Dividen KWSP 2024: Bagaimana Simpanan Shariah Bersaing Dengan Simpanan Konvensional?

  • Pengumuman Dividen KWSP 2024

Pada 1 Mac 2025, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengumumkan kadar dividen bagi tahun 2024 sebanyak 6.30% untuk kedua-dua Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah. Jumlah agihan keseluruhan adalah RM73.24 bilion, dengan RM63.05 bilion diperuntukkan untuk Simpanan Konvensional dan RM10.19 bilion bagi Simpanan Shariah. Pengumuman ini menandakan pencapaian terbaik dividen Simpanan Shariah sejak tahun 2017 dan kedua terbaik bagi rekod dividen Simpanan Konvensional sejak tahun yang sama, mencerminkan prestasi pelaburan yang kukuh dan strategi pengurusan dana yang berkesan.

Pengumuman ini juga mencetuskan perbincangan mengenai faktor yang menyumbang kepada kadar dividen yang tinggi, khususnya mengapa dan bagaimana kadar dividen bagi Simpanan Shariah dan Simpanan Konvensional boleh menjadi sama melalui strategi dan perubahan polisi dalam melaksanakan pelaburan.

Perbandingan Dividen KWSP dari Tahun 2017 – 2024

Sejak pelancaran Simpanan Shariah pada tahun 2017, kadar dividen yang diisytiharkan oleh KWSP adalah seperti berikut:

Sumber: KWSP

Daripada rekod ini, dapat dilihat bahawa pada tahun-tahun awal, kadar dividen Simpanan Shariah lebih rendah berbanding Simpanan Konvensional. Ini disebabkan oleh faktor aset pelaburan yang lebih terhad untuk dana shariah, kerana pelaburan yang dibenarkan hanya melibatkan aset patuh syariah dan prinsip Syariah itu sendiri menghindari sektor yang terlibat dengan aktiviti haram seperti riba (faedah).

Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kadar dividen Simpanan Shariah telah meningkat secara stabil dan akhirnya menyamai kadar Simpanan Konvensional pada tahun 2024 yang diumumkan baru-baru ini, membuktikan daya saing instrumen pelaburan patuh syariah dalam KWSP.

Sebenarnya perkara ini telah dijangka oleh pihak kerajaan antaranya melalui kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan pada 23 November 2023:

“Pengasingan (skim Simpanan Shariah dan Simpanan Konvensional) memberi kebebasan sepenuhnya kepada pelaburan syariah, maka ada kemungkinan pada tahun-tahun hadapan, (dividen syariah) jika tidak melebihi dividen pelaburan konvensional, paling kurang akan setara dengan pelaburan konvensional.”

Dah daftar i-Akaun? Kalau Belum Sempat Mendaftar i-Akaun KWSP? Boleh Guna Cara Ini Di Rumah

Isu Pengasingan Simpanan Shariah dan Simpanan Konvensional: Bagaimana Ia Membantu Prestasi Simpanan Shariah?

Pada 1 Januari 2024, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah melaksanakan pengasingan penuh antara Simpanan Shariah dan Simpanan Konvensional. Langkah ini membolehkan setiap portfolio mengoptimumkan pulangannya dalam jangka panjang melalui alokasi aset strategik tersendiri. 

Pengasingan ini merujuk kepada pemisahan yang lebih ketara antara dana Simpanan Shariah dan Simpanan Konvensional, yang berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 Januari 2024 lepas. Sebelum ini, walaupun KWSP menawarkan Simpanan Shariah, dana tersebut masih berkongsi sebahagian daripada strategi pengurusan aset dengan Simpanan Konvensional.

Sebelum pengasingan, KWSP menguruskan pelaburan Simpanan Shariah  dan Simpanan Konvensional di bawah satu kumpulan wang, dengan aset-aset pelaburan diasingkan kepada dua portfolio: syariah dan konvensional. Ahli yang memilih Shariah tertakluk kepada akad Wakalah, di mana mereka melantik KWSP sebagai wakil untuk mengurus dan melaburkan simpanan mengikut prinsip syariah. ​

Namun, dividen bagi Simpanan Shariah seringkali lebih rendah berbanding Simpanan Konvensional. Sebagai contoh, pada tahun 2022, dividen Simpanan Konvenional adalah 5.35%, manakala Simpanan Shariah mencatatkan 4.75%.

