Persidangan Kesediaan IPO Bantu PKS Meneroka Peluang Bagi Penyenaraian Awam


KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) — Persidangan The Scaling Heights: The IPO Readiness menjadi platform bagi pemilik perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meneroka tahap kesediaan bagi mengumpul dana daripada pasaran modal, selain peluang dan cabaran untuk melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO).

Anjuran bersama Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Malaysia) dan RDS Partnership, persidangan yang diadakan di UOB Plaza 1 di sini semalam, disertai pemimpin industri, pakar kewangan dan pemilik SME.

Timbalan Presiden Kebangsaan SME Malaysia Datuk Seri Ricky Yaw Chan Choy yang merasmikan persidangan itu berkata penawaran IPO menyediakan akses kepada modal dan meningkatkan kredibiliti.

Selain itu, beliau juga menekankan keperluan untuk tadbir urus yang baik, disiplin kewangan dan matlamat yang strategik.

“Dengan lebih 30 tahun menerajui pembangunan PKS, SME Malaysia komited untuk memupuk ekosistem supaya perniagaan mempunyai akses kepada peluang kewangan, menerima perubahan digital dan membina daya tahan.

“Penawaran IPO lebih daripada sekadar mengumpul modal. Ia mengenai membina kredibiliti, mengukuhkan tadbir urus dan memastikan kejayaan perniagaan bagi tempoh jangka panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada persidangan itu, Pengarah Penyenaraian Bursa Malaysia Bhd Leong See Meng berkongsi pandangan mengenai pasaran IPO di Malaysia.

Katanya, negara ini kekal sebagai pemimpin serantau dalam aktiviti IPO, yang disokong oleh keyakinan pelabur yang kukuh.

Beliau turut menekankan bahawa platform seperti Pasaran ACE dan Pasaran LEAP menawarkan laluan yang sesuai bagi PKS meneroka pasaran modal, membolehkan penyenaraian awam lebih mudah diakses berbanding sebelumnya. 

Persidangan yang menampilkan panel pakar industri daripada RDS, Baker Tilly Malaysia dan Axcelasia Group turut menyentuh topik penting seperti keperluan penyenaraian, tadbir urus korporat, amalan terbaik pelaporan kewangan dan strategi mengoptimakan cukai.

Sesi itu juga menyediakan bimbingan kepada PKS termasuk cara memahami proses IPO dan membantu mereka memenuhi jangkaan pengawal selia dan pelabur yang teliti.

Bagi PKS yang berminat untuk meneroka peluang IPO dan mendapatkan bimbingan tambahan, SME Malaysia ada menyediakan program tertentu, bengkel, sokongan dan nasihat.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Aquawalk Group Berhad Melancarkan Prospektus IPO Pasaran ACE, Sasar Kutipan Sehingga RM114.3 Juta

KUALA LUMPUR (30 Oktober 2025): Aquawalk Group Berhad, pemaju dan pengendali beberapa akuarium bertaraf dunia termasuk Aquaria KLCC, hari ini melancarkan prospektusnya bersempena dengan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad yang dijadualkan pada 19 November 2025.

Ditubuhkan pada tahun 2005, Aquaria KLCC ialah oseanarium terkemuka Malaysia, yang menerima lebih daripada sejuta pengunjung setiap tahun. Aquawalk Group mereka bentuk, membina dan mengendalikan akuarium di seluruh dunia, dan selain daripada Aquaria KLCC yang telah memenangi pelbagai anugerah, syarikat ini juga memiliki dan mengendalikan Aquaria Phuket serta memegang 40.0% kepentingan dalam Jakarta Aquarium & Safari (JAQS).

Pelancaran ini menandakan satu pencapaian penting dalam trajektori pertumbuhan Aquawalk Group apabila ia beralih menjadi entiti tersenarai awam untuk mengukuhkan asas modal, mengembangkan portfolio, dan meneroka peluang serantau dalam industri tarikan marin.

Di bawah tawaran awam permulaan (IPO), Kumpulan akan melaksanakan terbitan awam sebanyak 368.6 juta saham biasa baharu dan tawaran untuk jualan 368.6 juta saham sedia ada, yang mewakili jumlah keseluruhan 40.0% daripada modal saham terbitan diperbesarkan selepas penyenaraian. Pada harga IPO 31 sen sesaham, Aquawalk Group akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM571.3 juta berdasarkan jumlah modal saham diperbesarkan sebanyak 1,843,000,000 saham selepas penyenaraian.

Hasil daripada terbitan awam ini diperuntukkan bagi membiayai perbelanjaan modal kumpulan untuk menaik taraf dan membangunkan tarikan baharu dan sedia ada, bersama-sama dengan penambahbaikan IT, modal kerja, dan perbelanjaan penyenaraian. Dana yang terutamanya akan disalurkan untuk membiayai projek baharu ini akan menyokong visi Aquawalk Group Berhad untuk menjadi pusat pendidikan oseanografi terkemuka di rantau ini serta menginspirasikan tindakan kolektif ke arah pemuliharaan lestari.

Pengerusi Eksekutif Aquawalk Group, Dato’ Simon Foong berkata,

“Aquawalk bakal menjadi oseanarium pertama di rantau ini yang disenaraikan secara awam, dengan peluang besar untuk mengembangkan lagi portfolio kami di pasaran lain dalam Asia Pasifik. Kami bukan sekadar pengendali akuarium, kami adalah syarikat yang mencipta pengalaman, membina destinasi, dan menginspirasikan pembelajaran. Tujuan kami adalah untuk menggalakkan lebih ramai orang melihat, merasai, mencintai dan membantu melindungi lautan.”

Permohonan untuk bahagian terbitan awam IPO kini dibuka dan akan ditutup pada 7 November 2025.

M & A Securities Sdn Bhd ialah Penasihat, Penaja, Pengunderait Utama, Pengunderait Bersama dan Ejen Penempatan Bersama, manakala CGS International Securities Malaysia ialah Pengunderait Bersama dan Ejen Penempatan Bersama bagi urus niaga IPO ini.