat penjimatan.

Ini 7 tip yang boleh saya kongsikan:

1. Tempat Majlis

Pilih perancang majlis yang lengkap dengan kemudahan seperti katering, dewan hawa dingin, pakaian dan aksesori dewan dan kongsi dengan kedua belah pihak. Ia lebih menjimatkan berbanding buat majlis di dua lokasi yang berbeza.

Setiap satu pihak 500 jemputan sahaja. Asingkan bahagian jemputan lelaki dan perempuan. Ini perlukan kerjasama keluarga kedua-dua belah pihak.

Boleh buat pengiraan sekiranya buat majlis di rumah lebih mahal dengan kos memasang khemah, pelamin, makanan dan memerlukan kudrat yang lebih seperti mengemas rumah dan penggunaan elektrik juga meningkat, risiko kecurian dan juga faktor keselesaan.

Zaman telah berubah, jika bajet  bersesuaian maka lebih baik majlis di dewan. Cari dewan yang sesuai dengan bajet.

2. Jurugambar, Juruvideo, Jurusolek

Ianya bergantung kepada bajet. Perlu upah juga yang profesional kerana ia memori yang boleh dikenang sehingga ke anak cucu.

Jika ingin yang berkualiti dan mendapatkan harga promosi dan barangan percuma yang lain, boleh pergi ke pameran perkahwinan. Saya menggunakan khidmat solekan kawan-kawan yang memberikan harga mampu milik.

3. Tak Perlu Bridesmaid

Ini trend anak muda zaman sekarang. Saya tak ikut trend ini kerana memikirkan kos yang perlu dikeluarkan banyak seperti baju, tudung, tempat tinggal dan saguhati yang perlu diberikan kepada bridesmaid.

Saya gantikan dengan adik beradik, sepupu yang setuju membeli warna pakaian hampir sama, saya sponsor tudung sahaja untuk semua adik beradik dan sepupu yang terlibat.

4. Baju Pengantin

Kami tidak tempah dengan designer dan buat pakaian yang baru. Bajet kami tidak cukup maka kita  pakai apa saja yang perancang majlis sediakan walaupun baju pinjam.

Saya hanya buat baju nikah sahaja itupun tempah dengan kawan. Maka boleh dapat harga kawan-kawan.

5. Goodies

Kos ini kami kongsi dan kami berdua sepakat ingin berikan sesuatu yang bernilai dunia akhirat gitu iaitu beberapa surah pilihan, Yassin dan gula-gula. Ada juga mak saya tambah barang untuk goodies atas ihsan nak beri lebih dan terbaik kepada tetamu.

Terima kasih mak.

6. Hantaran

Kurangkan barang hantaran. Pihak saya dulu hanya balas lima dan lelaki hanya beri tiga hantaran sahaja.

Dulang pihak lelaki iaitu mas kahwin iaitu dinar emas, cincin dan subang, handphone dan juga telekung manakala dulang daripada pihak perempuan pula adalah sejadah dan al-Quran, set tali pinggang dan dompet, minyak wangi, set pakaian dan kasut.

Barang tersebut boleh dibeli ketika SALE dan bukannya beli sekaligus. Oh ya, hantaran saya gubah sendiri hasil kreativiti setelah melihat di YouTube dan Google.

7. Kad Kahwin

Walaupun kad kahwin kami nampak macam grand tapi sebenarnya order kuantiti sedikit sahaja. Kami banyak gunakan link online dan e-card sebab tak pos pun kad. Gunakan medium Facebook dan Instagram untuk buat jemputan.

Biasalah cara ini dapat tentangan orang tua. Jadi, kami ada print juga dalam 400 keping dan kongsi dua belah pihak.

Terpulang Kepada Kita

7 perbelanjaan di atas boleh lagi dikurangkan atau kalau tiada pun tidak apa.

Sebenarnya kita perlu berterus-terang mengenai apa yang kita mampu dan tetapkan dalam diri tidak mahu buat pinjaman kerana ia akan beri kesan kurang baik di kemudian hari.

Bukan semua kos dibebankan kepada pihak lelaki saja, saya sendiri setuju untuk membayar kos jurufoto, juruvideo dan jurusolek untuk majlis nikah dan juga sanding, kos hotel sebelum majlis resepsi, tudung dan barang hantaran.

Kos yang dikongsi bersama adalah kos dewan, katering, kad kahwin dan goodies.

Kos daripada pihak lelaki adalah wang hantaran, cincin, mas kahwin, lokasi nikah, barang hantaran dan pakaian songket untuk photoshoot outdoor.

Dan kami berdua berasal daripada keluarga biasa-biasa saja dan paling penting perlu kerja dan kumpul duit untuk menjadikannya realiti. Saya dan suami juga bukan bergantung kepada satu sumber pendapatan semata-mata, ada pelbagai kerja dilakukan untuk menjana pendapatan.

