Cara Memfailkan Cukai Pendapatan Individu Buat Kali Pertama

Jika anda baru sahaja bekerja, dan langsung tidak tahu cara nak melaporkan pendapatan kepada LHDN, berikut ialah panduan berguna memfailkan pendapatan anda buat kali pertama.

Sebelum itu, anda harus terlebih dahulu menentukan sama ada anda layak atau tidak untuk menjadi bakal pembayar cukai.

Siapa yang perlu memfailkan cukai pendapatan?

Menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), individu warganegara Malaysia mesti mendaftarkan fail cukai jika mereka memperoleh pendapatan penggajian tahunan sebanyak RM34,000 (selepas potongan KWSP).

Selain daripada itu, siapa lagi individu yang perlu memfailkan cukai pendapatan?

  • Mereka yang menjalankan perniagaan (walaupun perniagaan mengalami kerugian).
  • Individu yang menjual / membeli hartanah (flipping).
  • Individu yang makan komisen (ejen MLM, Coway, Cuckoo, Takaful, Unit Trust).
  • Individu yang membuat rumah sewa / homestay.

Macam mana pula kalau saya ada pendapatan dari rumah sewa di luar negara? Untuk mereka yang mempunyai pendapatan yang diperolehi di luar Malaysia, buat masa ini ianya tidak dikenakan cukai.

*Walaupun dalam bajet 2022 ada disebut supaya cukai pendapatan dikenakan kepada pemastautin di Malaysia ke atas pendapatan yang terbit daripada sumber luar negara dan diterima di Malaysia mulai 1 Jan 2022, namun akhirnya ianya dibatalkan.

Jika pendapatan penggajian tahunan anda melebihi angka itu, anda perlu melakukan dua perkara: daftarkan diri sebagai pembayar cukai kepada LHDN, dan kemudian daftar untuk e-Filing, iaitu platform pemfailan cukai pendapatan dalam talian yang disediakan oleh LHDN.

Semak langkah-langkah yang perlu anda ambil semasa mendaftar untuk cukai pendapatan di Malaysia buat kali pertama.

  1. Semakan Nombor Cukai Pendapatan Individu

    Jika rasa-rasa macam pernah ada nombor cukai, boleh buat semakan di sini.
  2. Gunakan e-Daftar dan daftar sebagai pembayar cukai

    Jika dah buat semakan dan ternyata anda belum ada nombor cukai, untuk memulakan proses mendaftar sebagai pembayar cukai, pergi ke laman web e-Daftar LHDN, di mana anda boleh menjalankan proses dalam talian dengan mudah. Anda perlu memuat naik salinan digital IC untuk berfungsi sebagai dokumen sokongan.

    Anda perlu menunggu kira-kira tiga hari untuk pihak LHDN memproses dan meluluskan permohonan anda. Setelah diluluskan, anda akan menerima e-mel yang mengandungi nombor cukai pendapatan anda. Sebagai alternatif, anda boleh menyemak di pautan yang kami berikan di atas tadi – melalui e-Daftar.
  3. Dapatkan PIN untuk pendaftaran e-Filing

    Memandangkan anda telah berdaftar sebagai pembayar cukai, tiba masanya untuk mendaftar untuk e-Filing di platform ezHASiL. Pendaftaran untuk e-Filing adalah perlu kerana di sinilah anda akan memfailkan penyata anda dalam talian sebagai pembayar cukai rasmi.

    Untuk mendaftar atau log masuk ke e-Filing anda buat kali pertama, anda akan memerlukan PIN. Untuk mendapatkannya, anda boleh memilih sama ada untuk pergi ke pejabat LHDN berhampiran, atau memohon online melalui laman web Maklum Balas Pelanggan LHDN.

    Jika anda memohon PIN anda melalui tapak web Maklum Balas Pelanggan LHDN, berikut ialah beberapa langkah yang perlu anda ambil:

    a. Klik pada “Permohonan”, diikuti dengan “Permohonan Nombor PIN e-Filing” di menu sebelah kiri.
    b. Klik pada “Borang CP55D” dan isikan borang PDF.
    c. Klik pada “Seterusnya”.
    d. Isikan maklumat yang diperlukan, dan jangan lupa untuk memuat naik semua dokumen yang diperlukan (terutama Borang CP55D dan salinan digital IC).
    e. Hantar

    *Proses verifikasi ini nampak sedikit melecehkan. Cadangan kami adalah supaya pihak LHDN boleh membuat proses yang lebih mudah dan cepat.
  4. Lengkapkan log masuk kali pertama


    Masuk ke laman Web ezHasil. Pilih Login Kali Pertama. Masukkan No PIN dan No Kad Pengenalan.


    Isikan butiran seperti tarikh lahir, alamat, nombor telefon dan juga kata laluan. Adalah penting untuk mengingati kata laluan supaya anda boleh log masuk ke e-Filing nanti.