Dengan adanya pengasingan ini, Simpanan Shariah kini diuruskan secara lebih berasingan di samping mengekalkan pelaburan dalam instrumen kewangan patuh syariah, di mana lebih banyak ciri pengasingan daripada Simpanan Konvensional dilaksanakan. 

Pengasingan penuh antara Simpanan Shariah dan Simpanan Konvensional oleh KWSP merupakan langkah strategik untuk meningkatkan pulangan dan memastikan kepatuhan kepada prinsip syariah. Langkah ini tidak hanya meningkatkan keyakinan pencarum terhadap pengurusan dana mereka tetapi juga memastikan pulangan yang mampan dan kompetitif bagi kedua-dua jenis simpanan.​

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP menyatakan: “apabila kedua-dua skim ini diasingkan, KWSP boleh membezakan simpanan dan pelaburan yang dibuat, dengan skim syariah bebas memilih pelaburan serta boleh meningkatkan pulangan, sekali gus merapatkan jurang antara skim konvensional dan syariah.”

“Tetapi, pulangan (daripada pelaburan) yang kita dapat semestinya bergantung kepada prestasi aset yang kita ada. Usaha kita, kita asingkan dulu dan kita lihat cara untuk kita boleh kurangkan jurang (dividen),” katanya.

Antara kesan positif pemisahan ini ialah: 

  1. Meningkatkan Daya Saing Simpanan Shariah – KWSP dapat memberi lebih tumpuan kepada pelaburan berasaskan syariah dengan kurang bergantung kepada strategi yang sama dengan Simpanan Konvensional. Walau bagaimanapun, ia masih bergantung kepada kecukupan dana yang ada di Simpanan Shariah dalam memasuki mana-mana pelaburan.
  2. Menggalakkan Pelaburan Nilai Islam dan Beretika – Simpanan Shariah menarik lebih ramai pelabur yang mengutamakan aspek nilai Islam dalam pelaburan mereka sebagai tambahan kepada nilai etika yang diamalkan oleh KWSP dalam pelaburan secara keseluruhan.
  3. Potensi Pulangan yang Lebih Stabil – Walaupun portfolio Simpanan Shariah lebih terhad berbanding Simpanan Konvensional, strategi pelaburan jangka panjang dijangka memberikan pulangan yang lebih konsisten dan kompetitif.

Dengan ini, kadar dividen Simpanan Shariah yang setanding dengan Simpanan Konvensional pada tahun 2024 menunjukkan kejayaan mekanisme pengasingan antara kedua-dua skim tersebut dalam membina daya tahan pelaburan shariah. Walau bagaimanapun, memandangkan dividen yang diberikan adalah berdasarkan prestasi sebenar, pelaburan syariah tidak mempunyai unsur jaminan daripada segi hasil pelaburan yang diagihkan kepada para pencarum yang membawa maksud pelaburan syariah juga tertakluk kepada kerugian. Namun urus tadbir yang telus, budaya kerja profesional serta sokongan kerajaan akan mengurangkan risiko ini ke tahap paling minima.

Faktor-faktor yang Mempengaruhi Kadar Dividen

Dividen 6.3% yang diagihkan oleh KWSP sebenarnya cukup kompetitif dalam keadaan ekonomi masa kini. Malah, lebih baik daripada sebahagian unit amanah saham di luar sana. Beberapa faktor utama mempengaruhi kadar dividen KWSP, termasuk:​

  1. Prestasi Pasaran Ekuiti: Pada tahun 2024, pasaran ekuiti di Malaysia meningkat sebanyak 12.7%, manakala pasaran ekuiti global naik 17%. Peningkatan ini menyumbang kepada pulangan pelaburan yang lebih tinggi bagi KWSP. ​
  2. Pertumbuhan Ekonomi: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia mencatat pertumbuhan sebanyak 5.1% pada tahun 2024, menunjukkan ekonomi yang kukuh dan stabil, yang seterusnya memberi impak positif kepada pelaburan KWSP. ​
  3. Strategi Pelaburan: KWSP mengamalkan strategi pelaburan yang berhemah dan diversifikasi portfolio yang dipelbagaikan dalam pelbagai jenis kelas aset pelaburan untuk meminimumkan risiko dan memaksimumkan pulangan.​

Prestasi Pelaburan KWSP Tahun 2024 Mengikut Diversifikasi Portfolio

Pada tahun 2024, pelaburan KWSP menunjukkan prestasi yang kukuh, dengan jumlah pendapatan pelaburan mencecah RM74.46 bilion. Sebahagian besar pendapatan ini datang daripada pelaburan dalam ekuiti, diikuti oleh instrumen pendapatan tetap, hartanah, infrastruktur, dan pasaran wang.