Hidup di bawah kemampuan walaupun sekarang hakikatnya anda mampu. Kerana hidup akan datang adalah tidak tentu.

Artikel ditulis oleh Puan Sarah Hata. Penulis merupakan seorang konsultan kewangan di sebuah institusi kewangan di Malaysia dan juga perunding imej. Mempunyai pengalaman menulis, memberi ceramah di beberapa syarikat seluruh Malaysia dan juga klien individu.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Banyak Keistimewaan Jadi Miskin di Malaysia?

Jangan salah faham. Menjadi miskin bukanlah satu keistimewaan. Tetapi di Malaysia, golongan berpendapatan rendah dan keluarga yang benar-benar memerlukan memang mempunyai akses kepada pelbagai bentuk bantuan kerajaan.

Antaranya:

1. STR – Sumbangan Tunai Rahmah
Bantuan tunai kepada golongan yang memenuhi syarat pendapatan dan kategori ditetapkan.

2. SARA – Sumbangan Asas Rahmah
Bantuan untuk membeli barangan keperluan asas menggunakan MyKad.

Penerima STR 2026 yang telah disahkan daripada data Miskin Tegar dan Miskin eKasih layak SARA 2026 berjumlah RM200 / RM150 / RM100 setiap bulan bagi tempoh 12 bulan (Januari 2026 – Disember 2026).

3. Bantuan perumahan
Ada skim seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR), selain skim sewaan atau subsidi tertentu untuk keluarga berpendapatan rendah.

Keluarga berpendapatan kasar isi rumah sehingga RM3,000, belum memiliki rumah dan memenuhi syarat boleh memohon PPR.

4. Rumah Mesra Rakyat (RMR)

Ini berbeza dengan PPR.

Contoh:
Keluarga berpendapatan rendah mempunyai tanah sendiri tetapi belum mempunyai rumah yang sesuai boleh melihat kelayakan RMR.

Antara syarat yang dinyatakan SPNB ialah pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 dan pemohon/pasangan tidak mempunyai rumah sendiri atau mempunyai rumah yang usang/tidak sempurna. Tanah yang sesuai juga diperlukan.

Cara mohon:
Permohonan dibuat melalui SPNB dan dokumen berkaitan tanah, pendapatan serta maklumat keluarga perlu disediakan.

5. Bantuan JKM
Ini antara yang ramai tak tahu sebab bantuan JKM bukan satu jenis sahaja.

Contohnya terdapat bantuan berkaitan kanak-kanak, warga emas, OKU, penjagaan dan keadaan keluarga tertentu.

Cara mohon:
Permohonan boleh dibuat melalui sistem eBantuan JKM bagi negeri yang menyokong permohonan dalam talian, kemudian pemohon perlu hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah bersama dokumen sokongan.

Terdapat pelbagai skim mengikut keadaan penerima, termasuk bantuan kanak-kanak, warga emas dan bantuan am.

6. Bantuan Kesihatan – mySalam

Skim Perlindungan B40 merupakan Skim Perlindungan Takaful PERCUMA yang disediakan oleh kerajaan kepada komuniti B40 di Malaysia. Skim ini bernaung di bawah kelolaan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) melalui Tabung Amanah mySalam dan diuruskan sepenuhnya oleh Syarikat Great Eastern Takaful Berhad.

Bagi penerima yang layak pada 2026, mySalam menyediakan manfaat seperti hospitalisasi sehingga RM700 setahun dan RM8,000 untuk penyakit kritikal yang dilindungi, tertakluk kepada syarat skim.

Cara mohon:
Semak kelayakan di Portal mySalam. Jika layak dan berlaku kejadian yang dilindungi, tuntutan dibuat secara dalam talian dengan memuat naik dokumen seperti nota discaj atau borang doktor.

7. Bantuan pendidikan
Bantuan yuran, tuisyen, biasiswa dan pelbagai bentuk sokongan pendidikan disediakan secara bersasar untuk keluarga yang memerlukan.

  • BAP (Bantuan Awal Persekolahan) → bantuan tunai RM150 seorang murid untuk murid yang layak.
  • RMT (Rancangan Makanan Tambahan) → murid yang layak mendapat makanan pada setiap hari persekolahan; KPM menetapkan sehingga 190 hari setahun.
  • KWAPM (Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin) → bantuan khusus untuk membantu murid miskin supaya tidak tercicir daripada persekolahan.
  • BKP (Biasiswa Kecil Persekutuan) → antara bantuan kewangan pendidikan yang disenaraikan KPM untuk murid yang memenuhi syarat.
  • Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (EMBPK) → bantuan khusus untuk murid yang memenuhi syarat berkaitan pendidikan khas.

