Tinggal beberapa hari saja lagi untuk membuat persediaan hari raya. Jalan TAR, Sogo, Jakel dan Kenanga Wholesale Mall mula sesak dengan orang ramai.
Teruja menyambut hari raya memang tak salah, tapi jangan sampai kemurungan selepas raya nanti sebab dalam poket kering nak menunggu gaji hujung bulan ini.
Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) cawangan Pulau Pinang menyediakan tips perbelanjaan hari raya untuk memastikan wang yang dibelanjakan secara bijak dan terkawal.
Kenapa Perbelanjaan Hari Raya Selalunya Tidak Terkawal?
1. Fenomena berbelanja membeli kelengkapan serba baru di hari raya telah menjadi satu trend. Trend ini berulang setiap tahun walaupun ramai yang sedar kita sedang mengharungi kenaikan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi dunia.
2. Mahu dilihat bergaya dan mewah menyebabkan ramai yang mengambil sikap ingin berlumba-lumba menonjolkan kemampuan masing-masing. Ada yang menggunakan duit simpanan malah ada yang sanggup sama ada daripada institusi kewangan yang sah mahupun peminjam yang tidak berlesen. Penggunaan kad kredit juga tiada kurangnya. Dua puluh tahun dahulu, hanya golongan tertentu sahaja seperti usahawan dan pegawai besar yang layak memiliki kad kredit, namun hari ini kad kredit begitu mudah didapati. Persoalannya, adakah ia digunakan secara bijak atau sebaliknya?
Tips Perbelanjaan Bijak Untuk Hari Raya
Sediakan bajet perbelanjaan serta senarai semak untuk perkara-perkara yang perlu supaya anda dapat membuat perbezaan antara keperluan dan kemahuan semasa berbelanja.
Tetapkan “mind-set” untuk menyambut perayaan dalam suasana yang sederhana atau mengikut kemampuan masing-masing.
Berbelanja dengan wang bajet yang sedia ada dan sentiasa merekod perbelanjaan anda.
Pilih kedai yang menawarkan harga yang berpatutan.
Tetapkan masa yang sesuai untuk membeli belah seperti berbelanja pada saat akhir dalam musim-musim jualan murah dan sebagainya untuk memungkinkan anda mendapat diskaun yang menarik.
Pastikan komitmen bulanan anda seperti sewa rumah, kereta, pinjaman peribadi, ansuran bulanan yang sedia dan lain-lain dibayar tepat pada waktunya untuk mengelak tunggakan dan/atau penalti yang akan dikenakan sekiranya lambat dibayar.
Kesimpulannya, perbelanjaan untuk sambutan hari raya ini seperti serampang dua mata. Perbelanjaan tersebut boleh memberi keindahan kepada suasana hari raya bersama mereka yang tersayang namun di sebalik keindahan ini, mungkin juga terselit hutang-hutang yang memudaratkan. Bak kata pepatah “Ukur baju di badan sendiri”. Peribahasa ini ialah nasihat yang tepat untuk mengingatkan kita tentang pentingnya berbelanja mengikut kemampuan.
Boleh Kawal Nafsu Makan, Kenapa Tidak Nafsu Shopping?
Puasa di bulan Ramadan telah mengajar kita tentang nilai-nilai murni seperti kesabaran, kesyukuran dan kesederhanaan. Maka amatlah baik jika nilai nilai ini terus diterapkan sepanjang masa agar kewangan dan kehidupan anda terkawal secara keseluruhannya.Amalkan pengurusan kewangan yang berhemat sebagai budaya hidup anda. Selamat menyambut bulan Ramadan Al-Mubarak. Jom kejar pahala di ambang-ambang terakhir Ramadan.
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.
Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.
Bila sebut tentang PERKESO (SOCSO), perkara pertama yang terlintas di fikiran kebanyakan pekerja di Malaysia mestilah slip gaji bulanan yang kena potong, tuntutan elaun kemalangan, atau paling tidak pun isu Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 JAM) yang tengah hangat diperkatakan sekarang.
Gambaran Kasar Aliran Wang PERKESO (2024):
Untuk memudahkan kefahaman struktur kewangan mereka:
Duit Masuk (kutipan caruman): ~RM7.58 Bilion
Duit Masuk (untung pelaburan kasar): ~RM2.10 Bilion
Duit Keluar (bayar pampasan/faedah pencarum): ~RM6.20 Bilion
Ini menunjukkan daripada RM7.58 bilion yang dikutip, hampir RM6.20 bilion dipulangkan semula kepada pekerja/pencarum dalam bentuk bayaran pampasan dan faedah.
Tetapi, pernah tak anda terfikir: Ke mana perginya berbilion ringgit wang caruman yang dikumpul setiap bulan? Adakah ia sekadar disimpan di dalam bank atau sebenarnya “bekerja keras” menghasilkan untung?
Ramai mungkin tidak mengetahui bahawa kuasa PERKESO untuk melaburkan dana sebenarnya termaktub dalam Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969. Di bawah Seksyen 75, dana yang tidak diperlukan serta-merta untuk membayar faedah dan perbelanjaan boleh dilaburkan mengikut syarat yang ditetapkan kerajaan. Malah, Akta turut menubuhkan Panel Pelaburan melalui Seksyen 75A bagi mengawasi dan membuat keputusan berkaitan pelaburan dana PERKESO.
Sebagai portal yang celik kewangan, hari ini kami nak bedah Laporan Tahunan PERKESO 2024 untuk melihat di mana institusi keselamatan sosial ini melaburkan dana dan berapa pula keuntungan kasar yang mereka berjaya jana.
1. Prestasi Kewangan
Sebelum kita sembang bab kaunter saham mana, mari kita tengok prestasi kewangan makro mereka terlebih dahulu.
Menurut laporan rasmi, jumlah Aset di bawah Pengurusan (AUM) PERKESO telah meningkat sebanyak 7.01% kepada sekitar RM36.87 Bilion!
Dari segi hasil atas pelaburan, strategi proaktif pasukan pelaburan mereka nampaknya membuahkan hasil:
Pertumbuhan: Naik sebanyak 18.27% berbanding RM1,835.30 juta pada tahun 2023.
Kadar Pulangan (ROI) Kasar: Melonjak naik kepada 6.64% (berbanding 5.89% pada tahun sebelum).
Untung lebih RM2 bilion setahun ini bukanlah satu angka yang kecil. Jadi, di mana lubuk pelaburan mereka?
2. Di Mana PERKESO Melabur? (Pecahan Portofolio)
Sama seperti KWSP atau PNB, PERKESO menggunakan rangka kerja Alokasi Aset Strategik (SAA) bagi memastikan dana pelaburan mereka mampan, kalis inflasi dan yang paling penting mampu menampung tuntutan bayaran faedah pekerja bagi jangka masa panjang.
Berikut adalah instrumen utama pelaburan mereka:
62.81% Pendapatan Tetap (Fixed Income)
27.52% Ekuiti
6.77% Pasaran Wang
2.90% Pelaburan Alternatif
A. Pasaran Saham (Ekuiti)
Jika anda rasa pelaburan saham ini berisiko, bagi dana gergasi seperti PERKESO, pasaran ekuiti tersiar di Bursa Malaysia merupakan antara lubuk buat duit terbesar mereka untuk tahun 2024. Peningkatan pendapatan pelaburan kasar mereka disumbangkan secara signifikan oleh keuntungan penjualan saham apabila pasaran saham berada dalam momentum yang baik.
Buat masa ini, kita hanya melihat cebisan portfolio melalui pengumuman Bursa Malaysia dan laporan media, bukannya gambaran penuh seperti yang didedahkan oleh KWSP.
KWSP setiap tahun akan dedahkan:
Top 30 pegangan Bursa Malaysia
Nilai pegangan
Peratus pegangan
Kadang-kadang siap cerita prestasi mengikut aset dan pasaran luar negara.
Jadi orang ramai boleh tahu:
KWSP pegang saham Maybank berapa banyak
CIMB
Public Bank
Tenaga
YTL Power
Sunway dan sebagainya.
Menariknya, orang ramai sebenarnya tidak mengetahui pegangan saham PERKESO secara menyeluruh. Sebaliknya, sesuatu pelaburan hanya mendapat perhatian apabila ia menjadi berita atau melibatkan pengumuman kepada Bursa Malaysia.
Antara contoh yang pernah berlaku ialah:
Cypark Resources
Cypark Resources merupakan antara pegangan saham yang diketahui dimiliki oleh PERKESO. Pada tahun 2023, PERKESO menjadi pemegang saham utama selepas pegangan melepasi ambang pelaporan Bursa Malaysia. Ketika itu, Ketua Eksekutif PERKESO menjelaskan bahawa pelaburan dalam Cypark dibuat kerana syarikat tersebut mempunyai good fundamental value serta selari dengan fokus ESG organisasi. Sehingga kini, PERKESO masih tersenarai sebagai pemegang saham utama dengan pegangan sekitar 6.66% atau 54.83 juta saham.
Pharmaniaga (2025)
Pada Jun 2025 pula, The Edge Malaysia melaporkan bahawa PERKESO sedang berbincang untuk menyertai private placement Pharmaniaga Berhad dan berpotensi muncul sebagai pemegang saham yang besar sekiranya urus niaga itu dimuktamadkan. Walau bagaimanapun, Pharmaniaga menjelaskan ketika itu bahawa belum ada keputusan muktamad mengenai pelabur yang akan mengambil bahagian dalam private placement tersebut.
