Pindaan Borang Nyata (BE) Tanpa Penalti Berakhir 30 April 2022

Ramai yang berlumba-lumba untuk melaporkan pendapatan mereka bagi Tahun Taksiran 2021 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) mengikut tempoh yang telah ditetapkan iaitu mulai 1 Mac hingga 30 April 2022. Bagi yang mengemukakan e-Filing, tambahan masa diberikan sebanyak 15 hari iaitu sehingga 15 Mei 2022.

Tempoh tersebut bagi pembayar cukai pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan. Selain daripada ingin patuh kepada undang-undang percukaian, pembayar cukai juga menghantar e-Filing untuk mendapatkan bayaran balik apabila Potongan Cukai Bulanan (PCB) yang dipotong oleh majikan melebihi cukai yang sepatutnya dibayar.

Lapor pendapatan secara e-Filing memberi peluang kepada pembayar cukai menerima bayaran balik
sekiranya Potongan Cukai Bulanan oleh majikan melebihi cukai yang sepatutnya dibayar.

Bayaran balik akan dipindahkan ke akaun bank berdaftar dengan HASiL sekiranya mereka menuntut perbelanjaan yang telah dilakukan pada Tahun 2021 sebagai pelepasan cukai yang layak. Perbelanjaan tersebut perlu disokong oleh resit atau dokumen sokongan serta perlu disimpan selama tujuh tahun.

Keterujaan pembayar cukai untuk mengemukakan e-Filing secepat yang mungkin tanpa menyemak terlebih dahulu maklumat yang dilaporkan boleh mengakibatkan laporan yang dihantar adalah tidak tepat dan memerlukan pindaan. Benarkah pindaan masih boleh dibuat ke atas borang cukai yang telah dihantar?

Sudah tentu boleh. HASiL membenarkan pembayar cukai untuk membuat pindaan ke atas Borang Nyata (BN) atau e-Filing yang telah dihantar. Jika tidak mahu dikenakan penalti, pastikan pindaan dibuat dalam tempoh pengemukaan Borang Nyata mengikut kategori pembayar cukai. Mereka yang menghantar Borang BE, pindaan perlu dibuat sebelum 1 Mei 2022. 

Prosedur Pindaan Borang Nyata atau e-Filing

Pindaan ke atas taksiran cukai yang telah dilaporkan atau dibangkitkan ini perlulah mengikut prosedur. Pastikan semak terlebih dahulu jenis pindaan yang ingin dibuat sama ada pendapatan terlebih, terkurang atau langsung tiada pendapatan dilaporkan. Pindaan tanpa penalti hanya terpakai sekiranya ia dibuat sebelum 1 Mei 2022. Kaedah pindaan adalah bergantung kepada situasi. 

Situasi 1: Sekiranya pembayar cukai telah mengemukakan e-Filing di dalam tempoh yang ditetapkan dan telah TERLEBIH lapor pendapatan atau TERKURANG tuntut pelepasan dalam Borang BE yang asal, pindaan boleh dibuat secara dalam talian menerusi e-Permohonan pindaan BE yang telah dibuka pada 1 April 2022 di https://mytax.hasil.gov.my. 

Pindaan boleh dibuat secara dalam talian menerusi e-Permohonan pindaan BE yang telah dibuka pada 1 April 2022 di https://mytax.hasil.gov.my.

Sebagai contoh bagi Situasi 1 ini apabila Aida (bukan nama sebenar) telah melaporkan pendapatan penggajiannya sebanyak RM550,000 dalam e-BE Tahun Taksiran 2021 pada 1 Mac 2022. Kesilapan hanya disedari beberapa hari kemudian apabila pendapatannya yang sebenar ialah RM450,000. Aida masih boleh mengemukakan pindaan dan memuatnaik dokumen sokongan menerusi e-Permohonan Pindaan BE. 

Situasi 2: Bagi pembayar cukai yang TERKURANG lapor pendapatan atau TERLEBIH tuntut pelepasan di dalam Borang BE asal, pindaan perlu dilakukan secara manual dengan mengemukakan surat makluman terperinci tentang kesilapan yang dilakukan bersama-sama dokumen sokongan berkaitan ke Cawangan yang mengendalikan fail cukai pendapatan mereka atau menerusi Borang Maklumbalas Pelanggan HASiL sebelum 1 Mei 2022. 

