Bagi pasangan muda, pernikahan merupakan detik terindah dan sebuah harapan baru yang diimpikan.
Sebaik saja selesai majlis, ada yang tanpa berfikir panjang terus bercuti ke luar negara, tidak kurang terus swipe kad kredit untuk beli macam-macam keperluan berkeluarga. Tanpa disedari, mereka mungkin akan terjerumus ke dalam perangkap kewangan.
Baru selangkah memulakan perjalanan kehidupan baru, tetapi sudah membawa beban hutang untuk mengharungi bahtera perkahwinan.
Jadi, apabila baru berkeluarga, kami cadangkan ikut tips ini;
1. Merangka Bajet Keluarga
Dulu makan seorang, malam makan megi pun tak apa. Dulu sabun mandi jadikan sabun basuh pinggan pun tak apa. Bila dah nerumahtangga, kena mula ada bajet kewangan supaya tahu berapa kos barang keperluan setiap bulan. Bila dah ada anak nanti dah mudah, sebab dah terbiasa buat bajet.
2. Merekod Perbelanjaan
Penting untuk merekod segala perbelanjaan keluarga. Paling tidak pun, catat segala belanja luar jangka.
3. Membuat Tabung / Pecahan Keperluan
Bila dah kahwin, eloklah merancang semua kos keperluan dan perlu dibincang bersama-sama. Boleh ikut idea ini (susunan tidak mengikut keutamaan):
Belanja barang dapur
Belanja makan
Belanja utiliti (bil air & elektrik)
Hiburan
Ansuran rumah
Ansuran kereta
Perlindungan takaful
Tabung simpanan
Tabung pelaburan
Tabung pendidikan anak-anak
Tabung kecemasan
Tabungan bercuti
Tabung pencen
4. Menabung & Melabur
Menyimpan dalam bank itu baik tetapi tidak bijak. Simpan duit di bank hanya untuk tujuan kecemasan. Mulakan dengan melabur di instrumen pelaburan yang sah dan selamat. Antaranya ialah pelaburan saham Bursa Malaysia, unit trust, pelaburan emas, ASB Financing dan sebagainya.
5. Perlindungan Takaful
Lindungi keluarga dengan takaful. Banyak produk takaful yang bagus. Jangan ambil remeh hal ini. Ini langganan Astro mampu bayar bulan-bulan, takaful tak nak ambil. Bila dah dalam hospital dan kena bayar kos perubatan yang tinggi, jangan mula menyesal tak sudah.
6. Jauhkan Hutang
“Ya Allah, lindungilah diriku dari kesusahan dan dukacita, Engkau lindungilah aku dari sifat lemah dan malas, peliharalah diriku dari sifat bakhil dan pengecut dan Engkau peliharalah diriku dari hutang-piutang dan kekuasaan orang lain ke atas diriku.”
Apabila memulakan kehidupan baru, banyak nak pakai duit. Nak beli katil, tilam, almari, sofa, dapur semua. Ingat, jangan sampai berhutang. Skim ansuran mudah dekat kedai tu memang mengiurkan, tetapi lebih baik kumpul duit, beli secara tunai lagi bagus daripada bayar ansuran.
7. Kad Kredit Cukup Satu
Jika anda dan pasangan masing-masing ada kad kredit, bila dah kahwin biar tinggal satu saja. Pergi beli barang dapur bersama, isi minyak kereta pun guna satu kad kredit. Senang nak uruskan dan jaga kewangan.
Kena ingat tindakan sekarang akan memberi kesan yang besar kepada cash flow 5-10 tahun akan datang.
Kepada yang baru berkahwin, Selamat Pengantin Baru kami ucapkan. Kalau bergaduh, kena sabar, jangan dua-dua meletup. Tak perlu juga perang sampai update dekat Facebook dan Instagram. Tak selesai masalah. Bila seorang jadi api, seorang kena jadi air.
Gaduh kejap je, lepas tu baik balik ye. Kata cinta dan sayang, laut mana tidak ditimpa badai. Sedangkan lidah lagi tergigit.
Artikel ini adalah olahan MajalahLabur.com daripada posting asal Amir Syahir. Kalau anda rasa perkongsian ini cukup bermanfaat, rajin-rajinlah follow beliau.
Dapatkan eBook 30 Tips Bijak Merancang Wang
TAJUK MENARIK DALAM EBOOK
Pelajari konsep-konsep teras dalam pengurusan kewangan dengan ebook ini.
Aliran Tunai Kewangan Cash Flow
Merupakan asas dalam perancangan kewangan yang meliputi aspek pendapatan dan perbelanjaan melalui formula I-E=S supaya perbelanjaan tidak melebihi pendapatan setiap bulan dan tahun.