Ekuiti: Penyumbang Terbesar Pendapatan Pelaburan

  • Pelaburan dalam ekuiti (saham) menyumbang RM49.79 bilion, iaitu 67% daripada jumlah pendapatan KWSP, dengan kadar pulangan pelaburan (ROI) sebanyak 9.90%.
  • Keuntungan ini lebih tinggi berbanding RM39.01 bilion pada 2023, hasil strategi pelaburan yang bijak dan pengurusan dana yang cekap dalam mengambil peluang semasa ketidaktentuan pasaran.
  • Pelaburan dalam Ekuiti Persendirian, yang merangkumi hampir 10% daripada jumlah ekuiti, mencatatkan pulangan lebih tinggi dengan ROI sebanyak 11.33%.
  • Nilai ekuiti tersenarai mengalami sedikit penurunan sebanyak RM0.72 bilion tetapi tidak menjejaskan keseluruhan prestasi ekuiti KWSP.

Instrumen Pendapatan Tetap: Menstabilkan Pulangan Pelaburan

  • Instrumen Pendapatan Tetap, seperti Sekuriti Kerajaan Malaysia, membantu KWSP mengekalkan pulangan yang lebih stabil dan mengurangkan kesan turun naik pasaran.
  • Kategori ini menyumbang RM21.91 bilion (29% daripada pendapatan KWSP) dengan ROI sebanyak 4.27%.
  • Pendapatan ini meningkat berbanding RM19.74 bilion pada 2023, sejajar dengan pertumbuhan aset KWSP.

Pelaburan Hartanah, Infrastruktur, dan Pasaran Wang

  • Pelaburan dalam hartanah dan infrastruktur mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.64 bilion, dengan pulangan ROI sebanyak 5.13%.
  • Instrumen pasaran wang pula memberikan pulangan sebanyak RM1.12 bilion dengan ROI 1.89%.
  • Walau bagaimanapun, pendapatan daripada aset ini sedikit terjejas akibat pengukuhan Ringgit berbanding Dolar AS, kerana sebahagian besar pelaburan dibuat dalam mata wang asing.

Pecahan Pelaburan KWSP Mengikut Aset

  • Instrumen Pendapatan Tetap: 46.2%
  • Ekuiti (Saham): 43.5%
  • Hartanah dan Infrastruktur: 6.3%
  • Instrumen Pasaran Wang: 4%

Prestasi Pelaburan Domestik vs. Global

  • Jumlah aset pelaburan KWSP pada Disember 2024: RM1,249.71 bilion
  • Pelaburan dalam Malaysia: 63% daripada jumlah aset
    • Menjana RM37.02 bilion (49.7%) daripada jumlah pendapatan pelaburan
    • Memberikan kestabilan kepada pendapatan keseluruhan
  • Pelaburan global: 37% daripada jumlah aset
    • Menjana RM37.44 bilion (50.3%) daripada jumlah pendapatan pelaburan
    • Memanfaatkan peluang di pasaran antarabangsa

Kesimpulan: Pelaburan KWSP dalam ekuiti (saham) dan ekuiti persendirian paling menguntungkan, tetapi KWSP masih melabur dalam lain-lain pelaburan untuk kestabilan pulangan kepada para pencarum KWSP.

Impak Pemisahan Simpanan Konvensional & Simpanan Shariah Kepada Dividen 2024

Pemisahan ini membolehkan setiap portfolio:

  • Mengoptimumkan pulangan dalam jangka panjang dengan strategi pelaburan tersendiri.
  • Memastikan kepelbagaian pelaburan dalam pelbagai sektor, pasaran, dan geografi.
  • Menjamin pulangan yang lebih mampan, dengan Simpanan Shariah hanya dilaburkan dalam aset patuh syariah.

Mengapa Simpanan Shariah Lebih Baik?

Ramai penyimpan mula mempertimbangkan Simpanan Shariah sebagai alternatif yang lebih baik ditambah lagi dengan prestasi dividen yang diumumkan pada 1 Mac 2025 ini menunjukkan pelaburan patuh syariah mampu bersaing dengan sistem konvensional.

Bagi para pencarum KWSP yang beragama Islam, sekiranya mereka masih belum bertukar ke Simpanan Shariah dan kekal di Simpanan Konvensional, dividen 6.3% yang diperolehi bagi tahun kewangan 2024 perlu disucikan dengan cara disalurkan kepada badan kebajikan atau baitulmal. Pihak KWSP tidak melaksanakan penyucian sebaliknya para pencarum sendiri yang perlu melakukannya menggunakan mana-mana sumber duit untuk tujuan penyucian tersebut.

