Kenapa Google Gagal Dalam Perniagaan Hardware Berbanding Pesaing Mereka?

Sebut sahaja Google, pasti ramai di antara kita yang sering menggunakan produk yang ditawarkan oleh syarikat tersebut. Paling tidak, kita akan menggunakan carian engine Google unttuk mencari sesuatu dalam internet.

Bagi yang tidak berkemampuan pula, mereka akan menggunakan telefon pintar yang dipacu oleh Android di dalam kehidupan harian mereka. Disebabkan pengaruh Google ini besar, syarikat ini merupakan salah satu syarikat yang bernilai USD1 trilion.

Walaupun begitu, tidak semua perniagaan yang dilakukan oleh Google ini berjaya menarik perhatian orang ramai untuk menggunakan servis atau produk yang ditawarkan oleh syarikat itu.

Sebelum ini, kita boleh lihat bagaimana Google telah gagal dalam persaingan dalam membangunkan media sosial apabila Google Plus akhirnya dimatikan disebabkan gagal untuk bersaing dengan Facebook pada tahun 2018.

Baca: Google Plus, Media Sosial Keluaran Google Yang Gagal Bersaing

Selain gagal dalam membangunkan Google Plus, Google juga terkenal gagal dalam bidang hardware yang dihasilkan oleh syarikat tersebut.

Gagal di sini bermaksud bukanlah tak bagus langsung, sebaliknya produk yang ditawarkan oleh Google tidak dapat mendominasi pasaran dan ianya sekadar berada di dalam pasaran sahaja.

Hubungan Google Dan Hardware

Walaupun Google terkenal dalam menyediakan perisian telefon pintar Android hampir ke semua pengeluar telefon dunia, Google masih gagal dalam menghasilkan telefon pintar mereka sendiri.

Google yang bekerjasama dengan pihak ketiga untuk membangunkan telefon pintar mereka sendiri yang menggunakan perisian Android yang asal dari Google di bawah jenama Nexus dan Pixel. Kedua-dua jenama telefon ini gagal untuk bersaing dengan Samsung dan juga pengeluar telefon dari China.

Kredit Gambar: Tech Crunch

Berbanding dengan pesaing mereka yang lain seperti Apple dan Microsoft yang dilihat sangat berjaya dengan  roduk hardware mereka seperti iPhone untuk Apple dan Xbox untuk Microsoft.

Pada tahun 2012, Google telah membeli Motorola dengan harga USD12 bilion. Walaubagaimanapun, Google telah menjual syarikat tersebut kepada Lenovo dengan harga USD3 bilion dan mengambil sebanyak 17,000 paten yang ada di Motorola.

Kenapa Google Gagal Dalam Hardware?

Antara faktor utama adalah disebabkan polisi syarikat itu sendiri. Mereka tidak memberi sepenuh perhatian kepada industri hardware. Ini kerana Google tidak mempunyai kemahiran dalam membangunkan sistem hardware.

Disebabkan perkara tersebut, terdapat spekulasi yang mengatakan Google bukanlah sebuah syarikat teknologi seperti syarikat lain yang berada di Silicon Valley, tetapi merupakan sebuah syarikat pengiklanan kerana pendapatan utama yang dijana oleh syarikat tersebut adalah melalui pengiklanan.

Kredit Gambar: Meet Global

Google juga dilihat tidak melabur besar di dalam penyelidikan terhadap sistem hardware mereka. Walaupun mereka telah mengambil sebahagian besar pekerja HTC yang diserap di dalam bahagian hardware, mereka masih lagi belum mempunyai visi yang jelas terhadap kehendak pasaran pada masa kini.

Sehingga ke hari ini Google masih lagi tidak mempunyai produk hardware yang boleh dibanggakan seperti pesaing mereka.

Google sendiri tidak meletakkan operasi hardware di dalam financial statement syarikat mereka dan sehingga kini masih lagi menjadi tanda tanya kepada pelabur mereka.

Penganalisis berpendapat bahawa kos operasi di bahagian hardware tidak mendatangkan keuntungan untuk Google dan mungkin benar jika kenyataan mengatakan kos operasi di bahagian hardware merupakan kos operasi yang paling rugi bagi Google.

Namun, ianya tidak menjejaskan operasi syarikat tersebut. Walaupun tidak mendapat sebarang keuntungan, Google masih lagi membangunkan bahagian operasi hardware syarikat itu walaupun saban tahun mengalami kerugian.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.