Majikan Tak Bayar Gaji ‘On Time’, Ini Apa Yang Anda Boleh Buat

Pernah tak majikan anda bayar gaji lewat atau sering kali tak bayar gaji tepat pada masanya? Mesti rasa geram kan? Kalau sekali mungkin boleh dimaafkan, tapi kalau berulang kali, memang betul-betul menguji kesabaran! Bab gaji ni mana boleh dibuat main.

Jadi apa nak buat kalau perkara ini terjadi? Dalam artikel kali ini kami ada bawakan beberapa situasi yang anda mungkin hadapi dan juga cara nak selesaikan masalah ini mengikut undang-undang pekerjaan di Malaysia.

Tapi sebelum itu, mari kita fahami beberapa terma penting yang akan digunakan dalam artikel ini. Jangan pening pula lepas ini.

  • Mahkamah Buruh: Makhkamah untuk selesaikan masalah berkaitan dengan gaji dan wang lain serta faedah pekerjaan yang diberikan kepada pekerja di bawah Akta Pekerjaan 1955 seperti bayaran lebih masa, elaun bersalin, gaji sebagai ganti notis pemecatan dan faedah pemecatan.
  • Mahkamah Perusahaan: Mahkamah ini adalah tribunal statutori yang ditubuhkan di bawah S.21 Akta Hubungan Perindustrian 1967. Ia ditubuhkan untuk mendengar pertikaian antara pekerja dan majikan mereka atas hak dan kewajipan yang timbul daripada hubungan pekerjaan dan dari peruntukan Akta Perhubungan Perusahaan 1967. Kebanyakan kes yang didengar oleh Mahkamah Perindustrian adalah tuntutan oleh pekerja individu bahawa pekerja telah dipecat secara tidak adil oleh majikannya.
  • Pekerja Manual: Kerja-kerja yang melibatkan penggunaan fizikal seperti chef, pekerja binaan dan lain lain.
  • Pekerja Bukan Manual: Seseorang yang pekerjaannya melibatkan penggunaan fikiran mereka seperti programmer, penulis, technician dan sebagainya.

Situasi 1: Majikan saya selalu lambatkan pembayaran gaji setiap bulan. Apa yang boleh saya buat?

Pada yang tak tahu, gaji anda sepatutnya dibayar dalam tempoh 7 hari selepas hari terakhir tempoh gaji (biasanya sebulan) mengikut Seksyen 19 (1) Akta Kerja 1955. Maksudnya, kalau anda terima gaji pada hari terakhir bulan itu, maka gaji seterusnya patut diterima sebelum 7 hari bulan depan.

Kalau tak terima gaji lepas 7 hari bulan tu, ini bermakna bahawa majikan anda telah melanggar seksyen tersebut. Jadi anda kenalah berbincang dengan pihak pengurusan supaya ada persefahaman bersama. Tapi kalau itu pun tak jalan, anda boleh ambil tindakan undang-undang. Macam mana?

Ikut langkah-langkah ni:

  1. Failkan aduan dengan menghantar surat rasmi kepada Jabatan Buruh yang terdekat, e-mel ke [email protected], lawati pejabat Jabatan Tenaga Kerja tempatan terdekat atau hubungi 03-8000 8000. Kami cadangkan anda sediakan surat rasmi awal-awal dan terus ke pejabat tenaga kerja. Cara ini lebih efisien.
  2. Bawa salinan dokumen sokongan seperti surat tawaran atau kontrak berkaitan.
  3. Selepas tu, anda akan dinasihatkan untuk menunggu notis selanjutnya dari Jabatan Tenaga Kerja (Jabatan akan buat penyiasatan sendiri dulu sebelum terjah).
  4. Anda perlu tahu bahawa Pegawai Buruh boleh menghubungi majikan anda mengenai tuntutan yang dibuat. Jika majikan terima tuntutan dan setuju untuk membayar, jadi kes itu dianggap selesai dan anda kena tarik balik tuntutan yang dibuat. Tapi jika majikan mempertikaikan tuntutan korang, Pegawai Buruh akan menetapkan tarikh untuk mendengar kes anda di Mahkamah Buruh.
  5. Kedua-dua pihak dikehendaki menghadiri pendengaran tersebut. Pengadu akan dimaklumkan melalui surat dan saman akan dikeluarkan kepada terdakwa iaitu pihak majikan.
  6. Anda boleh memilih untuk mewakili diri sendiri, atau diwakili oleh kesatuan sekerja, seorang peguam atau pegawai dari Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) – kalau anda minta bantuan mereka.
  7. Pada akhir pendengaran, Pegawai Penguasa akan membuat suatu perintah secara lisan atau bertulis. Mana-mana pihak yang tak berpuas hati dengan keputusan Pegawai Yang Mengendalikan boleh merayu kepada Mahkamah Tinggi dalam masa 14 hari dari tarikh keputusan itu.
  8. Sekiranya defendan (majikan) tidak merayu kepada Mahkamah Tinggi dan tidak mahu mematuhi perintah Mahkamah Buruh, Pejabat Buruh akan membantu menguatkuasakan perintahnya di Mahkamah Sesyen (Sivil) untuk mendapatkan semula wang yang dituntut tu.


