
Kredit Gambar: Wikimedia
Sub Topik
Bila bercakap mengenai kereta mewah, kita tidak dapat menafikan penglibatan negara Jerman. Mereka merupakan negara terbesar di dunia yang mengeluarkan kenderaan mewah dan kebanyakan kereta mewah buatan negara tersebut mendapat tempat di kalangan orang ramai.
Jom kita lihat bagaimana Mercedes yang merupakan salah sebuah kenderaan mewah kebanggan Jerman berkembang dan seterusnya berjaya menakluk pasaran dunia, tetapi sejak akhir-akhir ini dilihat semakin hilang sengat di pasaran automotif disebabkan beberapa faktor.
Terlebih dahulu, mari kita berkenalan dengan syarikat pembuat kereta terkenal ini.
Sejarah Unik Mercedes

Mercedes merupakan kenderaan yang pertama menghasilkan enjin menggunakan petrol. Orang yang bertanggunjawab dalam membangunkan enjin tersebut adalah Karl Friedrich Benz dan Wilhelm Maybach.
Sebelum ini, kebanyakan kenderaan bergerak menggunakan enjin berkuasa wap. Mereka telah melakukan inovasi terhadap enjin yang mengubah sepenuhnya landskap industri automotif.
Mercedes yang kita lihat hari ini adalah gabungan tiga syarikat yang melibatkan 3 tokoh penting iaitu Gottlieb Daimler, Wilhelm Maybach dan Karl Friedrich Benz.
Walaupun gabungan 3 syarikat ini menghasilkan Mercedes, hubungan di antara Gottlieb Daimler dan Wilhelm Maybach agak tegang disebabkan mereka tidak bersetuju di antara satu sama lain dalam paten perniagaan di awal permulaan syarikat.
Mercedes secara rasmi telah ditubuhkan pada tahun 1926 selepas Jerman tewas dalam Perang Dunia Pertama yang menyebabkan ekonomi negara mereka menjadi begitu lemah. Pada ketika itu, syarikat milik Karl Friedrich Benz iaitu Benz and Cie, dan Daimler Motoren Gesellschaft milik Gottlieb Daimler telah bergabung dan membentuk Daimler-Benz.
Penggabungan dua syarikat tersebut menjadikan mereka syarikat kenderaan yang berpengaruh di Jerman pada ketika itu.
Mercedes Selepas Perang Dunia Kedua
Selepas Perang Dunia Kedua, ekonomi Jerman berada dalam keadaan yang sangat meleset. Semua industri negara musnah dan Mercedes juga tidak terkecuali daripada mengahadapi nasib yang sama.
Walaupun begitu, syarikat ini dapat bangkit pada era 1960-an yang menyaksikan jenama ini semakin mendapat tempat di kalangan peminat automotif. Mereka juga berjaya membeli beberapa syarikat automotif yang lain termasuk Maybach.
Kejayaan kenderaan buatan Mercedes ini berterusan sehingga awal 1990-an di mana pada ketika itu, pasaran kenderaan Jerman mendapat saingan daripada kenderaan mewah buatan Jepun seperti Lexus dan Acura.
Pada era 2000, syarikat ini mendapat sedikit penurunan jualan dan semakin teruk pada pertengahan dekad tersebut. Hal ini disebabkan ramai golongan muda tidak suka dengan reka bentuk kenderaan yang dihasilkan oleh Mercedes yang sinonim dengan orang tua.
Kebangkitan Mercedes Di Bawah Pengurusan Baru
Kebangkitan Mercedes bermula di era pengurusan Dieter Zetsche yang merupakan bekas ketua jurutera untuk syarikat tesebut. Di bawah pengurusan Dieter Zetsche, Mercedes berjaya mengambil alih takhta pesaing terdekat mereka iaitu BMW dalam pasaran kenderaan mewah terutamanya di Amerika Syarikat.

Paling membanggakan adalah bahagian perlumbaan permotoran. Sejak peraturan menggunakan enjin turbo hibrid bermula pada tahun 2014, Mercedes telah berjaya menjadi juara sebanyak 6 kali berturut-turut di dalam perlumbaan Formula One menewaskan dominasi Ferari.
Dieter Zetsche kemudian bersara pada tahun 2018 dan diganti dengan Ola Källenius.
Mercedes Dan Kenderaan Elektrik
Di bawah pengurusan Ola Källenius pula, Mercedes nampaknya kurang menyerlah berbanding dengan pesaing mereka yang lain seperti BMW dan Volkswagen terutamanya dalam penghasilan kenderaan elektrik.
Syarikat tersebut nampak kurang mengambil berat tentang penghasilan kenderaan elektrik berbanding Volkswagen, yang telah fokus untuk menjadi pengeluar kenderaan elektrik sepenuhnya menjelang tahun 2024.
BMW turut menghasilkan kenderaan elektrik mereka sendiri sedangkan Mercedes masih lagi dalam proses pembangunan.

Jualan kendeeraan Mercedes dalam kenderaan elektrik tiada langsung dalam senarai bagi tahun 2019 berbanding dengan syarikat lain, termasuklah dari China.
Hanya pada tahun 2021 ini saja Mercedes mula mengeluarkan kenderaan elektrik mereka.
Sekiranya Mercedes tidak mengambil berat tentang perkembangan kenderaan elektrik pada masa hadapan, tidak mustahil suatu hari nanti syarikat ini tidak lagi relevan dalam pasaran automotif dunia.
Sumber Rujukan: