Bagaimana WeWork Menjadi Syarikat Unicorn Yang Paling Gagal Di Dunia

Melabur di dalam syarikat start-up merupakan pelaburan yang sangat berisiko tinggi. Risiko akan menjadi lebih tinggi jika syarikat start-up tersebut telah bergelar Unicorn.

Untuk mencapai status unicorn, syarikat start-up tersebut perlulah bernilai USD1 bilion.

Kebanyakan pelabur tersohor dunia seperti Bill Ackman tidak menggalakan para pelabur baru untuk melabur ke dalam syarikat start-up disebabkan risiko yang tinggi sehingga boleh mengakibatkan pelabur bankrap.

Walaupun begitu, terdapat beberapa syarikat start-up yang berjaya memberi pulangan yang luar biasa kepada pelabur mereka dalam tempoh yang singkat seperti Facebook.

Disebabkan perkara itu, banyak gergasi terutamanya Venture Capital berlumba-lumba untuk melabur ke dalam syarikat start up disebabkan potensi pulangan yang besar sekiranya ia berjaya.

Pada artikel kali ini, kita akan melihat bagaimana WeWork yang bertaraf unicorn telah memberi masalah kepada pelabur mereka di samping gagal untuk ke IPO.

Permulaan WeWork

WeWork merupakan sebuah syarikat yang diasaskan oleh Adam Neumann yang merupakan seorang bekas tentera Israel. Beliau bersama dengan sahabatnya Miguel McKelvey, telah mengasaskan syarikat ini yang menyediakan perkhidmatan sewa pejabat bagi memudahkan orang ramai membuat kerja mereka.

Syarikat ini memulakan operasi mereka di New York pada tahun 2010.

Kredit Gambar: Medium

Konsep perniagaan yang dilakukan oleh WeWork adalah dengan menyewa sesebuah bagunan dalam tempoh masa tertentu dan kemudian mereka membina pejabat di dalam bangunan tersebut untuk disewa kepada pelanggan mereka.

Model perniagaan yang dijalankan oleh Adam Neumann itu mendapat sambutan yang sangat luar biasa kerana menawarkan kos yang rendah berbanding dengan pesaing mereka.

Syarikat ini kemudiannya mula mendapat pelaburan luar yang menjadikan syarikat WeWork bernilai USD1.5 bilion pada tahun 2014.

Disebabkan pada waktu tersebut, ekonomi telah pulih akibat krisis sub-prime pada tahun 2008, permintaan terhadap pejabat semakin meningkat. Dari tahun ke tahun, syarikat ini semakin berkembang dengan pesat dan mendapat pelaburan yang tinggi.

Di antara pelabur yang paling besar melabur ke dalam WeWork adalah SoftBank yang merupakan sebuah syarikat yang terkenal di dalam pelaburan start-up.

Pelaburan yang dilakukan oleh SoftBank terhadap WeWork ini melibatkan empat siri iaitu siri pertama pada Februari 2017 yang melibatkan wang berjumlah USD3 bilion dan siri kedua yang melibatkan wang USD4.4 bilion pada bulan Julai tahun yang sama.

Pada Julai 2018, SoftBank menambah USD3 bilion dan 2019 sebanyak USD9.2 bilion sebelum syarikat itu ingin ke peringkat IPO. Masalah mula timbul apabila WeWork yang sepatutnya IPO pada akhir tahun 2019, gagal untuk berbuat demikian.

Ini menyebabkan nilai syarikat jatuh menjunam. Pada awalnya syarikat ini dinilai sebanyak USD47 bilion tetapi kemudiannya jatuh menjadi USD2.9 bilion sahaja.

Kenapa WeWork Jatuh?

Setiap yang berlaku pasti ada sebab di sebaliknya. Begitulah yang terjadi kepada WeWork ini. Salah satu faktor utama WeWork gagal adalah disebabkan pelaburan yang dilakukan oleh SoftBank itu sendiri.

Kredit Gambar: Amazon

Bunyi macam pelik tetapi itulah hakikat yang patut ditelan. Sebelum SoftBank membuat pelaburan terhadap syarikat ini, perjalanan WeWork berada di landasan yang betul. Tetapi semua itu berubah apabila SoftBank mula melabur dengan jumlah yang luar biasa.