Nilai Bersih Aset Nett Worth
Formula A>L supaya dapat menyediakan aset dan dana yang cukup untuk menghadapi masa hadapan serta hutang yang terkawal supaya ia tidak membebankan hari tua kelak.
Simpanan Kewangan Saving
Jika seseorang itu gagal untuk menguruskan simpanannya dengan baik, agak sukar untuk dia mengurus instrumen-instrumen kewangan yang lain.
Perlindungan Kewangan Protection
Dalam kita bekerja untuk memperoleh pendapatan, dan menghasilkan aset, kita seharusnya untuk memastikan kedua-duanya itu dilindungi. Di sinilah fungsi perlindungan melalui takaful.
Pelaburan Kewangan Investment
Inflasi akan menurunkan nilai aset kita. Jadi, di sini perlunya untuk seseorang itu untuk membuat pelaburan sekurang-kurangnya untuk melawan inflasi.
Banyak Lagi Others
Pelbagai lagi topik menarik yang bakal dikongsikan bersama anda di dalam ebook ini. Pelaburan yang paling utama adalah pelaburan ilmu.
Sejak kebelakangan ini, semakin ramai usahawan berkongsi pengalaman berhubung kewajipan Cukai Pegangan / Withholding Tax (WHT) ke atas bayaran kepada syarikat luar negara seperti Meta, Google dan platform digital lain.
Ada yang menganggap WHT sebagai cukai baharu LHDN. Ada pula yang mempersoalkan kenapa perlu membayar WHT sedangkan mereka sudah membayar SST.
Sebenarnya, konsep WHT bukan perkara baharu. Persoalannya ialah mengapa ia kini menjadi perhatian ramai, khususnya dalam kalangan usahawan digital. Kenapa sebenarnya Cukai Pegangan / Withholding Tax (WHT) ini menjadi isu dalam kalangan usahawan yang menggunakan platform pengiklanan digital?
Jawapannya terletak pada bagaimana cara perniagaan beroperasi hari ini.
Dulu, iklan banyak dibelanjakan dalam negara.
Syarikat akan beli ruang iklan di surat khabar, stesen TV atau radio tempatan.
Media tempatan memperoleh pendapatan.
Pekerja mereka dibayar gaji.
Syarikat pula membayar cukai pendapatan di Malaysia.
Hari ini, landskap sudah berubah.
Ramai usahawan beriklan di Facebook, Instagram, Google dan TikTok.
Setiap bulan, ada yang membelanjakan ribuan, malah jutaan ringgit.
Tetapi bayaran itu tidak lagi diterima oleh syarikat tempatan.
Ia dibayar kepada syarikat di luar negara.
Persoalannya…
Patutkah Malaysia mempunyai hak mengenakan cukai ke atas sebahagian daripada pendapatan yang dijana daripada pasaran Malaysia?
Di sinilah perlunya konsep Withholding Tax (WHT).
WHT bukan bermaksud syarikat luar negara tidak membayar cukai di negara mereka. Mereka mungkin tetap dikenakan cukai mengikut undang-undang negara masing-masing. Jadi kerajaan Malaysia berpendapat, negara ini juga patut ada sedikit hak untuk mengenakan cukai ke atas bayaran tertentu yang keluar ke luar negara.
Oleh sebab syarikat tersebut berada di luar bidang kuasa LHDN, undang-undang meletakkan tanggungjawab kepada pihak yang membuat bayaran di Malaysia untuk memotong dan meremit cukai tersebut jika bayaran itu tertakluk kepada WHT.
Contoh…
Bayangkan ada dua content creator.
Amir tinggal di Malaysia. Sebuah syarikat kosmetik Malaysia membayarnya RM100,000 untuk menghasilkan kandungan promosi. Amir akan melaporkan pendapatan itu dan membayar cukai di Malaysia.
Alex pula tinggal di Ireland. Syarikat kosmetik yang sama di Malaysia membayarnya RM100,000 untuk menghasilkan kandungan yang menyasarkan pelanggan di Malaysia. Alex juga mungkin akan membayar cukai di Ireland mengikut undang-undang negara tersebut.
Persoalannya, bayaran RM100,000 itu datang daripada syarikat Malaysia. Adakah Malaysia juga patut mempunyai hak untuk mengenakan cukai ke atas bayaran tersebut?
Inilah antara rasional kewujudan Withholding Tax (WHT).