Oleh yang demikian, sekiranya dividen yang diperolehi adalah berjumlah RM10,000, maka para pencarum beragama Islam perlu menyalurkan RM6,100 kepada badan kebajikan atau baitulmal menggunakan wang sendiri memandangkan simpanan KWSP hanya boleh dikeluarkan dalam keadaan-keadaan tertentu sahaja. Ini kerana 61% tersebut adalah pulangan yang terhasil daripada pelaburan yang tidak halal.

Keadaan ini menunjukkan baki dividen yang halal dan boleh ‘disimpan’ adalah berkurang lebih daripada separuh. Memandangkan ianya tertakluk kepada tindakan kendiri oleh pencarum tersebut, tiada siapa yang tahu sama ada penyucian tersebut dilakukan atau tidak serta pihak KWSP tidak melakukan pemantauan terhadap penyucian tersebut.

Untungnya bagi para pencarum yang bersama dengan Simpanan Shariah kerana segala hasil dividen adalah halal 100% dan tidak memerlukan tindakan penyucian sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam.

Kesimpulan dan Prospek Masa Depan Simpanan Shariah KWSP

Pelaksanaan pengasingan penuh Simpanan Shariah dan Simpanan Konvensional pada tahun 2024 merupakan langkah yang strategik dan signifikan dalam meningkatkan daya saing pelaburan berasaskan prinsip syariah. Dengan kadar dividen Simpanan Shariah yang kini setanding dengan Simpanan Konvensional pada kadar 6.30%, ia membuktikan bahawa pelaburan patuh syariah tidak lagi berada dalam kedudukan yang kurang menguntungkan berbanding konvensional. Pengasingan ini membolehkan KWSP menguruskan portfolio Simpanan Shariah dengan lebih berfokus, memastikan pelaburan yang lebih lestari dan konsisten dari segi pematuhan syariah serta pulangan jangka panjang yang lebih stabil.

Pada masa hadapan, prestasi Simpanan Shariah dijangka terus meningkat seiring dengan perkembangan pasaran kewangan Islam yang semakin berkembang di peringkat global. Peningkatan permintaan terhadap instrumen pelaburan patuh syariah, seperti sukuk, ekuiti Islam, dan hartanah patuh syariah, membuka lebih banyak peluang untuk KWSP mempelbagaikan pelaburan dalam aset yang berkualiti tinggi. 

Walaupun pencapaian Simpanan Shariah kini menunjukkan daya saing yang semakin baik, masih terdapat beberapa cabaran yang perlu ditangani. 

Antaranya adalah kurangnya kesedaran di kalangan pencarum mengenai manfaat Simpanan Shariah dan keengganan sebahagian ahli untuk beralih daripada Simpanan Konvensional kerana persepsi negatif terhadap pulangan pelaburan syariah. Oleh itu, KWSP perlu mempergiatkan usaha pendidikan dan penyebaran maklumat mengenai manfaat Simpanan Shariah, termasuk kepentingan pulangan pelaburan yang halal, kestabilan pelaburan, dan keupayaan Simpanan Shariah untuk bersaing dengan Simpanan Konvensional. Langkah ini akan memastikan lebih ramai pencarum mendapat maklumat yang tepat dan membuat pilihan yang lebih bermakna untuk masa depan kewangan mereka.

Walau bagaimanapun, sudah tentu pihak KWSP menguruskan kedua-dua skim ini di samping mengamalkan ketelusan urus tadbir dan pengurusan pelaburan yang berintegriti serta berhemah.

Akhirnya, bagi memastikan kelestarian dan daya saing Simpanan Shariah dalam jangka panjang, KWSP boleh mengembangkan lebih agresif dengan strategi pelaburan dalam sektor yang berkembang pesat seperti teknologi, tenaga bersih, dan ekonomi digital yang selari dengan prinsip syariah. Dengan gabungan pengurusan pelaburan yang berstrategik dan komitmen KWSP terhadap inovasi dalam pelaburan Islam bagi akaun Simpanan Shariah, Simpanan Shariah dijangka menjadi salah satu instrumen simpanan persaraan yang paling berdaya saing dan mampan di Malaysia dalam tahun-tahun akan datang setanding dengan Simpanan Konvensional dan dana pelaburan lain.