Oleh kerana WeWork menerima jumlah wang yang begitu besar sedangkan model perniagaan mereka itu tidak begitu kukuh, ia telah menyebabkan Adam Neumann mula gelap mata dan mula membuat perkara yang tidak sepatunya dilakukan oleh seorang CEO sesebuah syarikat.

Adam Neumann mula membelanjakan wang WeWork untuk kepentingan peribadinya termasuk menyewa jet peribadi di atas alasan untuk bekerja. Apa yang paling pelik dilakukan oleh Adam Neumann adalah beliau telah membeli bagunan pejabat menggunakan duitnya sendiri dan kemudian menyewa kembali kepada WeWork.

Beliaua turut membeli tanda cap dagang “WE” dan kemudian menjualnya semula kepada WeWork.

Adam Neumann juga menjadikan isterinya sebagai salah seorang pengarah syarikat. Sekiranya beliau meninggal dunia, hanya isterinya Rebekah sahaja yang berhak untuk menentukan siapa CEO baru untuk WeWork.

Bukan setakat itu saja, Adam Neumann juga turut diberi kuasa pengundian kepada dirinya yang mana pengundian hala tuju syarikat yang dimilikinya itu bersamaan 1 nisbah 20 berbanding dengan pemegang saham yang lain dalam syarikat tersebut.

Kredit Gambar: Yahoo Finance

Semua perkara ini terdedah apabila syarikat tersebut mula merancang untuk membuat IPO pada tahun 2019. Selain daripada itu, syarikat ini gagal untuk IPO apabila laporan menunjukkan bahawa tiada sebarang keuntungan sejak ianya ditubuhkan.

Disebabkan perkara tersebut, orang ramai tidak yakin dengan syarikat ini dan mereka gagal untuk disenaraikan pada akhir tahun 2019.

Adam Neumann Tetap Menjadi Bilionaire

Kredit Gambar: Dkoding

Walaupun gagal ke IPO dan Adam Neumann dipaksa meletakkan jawatan, beliau mendapat pampasan sebanyak USD1.7 bilion daripada SoftBank. Walaupun telah meninggalkan WeWork dan gagal membawa visi syarikat, beliau tetap melangkah keluar sebagai seorang bilionaire.

Ini merupakan pelaburan yang paling gagal oleh SoftBank buat masa ini.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ke Mana Perginya Duit Caruman PERKESO Kita Dilaburkan?

Bila sebut tentang PERKESO (SOCSO), perkara pertama yang terlintas di fikiran kebanyakan pekerja di Malaysia mestilah slip gaji bulanan yang kena potong, tuntutan elaun kemalangan, atau paling tidak pun isu Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 JAM) yang tengah hangat diperkatakan sekarang.

Gambaran Kasar Aliran Wang PERKESO (2024):

Untuk memudahkan kefahaman struktur kewangan mereka:

  • Duit Masuk (kutipan caruman): ~RM7.58 Bilion
  • Duit Masuk (untung pelaburan kasar): ~RM2.10 Bilion
  • Duit Keluar (bayar pampasan/faedah pencarum): ~RM6.20 Bilion

Ini menunjukkan daripada RM7.58 bilion yang dikutip, hampir RM6.20 bilion dipulangkan semula kepada pekerja/pencarum dalam bentuk bayaran pampasan dan faedah.

Tetapi, pernah tak anda terfikir: Ke mana perginya berbilion ringgit wang caruman yang dikumpul setiap bulan? Adakah ia sekadar disimpan di dalam bank atau sebenarnya “bekerja keras” menghasilkan untung?

Ramai mungkin tidak mengetahui bahawa kuasa PERKESO untuk melaburkan dana sebenarnya termaktub dalam Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969. Di bawah Seksyen 75, dana yang tidak diperlukan serta-merta untuk membayar faedah dan perbelanjaan boleh dilaburkan mengikut syarat yang ditetapkan kerajaan. Malah, Akta turut menubuhkan Panel Pelaburan melalui Seksyen 75A bagi mengawasi dan membuat keputusan berkaitan pelaburan dana PERKESO.

Sebagai portal yang celik kewangan, hari ini kami nak bedah Laporan Tahunan PERKESO 2024 untuk melihat di mana institusi keselamatan sosial ini melaburkan dana dan berapa pula keuntungan kasar yang mereka berjaya jana.

1. Prestasi Kewangan

Sebelum kita sembang bab kaunter saham mana, mari kita tengok prestasi kewangan makro mereka terlebih dahulu.