    Nombor PIN sebelum ini untuk sekali guna sahaja. Selepas ini kita hanya perlu menggunakan kata laluan yang ditetapkan tadi.
  5. Log masuk ke e-Filing

    Setelah anda melengkapkan langkah di atas, log masuk semula ke e-Filing dan sediakan frasa keselamatan. Ini ialah lapisan keselamatan kedua (sama seperti bank gunakan).

    Seperti sebelum ini, log masuk dengan nombor IC, dan bukannya PIN anda, gunakan kata laluan yang baru dibuat sebentar tadi. Sistem akan prompt memberitahu bahawa anda belum lagi menyediakan frasa keselamatan.
  6. Isikan e-Borang

    Tahniah. Anda telah berjaya mendaftar sebagai pembayar cukai, membuka akaun untuk e-Filing dan menyelesaikan prosedur log masuk kali pertama. Jika anda makan gaji dan tiada pendapatan perniagaan, pilih e-BE. Jika ada punca perniagaan seperti bisnes online, e-hailing dan sebagainya pilih e-B.

Cara isi borang di e-Filing

Proses mengisi e-Filing boleh dijalankan dengan mengikuti langkah-langkah berikut:

  • Layari portal https://ez.hasil.gov.my dan pada bahagian ‘Log Masuk’, sila isi segala maklumat yang diperlukan kemudian klik ‘Hantar’.
  • Sila klik pada ‘e-Borang’, dan anda akan dipaparkan dengan senarai borang-borang cukai pendapatan. Pastikan anda pilih e-Borang yang betul. Bagi individu warganegara Malaysia dengan punca pendapatan tanpa perniagaan, pilihlah borang e-BE.
  • Paparan pertama pada borang adalah ‘Maklumat Diri’. Sila semak semua maklumat yang dinyatakan dan pastikan betul. Jika anda ingin pastikan lebihan bayaran cukai dimasukkan terus ke akaun bank anda, sila isi nama bank dan nombor akaun. Lebihan bayaran akan diberikan secara baucar sekiranya tiada nombor akaun bank.
  • Pada ruangan kedua, anda perlu isi jumlah semua pendapatan yang diperoleh bagi tahun taksiran yang berkenaan. Ini termasuklah pendapatan penggajian, dividen, sewa, faedah, diskaun, royalti, premium, pencen, anuiti, bayaran berkala lain dan apa-apa perolehan dan keuntungan lain.
  • Jika majikan ada membuat Potongan Cukai Berjadual (PCB) untuk anda, boleh semak di ruangan ini; pastikan betul sepertimana dinyatakan dalam Borang EA yang diberikan majikan.
  • Pada ruangan ketiga, anda boleh mengisi perbelanjaan-perbelanjaan yang dibenarkan untuk pelepasan, pengecualian dan rebat cukai. Bagi senarai lengkap pelepasan yang boleh dipohon, anda boleh rujuk kepada artikel khas kami di blog ini. Pastikan semua resit atau bukti pembayaran disimpan dengan baik.
  • Selepas semua maklumat diisi, pada ruangan ‘Rumusan’, sistem akan secara automatik mengira jumlah cukai yang dikenakan, jumlah cukai yang telah dibayar (PCB) dan cukai perlu bayar/lebihan cukai untuk bayaran balik.
  • Sekiranya jumlah cukai yang dikenakan lebih besar daripada PCB, maka anda perlu buat bayaran untuk jumlah yang masih belum cukup tersebut. Sekiranya jumlah PCB lebih besar daripada jumlah cukai yang dikenakan, maka LHDN akan buat bayaran balik lebihan cukai kepada anda.
  • Di halaman ‘Akuan’, anda boleh pilih sama ada untuk mencetak draf borang dalam bentuk PDF, menghantar eBorang atau kembali ke halaman sebelumnya. Sekiranya anda sudah berpuas hati dengan borang yang diisi, sila klik ‘Tandatangan & Hantar’.
  • Masukkan No Pengenalan dan Kata Laluan yang tepat untuk menghantar borang yang telah diisi

Sekiranya perlukan panduan yang lebih lanjut, anda boleh muat turun panduan di sini. Baca juga Cara Mudah Isi Pelepasan Cukai LHDN Yang Ramai Abaikan

Previous ArticleNext Article

10 Produk Makanan Masa Depan: Kesan Daripada Pengecualian Cukai Baharu

Kerajaan mencadangkan pengecualian cukai pendapatan 100% ke atas pendapatan berkanun selama 10 tahun bagi syarikat yang melaksanakan projek baharu pengeluaran bahan makanan, dengan tempoh permohonan dilanjutkan hingga 31 Disember 2030. Bagi syarikat sedia ada yang membuat projek pembesaran, pengecualian 100% selama 5 tahun turut ditawarkan. Pengumuman ini dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) di bawah Tekad 5: Memperkukuh Ketahanan Negara di Dewan Rakyat.

Langkah ini dilihat bukan sekadar insentif kewangan tetapi berpotensi mencetuskan gelombang inovasi dan teknologi dalam sektor pertanian negara.