8. Bantuan zakat
Bagi orang Islam yang layak, boleh memohon bantuan daripada institusi zakat negeri masing-masing.

Contohnya bantuan boleh melibatkan:

  • sara hidup
  • pendidikan
  • perubatan
  • sewa/rumah
  • bantuan kecemasan
  • modal perniagaan

Cara mohon:
Bergantung kepada negeri. Contohnya di Selangor, permohonan dibuat melalui saluran rasmi institusi zakat negeri dan biasanya memerlukan dokumen pendapatan, tanggungan, tempat tinggal dan dokumen sokongan berkaitan.

9. Bantuan pekerjaan & latihan
Kerajaan juga menyediakan program pekerjaan dan latihan kemahiran untuk membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan.

MYFutureJobs
Portal pekerjaan nasional yang dikendalikan PERKESO. Boleh cari kekosongan kerja, daftar sebagai pencari kerja dan dapatkan khidmat padanan pekerjaan.

TVET
Kalau nak belajar kemahiran seperti automotif, elektrik, kimpalan, penyelenggaraan, teknologi dan sebagainya, boleh semak institusi TVET kerajaan dan permohonan melalui UP_TVET.

HRD Corp
Terdapat pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan pekerjaan, bergantung kepada program serta kelayakan peserta.

Program penempatan pekerjaan PERKESO
PERKESO juga menjalankan program padanan pekerjaan, karnival kerjaya dan penempatan pencari kerja dengan majikan.

10. Bantuan membaiki atau membina rumah
Program bantuan perumahan turut merangkumi pembinaan baharu dan baik pulih rumah, khususnya bagi isi rumah miskin tegar.

Contoh 1 : Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar

KPKT ada Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar untuk isi rumah yang memenuhi syarat kemiskinan, termasuk yang disahkan dalam eKasih.

Contohnya rumah mengalami:

  • bumbung rosak
  • kerosakan akibat banjir/ribut/kebakaran
  • kerosakan kecil kerana faktor usia
  • keadaan rumah yang tidak lagi selesa tetapi masih ekonomik untuk dibaiki

Kadar bantuan maksimum yang dinyatakan KPKT ialah RM13,000 di Semenanjung dan RM15,000 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

11. Bantuan / inisiatif sewa rumah mengikut negeri

  • Selangor → Skim Smart Sewa – sewa pada kadar berpatutan + 30% bayaran sewa boleh dikumpulkan untuk membantu pemilikan rumah.
  • Johor → Bantuan Sewa Rumah Perumahan Kasih Johor – bantuan RM2,500 kepada penerima yang layak. Antara penambahbaikan yang diperluaskan bagi Bantuan Sewa Rumah ialah syarat kelayakan dengan membuka peluang kepada pelajar IPTA/IPTS di Negeri Johor untuk memohon.
  • Sarawak → Skim Bantuan Sewa Rumah (SRAS) – bantuan sewa untuk isi rumah yang memenuhi syarat.
  • Perak → Skim Bantuan Sewa Rumah MAIPk – bantuan sewa sehingga RM500 sebulan untuk asnaf yang layak.

12. Nak berniaga tetapi perlukan bantuan

Contohnya di Selangor:

  • Dana Usahawan Madani Selangor menyediakan bantuan dalam bentuk mesin dan peralatan perniagaan sehingga RM30,000, tertakluk kepada syarat kelayakan. Ini geran bukan pinjaman. Tetapi setiap program ada syarat, kategori penerima dan tempoh permohonan tersendiri.
  • Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor menyediakan bantuan berbentuk mesin dan peralatan kepada usahawan kecil bernilai sehingga RM10,000. Program ini merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk meningkatkan taraf ekonomi peniaga kecil melalui pemberian bantuan peralatan atau mesin berdasarkan perniagaan yang sedang dijalankan.

Jadi, betul ke “banyak keistimewaan jadi miskin”?

Banyak bantuan disediakan untuk mereka yang berada dalam keadaan miskin atau berpendapatan rendah. Dan bantuan ini bukan bermaksud hidup mereka lebih mudah.

Sebab di sebalik setiap bantuan itu ada satu perkara yang kita selalu terlupa:

Miskin tetap bermaksud mempunyai sumber kewangan yang terhad.

Bantuan kerajaan mungkin meringankan beban, tetapi tidak semestinya mengubah kehidupan seseorang menjadi senang.

Bantuan ialah jaring keselamatan. Bukan tiket untuk hidup mewah.

Bantuan ini diwujudkan untuk membantu mereka yang layak. Gunakan bantuan sebagai ruang untuk meringankan beban, bukan untuk mengambil kesempatan.

Dan jangan lupa, Islam juga mengajar kita untuk berusaha mencari rezeki.

Rasulullah SAW bersabda:

“Tidaklah seseorang makan makanan yang lebih baik daripada hasil kerja tangannya sendiri.”
— Riwayat al-Bukhari