Mungkin akan datang juga pihak KWSP boleh mempertimbangkan pelaburan dalam wang atau aset digital bagi memperluaskan kepelbagaian kelas aset pelaburan untuk kepentingan meningkatkan potensi dividen kepada para pencarum walaupun terdapat risiko yang lebih besar dalam sektor pelaburan tersebut. Mungkin pendedahan kecil akan memberikan impak permulaan yang menarik kepada hasil dividen KWSP.

Previous ArticleNext Article

Ke Mana Perginya Duit Caruman PERKESO Kita Dilaburkan?

Bila sebut tentang PERKESO (SOCSO), perkara pertama yang terlintas di fikiran kebanyakan pekerja di Malaysia mestilah slip gaji bulanan yang kena potong, tuntutan elaun kemalangan, atau paling tidak pun isu skim wajib baru yang tengah hangat diperkatakan sekarang.

Gambaran Kasar Aliran Wang PERKESO (2024):

Untuk memudahkan kefahaman struktur kewangan mereka:

  • Duit Masuk (Kutipan caruman): ~RM7.58 Bilion
  • Duit Masuk (Untung pelaburan kasar): ~RM2.10 Bilion
  • Duit Keluar (Bayar pampasan/faedah pencarum): ~RM6.20 Bilion

Ini menunjukkan daripada RM7.58 Bilion yang dikutip, hampir RM6.20 bilion dipulangkan semula kepada pekerja/pencarum dalam bentuk bayaran pampasan dan faedah, manakah bakinya menjadi lebihan bersih dana institusi tersebut.

Tetapi, pernah tak anda terfikir: Ke mana perginya berbilion ringgit wang caruman yang dikumpul setiap bulan? Adakah ia sekadar disimpan di dalam bank atau sebenarnya “bekerja keras” menghasilkan untung?

Sebagai portal yang celik kewangan, hari ini kami nak bedah Laporan Tahunan PERKESO 2024 untuk melihat di mana institusi keselamatan sosial ini melaburkan dana mereka, dan berapa pula keuntungan kasar yang mereka berjaya jana!

1. Poket PERKESO Tengah Makin Lebat

Sebelum kita sembang bab kaunter saham mana mereka borong, mari kita tengok prestasi kewangan makro mereka terlebih dahulu.

Menurut laporan rasmi, jumlah Aset di bawah Pengurusan (AUM) PERKESO telah meningkat sebanyak 7.01% kepada sekitar RM36.87 Bilion!

Dari segi hasil atas pelaburan, strategi proaktif pasukan pelaburan mereka nampaknya membuahkan hasil:

  • Pendapatan Pelaburan Kasar (2024): Mencecah ~RM2.17 Bilion.
  • Pertumbuhan: Naik sebanyak 18.27% berbanding RM1,835.30 juta pada tahun 2023.
  • Kadar Pulangan (ROI) Kasar: Melonjak naik kepada 6.64% (berbanding 5.89% pada tahun sebelum).

Untung lebih RM2 bilion setahun ini bukanlah satu angka yang kecil. Jadi, di mana lubuk pelaburan mereka?

2. Di Mana PERKESO Melabur? (Pecahan Portofolio)

Sama seperti KWSP atau PNB, PERKESO menggunakan rangka kerja Alokasi Aset Strategik (SAA) bagi memastikan dana pelaburan mereka mampan, kalis inflasi dan yang paling penting mampu menampung tuntutan bayaran faedah pekerja bagi jangka masa panjang.

Berikut adalah instrumen utama pelaburan mereka:

  • 62.81% Pendapatan Tetap (Fixed Income)
  • 27.52% Ekuiti
  • 6.77% Pasaran Wang
  • 2.90% Pelaburan Alternatif

A. Pasaran Saham (Ekuiti)

Jika anda rasa pelaburan saham ini berisiko, bagi dana gergasi seperti PERKESO, pasaran ekuiti tersiar di Bursa Malaysia merupakan antara lubuk buat duit terbesar mereka untuk tahun 2024. Peningkatan pendapatan pelaburan kasar mereka disumbangkan secara signifikan oleh keuntungan penjualan saham apabila pasaran saham berada dalam momentum yang baik.

Tetapi nampaknya tiada langsung perincian senarai pegangan saham seperti yang dibuat oleh KWSP.

KWSP setiap tahun akan dedahkan:

  • Top 30 pegangan Bursa Malaysia
  • Nilai pegangan
  • Peratus pegangan
  • Kadang-kadang siap cerita prestasi mengikut aset dan pasaran luar negara.

