Bagaimana European Super League Mencabar Dominasi UEFA Dan FIFA Dalam Dunia Bola Sepak?

Kecoh seketika dunia bola sepak Eropah apabila satu pakatan yang diketuai gergasi-gergasi bola sepak telah mengumumkan akan membuat satu petisyen untuk menjayakan satu liga yang bukan berada di bawah kawal selia Fédération Internationale de Football Association (FIFA).

Liga yang diberi nama European Super League itu mengumpul 12 gergasi kelab bola sepak terkenal dunia untuk bermain di dalamnya.

Apa Itu European Super League?

Liga ini bakal diketuai oleh presiden kelab Real Madrid, Florentino Perez. Menurut beliau, tujuan utama liga ini ditubuhkan adalah untuk memodenkan liga di Eropah yang dikatakan tidak berjaya menarik golongan muda untuk menonton bola sepak jika dibandingkan dengan sukan atau hiburan yang lain.

Kredit Gambar: BBC

Ketika mula diperkenalkan secara rasmi pada awal bulan ini, sebanyak 12 pasukan gergasi bersetuju untuk menyertai liga ini yang melibatkan 3 liga yang paling popular di dunia.

Liga Perdana Inggeris disertai oleh 6 kelab popular yang dikenali sebagai big six iaitu Manchester City, Manchester United, Liverpool, Tottenham Hotspur, Arsenal dan Chelsea.

Kesemua enam kelab ini merupakan tunjang utama bagi Liga Perdana Inggeris dan mempunyai ramai peminat yang berada di seluruh dunia.

Bagi liga utama di Sepanyol pula, tiga kelab besar yang mewakli liga tersebut bersetuju untuk memasuki kelab kejohanan European Super League ini. Mereka adalah Real Madrid, Barcalona dan Atlético Madrid.

Liga Itali juga tidak ketinggalan menghantar wakil mereka yang terdiri daripada kelab Juventus, AC Milan dan Inter Milan.

Kesemua pasukan yang bertanding ini mempunyai pengaruh yang sangat besar di dalam kancah bola sepak Eropah dan juga dunia.

Kesan European Super League Terhadap Industri Bola Sepak

Tindakan ini akan memberi tamparan hebat kepada liga Eropah yang sedia ada. Jika semua 12 kelab tersebut bertanding dalam European Super League, ia akan memberi kesan yang sangat buruk kepada Union of European Football Associations (UEFA).

Ia akan mengurangkan jumlah penonton bagi pertandingan elit mereka iaitu UEFA Champions League (UCL), kerana 12 pasukan tersebut tidak lagi menyertai kejohanan tersebut.

Kredit Gambar: Bein Sports

Walaupun Florentino Perez secara jelas menyatakan tujuan utama European Super League itu ditubuhkan adalah untuk membawa pembaharuan dalam dunia bola sepak, tetapi tujuan sebenarnya adalah untuk mengkomersialkan lagi sukan bola sepak yang kurang mendatangkan keuntungan buat masa ini.

Pertandingan UCL yang diadakan hanya memberi pulangan yang sedikit kepada kelab-kelab elit walaupun kejohanan tersebut merupakan salah satu kejohanan terbesar yang diadakan setiap tahun.

Berbanding dengan European Super League ini, juara yang berjaya memenangi dalam kejohanan ini akan mendapat jumlah yang dianggarkan bernilai berbilion dolar.

Antara yang menjadi tulang belakang kewangan  kepada European Super League ini daripada segi kewangan adalah bank pelaburan terkenal di Amerika Syarikat iaitu JP Morgan iaitu sebanyak USD6 bilion .

Bank pelaburan ini merupakan bank yang bertanggungjawab dalam memberi pinjaman kepada liga ini. Mana-mana pasukan yang menyertai European Super League ini tidak lagi akan bermain pada liga UCL dan UEFA Europa League (UEL) pada masa hadapan.

