Cara Syarikat Di Malaysia Lari Cukai (Sila Jangan Tiru)

Seksyen 77A(1) Akta Cukai Pendapatan menetapkan tiap-tiap syarikat, badan amanah atau koperasi supaya menghantar borang cukai dalam tempoh 7 bulan selepas penutupan tempoh perakaunan.

Tahniah kepada mereka yang patuh menghantar borang setiap tahun. Kepada yang masih belum patuh, kami doakan semoga anda cepat-cepat kantoi. Ops!

Peringatan : Artikel kali ini ditulis bukan nak mengajar pembaca cara lari cukai, tetapi ambil iktibar supaya tidak ‘dicekup’ oleh pegawai Lembaga Hasil dalam Negeri Malaysia (LHDN) dan dikenakan penalti yang tinggi.

Hasil sembang-sembang dengan kawan-kawan di firma audit, berikut merupakan cara yang digunapakai oleh syarikat di Malaysia untuk kurangkan bayaran cukai. Mereka ni jenis yang hantar borang cukai tetapi ‘berusaha’ untuk kurangkan bayaran cukai.

1. Buat Syarikat Banyak-Banyak

Sekarang kita dah kembali ke zaman SST menggantikan GST. Bagi cukai SST, ia adalah sejenis cukai yang dikenakan ke atas harga pengeluaran dari kilang.

Syarikat yang semakin membesar biasanya akan sengaja buat tax planning dengan menubuhkan beberapa anak syarikat (subsidiari) dengan niat untuk mengurangkan bayaran cukai.

Syarikat pengilang akan berusaha kurangkan kos di peringkat awal supaya cukai SST yang dibayar adalah rendah. Tetapi dalam masa sama, ia mempunyai syarikat-syarikat lain yang berkaitan antara satu sama lain dan mengambil kesempatan dengan menaikkan kembali harga barang.

Contohnya : Apabila produk telah dikeluarkan, syarikat pengilang A jual kepada syarikat pemasaran B (subsidiari) dengan harga RM20,000.

Kemudiannya, produk tadi akan dijual ke dalam pasaran dengan harga yang lebih tinggi, katakan RM70,000. Jadi, cukai SST yang dikenakan adalah atas RM20,000 bukannya RM70,000.

Syarikat pengilangan A akan dikenakan cukai pendapatan syarikat 18% ke 24% (mengikut modal berbayar syarikat) ke atas kadar untung bersih yang lebih kecil. Yelah, dah dia jual murah-murah je dekat syarikat pemasaran B, sah-sah untung pun lebih kecil.

Syarikat pemasaran B yang ditubuhkan oleh pengilang A tu pula untung dah jadi tinggi . Tapi dia boleh kurangkan cukai dengan tinggikan belanja. Itu kalau dia buat 1 syarikat pemasaran. Kalau 10? Akhirnya tauke kilang A juga yang untung besar.

2. Kaedah-Kaedah Klasik (illegal)

Kaedah klasik yang masih diamalkan adalah seperti :

  • Palsukan perbelanjaan (Contoh : tuntut kos renovasi ofis, walhal itu resit-resit kerja renovasi rumah pengarah)
  • Palsukan pembelian (Contoh : reka invois pembelian palsu dan duit akhirnya masuk ke akaun pengarah syarikat)
  • Beli aset atas nama syarikat (sebenarnya untuk kegunaan peribadi)
  • Aset syarikat dah jual tetapi masih tuntut Elaun Modal

3. ‘Beli’ Barang/Stok Dari Luar Negara

Ini pun kategori memalsukan belian tetapi advance sikit. Konon syarikat beli barang dari luar negara tetapi itu pun syarikat dia jugak. Jenis ni memang confident pihak LHDN takkan check entiti luar negara.

4. Buat 2 Set Akaun

Cara ni agak agresif. Syarikat akan buat 1 set akaun yang betul dan 1 lagi set akaun yang ada unsur penipuan. Yang akan dilapor kepada pihak LHDN sudah tentu set akaun yang tak betul tadi. Di zaman yang serba moden ni kami tak terkejut kalau ada perisian perakaunan yang mampu buat benda ni secara automatik.

.

..

Ops, cukuplah buat masa ini, nanti kami tambah lagi.

Akhir kata, hayati lah pepatah lama, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga..

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ada Gaji Tetap Tapi Buat Side Income? Jangan Terkejut Jika Terima Notis CP500 Dari LHDN

Ramai yang mempunyai gaji tetap beranggapan urusan cukai mereka telah selesai kerana majikan sudah membuat potongan cukai bulanan (PCB) setiap bulan. Namun, keadaan berbeza apabila seseorang individu mempunyai pendapatan tambahan selain gaji.

Antara pendapatan sampingan yang sering diterima rakyat Malaysia termasuk:

  • Pendapatan sewa rumah/homestay
  • Bisnes online
  • Grab/Food Panda rider
  • Content creator
  • Komisen jualan
  • Ejen insurans/takaful
  • Ejen hartanah

Jika anda mempunyai pendapatan seperti ini, anda mungkin akan menerima Notis CP500 daripada LHDN.

Apa Itu CP500?

CP500 ialah arahan bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN kepada individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian.

Secara mudahnya, LHDN menganggarkan cukai yang perlu dibayar berdasarkan rekod tahun-tahun terdahulu dan membenarkan bayaran dibuat secara ansuran setiap dua bulan.