Jadi orang ramai boleh tahu:

  • KWSP pegang saham Maybank berapa banyak
  • CIMB
  • Public Bank
  • Tenaga
  • YTL Power
  • Sunway dan sebagainya.

Menariknya, orang ramai sebenarnya tidak mengetahui pegangan saham PERKESO secara menyeluruh. Sebaliknya, sesuatu pelaburan hanya mendapat perhatian apabila ia menjadi berita atau melibatkan pengumuman kepada Bursa Malaysia.

Antara contoh yang pernah berlaku ialah:

Cypark Resources (2023)

Pada tahun 2023, PERKESO muncul sebagai pemegang saham utama dalam Cypark Resources selepas pegangan melepasi ambang pelaporan Bursa Malaysia. Ketika itu, Ketua Eksekutif PERKESO menjelaskan bahawa Cypark merupakan sebahagian daripada portfolio ekuiti PERKESO kerana syarikat tersebut mempunyai “good fundamental value” serta selari dengan fokus ESG organisasi.

Pharmaniaga (2025)

Pada Jun 2025 pula, The Edge Malaysia melaporkan bahawa PERKESO sedang berbincang untuk menyertai private placement Pharmaniaga Berhad dan berpotensi muncul sebagai pemegang saham yang besar sekiranya urus niaga itu dimuktamadkan. Walau bagaimanapun, Pharmaniaga menjelaskan ketika itu bahawa belum ada keputusan muktamad mengenai pelabur yang akan mengambil bahagian dalam private placement tersebut.

B. Bon Domestik & Sukuk (Sekuriti Hutang)

Bagi mengimbangi risiko pasaran saham yang turun naik, PERKESO meletakkan sebahagian besar dana dalam instrumen berpendapatan tetap (fixed income) iaitu bon korporat dan sukuk domestik. Ini memberikan aliran pendapatan faedah yang stabil setiap tahun.

Antara sektor-sektor utama dalam negara yang disokong oleh dana bon PERKESO termasuklah:

  • Perbankan & Perkhidmatan Kewangan
  • Tenaga & Utiliti (Sektor kritikal negara)
  • Pengangkutan & Telekomunikasi
  • Hartanah & Kewangan Awam

C. Aset Kewangan Sedia Untuk Dijual

Kantung kecairan PERKESO dalam kategori aset ini adalah sangat besar. Nilai aset kewangan sedia untuk dijual di bawah kumpulan PERKESO dilaporkan mencecah RM32.88 bilion. Ini memberikan fleksibiliti tinggi kepada pengurus dana mereka untuk bertindak mengikut kitaran ekonomi semasa.

D. Hartanah Fizikal & Deposit Tunai

PERKESO juga mempunyai pegangan dalam pasaran hartanah bagi menjana pendapatan bersih melalui hasil sewaan serta modal apresiari. Di samping itu, dana selebihnya diletakkan dalam instrumen pasaran wang dan deposit tegar bersama institusi kewangan berlesen demi keperluan kecairan tuntutan faedah harian pekerja.

3. Untung Bilion-Billion Tapi Belanja Pun Besar?

Satu fakta menarik yang pekerja perlu tahu ialah: Walaupun pendapatan pelaburan mereka mencecah RM2.17 Bilion, kos tanggungjawab atau Belanja Tanggungan (Tuntutan/Faedah) yang PERKESO perlu bayar semula kepada pekerja yang ditimpa musibah juga meningkat sebanyak 7.29% kepada ~RM6.2 Bilion!.

Peningkatan bayaran keluar (payout) ini disebabkan oleh pertambahan bilangan penerima faedah serta peluasan skim perlindungan kepada sektor pekerja asing dan bekerja sendiri (SKSPS).

Melalui data ini, jelaslah bahawa PERKESO bukan sekadar menyimpan duit caruman. Wang tersebut digulung masuk ke dalam ekosistem korporat Malaysia demi menjana pulangan berbilion ringgit untuk memastikan kantung institusi ini sentiasa sihat dan kalis risiko masa depan.

Nota: Artikel ini adalah berdasarkan maklumat yang didedahkan dalam Laporan Tahunan PERKESO 2024. Sebarang pegangan saham individu tidak dinyatakan dalam laporan tersebut. Oleh itu, artikel ini hanya membincangkan maklumat yang didedahkan secara rasmi oleh PERKESO dan tidak membuat sebarang andaian mengenai saham-saham yang dimiliki.