Tindakan Tegas Yang Bakal Diambil Oleh FIFA

Ianya telah mendapat bantahan yang keras dari FIFA dan juga UEFA. FIFA yang secara tegas telah menggunakan kuasa yang terdapat di dalam badan tersebut untuk menghalang European Super League daripada menjadi kenyataan.

Antara tindakan tegas yang diambil oleh FIFA terhadap European Super League adalah tidak membenarkan mana-mana pemain yang terlibat daripada menyertai mana-mana kejohanan yang dianjurkan oleh FIFA termasuklah Piala Dunia dan juga Piala Eropah.

Tindakan tegas ini bertujuan untuk menghalang pemain yang terkenal yang mewakili kelab tersebut agar tidak menyertainya.

Kredit Gambar: Nomor Satu Kaltim

Dengan tindakan tegas yang diambil oleh FIFA dan sebahagian besar penyokong kelab-kelab yang terlibat membuat protes, ianya telah berjaya menghalang kelab mereka daripada menyertai European Super League apabila banyak kelab menarik diri seperti big six dari Liga Perdana Inggeris.

Walaupun tidak berjaya, Florentino Perez telah berjaya menimbulkan kontroversi. Beliau menyatakan bahawa tidak akan berputus asa dengan cadangan ini dan ianya merupakan satu permulaan dalam merevolusikan sukan bola sepak di era moden.

Sumber Rujukan: BBC

Previous ArticleNext Article

Ada Gaji Tetap Tapi Buat Side Income? Jangan Terkejut Jika Terima Notis CP500 Dari LHDN

Ramai yang mempunyai gaji tetap beranggapan urusan cukai mereka telah selesai kerana majikan sudah membuat potongan cukai bulanan (PCB) setiap bulan. Namun, keadaan berbeza apabila seseorang individu mempunyai pendapatan tambahan selain gaji.

Antara pendapatan sampingan yang sering diterima rakyat Malaysia termasuk:

  • Pendapatan sewa rumah/homestay
  • Bisnes online
  • Grab/Food Panda rider
  • Content creator
  • Komisen jualan
  • Ejen insurans/takaful
  • Ejen hartanah

Jika anda mempunyai pendapatan seperti ini, anda mungkin akan menerima Notis CP500 daripada LHDN.

Apa Itu CP500?

CP500 ialah arahan bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN kepada individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian.

Secara mudahnya, LHDN menganggarkan cukai yang perlu dibayar berdasarkan rekod tahun-tahun terdahulu dan membenarkan bayaran dibuat secara ansuran setiap dua bulan.

Daripada menunggu sehingga hujung tahun dan membayar sekaligus, sistem CP500 membantu menyebarkan beban pembayaran sepanjang tahun.

Kenapa Pekerja Bergaji Tetap Boleh Terima Notis CP500?

Ramai menyangka CP500 hanya untuk peniaga sepenuh masa.

Hakikatnya, seorang pekerja bergaji juga boleh menerima CP500 jika mempunyai pendapatan sampingan yang signifikan.

Sebagai contoh:

Ahmad bekerja sebagai jurutera dan menerima gaji RM8,000 sebulan. Pada masa sama, beliau memperoleh RM3,000 sebulan daripada sewaan sebuah apartmen. Walaupun PCB telah dipotong daripada gajinya, pendapatan sewa tersebut tidak tertakluk kepada PCB. Oleh itu, LHDN boleh mengeluarkan CP500 bagi memastikan cukai ke atas pendapatan sewa itu dibayar secara berperingkat.

CP500 Bukan Cukai Tambahan

Salah faham yang sering berlaku ialah ramai menganggap CP500 sebagai cukai tambahan.

Sebenarnya tidak.

Bayaran CP500 hanyalah bayaran pendahuluan terhadap cukai yang bakal dikira apabila anda mengemukakan borang cukai pendapatan.

Jika jumlah CP500 yang dibayar melebihi cukai sebenar, lebihan tersebut boleh dituntut semula. Jika tidak mencukupi, baki cukai perlu dijelaskan.