Pindaan Luar Tempoh Dikenakan Penalti

Selepas 1 Mei 2022, pindaan (bersama penalti) akan menggunakan Borang Nyata Terpinda (BNT) Tahun Taksiran 2021 yang disediakan di Portal Rasmi HASiL mulai 1 Mei 2022 bagi pembayar cukai yang ingin membuat pindaan sendiri ke atas maklumat atau taksiran yang tersilap lapor dalam Borang Nyata seperti:

  • Pendapatan terkurang / tidak lapor;
  • Perbelanjaan / tuntutan lain terlebih tuntut; atau
  • Elaun modal / insentif / pelepasan yang terlebih tuntut.

BNT perlu dikemukakan dalam tempoh 6 bulan dari tarikh yang ditetapkan dalam Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 bagi pengemukaan Borang Nyata (BN) asal termasuk yang dihantar secara e-Filing di dalam tempoh yang ditetapkan. 

BNT boleh dikemukakan ke Cawangan yang mengendalikan fail sama ada secara serahan tangan atau melalui pos. Maklumat lanjut di Portal Rasmi HASiL > Perundangan > Garis Panduan > Garis Panduan Bil. 1 Tahun 2020: Prosedur Pengemukaan Borang Nyata Terpinda.

Sekiranya pindaan dibuat selepas tempoh enam bulan dari tarikh pengemukaan Borang Nyata, penggunaan Borang Nyata Terpinda tidak lagi dibenarkan dan rayuan secara manual perlu dibuat terus ke Cawangan yang mengendalikan fail.

Pindaan Boleh Akibatkan Perubahan Taksiran Cukai

Taksiran cukai boleh berubah akibat daripada pindaan yang dibuat. Seseorang yang pada asalnya tidak dikenakan cukai boleh dikenakan cukai. Cukai tambahan juga mungkin dikenakan sehingga tidak layak menerima bayaran balik walaupun pada asalnya mereka layak.

Pastikan setiap dokumen perbelanjaan bagi tujuan cukai direkodkan dengan baik dan seterusnya membuat kiraan terlebih dahulu sebelum menghantar e-Filing. Bukan itu sahaja, bagi mereka yang telah berkahwin dan memilih untuk menghantar Borang Nyata secara berasingan, pastikan untuk bandingkan terlebih dahulu pelepasan-pelepasan yang ingin dituntut bersama terutamanya yang melibatkan pelepasan anak.

Urus Cukai dengan Bijak

Lengkapkan dan sediakan dokumen yang secukupnya, itu cara bijak untuk mengurus cukai pendapatan terutamanya yang melibatkan pelepasan-pelepasan cukai yang boleh dituntut bagi perbelanjaan yang telah dibuat pada tahun 2021. Pastikan semuanya berada di dalam keadaan yang tersusun dan mudah dirujuk bagi memudahkan urusan percukaian.

Pembayar cukai diingatkan untuk menyediakan rekod percukaian dengan baik sama ada bagi pendapatan yang diterima mahupun perbelanjaan yang telah dilakukan pada setiap tahun taksiran dibuat. Tujuannya adalah untuk memudahkan pembayar cukai membuat rujukan ketika melaporkan setiap jenis pendapatan yang diterima bagi tahun taksiran tertentu selain daripada menuntut perbelanjaan yang boleh ditolak sebagai pelepasan cukai.

Semak terlebih dahulu semua maklumat yang dilaporkan dalam Borang Nyata sebelum dihantar kepada HASiL bagi mengelakkan kesilapan. Selain daripada mengurangkan risiko berlakunya kesilapan yang tidak disengajakan dalam taksiran cukai yang telah dihantar, pembayar cukai juga boleh mengurangkan risiko untuk diaudit sekiranya maklumat yang diberikan adalah meragukan. Maklumat lanjut di www.hasil.gov.my.

Nota: Artikel ini disumbangkan oleh Bahagian Perhubungan Awam dan Multimedia, Jabatan Khidmat Korporat, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia.

Banyak perkara yang perlu anda ambil tahu sebelum memiliki rumah. 


InshaAllah, kami berhasrat untuk berkongsi ilmu yang kami ada mengenai hartanah kepada pembaca setia Majalah Labur.

Kunci pertama sebelum beli rumah adalah ilmu, ilmu dan ilmu. 

Lebih awal belajar, lebih cepat dapat menilai sesebuah rumah.Jika berminat boleh isi borang .

ILMU PREMIUM HARTANAHSEKARANG!

