Kesilapan Kewangan Yang Perlu Dielak Dalam Setiap Dekad Kehidupan

Setiap orang sudah tentu pernah melakukan kesilapan berkenaan wang. Tiada wang simpanan yang mencukupi, perbelanjaan boros, atau menunggu terlalu lama sebelum menjual saham.

Membuat kesilapan dengan wang boleh berlaku tidak mengira umur. Oleh kerana begitu, kami menyediakan senarai kesilapan kewangan yang biasa terjadi mengikut umur.

Mengelak daripada kesilapan-kesilapan kewangan ini boleh mengurangkan tekanan dan meningkatkan kualiti kehidupan anda..

1. Peringkat Umur 20-an

Anda baru menjejak kaki ke alam berkerja dan sedang membina asasi kerjaya anda. Ini juga bermakna anda mempunyai pendapatan yang rendah.

Malangnya, bersosial biasanya menjadi keutamaan bagi orang muda. Ini menyebabkan anda lebih berbelanja dan kurang menyimpan wang.

Terlebih anggar keupayaan pembelian

Anda mungkin ingin mengembara ke seluruh dunia atau membeli kereta mewah tetapi tidak mempunyai gaji yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Jika anda tidak berhati-hati, anda mungkin akan menanggung beban hutang yang besar selama bertahun-tahun.

Biasakan diri anda untuk menyimpan wang bagi perkara yang anda ingini dan elakkan bergantung pada kad kredit.

Menangguh persiapan persaraan

Persaraan mungkin kelihatan jauh sekali, tetapi membuat persiapan dari mudah akan memudahkan tugas anda. Wang yang di simpan dalam umur 20-an akan mempunyai nilai lebih tinggi kerana ia mempunyai masa lebih lama untuk mengumpul wang bunga.

Terlalu banyak menggunakan kad kredit

Walaupun kad kredit memberikan perkhidmatan bernilai dengan menyediakan kemudahan, ia juga boleh menggoda anda untuk berbelanja di luar kemampuan anda. Pada peringkat ini, bil kad kredit anda mungkin membebankan jika anda tidak berhati-hati.

Kegagalan untuk membayar jumlah penuh dan hanya membayar baki minimum bermakna anda akan menanggung faedah terkumpul yang amat tinggi. Sediakan belanjawan bulanan berdasarkan pendapatan anda dan ikutinya dengan tegas.

Gunakan kad kredit hanya jika anda mampu membayar baki sepenuhnya pada akhir bulan.

2. Peringkat Umur 30-an

Anda mungkin sudah berkahwin dan sudah mula merancang untuk berkeluarga. Tanggungjawab kewangan anda semakin meningkat dan memerlukan rancangan menyediakan kehidupan yang terbaik untuk keluarga anda.

Tidak merancang keperluan pendidikan masa depan anak-anak anda

Apabila memegang anak baru lahir anda, memikirkan hari beliau akan pergi ke universiti amat jauh dari fikiran anda. Namun demikian, masa berlalu lebih cepat daripada yang anda boleh bayangkan.

Kos pendidikan universiti dijangka meningkat pada tahun-tahun akan datang, oleh itu, anda harus merancang dana universiti anak anda selepas beliau dilahirkan. Jika anda mempunyai lebih daripada seorang anak untuk membiayai sehingga peringkat universiti, kos ini boleh meningkat dengan tinggi.

Dengan melambatkan atau tidak mempunyai dana pendidikan sama sekali, anda mungkin terpaksa menggunakan dana persaraan sebelum hari tua anda.

Tidak mengambil berat hal takaful

Individu dalam lingkungan usia 30-an biasanya tidak mempunyai perlindungan yang mencukupi. Mereka sering kali kehilangan peluang untuk membeli takaful pada premium lebih rendah dan menangguhkan pembelian takaful ketidakupayaan, kemalangan peribadi atau kesihatan.

Tidak mempunyai perlindungan yang mencukupi merupakan satu risiko kewangan. Apabila anda mempunyai tanggungan seperti pasangan, anak-anak dan ibu bapa yang sudah berusia, ia memberikan jaringan keselamatan kewangan untuk seluruh keluarga anda jika sesuatu tidak diingini menimpa diri.

3. Peringkat Umur 40-an

Dalam umur 40-an, anda mungkin sudah sampai ke puncak kerjaya dan mempunyai pendapatan yang lebih tinggi berbanding ketika anda dalam umur 20-an (ataupun 30-an).

Walau bagaimanapun, ramai yang masih sibuk membelanjakan wang bagaikan masih muda.

Tidak menyemak portfolio pelaburan anda

Anda mungkin lebih bersedia mengambil lebih banyak risiko apabila dalam umur 30-an, tetapi toleransi risiko anda akan berubah selepas mengalami pelbagai peringkat kehidupan. Apabila menghampiri umur persaraan, anda mesti menyemak semula portfolio bagi memperuntukkan lebih banyak aset ke dalam pelaburan yang lebih konservatif.

Walaubagaimanapun, jika anda mengalihkan pelaburan terlalu awal, ia mungkin akan mengurangkan jumlah untuk wang simpanan anda. Anda perlu memastikan simpanan anda dapat menampung kehidupan anda dengan baik apabila anda bersara.

Mengabaikan penulisan wasiat

Walaupun hukum Shariah menentukan pembahagian harta seorang Muslim, wasiat masih berharga untuk anda. Dokumen ini membolehkan anda menghadiahkan ⅓ daripada harta anda kepada sesiapa sahaja.

Cara ini penting untuk memastikan aset yang penting akan diterima oleh individu yang memerlukannya.

4. Peringkat Umur 50-an

Dalam umur 50-an, anak-anak anda sudah berada di universiti dan hanya tinggal satu dekad lagi sebelum anda bersara.

Membiayai pendidikan anak dengan wang persaraan

Terlalu ramai ibu bapa menggunakan simpanan persaraan dan mengeluarkan wang daripada KWSP untuk membiayai pendidikan anak mereka. Utamakan keperluan persaraan anda terlebih dahulu dan lakukan apa yang boleh untuk memperuntukkan wang bagi kedua-duanya.

Itulah sebabnya mengapa ia penting untuk memulakan perancangan untuk kedua-dua ini seawal yang mungkin.

Melabur seperti anda masih muda

Apabila menghampiri umur bersara, anda perlu lebih berhati-hati terhadap simpanan anda. Memandangkan anda mungkin berumur panjang menjangkaui usia lebih daripada 80 tahun, anda memerlukan jumlah yang besar untuk persaraan.

Hanya mengekalkan modal bukanlah satu strategi kewangan yang mampan, wang tersebut mesti ‘bekerja’ untuk anda. Pelaburan mempunyai risikonya sendiri tetapi menyimpan wang di bawah tilam mempunyai risiko yang sama.

Oleh itu, pastikan anda terus menambahkan wang simpanan supaya dapat menangani inflasi dan menampung keperluan.

5. Dalam Umur 60-an

Dalam umur 60-an, anda akhirnya telah bersara. Kedutan dapat dilihat, dan anak-anak anda sudah berkeluarga. Memandangkan anda tidak lagi mempunyai sumber pendapatan, menjaga kewangan menjadi keutamaan.

Senario terbaik adalah menikmati hidup bahagia di usia senja dan meluangkan masa dengan cucu-cicit.

Mengabaikan pelaburan sepenuhnya

Anda akan membina dana sehingga anda bersara. Selepas itu anda akan berhenti membinanya secara proaktif dan menikmati kehidupan anda menggunakan dana tersebut.

Namun demikian, golongan pesara boleh terus memaksimumkan pelaburan untuk menambahkan pendapatan persaraan melalui pelaburan yang menawarkan pengagihan secara bulanan atau suku tahunan.

Memastikan pelaburan anda menyediakan aliran pendapatan yang mantap dapat membantu anda menguruskan belanjawan dengan lebih baik sambil menambahkan lagi wang anda.

Tidak mengekalkan takaful perubatan

Apabila umur anda semakin meningkat, takaful perubatan akan menjadi lebih mahal. Ramai orang akan membatalkannya dan menumpukan kewangan ke bahagian lain dalam hidup mereka.

Walaubagaimanapun, ada sebabnya mengapa kos takaful perubatan meningkat seiring dengan umur anda – apabila anda semakin tua, anda lebih mudah jatuh sakit, dan ini menyebabkan bil perubatan mula bertambah. Itulah masanya anda mungkin menyesal tidak mengekalkan takaful perubatan anda.