Tak dinafikan, prosesnya memang leceh. Ramai antara kita malas nak fikir lepas tengok proses ini dan redha sahaja dengan keadaan. Tapi, kalau anda rasa ianya berbaloi, teruskan perjuangkan hak anda.


Situasi 2: Saya dah berhenti kerja dan bekas majikan masih tak bayar gaji. Berapa lama nak tunggu?


Jika anda berhenti dengan baik dan mengikuti prosedur syarikat seperti berkhidmat dalam tempoh notis, majikan kena membayar gaji mengikut Akta Pekerjaan 1955 di bawah:

20. Pembayaran Atas Penamatan Biasa Kontrak.
Gaji yang sepatutnya diperolehi tetapi belum lagi dibayar kepada seseorang pekerja yang mana kontrak perkhidmatannya tamat mengikut seksyen 11 (1) atau seksyen 12 hendaklah dibayar kepada pekerja tersebut tidak lewat daripada hari di mana kontrak perkhidmatan itu tamat.


Pendek kata, anda perlu dibayar pada tarikh kontrak anda dengan syarikat tersebut ditamatkan secara rasmi.

Kalau gaji tak masuk juga, boleh pergi ke Pejabat Buruh dan failkan tuntutan di bawah Seksyen 69 Akta Penggajian 1955. Rujuk balik kepada Situasi 1 untuk mengetahui apa langkah-langkah yang perlu diambil.


Situasi 3: Kalau saya berhenti tanpa notis, masih boleh dapat gaji ke?


Aduh, kes ini memang payah. Dah cari pasal, lepas itu minta gaji. Anda tahu tak kalau berhenti tanpa notis atas apa-apa sebab pun, anda yang perlu bayar majikan. Contohnya, kalau anda tak laksanakan tempoh notis dua bulan itu, maka andalah yang kena bayar gaji berjumlah dua bulan pada majikan.


Tak percaya? Tengok akta di bawah ni.

Seksyen 13 (1) Akta Kerja 1955:

Mana-mana pihak kepada suatu kontrak perkhidmatan boleh menamatkan kontrak perkidmatan tersebut tanpa notis atau jika notis telah pun diberikan menurut seksyen 1, tanpa menunggu notis itu berakhir, dengan membayar kepada pihak yang lain suatu indemniti sejumlah wang yang sama dengan jumlah upah yang sepatutnya terakru kepada pekerja dalam tempoh notis tersebut atau semasa notis tersebut yang belum tamat.

“Bagaimana dengan majikan? Apa hak kami?”

Ya, majikan pun boleh lakukan sesuatu kalau perkara macam ini berlaku. Anda boleh membuat tuntutan untuk ganti rugi di bawah Penamatan Kontrak Tanpa Notis untuk mendapatkan semula jumlah sebagai ganti notis daripada pekerja yang melarikan diri di bawah Seksyen 69C Akta Pekerjaan di pejabat Jabatan Tenaga Kerja.


Kemudian, jabatan akan hantar surat kepada anda (majikan) dan bekas pekerja. Kedua-duanya akan diminta untuk bertemu di Pejabat Buruh untuk menyelesaikan tuntutan tersebut. Jika anda bernasib baik, bekas pekerja akan muncul, kalau tak, anda tiada banyak pilihan.

Situasi 4: Syarikat majikan saya bankrap. Adakah itu bermakna saya tidak akan dibayar untuk kerja yang telah dilakukan? Apa hak saya?

Biasanya, kalau syarikat bankrap ataupun muflis, ia akan mengakibatkan penutupan perniagaan, yang kemudian akan menyebabkan pembuangan seluruh tenaga kerja. Ini berbeza dengan konsep ‘pemberhentian’, di mana hanya beberapa khidmat pekerja saja yang ditamatkan.