Previous ArticleNext Article

10 Kesilapan Isi e-Filing Yang Ramai Orang Selalu Buat

Setiap kali musim e-Filing, ramai antara kita akan buka MyTax, masukkan maklumat gaji, tuntut pelepasan cukai dan tekan butang “Hantar”.

Nampak mudah. Tapi betul ke semua maklumat dah diisi dengan tepat?

Ada yang tersalah pilih borang. Ada yang terlupa masukkan bonus. Ada juga yang tak lapor pendapatan sewa sebab ingat dah ada potongan PCB, jadi tak perlu risau lagi.

Kesilapan macam ini mungkin nampak kecil, tetapi boleh menyebabkan kita terlepas pelepasan cukai, lambat menerima bayaran balik atau terpaksa membayar cukai tambahan.

Jom semak 10 kesilapan yang patut kita elakkan.

1. ❌ Tersalah pilih Borang B atau Borang BE

Ini antara perkara asas yang ramai pembayar cukai perlu faham.

Borang BE digunakan oleh individu pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan, manakala Borang B digunakan oleh individu pemastautin yang menjalankan perniagaan.

Contohnya, Ali bekerja makan gaji dengan pendapatan tahunan RM72,000. Pada masa yang sama, dia menjalankan perniagaan menjual pakaian secara dalam talian (TikTok Shop, Shopee) dan memperoleh keuntungan bersih RM20,000 setahun.

Ali tidak boleh memilih Borang BE semata-mata kerana dia juga mempunyai pekerjaan tetap. Dia perlu menggunakan borang yang sesuai dengan keadaan pendapatannya.

Jika tersalah menghantar Borang BE, maklumat pendapatan perniagaannya mungkin tidak dilaporkan melalui borang yang sepatutnya.

Kesannya, Ali mungkin perlu mendapatkan panduan HASiL untuk membetulkan pelaporan cukainya.

Penting juga untuk diingat bahawa pendapatan sewa atau pendapatan sampingan tidak secara automatik bermaksud seseorang perlu menggunakan Borang B. Penentuan bergantung pada sifat pendapatan dan sama ada individu itu menjalankan perniagaan bagi tujuan cukai.

2. ❌ Tertinggal bonus ketika mengisi pendapatan penggajian

Katakan pendapatan penggajian seseorang sepanjang tahun ialah RM80,000, terdiri daripada:

  • Gaji tahunan: RM72,000
  • Bonus: RM8,000

Tetapi ketika mengisi e-Filing, dia hanya memasukkan RM72,000 dan terlupa memasukkan bonus.

Akibatnya, pendapatan penggajian terkurang lapor sebanyak RM8,000.

Jika tambahan pendapatan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM8,000 × 19% = RM1,520

Jumlah sebenar bergantung pada pendapatan bercukai keseluruhan, pelepasan, rebat dan kadar cukai progresif.

Sebab itu, semak Borang EA atau EC dan pastikan jumlah pendapatan penggajian merangkumi gaji, bonus serta saraan bercukai lain yang berkaitan.

Dah hantar e-Filing? Jangan hantar borang baharu untuk tahun taksiran yang sama. Semak kaedah pindaan yang sesuai dengan HASiL kerana kesilapan ini melibatkan pendapatan terkurang lapor.

3. ❌ Tersalah pilih “Ya” untuk cukai ditanggung oleh majikan

Ada yang keliru antara cukai ditanggung majikan dengan Potongan Cukai Bulanan (PCB).

Ruangan “Cukai ditanggung oleh majikan” merujuk kepada keadaan majikan menanggung cukai pendapatan pekerja mengikut aturan pekerjaan. Ia bukan sekadar bermaksud majikan memotong PCB daripada gaji.

Bayangkan seorang pekerja sepatutnya menerima bayaran balik RM2,000, tetapi tersalah memilih “Ya” walaupun cukai sebenarnya ditanggung sendiri.

Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh sementara maklumat disemak.

Isu ini pernah mendapat perhatian pada Mac 2026 apabila HASiL menjelaskan tindakan bagi kes pembayar cukai Tahun Taksiran 2025 yang tersilap memilih ruangan tersebut. Bagi kes yang disahkan, pembayar cukai tidak perlu meminda borang dan bayaran balik akan diproses secara berperingkat.

Jadi, jangan klik secara automatik. Fahami maksud setiap ruangan sebelum menghantar borang.

4. ❌ Tuntut Pelepasan Cukai untuk Perbelanjaan yang Sudah Dibayar oleh Majikan

Ramai tak sedar, bukan semua perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai boleh dituntut begitu sahaja, terutamanya apabila kos tersebut sudah ditanggung oleh majikan.