WHT bukan bermaksud Alex tidak membayar cukai di Ireland. Sebaliknya, ia merupakan mekanisme yang membolehkan Malaysia mengenakan cukai ke atas bayaran tertentu kepada bukan pemastautin apabila syarat-syarat di bawah undang-undang dipenuhi.
Antara bayaran yang lazim tertakluk kepada WHT ialah:
Royalti(Seksyen 109)
Faedah (Seksyen 109)
Perkhidmatan, pengurusan atau khidmat khas(Seksyen 109B)
Pendapatan artis luar negara(Seksyen 109A)
Pendapatan kontrak(Seksyen 107A)
Namun, bukan semua bayaran kepada syarikat luar negara dikenakan WHT. Sama ada WHT terpakai bergantung kepada jenis bayaran, fakta sesuatu transaksi serta jika berkaitan, Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA).
Apa jadi kalau WHT tidak dipatuhi?
Bayangkan sebuah syarikat kosmetik di Malaysia.
Setiap bulan syarikat ini beriklan di Facebook dan Instagram.
Sepanjang tahun, jumlah belanja iklan mencecah RM1 juta.
Walaupun jumlah itu terkumpul sepanjang tahun, kewajipan WHT tidak timbul di hujung tahun. Sebaliknya, ia perlu dipatuhi bagi setiap bayaran yang dibuat kepada Meta Platforms Ireland Ltd (dahulunya dikenali sebagai Facebook Ireland Ltd) .
Berapa kadar WHT yang perlu dibayar?
Bayaran kepada Meta Platforms Ireland Limited bagi pengiklanan digital tertakluk kepada WHT sebagai royalti. Ramai menyangka kadarnya sentiasa 10%.
Namun bagi Meta, keadaannya sedikit berbeza.
Ini kerana Meta mengeluarkan invois kepada pelanggan Malaysia melalui Meta Platforms Ireland Limited, manakala Malaysia dan Ireland mempunyai Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA).
Jika syarat-syarat DTA dipenuhi, kadar WHT yang dikenakan ialah 8%, berbanding kadar domestik 10%.
Jika bayaran kepada Meta Platforms Ireland Ltd tertakluk kepada WHT tetapi syarikat gagal mematuhi kewajipan tersebut, kesannya bukan sekadar perlu membayar WHT.
Perbelanjaan iklan RM1 juta itu juga boleh tidak dibenarkan sebagai potongan cukai di bawah perenggan 39(1)(j) Akta Cukai Pendapatan 1967 sehingga WHT dijelaskan.
Katakan syarikat itu memperoleh untung sebelum cukai RM2 juta.
Jika WHT dipatuhi
Untung sebelum cukai: RM2,000,000
Tolak kos iklan: RM1,000,000
Pendapatan bercukai: RM1,000,000
Anggaran cukai syarikat (24%): RM240,000
Jika WHT tidak dipatuhi
Untung sebelum cukai: RM2,000,000
Kos iklan RM1,000,000 tidak dibenarkan
Pendapatan bercukai: RM2,000,000
Anggaran cukai syarikat (24%): RM480,000
Perbezaan cukai: RM240,000.
Itu belum mengambil kira WHT yang masih perlu dijelaskan serta kenaikan jika lewat dibayar.
WHT bukan untuk iklan di sosial media sahaja
Ramai ingat WHT hanya berkaitan pengiklanan di Meta (Facebook & Instagram), Google Adwords atau TikTok Ads.
Sebenarnya tidak.
WHT telah lama wujud dan melibatkan pelbagai jenis bayaran kepada syarikat atau individu bukan pemastautin.
Antaranya ialah:
🛠️ Perkhidmatan
Contohnya sebuah kilang di Malaysia mengupah jurutera dari Jepun untuk memasang mesin.
💻 Perisian dan langganan digital
Contohnya bayaran lesen perisian, cloud computing atau platform AI kepada syarikat luar negara. (Tertakluk kepada fakta dan jenis bayaran.)
🎬 Content creator atau influencer luar negara
Contohnya syarikat kosmetik Malaysia membayar influencer di Korea Selatan untuk mempromosikan produk kepada pelanggan Malaysia.
🏷️ Royalti
Contohnya, sebuah syarikat Malaysia membayar royalti kepada pemilik jenama luar negara untuk menggunakan jenama tersebut di Malaysia.
Bagaimana hendak membayar WHT?
Jika sesuatu bayaran memang tertakluk kepada WHT, proses pembayarannya kini dibuat secara dalam talian melalui Portal MyTax menggunakan aplikasi e-WHT. LHDN menggalakkan pembayar cukai mengemukakan borang dan membuat bayaran melalui platform ini.
Secara ringkas, prosesnya adalah seperti berikut:
Log masuk ke MyTax.