Memanfaatkan setiap peluang kewangan sepenuhnya pada setiap dekad kehidupan anda adalah penting. Lebih banyak wang yang dikendalikan dengan cermat bermakna lebih banyak peluang dan lebih banyak jaminan kewangan untuk anda dan keluarga anda.

Artikel ini diterbitkan untuk kali pertama di iMoney Malaysia. Layari laman web iMoney untuk mempelajari cara-cara mengurus kewangan peribadi anda.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Rangka Kerja RIA Isyarat Amaran Kepada Sistem Persaraan Malaysia

Cabaran persaraan di Malaysia kini semakin sukar untuk diabaikan. Dengan jangka hayat yang semakin panjang dan kos sara hidup yang terus meningkat, cara rakyat Malaysia menyimpan dan mengeluarkan simpanan persaraan sudah tidak lagi selari dengan realiti ekonomi semasa. Satu daripada empat rakyat Malaysia menghabiskan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka dalam tempoh lima tahun selepas mencapai umur pengeluaran. Apabila ini berlaku, pesara terdedah kepada risiko kewangan pada usia lanjut dan sering terpaksa bergantung kepada sokongan keluarga atau bantuan awam yang terhad.

Menyedari jurang yang semakin melebar ini, KWSP mula menilai semula cara kecukupan persaraan ditakrifkan dan dikomunikasikan. Salah satu langkah penting ialah pengenalan Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (Retirement Income Adequacy, RIA), yang menggalakkan rakyat Malaysia melihat KWSP bukan sebagai simpanan sekali keluar untuk dibelanjakan ketika bersara, tetapi sebagai sumber pendapatan bulanan yang perlu bertahan sepanjang usia persaraan. Ringkasnya, simpanan persaraan sepatutnya dikeluarkan secara berperingkat, sekitar 20 tahun dari umur 60 hingga kira-kira 80 tahun, sejajar dengan jangka hayat purata dan risiko kehabisan simpanan.

Bagi menjadikan konsep ini lebih mudah difahami, KWSP memperkenalkan tiga penanda aras simpanan. Simpanan Asas sebanyak RM390,000 bertujuan menampung keperluan hidup minimum. Simpanan Mencukupi pada RM650,000 mencerminkan tahap kehidupan yang lebih selesa dan mampan. Simpanan Dipertingkat sebanyak RM1.3 juta pula menyokong persaraan berkualiti tinggi dengan keselamatan kewangan dan fleksibiliti yang lebih besar. Penanda aras ini bukan jaminan, tetapi rujukan praktikal untuk membantu ahli memahami secara realistik apa yang mampu disokong oleh simpanan mereka.

Bagaimana Pengeluaran Berasaskan Pendapatan Berfungsi

Berdasarkan ilustrasi KWSP, seorang pesara yang mempunyai simpanan RM390,000 pada umur 60 tahun boleh mengeluarkan sekitar RM1,625 sebulan pada tahun pertama. Dengan pengeluaran yang berdisiplin serta pulangan dividen yang berterusan, jumlah ini boleh meningkat kepada kira-kira RM4,434 sebulan pada usia 80 tahun. Mereka yang bersara dengan RM650,000 boleh bermula dengan pendapatan bulanan sekitar RM2,708, yang berpotensi meningkat melebihi RM7,389 di usia lanjut. Pada tahap Simpanan Dipertingkat RM1.3 juta pula, pengeluaran bulanan boleh bermula sekitar RM5,417 dan meningkat kepada kira-kira RM14,779 menjelang umur 80 tahun.

Walaupun angka ini bersifat ilustrasi dan bukan jaminan, ia menunjukkan bagaimana pengeluaran berasaskan pendapatan boleh membantu simpanan persaraan bertahan jauh lebih lama berbanding pengeluaran sekali gus.

Bagi mengukuhkan kecukupan jangka panjang, KWSP turut menyemak semula dasar untuk ahli yang mempunyai baki simpanan tinggi. Sebelum ini, simpanan melebihi RM1 juta boleh diakses dengan lebih bebas. Di bawah pendekatan baharu, ambang pengeluaran ini akan dinaikkan secara berperingkat dan diselaraskan dengan tahap Simpanan Dipertingkat RM1.3 juta menjelang 2028. Ini bermakna RM1.3 juta pertama akan dipelihara untuk menyokong pendapatan persaraan jangka panjang, manakala lebihan selepas itu dianggap sebagai simpanan tambahan yang boleh diakses dengan lebih fleksibel.