Menurut laporan rasmi, jumlah Aset di bawah Pengurusan (AUM) PERKESO telah meningkat sebanyak 7.01% kepada sekitar RM36.87 Bilion!

Dari segi hasil atas pelaburan, strategi proaktif pasukan pelaburan mereka nampaknya membuahkan hasil:

  • Pendapatan Pelaburan Kasar (2024): Mencecah ~RM2.17 Bilion.
  • Pertumbuhan: Naik sebanyak 18.27% berbanding RM1,835.30 juta pada tahun 2023.
  • Kadar Pulangan (ROI) Kasar: Melonjak naik kepada 6.64% (berbanding 5.89% pada tahun sebelum).

Untung lebih RM2 bilion setahun ini bukanlah satu angka yang kecil. Jadi, di mana lubuk pelaburan mereka?

2. Di Mana PERKESO Melabur? (Pecahan Portofolio)

Sama seperti KWSP atau PNB, PERKESO menggunakan rangka kerja Alokasi Aset Strategik (SAA) bagi memastikan dana pelaburan mereka mampan, kalis inflasi dan yang paling penting mampu menampung tuntutan bayaran faedah pekerja bagi jangka masa panjang.

Berikut adalah instrumen utama pelaburan mereka:

  • 62.81% Pendapatan Tetap (Fixed Income)
  • 27.52% Ekuiti
  • 6.77% Pasaran Wang
  • 2.90% Pelaburan Alternatif

A. Pasaran Saham (Ekuiti)

Jika anda rasa pelaburan saham ini berisiko, bagi dana gergasi seperti PERKESO, pasaran ekuiti tersiar di Bursa Malaysia merupakan antara lubuk buat duit terbesar mereka untuk tahun 2024. Peningkatan pendapatan pelaburan kasar mereka disumbangkan secara signifikan oleh keuntungan penjualan saham apabila pasaran saham berada dalam momentum yang baik.

Buat masa ini, kita hanya melihat cebisan portfolio melalui pengumuman Bursa Malaysia dan laporan media, bukannya gambaran penuh seperti yang didedahkan oleh KWSP.

KWSP setiap tahun akan dedahkan:

  • Top 30 pegangan Bursa Malaysia
  • Nilai pegangan
  • Peratus pegangan
  • Kadang-kadang siap cerita prestasi mengikut aset dan pasaran luar negara.

Jadi orang ramai boleh tahu:

  • KWSP pegang saham Maybank berapa banyak
  • CIMB
  • Public Bank
  • Tenaga
  • YTL Power
  • Sunway dan sebagainya.

Menariknya, orang ramai sebenarnya tidak mengetahui pegangan saham PERKESO secara menyeluruh. Sebaliknya, sesuatu pelaburan hanya mendapat perhatian apabila ia menjadi berita atau melibatkan pengumuman kepada Bursa Malaysia.

Antara contoh yang pernah berlaku ialah:

Cypark Resources

Cypark Resources merupakan antara pegangan saham yang diketahui dimiliki oleh PERKESO. Pada tahun 2023, PERKESO menjadi pemegang saham utama selepas pegangan melepasi ambang pelaporan Bursa Malaysia. Ketika itu, Ketua Eksekutif PERKESO menjelaskan bahawa pelaburan dalam Cypark dibuat kerana syarikat tersebut mempunyai good fundamental value serta selari dengan fokus ESG organisasi. Sehingga kini, PERKESO masih tersenarai sebagai pemegang saham utama dengan pegangan sekitar 6.66% atau 54.83 juta saham.

Pharmaniaga (2025)

Pada Jun 2025 pula, The Edge Malaysia melaporkan bahawa PERKESO sedang berbincang untuk menyertai private placement Pharmaniaga Berhad dan berpotensi muncul sebagai pemegang saham yang besar sekiranya urus niaga itu dimuktamadkan. Walau bagaimanapun, Pharmaniaga menjelaskan ketika itu bahawa belum ada keputusan muktamad mengenai pelabur yang akan mengambil bahagian dalam private placement tersebut.

Berjaya Food Berhad

Pada tahun 2021, PERKESO muncul sebagai pemegang saham utama Berjaya Food selepas pegangannya melepasi 5%. Walaupun pegangan itu kini telah berkurangan, PERKESO masih tersenarai sebagai antara pemegang saham terbesar syarikat dengan pegangan sekitar 2.30% atau 48.48 juta saham.