Pilih ezHasil Services → e-WHT.
Pilih borang WHT yang berkaitan (contohnya CP37 untuk royalti).
Masukkan maklumat pembayar, penerima (termasuk TIN) dan butiran bayaran.
Jana Bill Number.
Buat pembayaran melalui ByrHASiL (FPX) atau saluran pembayaran yang dibenarkan.
Muat turun resit pembayaran untuk simpanan rekod.
Tip: Antara cabaran yang sering dihadapi usahawan ialah mendapatkan maklumat penerima seperti Tax Identification Number (TIN) bagi syarikat luar negara. Jika TIN penerima belum tersedia, pembayar cukai boleh mendapatkan bantuan daripada LHDN melalui [email protected]
Kesimpulannya
Kita perlu faham bahawa WHT adalah mekanisme yang digunakan untuk memberi hak percukaian kepada Malaysia ke atas bayaran tertentu yang mengalir ke luar negara.
Ramai usahawan bukanlah mempertikaikan hak kerajaan untuk mengutip cukai. Apa yang mereka rungutkan ialah beban yang semakin bertambah.
Hari ini, mereka sudah pun membayar SST 8% ke atas perkhidmatan iklan digital. Dalam masa yang sama, timbul pula isu WHT yang memerlukan proses pengemukaan borang CP37 dan bayaran secara manual kepada LHDN.
Sebab itulah ada yang merasakan kos semakin tinggi, walaupun SST dan WHT sebenarnya merupakan dua cukai yang berbeza.
Namun, dalam era ekonomi digital hari ini, mungkin sudah tiba masanya mekanisme ini ditambah baik.
Antara cadangan yang boleh dipertimbangkan ialah:
Mewujudkan nilai ambang (threshold), sebagai contoh, hanya syarikat yang mempunyai hasil jualan tahunan melebihi jumlah tertentu diwajibkan mematuhi WHT bagi transaksi digital, manakala perusahaan mikro dan kecil diberi pengecualian
Menyediakan mekanisme pemotongan automatik melalui platform seperti Meta atau Google, seperti mana SST digital dikutip hari ini. Ini mengurangkan beban usahawan yang perlu memproses dan meremit sendiri WHT.
Memberikan tempoh pengampunan kepada pembayar cukai yang ingin membuat pengakuan secara sukarela tanpa dikenakan penalti 10%.
Bagi pembaca yang ingin memahami bagaimana mahkamah mentafsirkan isu Withholding Tax, berikut beberapa keputusan kes yang boleh dijadikan rujukan:
Kes Mahkamah Berkaitan WHT: Glocomp Systems (M) Sdn Bhd
Mahkamah Tinggi (Glocomp Systems (M) Sdn Bhd v KPHDN) Glocomp mencabar tindakan LHDN yang mengenakan WHT ke atas bayaran kepada Symantec Singapura. Mahkamah Tinggi memihak kepada Glocomp dan memutuskan bahawa bayaran tersebut bukan royalti, sebaliknya merupakan business profits di bawah DTA Malaysia–Singapura.
Mahkamah Rayuan (KPHDN v Glocomp Systems (M) Sdn Bhd) LHDN merayu keputusan tersebut. Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan LHDN. Namun, keputusan itu bukan kerana mahkamah memutuskan bayaran tersebut semestinya tertakluk kepada WHT. Sebaliknya, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Glocomp sepatutnya menggunakan saluran rayuan cukai yang disediakan oleh Akta Cukai Pendapatan, iaitu melalui Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT), dan bukannya terus memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.
Wira Swire Sdn Bhd v Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (Seksyen 109B ITA 1967) – Kes ini menunjukkan bahawa tidak semua bayaran kepada syarikat luar negara dikenakan WHT. Jika terdapat Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA), hak Malaysia untuk mengenakan WHT mungkin terhad. Dalam keadaan tertentu, pendapatan tersebut hanya dikenakan cukai di negara tempat syarikat itu bermastautin.
Artikel ini bertujuan memberi penerangan umum mengenai konsep Withholding Tax (WHT). Contoh yang diberikan adalah untuk tujuan ilustrasi bagi memudahkan pemahaman pembaca. Sama ada sesuatu bayaran kepada bukan pemastautin tertakluk kepada WHT bergantung kepada fakta transaksi, jenis bayaran, peruntukan Akta Cukai Pendapatan 1967 serta, jika berkaitan, Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA). Pembaca disarankan mendapatkan nasihat daripada penasihat cukai berlesen atau merujuk LHDN bagi menentukan layanan cukai yang tepat mengikut keadaan masing-masing.