Kalau perkara ni berlaku, majikan perlu memaklumkan kepada Jabatan Buruh tentang penutupan perniagaan atau pembuangan kakitangan mereka. Majikan perlu menghantar borang pemberitahuan pemberhentian pekerjaan (Borang PK) kepada mana-mana Pejabat Buruh. Denda sebanyak RM10,000.00 akan dikenakan jika majikan tak ikut prosedur ini.
 

Untuk menjawab soalan tadi, anda perlu tahu bahawa pekerja yang tertakluk di bawah Akta (terutamanya pekerja yang gaji bulanannya tidak melebihi RM2,000 dan/atau terlibat dalam pekerja manual) dilindungi di bawah Peraturan Kerja (Faedah-faedah Penamatan dan Rentikerja Sentara) 1980.

Peraturan Kerja 1980 telah menetapkan jumlah penamatan atau bayaran faedah pemberhentian seseorang pekerja yang berhak dibayar dan ia hendaklah tidak boleh kurang daripada:

(a) gaji sebanyak 10 hari bagi setiap tahun penggajian di bawah suatu kontrak perkhidmatan jika dia telah bekerja dengan majikan itu bagi tempoh kurang daripada dua tahun; atau
(b) gaji sebanyak 15 hari bagi setiap tahun penggajian di bawah suatu kontrak perkhidmatan jika dia telah bekerja dengan majikan yang selama dua tahun atau lebih tetapi kurang daripada lima tahun; atau
(c) gaji sebanyak 20 hari bagi setiap tahun daripada penggajian di bawah suatu kontrak perkhidmatan jika dia telah bekerja dengan majikan yang selama lima tahun atau lebih.


Ikut formula di bawah ini kalau nak tahu macam mana bayaran faedah pemberhentian dikira:

(Jumlah gaji 12 bulan bekerja/365 hari) X (Tempoh perkhidmatan; contohnya tahun berkhidmat) X (Kelayakan, 10/15/20 hari)

Bayaran hendaklah dibayar oleh majikan kepada pekerja tidak lewat daripada 7 hari selepas tarikh yang pemberhentian yang ditetapkan. Jika majikan korang tidak mematuhi peraturan ni, korang boleh failkan laporan di Jabatan Tenaga Kerja.


Situasi 5: Pendapatan saya melebihi RM2,000. Adakah ini bermakna saya tak layak memfailkan aduan di Jabatan Tenaga Kerja kalau majikan tak bayar gaji saya?


Siapa cakap tak boleh? Anda ada hak untuk buat aduan sebab anda masih seorang pekerja seperti yang ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Hubungan Perindustrian 1967.


Maksud ‘Pekerja‘ di bawah akta ni lebih luas dari Akta Kerja 1955 atau Ordinan Buruh Sabah/Sarawak. ‘Pekerja’ di bawah akta ni merujuk kepada sesiapa, termasuk perantis, yang diambil bekerja oleh majikan di bawah kontrak pekerjaan untuk bekerja untuk upah atau ganjaran.


Pendek kata, memang tiada had gaji di bawah akta ni. Semua pekerja boleh buat representasi, tak kisah berapa gaji yang anda dapat. Proses tuntutan pun masih sama – anda boleh rujuk carta di atas.

Jangan Tunggu Sampai Nasi Menjadi Bubur!


Kalau anda rasa macam tak sedap hati dan nampak ada benda yang tak kena, jangan duduk senyap di ceruk sambil menangis air mata pasrah. Marilah kita jadi proaktif. Buat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja jika perlu. Sama ada Tenaga Kerja ambil tindakan ke tak itu hal lain, yang penting kita sendiri dah usaha.


Kadang-kadang masalahnya memang nampak kecil, contohnya tuntutan perubatan anda yang dah berbulan tak dibayar. Lagi lama anda tunggu, lagi susah nak cari penyelesaian.

Selain tiu, rasanya dah tiba masanya untuk anda kemas kini resume dan mula cari kerja lain. Ya, memang sikap sabar itu bagus, tapi kalau sampai makan diri pun tak elok juga kan.


Kami berharap anda dapat belajar satu atau dua perkara mengenai hak sebagai pekerja di Malaysia dan apa yang anda boleh lakukan sekiranya perkara ini berlaku.

*Artikel ini telah diolah semula daripada artikel yang ditulis oleh Nisya Aziz dan diterbitkan kali pertama di Loanstreet.com.my. Artikel di atas bertujuan sebagai pendidikan sahaja. Syarikat tidak bertanggungjawab atas kerugian yang mungkin timbul jika ada sebarang tindakan anda dengan maklumat yang terdapat dalam artikel. 

Previous ArticleNext Article

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.