Contohnya, syarikat menyediakan manfaat perubatan yang menanggung 100% kos rawatan pekerja. Ali menerima rawatan penyakit serius bernilai RM5,000 dan keseluruhan bil dibayar oleh syarikat. Ali kemudian cuba menuntut RM5,000 yang sama sebagai pelepasan cukai perubatan dalam e-Filing.

Ini boleh menjadi kesilapan kerana Ali tidak menanggung sendiri perbelanjaan tersebut.

Apa yang perlu dibuat? Semak syarat khusus bagi setiap kategori pelepasan cukai dan pastikan tuntutan dibuat berdasarkan perbelanjaan yang benar-benar layak dituntut.

Ingat, tuntutan pelepasan cukai bukan sekadar tentang berapa banyak kita berbelanja, tetapi juga sama ada perbelanjaan itu memenuhi syarat yang ditetapkan.

Perbelanjaan perubatan bagi penyakit serius termasuk rawatan dibuat ke atas penyakit seperti sindrom Kurang Daya Ketahanan (AIDS), sindrom Parkinson, barah, penyakit buah pinggang, leukemia dan lain-lain penyakit yang serupa. ‘Lain-lain penyakit yang serupa’ termasuk serangan jantung, pulmonari hypertension, penyakit hati kronik, fulminant viral hepatitis, trauma kepala dengan defisit nurologikal, ketumbuhan otak dan kecacatan kepada pembuluh darah, melepuh dan melecur yang keterlaluan, pemindahan organ utama dan pemotongan kaki dan / atau tangan. Potongan sehingga RM10,000 dibenarkan ke atas amaun yang dibelanjakan untuk rawatan ke atas diri sendiri, pasangan atau anak. Rujuk Nota Penerangan BE

5. ❌ Tuntut pelepasan cukai, tetapi resit tak dapat dicari

Contohnya, seseorang menuntut pelepasan bagi pembelian komputer riba bernilai RM3,000 tetapi tidak dapat mengemukakan bukti pembelian apabila diminta.

Jika tuntutan itu tidak dapat disokong dan akhirnya ditolak, pendapatan bercukainya mungkin meningkat RM3,000.

Pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM3,000 × 19% = RM570

Dia mungkin perlu membayar cukai tambahan RM570, bergantung pada pengiraan cukai sebenar.

Sebab itu, pastikan tuntutan memenuhi syarat dan simpan resit, invois serta dokumen sokongan yang berkaitan.

HASiL secara amnya menetapkan rekod dan dokumen berkaitan cukai perlu disimpan selama tujuh tahun mengikut keperluan undang-undang.

6. ❌ Salah masukkan nombor akaun bank

Katakan seseorang layak menerima bayaran balik cukai sebanyak RM1,800, tetapi tersalah memasukkan nombor akaun bank.

Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh atau memerlukan pengesahan lanjut.

Duit itu tidak semestinya hilang, tetapi pembayar cukai mungkin perlu menghubungi HASiL untuk menyelesaikan masalah tersebut.

7. ❌ Terlupa memasukkan maklumat anak

Ini juga boleh berlaku kepada ibu bapa yang mempunyai beberapa orang anak.

Contohnya, seorang pembayar cukai terlupa menuntut pelepasan anak sebanyak RM2,000 yang sebenarnya layak.

Jika kadar marginal cukainya 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM2,000 × 19% = RM380

Dia mungkin terlepas peluang mengurangkan cukai sebanyak RM380.

Walau bagaimanapun, kelayakan dan jumlah pelepasan bergantung pada syarat yang ditetapkan bagi tahun taksiran berkenaan, termasuk keadaan dan status anak.

Jadi, jangan anggap maklumat yang diisi pada tahun sebelumnya semestinya sudah lengkap untuk tahun semasa.

8. ❌ Tak lapor pendapatan sewa rumah

Ini contoh yang dekat dengan kehidupan ramai pekerja makan gaji.

Amir bekerja dengan pendapatan tahunan RM90,000. Dalam masa yang sama, dia menyewakan sebuah rumah pada harga RM1,200 sebulan.

Pendapatan sewa setahun:

RM1,200 × 12 bulan = RM14,400

Katakan perbelanjaan sewa yang dibenarkan ialah RM3,000. Pendapatan sewa bersih untuk ilustrasi ialah RM11,400.