KWSP juga telah memperkukuh Skim Pelaburan Ahli (SPA). Ahli yang mempunyai simpanan melebihi tahap Simpanan Asas mengikut umur boleh melaburkan sehingga 30% daripada lebihan tersebut dengan pengurus dana yang diluluskan KWSP. Langkah ini memberi peluang kepelbagaian dan potensi pulangan yang lebih baik kepada pencarum berdisiplin, sambil mengekalkan tahap minimum simpanan persaraan dalam KWSP.

Pengajaran dan Batasan daripada Singapura

Di Singapura, Tabung Simpanan Pekerja Pusat (CPF) secara automatik menukar sebahagian simpanan persaraan kepada bayaran bulanan tetap, sekali gus mengurangkan risiko pesara kehabisan simpanan. Walaupun pendekatan ini wajar dikaji, ia tidak boleh diterapkan secara menyeluruh di Malaysia. Ramai rakyat Malaysia bersara dengan baki simpanan yang lebih rendah dan masih memerlukan fleksibiliti untuk menampung kos perubatan, komitmen hutang atau tanggungjawab keluarga.

Pendekatan yang lebih realistik ialah menjadikan bayaran bulanan sebagai pilihan lalai, sambil masih membenarkan pengeluaran sekali gus yang terhad, terutamanya bagi mereka yang mempunyai baki simpanan kecil. Pilihan lalai sangat berpengaruh. Bukti tingkah laku menunjukkan apa yang ditetapkan secara automatik sering menjadi pilihan utama.

Menilai Semula Umur Pengeluaran dan Golongan Tertinggal

Isu umur pengeluaran KWSP juga semakin relevan. Ramai rakyat Malaysia kini bekerja sehingga umur 60 tahun atau lebih, namun pengeluaran awal menggalakkan perbelanjaan simpanan persaraan ketika mereka masih mempunyai pendapatan. Menaikkan umur pengeluaran secara berperingkat kepada sekurang-kurangnya 60 tahun boleh membantu simpanan terus dilaburkan lebih lama dan meningkatkan hasil persaraan.

Namun, sebarang perubahan perlu dilaksanakan dengan berhati-hati. Pekerja dalam sektor yang memerlukan tenaga fizikal atau mereka yang menghadapi masalah kesihatan masih memerlukan fleksibiliti. Oleh itu, pelaksanaan berfasa, pengecualian yang jelas dan komunikasi telus amat penting bagi mendapatkan penerimaan awam.

Kecukupan persaraan juga lebih mencabar bagi pekerja gig dan suri rumah. Skim seperti i-Saraan Plus dan i-Suri telah memperluas perlindungan KWSP, namun penyertaan masih bersifat sukarela. Caruman mandatori mungkin kelihatan menarik, tetapi ketidaktentuan pendapatan menyukarkan penguatkuasaan tanpa menjejaskan keperluan asas seperti makanan dan sewa. Buat masa ini, caruman fleksibel yang disokong insentif dan padanan adalah lebih praktikal berbanding paksaan.

Sebahagian besar pembaharuan ini memerlukan pindaan kepada Akta KWSP, menjadikan pendekatan berhati-hati dari sudut politik tidak dapat dielakkan. Simpanan persaraan adalah isu peribadi yang sensitif, dan sebarang dasar yang dilihat menyekat akses boleh menerima tentangan. Namun, penangguhan pembaharuan juga membawa risiko jangka panjang. Tanpa perubahan bermakna, lebih ramai rakyat Malaysia akan memasuki usia tua dengan pendapatan tidak mencukupi dan sokongan yang terhad.

Malaysia tidak memerlukan reformasi radikal secara serta-merta. Apa yang diperlukan ialah perubahan minda. KWSP tidak lagi wajar dilihat sebagai “durian runtuh” persaraan, tetapi sebagai sumber pendapatan sepanjang hayat. Rangka Kerja RIA adalah langkah awal yang penting. Sama ada Malaysia bersedia melangkah lebih jauh akan menentukan sama ada generasi pesara akan menua dengan maruah atau dengan kebimbangan kewangan.

Nota: Artikel ini merupakan hasil sumbangan daripada Dr Paul Anthony Maria Das, Pensyarah Kanan Perakaunan & Kewangan, Fakulti Perniagaan & Undang-Undang, Universiti Taylor’s.