Berikut adalah 10 contoh produk dan inovasi menarik yang kami jangka akan lahir hasil daripada dasar ini:

1. Ladang Tertutup Pintar (Smart Closed Farm)

Kandang atau reban yang dikawal sepenuhnya oleh sensor dan sistem automatik.

Contoh: Syarikat ternak ayam buat reban tertutup automatik — suhu, cahaya & kipas dikawal oleh sensor. Kalau panas, kipas hidup sendiri.

Kesan: Ayam cepat membesar, kurang mati, kurang bau dan data boleh dipantau dari telefon.

Bagaimana pelepasan cukai membantu?

  • Penternak boleh gunakan galakan cukai projek baharu ini untuk melabur dalam projek automasi (sensor, kipas dan controller reban, auto-feeder, pembersih lantai).

Kesan kepada pengguna:

  • Bila kadar kematian rendah, kos pengeluaran per kg menurun maka potensi harga ayam runcit menjadi lebih murah dalam jangka sederhana (masih bergantung kepada kos logistik dan dasar harga siling).

2. Vertical Farm / Greenhouse Bandar

Tanam sayur secara bertingkat dalam bangunan tertutup (guna LED & baja cecair).

Contoh: Startup dekat Shah Alam buat farm dalam kontena, tanam salad dan herba premium untuk hotel.

Kesan: Tanam sepanjang tahun tanpa gangguan cuaca; hasil lebih konsisten & mesra bandar.

3. Protein Alternatif & Makanan Ternakan daripada Serangga

Guna larva lalat BSF (black soldier fly) sebagai makanan ayam/ikan menjadi sumber protein yang murah dan mampan.

Contoh: Kilang kecil proses sisa makanan jadi makanan larva BSF, kemudian jual semula larva kering ke ladang ayam.

Kesan: Kurangkan kebergantungan kepada dedak import.

Laporan Bernama (25 Jul 2022) & Astro Awani (26 Jul 2022) pernah menyebut tentang kerjasama penyelidik Universiti Malaya × Ain Aquaculture di Kampung Gajah, Pengkalan Chepa (Kelantan); projek penternakan BSF yang bermula tahun 2020 dengan kos awal sekitar RM10,000 sebagai usaha mengurangkan kebergantungan pada sumber import seperti jagung bijian dan soya.

4. Rantaian Sejuk (Cold Chain) Pintar

Sistem simpanan dan penghantaran bahan makanan dengan kawalan suhu automatik.

Contoh: Lori ikan laut dalam dipasang sensor suhu & GPS. Kalau suhu naik, HQ terus dapat amaran.

Kesan: Kurang pembaziran makanan, kualiti kekal segar dari laut ke kedai.

5. Biofertilizer & Biopestisid Tempatan

Baja dan racun organik yang dibuat daripada mikrob atau bahan semula jadi.

Contoh: Syarikat guna sisa kelapa sawit untuk hasilkan baja mikrob aktif untuk sayur-sayuran organik.

Kesan: Kurangkan penggunaan bahan kimia import dan lebih mesra alam.

6. Jejak Halal & Kebolehkesanan (Traceability)

Sistem QR code pada produk untuk sahkan asal-usul bahan makanan.

Contoh: Beli ikan beku, scan QR → keluar info ‘diternak di Johor, dituai 5 Oktober 2025, disimpan pada -18°C’.

Kesan: Tingkatkan keyakinan pengguna dan potensi eksport halal.

7. Agri-Automation-as-a-Service (Sewa Teknologi Pertanian)

Ladang kecil boleh sewa atau langgan servis automasi tanpa perlu beli mesin mahal.

Contoh: Syarikat drone datang sembur baja dan racun secara automatik, ladang cuma bayar ‘per ekar’.

Kesan: Teknologi sampai ke petani kecil tanpa modal besar.

8. Produk Makanan Sedia Makan (Ready-to-Eat) Tempatan

Produk siap masak tapi dibuat daripada bahan mentah tempatan sendiri.

Contoh: Ladang ayam keluarkan nasi lemak ayam kampung sejuk beku – semua bahan dari ladang sendiri.

Kesan: Rantaian nilai lebih panjang, keuntungan lebih tinggi.

9. Benih & Varieti Premium Tempatan

Benih tempatan yang tahan penyakit dan sesuai dengan iklim Malaysia.

Contoh: Usahawan R&D hasilkan benih cili ‘Kampung King’ – tahan panas & cepat berbuah.

Kesan: Petani tak perlu bergantung kepada benih import.

10. Pusat Latihan & Data Agronomi

Tempat petani belajar guna teknologi & kongsi data hasil tanaman.

Contoh: ‘Agri Tech Lab’ ajar guna sensor tanah dan tunjuk data hasil purata untuk banding prestasi ladang.

Kesan: Produktiviti meningkat sebab petani belajar dari data sebenar.

Dasar pengecualian cukai ini membuka ruang untuk transformasi menyeluruh dalam ekosistem makanan negara. Jika digerakkan dengan betul, Malaysia boleh jadi peneraju dalam inovasi agro-teknologi Asia Tenggara.

Baca juga :