99 Speed Mart Retail Holdings

PERKESO turut menjadi salah satu daripada 14 cornerstone investors semasa IPO 99 Speed Mart pada tahun 2024. Namun, setiap cornerstone investor diperuntukkan pegangan di bawah 5%, menyebabkan PERKESO tidak muncul dalam senarai pemegang saham utama. Keadaan ini bermaksud orang ramai mengetahui penglibatan PERKESO ketika IPO, tetapi tidak dapat mengesan sama ada pegangan tersebut masih dikekalkan selepas syarikat disenaraikan.

Pelabur asas (cornerstone investors) ialah pelabur institusi yang bersetuju membeli saham lebih awal sebelum IPO dibuka kepada orang ramai, sekali gus memberi keyakinan kepada pasaran terhadap penyenaraian tersebut.

B. Bon Domestik & Sukuk (Sekuriti Hutang)

Bagi mengimbangi risiko pasaran saham yang turun naik, PERKESO meletakkan sebahagian besar dana dalam instrumen berpendapatan tetap (fixed income) iaitu bon korporat dan sukuk domestik. Ini memberikan aliran pendapatan faedah yang stabil setiap tahun.

Antara sektor-sektor utama dalam negara yang disokong oleh dana bon PERKESO termasuklah:

  • Perbankan & Perkhidmatan Kewangan
  • Tenaga & Utiliti (Sektor kritikal negara)
  • Pengangkutan & Telekomunikasi
  • Hartanah & Kewangan Awam

C. Aset Kewangan Sedia Untuk Dijual

Aset kewangan sedia untuk dijual boleh diibaratkan sebagai “stok pelaburan” yang boleh dijual pada bila-bila masa jika pengurus dana melihat peluang yang lebih baik. Ia lazimnya terdiri daripada saham, bon, sukuk, REIT dan instrumen pelaburan lain yang mudah diniagakan di pasaran.

Kantung kecairan PERKESO dalam kategori aset ini adalah sangat besar. Nilai aset kewangan sedia untuk dijual di bawah kumpulan PERKESO dilaporkan mencecah RM32.88 bilion. Ini memberikan fleksibiliti tinggi kepada pengurus dana mereka untuk bertindak mengikut kitaran ekonomi semasa.

D. Hartanah Fizikal & Deposit Tunai

PERKESO juga mempunyai pegangan dalam pasaran hartanah bagi menjana pendapatan bersih melalui hasil sewaan serta modal apresiari. Di samping itu, dana selebihnya diletakkan dalam instrumen pasaran wang dan deposit tegar bersama institusi kewangan berlesen demi keperluan kecairan tuntutan faedah harian pekerja.

3. Untung Bilion-Billion Tapi Belanja Pun Besar?

Satu fakta menarik yang pekerja perlu tahu ialah: Walaupun pendapatan pelaburan mereka mencecah RM2.17 Bilion, kos tanggungjawab atau belanja tanggungan (tuntutan pampasan/faedah) yang PERKESO perlu bayar semula kepada pekerja yang ditimpa musibah juga meningkat sebanyak 7.29% kepada ~RM6.2 Bilion.

Peningkatan bayaran keluar (payout) ini disebabkan oleh pertambahan bilangan penerima faedah serta peluasan skim perlindungan kepada sektor pekerja asing dan bekerja sendiri (SKSPS).

Melalui data ini, jelaslah bahawa PERKESO bukan sekadar menyimpan duit caruman. Wang tersebut digulung masuk ke dalam ekosistem korporat Malaysia demi menjana pulangan untuk memastikan kantung institusi ini sentiasa sihat dan kalis risiko masa depan.

Penafian: Artikel ini disediakan untuk tujuan pendidikan dan perkongsian maklumat semata-mata. Analisis adalah berdasarkan Laporan Tahunan PERKESO 2024, pengumuman Bursa Malaysia, prospektus syarikat serta laporan media yang boleh diakses oleh orang awam. Sebarang contoh pegangan saham yang dinyatakan tidak semestinya mewakili keseluruhan portfolio pelaburan PERKESO, kerana senarai penuh pegangan ekuiti tidak didedahkan dalam laporan tahunan. Artikel ini bukan bertujuan membuat sebarang dakwaan atau spekulasi terhadap strategi pelaburan PERKESO, dan bukan merupakan nasihat pelaburan.

Baca juga KWSP Pegang Saham NVIDIA dan Micron? Ini Antara Pegangan Saham US Terbesar Mereka