Musim Borang B: Semak Jika Anda Ada CP500

Bersempena musim penghantaran Borang B, individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian disarankan untuk menyemak MyTax masing-masing.

Ramai pembayar cukai hanya menyedari kewujudan CP500 selepas menerima peringatan atau notis tunggakan.

Lebih baik mengetahui lebih awal dan merancang aliran tunai berbanding berdepan cukai yang besar secara mengejut.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Menerima Notis CP500?

Apabila menerima notis CP500, anda perlu memberi perhatian kepada tiga perkara utama:

  • Membuat bayaran cukai secara ansuran setiap dua bulan.
  • Membayar jumlah yang dinyatakan dalam notis CP500.
  • Memastikan bayaran dibuat sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Ramai pembayar cukai menyimpan notis tersebut tanpa mengambil sebarang tindakan kerana menyangka ia sekadar makluman biasa. Hakikatnya, CP500 adalah jadual bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN dan memerlukan tindakan daripada penerima notis.

Jika anda tidak bersetuju dengan jumlah yang ditetapkan atau menjangkakan pendapatan anda jauh berbeza daripada tahun sebelumnya, anda boleh menghubungi LHDN untuk mendapatkan penjelasan lanjut atau membuat semakan yang bersesuaian.

Bagaimana LHDN mengetahui anda mempunyai pendapatan tambahan? Secara umumnya, CP500 ditentukan berdasarkan maklumat yang telah dilaporkan dalam borang cukai tahun-tahun terdahulu. Dengan pelaksanaan e-Invois yang semakin meluas, data transaksi yang direkodkan juga dijangka membantu meningkatkan ketepatan maklumat percukaian pada masa hadapan.

Terlepas Bayar CP500, Ada Penalti?

Ya. Jika bayaran CP500 tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan, penalti lewat bayar boleh dikenakan oleh LHDN.

Namun bagi Tahun Taksiran 2026, LHDN memberikan pengecualian penalti kepada individu yang mempunyai pendapatan penggajian serta pendapatan bukan penggajian yang menyebabkan notis CP500 dikeluarkan, termasuk pendapatan seperti sewa, faedah dan royalti.

Artikel The Star juga menekankan bahawa kelayakan bergantung kepada jenis pendapatan dan profil pembayar cukai, bukan sama ada penerima CP500 kali pertama atau tidak.

Langkah ini diperkenalkan bagi membantu kumpulan tersebut menyesuaikan diri dengan pelaksanaan sistem CP500 sepanjang tempoh peralihan.

Contoh:

Ahmad bekerja makan gaji dan PCB dipotong setiap bulan. Pada masa sama, beliau menerima pendapatan sewa rumah. Oleh sebab pendapatan sewa tidak tertakluk kepada PCB, Ahmad menerima notis CP500.

Sekiranya Ahmad tidak membuat bayaran ansuran CP500 pada Tahun Taksiran 2026, beliau tidak akan dikenakan penalti 10% di bawah Seksyen 107B(3) Akta Cukai Pendapatan.

Namun begitu, cukai yang masih belum dibayar tetap perlu dijelaskan apabila beliau mengemukakan borang cukai pendapatan kelak.

Ringkasnya, yang dikecualikan adalah penalti, bukannya cukai.

Baca lagi KONSESI PENGENAAN PENALTI KE ATAS NOTIS BAYARAN ANSURAN (CP500) BAGI INDIVIDU YANG MENERIMA PENDAPATAN PENGGAJIAN

Kesimpulan

Mempunyai pendapatan sampingan sememangnya satu perkara yang baik kerana ia membantu meningkatkan pendapatan. Namun begitu, jangan lupa bahawa setiap pendapatan juga datang bersama tanggungjawab percukaian.

Jika anda mempunyai pendapatan selain gaji, luangkan sedikit masa untuk memahami CP500. Ia bukan hukuman, bukan juga cukai tambahan, tetapi mekanisma yang membantu pembayar cukai mengurus bayaran cukai dengan lebih teratur sepanjang tahun.