Jika pendapatan bercukai Amir sebelum mengambil kira pendapatan sewa ialah RM75,000 dan tambahan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM11,400 × 19% = RM2,166

Jumlah sebenar bergantung pada pengiraan pendapatan berkanun sewa, perbelanjaan yang dibenarkan, pelepasan dan kadar cukai progresif.

Jangan anggap pendapatan sewa boleh diabaikan hanya kerana kita sudah mempunyai pekerjaan tetap dan PCB dipotong setiap bulan.

9. ❌ Tak lapor pendapatan freelance atau komisen

Siti bekerja sepenuh masa dan turut melakukan kerja freelance pada hujung minggu.

Sepanjang tahun, dia memperoleh pendapatan freelance bersih sebanyak RM18,000 daripada perkhidmatan reka bentuk dan pengurusan media sosial.

Dia menganggap pendapatan itu tidak perlu dilaporkan kerana bayaran diterima daripada pelanggan secara berasingan daripada gaji.

Jika pendapatan tersebut merupakan pendapatan perniagaan yang perlu dilaporkan, kesilapan ini boleh menyebabkan cukai terkurang dikira.

Dengan andaian keseluruhan RM18,000 itu merupakan tambahan kepada pendapatan bercukainya dan dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM18,000 × 19% = RM3,420

Pengiraan sebenar bergantung pada sifat pendapatan, perbelanjaan yang dibenarkan dan pengiraan cukai keseluruhan.

Perkara yang sama perlu diberi perhatian bagi pendapatan komisen, perniagaan dalam talian dan aktiviti lain yang menghasilkan pendapatan bercukai.

10. ❌ Tak lapor pendapatan luar negara kerana ingat semuanya bebas cukai

Ada orang bekerja di Singapura, kemudian memindahkan gaji ke akaun bank Malaysia. Ada juga yang menjalankan perniagaan melalui eBay.

Persoalannya, adakah semua pendapatan ini automatik bebas cukai di Malaysia?

Jawapannya, tidak semestinya. Layanan cukai bergantung pada jenis pendapatan, sumber pendapatan, status pemastautin cukai dan syarat pengecualian yang berkenaan.

Contohnya, Ali bekerja di Singapura dan menerima gaji SGD5,000 sebulan. Dia memindahkan gajinya ke akaun bank Malaysia. Pemindahan wang itu sahaja tidak bermaksud gajinya automatik dikenakan cukai di Malaysia. Ali lazimnya perlu membayar cukai pendapatan di Singapura kerana dia bekerja secara fizikal di sana.

Sebaliknya, Ali turut menjalankan perniagaan menjual barang melalui eBay. Jika perniagaan itu diuruskan dari Malaysia, keuntungan perniagaan tersebut perlu dinilai berdasarkan peraturan cukai Malaysia dan mungkin perlu dilaporkan dalam e-Filing.

Dah hantar e-Filing tetapi baru sedar ada kesilapan?

Jangan terus panik. Tetapi jangan biarkan kesilapan itu tanpa tindakan.

Langkah pertama ialah kenal pasti jenis kesilapan:

  • Terlupa tuntut pelepasan atau rebat: Semak sama ada pembetulan boleh dibuat melalui saluran pindaan yang dibenarkan.
  • Pendapatan terkurang lapor: Semak kaedah pindaan yang sesuai, termasuk Borang Nyata Terpinda jika memenuhi syarat.
  • Salah pilih ruangan atau maklumat peribadi: Semak dengan HASiL sama ada perlu meminda borang atau mengemas kini maklumat sahaja.
  • Salah maklumat akaun bank: Hubungi HASiL untuk mendapatkan panduan mengemas kini maklumat bayaran balik.

Kaedah pembetulan bergantung pada jenis borang, tahun taksiran, tempoh pindaan dan keadaan kes.

Rujuk panduan rasmi: https://www.hasil.gov.my/individu/pindaan-taksiran/

Kesimpulannya

Mengisi e-Filing bukan sekadar memasukkan angka daripada Borang EA dan menekan butang “Hantar”.

Kita perlu memastikan semua pendapatan yang perlu dilaporkan telah dimasukkan, pelepasan memenuhi syarat dan maklumat peribadi adalah tepat.

Lebih baik semak dua kali sebelum hantar daripada terpaksa membetulkan kesilapan kemudian.

Simpan artikel ini untuk rujukan musim e-Filing dan kongsikan kepada kawan-kawan yang sedang mengisi borang cukai mereka.