Daripada menunggu sehingga hujung tahun dan membayar sekaligus, sistem CP500 membantu menyebarkan beban pembayaran sepanjang tahun.

Kenapa Pekerja Bergaji Tetap Boleh Terima Notis CP500?

Ramai menyangka CP500 hanya untuk peniaga sepenuh masa.

Hakikatnya, seorang pekerja bergaji juga boleh menerima CP500 jika mempunyai pendapatan sampingan yang signifikan.

Sebagai contoh:

Ahmad bekerja sebagai jurutera dan menerima gaji RM8,000 sebulan. Pada masa sama, beliau memperoleh RM3,000 sebulan daripada sewaan sebuah apartmen. Walaupun PCB telah dipotong daripada gajinya, pendapatan sewa tersebut tidak tertakluk kepada PCB. Oleh itu, LHDN boleh mengeluarkan CP500 bagi memastikan cukai ke atas pendapatan sewa itu dibayar secara berperingkat.

CP500 Bukan Cukai Tambahan

Salah faham yang sering berlaku ialah ramai menganggap CP500 sebagai cukai tambahan.

Sebenarnya tidak.

Bayaran CP500 hanyalah bayaran pendahuluan terhadap cukai yang bakal dikira apabila anda mengemukakan borang cukai pendapatan.

Jika jumlah CP500 yang dibayar melebihi cukai sebenar, lebihan tersebut boleh dituntut semula. Jika tidak mencukupi, baki cukai perlu dijelaskan.

Musim Borang B: Semak Jika Anda Ada CP500

Bersempena musim penghantaran Borang B, individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian disarankan untuk menyemak MyTax masing-masing.

Ramai pembayar cukai hanya menyedari kewujudan CP500 selepas menerima peringatan atau notis tunggakan.

Lebih baik mengetahui lebih awal dan merancang aliran tunai berbanding berdepan cukai yang besar secara mengejut.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Menerima Notis CP500?

Apabila menerima notis CP500, anda perlu memberi perhatian kepada tiga perkara utama:

  • Membuat bayaran cukai secara ansuran setiap dua bulan.
  • Membayar jumlah yang dinyatakan dalam notis CP500.
  • Memastikan bayaran dibuat sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Ramai pembayar cukai menyimpan notis tersebut tanpa mengambil sebarang tindakan kerana menyangka ia sekadar makluman biasa. Hakikatnya, CP500 adalah jadual bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN dan memerlukan tindakan daripada penerima notis.

Jika anda tidak bersetuju dengan jumlah yang ditetapkan atau menjangkakan pendapatan anda jauh berbeza daripada tahun sebelumnya, anda boleh menghubungi LHDN untuk mendapatkan penjelasan lanjut atau membuat semakan yang bersesuaian.

Bagaimana LHDN mengetahui anda mempunyai pendapatan tambahan? Secara umumnya, CP500 ditentukan berdasarkan maklumat yang telah dilaporkan dalam borang cukai tahun-tahun terdahulu. Dengan pelaksanaan e-Invois yang semakin meluas, data transaksi yang direkodkan juga dijangka membantu meningkatkan ketepatan maklumat percukaian pada masa hadapan.

Terlepas Bayar CP500, Ada Penalti?

Ya. Jika bayaran CP500 tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan, penalti lewat bayar boleh dikenakan oleh LHDN.

Namun bagi Tahun Taksiran 2026, LHDN memberikan pengecualian penalti kepada individu yang mempunyai pendapatan penggajian serta pendapatan bukan penggajian yang menyebabkan notis CP500 dikeluarkan, termasuk pendapatan seperti sewa, faedah dan royalti.

Artikel The Star juga menekankan bahawa kelayakan bergantung kepada jenis pendapatan dan profil pembayar cukai, bukan sama ada penerima CP500 kali pertama atau tidak.

Langkah ini diperkenalkan bagi membantu kumpulan tersebut menyesuaikan diri dengan pelaksanaan sistem CP500 sepanjang tempoh peralihan.

Contoh:

Ahmad bekerja makan gaji dan PCB dipotong setiap bulan. Pada masa sama, beliau menerima pendapatan sewa rumah. Oleh sebab pendapatan sewa tidak tertakluk kepada PCB, Ahmad menerima notis CP500.

Sekiranya Ahmad tidak membuat bayaran ansuran CP500 pada Tahun Taksiran 2026, beliau tidak akan dikenakan penalti 10% di bawah Seksyen 107B(3) Akta Cukai Pendapatan.

Namun begitu, cukai yang masih belum dibayar tetap perlu dijelaskan apabila beliau mengemukakan borang cukai pendapatan kelak.

Ringkasnya, yang dikecualikan adalah penalti, bukannya cukai.

Baca lagi KONSESI PENGENAAN PENALTI KE ATAS NOTIS BAYARAN ANSURAN (CP500) BAGI INDIVIDU YANG MENERIMA PENDAPATAN PENGGAJIAN

Kesimpulan

Mempunyai pendapatan sampingan sememangnya satu perkara yang baik kerana ia membantu meningkatkan pendapatan. Namun begitu, jangan lupa bahawa setiap pendapatan juga datang bersama tanggungjawab percukaian.

Jika anda mempunyai pendapatan selain gaji, luangkan sedikit masa untuk memahami CP500. Ia bukan hukuman, bukan juga cukai tambahan, tetapi mekanisma yang membantu pembayar cukai mengurus bayaran cukai dengan lebih teratur sepanjang tahun.