Berjaya Food Berhad
Pada tahun 2021, PERKESO muncul sebagai pemegang saham utama Berjaya Food selepas pegangannya melepasi 5%. Walaupun pegangan itu kini telah berkurangan, PERKESO masih tersenarai sebagai antara pemegang saham terbesar syarikat dengan pegangan sekitar 2.30% atau 48.48 juta saham.
99 Speed Mart Retail Holdings
PERKESO turut menjadi salah satu daripada 14 cornerstone investors semasa IPO 99 Speed Mart pada tahun 2024. Namun, setiap cornerstone investor diperuntukkan pegangan di bawah 5%, menyebabkan PERKESO tidak muncul dalam senarai pemegang saham utama. Keadaan ini bermaksud orang ramai mengetahui penglibatan PERKESO ketika IPO, tetapi tidak dapat mengesan sama ada pegangan tersebut masih dikekalkan selepas syarikat disenaraikan.
Pelabur asas (cornerstone investors) ialah pelabur institusi yang bersetuju membeli saham lebih awal sebelum IPO dibuka kepada orang ramai, sekali gus memberi keyakinan kepada pasaran terhadap penyenaraian tersebut.
B. Bon Domestik & Sukuk (Sekuriti Hutang)
Bagi mengimbangi risiko pasaran saham yang turun naik, PERKESO meletakkan sebahagian besar dana dalam instrumen berpendapatan tetap (fixed income) iaitu bon korporat dan sukuk domestik. Ini memberikan aliran pendapatan faedah yang stabil setiap tahun.
Antara sektor-sektor utama dalam negara yang disokong oleh dana bon PERKESO termasuklah:
Perbankan & Perkhidmatan Kewangan
Tenaga & Utiliti (Sektor kritikal negara)
Pengangkutan & Telekomunikasi
Hartanah & Kewangan Awam
C. Aset Kewangan Sedia Untuk Dijual
Aset kewangan sedia untuk dijual boleh diibaratkan sebagai “stok pelaburan” yang boleh dijual pada bila-bila masa jika pengurus dana melihat peluang yang lebih baik. Ia lazimnya terdiri daripada saham, bon, sukuk, REIT dan instrumen pelaburan lain yang mudah diniagakan di pasaran.
Kantung kecairan PERKESO dalam kategori aset ini adalah sangat besar. Nilai aset kewangan sedia untuk dijual di bawah kumpulan PERKESO dilaporkan mencecah RM32.88 bilion. Ini memberikan fleksibiliti tinggi kepada pengurus dana mereka untuk bertindak mengikut kitaran ekonomi semasa.
D. Hartanah Fizikal & Deposit Tunai
PERKESO juga mempunyai pegangan dalam pasaran hartanah bagi menjana pendapatan bersih melalui hasil sewaan serta modal apresiari. Di samping itu, dana selebihnya diletakkan dalam instrumen pasaran wang dan deposit tegar bersama institusi kewangan berlesen demi keperluan kecairan tuntutan faedah harian pekerja.
3. Untung Bilion-Billion Tapi Belanja Pun Besar?
Satu fakta menarik yang pekerja perlu tahu ialah: Walaupun pendapatan pelaburan mereka mencecah RM2.17 Bilion, kos tanggungjawab atau belanja tanggungan (tuntutan pampasan/faedah) yang PERKESO perlu bayar semula kepada pekerja yang ditimpa musibah juga meningkat sebanyak 7.29% kepada ~RM6.2 Bilion.
Peningkatan bayaran keluar (payout) ini disebabkan oleh pertambahan bilangan penerima faedah serta peluasan skim perlindungan kepada sektor pekerja asing dan bekerja sendiri (SKSPS).
Melalui data ini, jelaslah bahawa PERKESO bukan sekadar menyimpan duit caruman. Wang tersebut digulung masuk ke dalam ekosistem korporat Malaysia demi menjana pulangan untuk memastikan kantung institusi ini sentiasa sihat dan kalis risiko masa depan.
Penafian: Artikel ini disediakan untuk tujuan pendidikan dan perkongsian maklumat semata-mata. Analisis adalah berdasarkan Laporan Tahunan PERKESO 2024, pengumuman Bursa Malaysia, prospektus syarikat serta laporan media yang boleh diakses oleh orang awam. Sebarang contoh pegangan saham yang dinyatakan tidak semestinya mewakili keseluruhan portfolio pelaburan PERKESO, kerana senarai penuh pegangan ekuiti tidak didedahkan dalam laporan tahunan. Artikel ini bukan bertujuan membuat sebarang dakwaan atau spekulasi terhadap strategi pelaburan PERKESO, dan bukan merupakan nasihat pelaburan.